HARI ini saya ingin membawa pembaca membaca halaman 75 dan 76, dari Hikayat Abdullah, terbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, terbitan tahun 1963.
Catatan Munsyi Abdullah sebanyak empat perenggan ini sentiasa menarik perhatian saya kerana ia menimbulkan beberapa persoalan yang saya kira boleh dicatat secara serius.
1. Bagaimana pengurusan sesuatu penyelidikan secara professional (usaha, kaedah, cara mengatasi masalah dan lain-lain) diadakan?
2. Minat seseorang (Stamford Raffles) yang sukakan ilmu itu seharusnya berbagai (multidisciplinary) dan akan cemerlang jika setiap pekerjaan dilakukan dengan penuh azam dan disiplin. Benarkah?
3. Kemahiran melukis atau menggambar (Munsyi Abdullah menyebutnya sebagai menulis gambar) tidak banyak atau tiada pada orang tempatan iaitu Melayu-(kata nama lukis,pelukis, melukis, belum ada dalam perbendaharaan Bahasa Melayu?)
4. Peluang pekerjaan kepada orang tempatan (Melayu) – pekerjaan yang bagaimana?
5. Kenapa orang tempatan (Melayu) tidak suka membaca dan sanggup pula menjual buku-buku atau kitab yang ada?
6. Kuasa ‘wang’ sentiasa berjaya menarik masyarakat (orang yang tidak punya dan tidak pernah berkecukupan) kepadanya. Benarkah?
“…Syahdan lagi adalah empat orang diberinya gaji, masing-masing dengan pekerjaannya. Seorang disuruhnya pergi ke hutan mencari jenis-jenis daun, dan bunga-bunga, dan cendawan, dan lumut-lumut, dan barang perkara yang berlain-lain rupanya. Dan lagi seorang disuruhnya mencari segala ulat-ulat, dan belalang, dan jenis-jenis kupu-kupu dan kumbang, dan berbagai-bagai jenis binatang, dan riang-riang, dan lipan dan kala jengking, dan sebagainya. Maka diberinya jarum peniti, disuruhnya cocokan binatang-binatang itu. Dan lagi seorang disuruhnya mencari karangan-karangan, seperti siput berjenis-jenis, dan kepah, dan lokan, tiram, remis dan sebagainya, dalam sebuah bakul. Dan lagi ikan berjenis-jenis. Dan lagi pula seorang pergi mencari binatang-binatang liar, seperti burung-burung, dan ayam hutan, dan rusa, kijang, pelanduk, dan napoh, bengkuang, dan kancil, dan sebagainya.
Dan lagi adalah ia menaruh sebuah kitab besar, maka kertasnya tebal-tebal; maka gunanya kitab itu dimasukkannya segala jenis daun-daun, dan bunga-bunga, dan sebagainya. Bermula maka barang perkara yang tiada boleh dimasukkannya, maka ada ia menaruh seorang Cina Makao. Terlalu pandai ‘menulis’ gambar-gambar, atau buah atau bunga, ditulisnya seperti hidup, maka disuruhnya tulis akan segala perkara itu. Maka lain daripada ini lagi, adalah pula satu pipa, entah arak entah berandi, ada penuh. Maka barang binatang atau ular, lipan, kala jengking, dan sebagainya, maka hidup-hidup dimasukkannya ke dalamnya itu. Setelah dua hari lamanya, kemudian diambilnya, dimasukkannya le dalam botol. Rupanya, binatang itu seperti hidup juga. Maka menjadi heranlah orang-orang di Melaka melihatkan pekerjaan yang demikian.
Maka pada masa itu banyaklah orang-orang dalam Melaka mendapat faedah sebab mencarikan segala kejadian yang di udara, dan dari bumi, atau dari laut, dari darat, atau dari negeri, atau hutan rimba, baik yang terbang, baik yang merayap, baik yang bertumbuh, baik yang terbit dari tanah, sekalian perkara yang tersebut itu sekaliannya menjadi duit belaka.
Dan lagi pula orang membawa kitab-kitab dan hikayat Melayu pun, entah beberapa ratus jenis, tiadalah teringat. Hampir-hampir habis surat-surat Melayu daripada beberapa zaman, daripada harta nenek-moyang sekalian habis dijualkan, dibawa orang dari mana-mana, sebab mendapat harga baik. Habis dijualkan, tiadalah sadarkan orang-orang yang di belakang kelak menjadi bodoh. Satu surat pun tiada yang dibaca dalam bahasanya sendiri, karena kitab-kitab itu semuanya dalam tulisan tangan. Jikalau kitab dicap tiada mengapa, maka tiadalah tinggal lagi benihnya sampai sekarang. Maka adalah kitab-kitab itu sekelian kira-kira tiga ratus empat puluh, lain daripada jenis-jenis syair dan pantun dan ikat-ikatan dan sebagainya. Dan lagi lain pula dipinjamnya, disuruh salin, ada empat lima orang jurutulisnya yang menyalin sahaja…”
Catatan-catatan Munsyi Abdullah tahun 1849 ini – apakah dan bagaimanakah ia boleh berguna kepada perkembangan tamadun dan budaya bangsa kita hari ini?
Catatan kecil ini bukan berhasrat untuk mengatakan yang ‘kebodohon’ itu adalah penyakit atau tabiat keturunan dan juga mengatakan Inggeris telah menipu atau memperdayakan kita.
Kepada saya, saya cenderung untuk berpandangan yang semua itu adalah alasan-alasan ‘penyedap-hati’ untuk tidak mengakui kelalaian dan kekurangan ‘iman’ pada diri sendiri.
Kenapa kita tidak mahu mempertingkatkan kebolehan dan kecerdasan diri? Kenapa kita cenderung meremehkan ajaran atau anjuran ulama?
– TENGKU SABRI IBRAHIM merupakan seorang pelukis dan penulis. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis. Ia tidak mencerminkan pandangan dan pendirian sidang redaksi Senimalaya.

