KAMI dengan ini mendakwa sebagai rakyat Malaya yang pertama menggunakan jalan darat menuju ke Aceh dan balik semula ke tanahair, dan kerana itu tidak keterlaluan bila kami katakan bahawa kami ini sebenarnya layak untuk diberikan gelaran Dato.
Bukan itu saja, kami juga merasakan yang kami sebenarnya layak untuk diberikan pelbagai kelebihan dek kerana berjaya melakukan sesuatu yang dianggap luar biasa itu. Kelebihan yang kami maksudkan adalah wang ringgit (yang banyak) dan juga segala macam keistimewaan yang datang kepada mereka yang telah mengharumkan nama negara.
Kami juga sedia untuk menerima pencen bulanan sepanjang hayat dan juga rawatan kelas pertama di mana-mana hospital swasta pilihan kami.
Nampak seperti keterlaluan namun bila kamu tahu apa yang kami lalui, kamu akan segera menjadi setuju kepada permintaan itu.
Ya lah, untuk dipilih sebagai Seniman Negara, tak nampak jalan. Mahu menunggu digelar sebagai Sasterawan Negara, takut dimarah dek Mohd Khair Ngadiron. Tak ikhlas bersastera katanya nanti.
Maka kerana itu, kejayaan kami merempuh perjalanan sembilan jam menaiki feri dari Port Dickson menuju Tanjung Balai, kemudian empat jam menaiki kereta sewa menuju Medan dan selanjutnya merempuh pekat malam selama dua belas jam dengan van awam menuju Banda Aceh itu selayaknya diangkat sebagai satu pencapaian yang luar biasa.
Itu belum dikira perjalanan empat puluh lima minit dari rumah kami ke Port Dickson.
Untuk perjalanan pulang, kami menggunakan laluan, Banda Aceh ke Medan (12 jam), Medan ke Dumai (12 jam) dan Dumai ke Port Dickson (4 Jam)
Tambahan pula kami ini bukan sangat muda dan lagi sangat pemarah orangnya, sedangkan perjalanan yang penuh berliku itu memerlukan tenaga muda dan kesabaran yang tinggi. Lalu kami sangat berharap sesuatu mesti dilakukan bagi meraikan pencapaian tersebut.

Bercerita tentang Aceh, tidak seperti wilayah lain di Indonesia, kegiatan seni halus adalah sesuatu yang tidak begitu diangkat oleh penduduknya. Mereka ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan Yogyakarta, Bandung, Bali dan juga Jakarta.
Hal ini berlaku bukan kerana mereka kekurangan seniman malah mereka mempunyai kumpulan seniman yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan yang ada di wilayah lain. Seniman khat kontemporari terkenal iaitu Said Akram SSN yang telah mendunia itu kekal berkarya di Banda Aceh sehingga hari ini.
Said Akram juga adalah teman minum kopi arwah Sanusi Junid.
Namun tidak seperti wilayah lain, kegiatan seperti pameran dan apa saja pekerjaan yang berkaitan dengan seni halus boleh dikatakan langsung tidak ada. Banda Aceh sunyi dari apa juga kegiatan seni halus lalu kerana hal tersebut, karyawan seni yang giat bekerja di Jogja iaitu Ali Umar telah membuat saranan kepada teman rapatnya Restu Wardhana untuk memulakan satu macam kegiatan yang diharapkan dapat membuka ruang yang luas kepada para seniman.
Hasilnya terlaksanalah apa yang dipanggil sebagai Aceh International Collaborative Art Exhibition yang pertama.
Pameran ini menjemput seniman dari seluruh dunia dan mendapat sambutan yang baik. Seramai 20 orang seniman dari Indonesia, Brunei, Perancis, Jepun, Thailand, Nepal serta beberapa negara lagi. Seniman dari Filipina dan beberapa negara lain membatalkan penyertaan apabila penganjur menukar tarikh program. Tarikh yang dipilih kemudian itu adalah bersamaan dengan sambutan hari Krismas.
Rombongan dari Malaya diketuai oleh A.Zaki Hadri selaku ketua delegasi membawa bersamanya Rosli Zakaria merangkap kurator pameran, Irwan Idris, Faz Ramli, Aminah Abdul Rahman dan Nor Nazirah Amal.
Walau pun karya-karya yang dipamerankan agak sederhana, nanti di suatu masa dan kamu lihat Aceh sudah mula dikenali sebagai bandar seni halus yang hebat maka ketahuilah bahawa gerakan tersebut dimulakan oleh Ali Umar dan juga beberapa orang Malaya.
Banda Aceh yang menjadi lebih terkenal setelah dibadai tsunami pada tahun 2004 dan setelah dua puluh tahun kesannya masih dirasakan oleh penduduknya.
Mereka tidak henti-henti menceritakan hal tersebut kepada semua orang yang sudi mendengar dan seperti biasa setelah diulang-ulang, kita yang mendengarnya pun menjadi lali.
Secara peribadi, kami sedikit terkilan apabila kemusnahan yang berlaku lama dulu kini menjadi satu produk pelancongan.

Semua orang seperti mahu mencari untung hasil dari kejadian tersebut. Sama seperti kamu yang sibuk menjual kasihan di media sosial hanya kerana lapar kepada perhatian.
Kamu juga tidak akan tahu apa maknanya kedai kopi jika belum berkunjung ke Aceh. Terdapat ratusan warung-warung kopi di bandar tersebut dan bila kami sebut warung, ia bukan seperti apa yang kamu gambarkan.
Warung-warung kopi di Aceh boleh menempatkan hampir 500 orang dalam satu masa dan hampir setiap malam semua warung-warung tersebut dipenuhi dengan pelanggan.
Kami bertanya kepada penduduk tempatan dan mereka mengatakan bahawa warung kopi adalah tempat dimana semua perjanjian perniagaan, perbincangan dan juga perancangan dilakukan. Mereka akan duduk melepak sambil melakukan kerja-kerja harian di warung-warung kopi dan yang paling penting, mereka bebas merokok di warung-warung tersebut.
Warung kopi adalah penjana ekonomi utama Banda Aceh.
Disebabkan hal demikian, sewaktu masuk ke mana-mana warung kopi, kami akan segera mencari meja yang berhampiran dengan tetamu yang membawa keluarga. Tentu saja tetamu yang mempunyai anak kecil atau wanita mengandung adalah keutamaan.
Kamu harus faham bahawa tujuan kami adalah untuk memberi teladan kepada mereka bahawa undang-undang melarang merokok dikhalayak ramai adalah undang-undang yang jahat dan mengganggu kesejahteraan ekonomi sesebuah negara.
Kami juga cuba mencari kafe-kafe hipster bagi melihat gaya seni binanya. Namun begitu kami dapati mereka masih agak ketinggalan jika dibandingkan dengan apa yang ada di Kuantan misalnya.

Keislaman Banda Aceh terserlah setiap kali datang waktu maghrib. Semua perniagaan akan ditutup dan dibuka kembali setelah lebih satu jam. Pelanggan akan diminta untuk melangsaikan bil tetapi masih dibenarkan untuk duduk di meja. Dan selain itu terdapat beberapa pengumuman di sesetengah tempat tentang peri pentingnya mengerjakan sembahyang (maghrib).
Selain dari waktu tersebut, kehidupan berjalan seperti biasa.
Jika kamu pernah melalui jalan-jalan dari pekan Sepang menuju Jenderam Hulu kemudian masuk ke jalan lama Bangi dan selanjutnya ke Kampung Dato Abu Bakar Baginda dan berakhir di Sungai Merab maka kamu akan tahu jalan dari Tanjung Balai menuju ke Banda Aceh.
Sepanjang jalan kamu akan melihat kampung-kampung kecil dan sekali sekala kamu akan bertemu dengan pekan-pekan yang sederhana. Seluruh 610 kilometer tersebut tidak pernah sunyi dengan manusia. Ia bukanlah satu perjalanan yang menjemukan.
Semua kenderaan yang kami naiki kecuali feri memulakan perjalanan mereka ketika hampir senja. Tidak ada sebarang pengangkutan awam menuju Aceh pada waktu pagi. Ini dapat kami fahami bila mereka mengatakan bahawa pada waktu malam, kenderaan di jalan raya adalah sedikit kurang dari pada waktu siang.
Tetapi ini tidak menghalang kamu dari mengalami serangan jantung kecil semasa menjadi penumpang.
Jalan raya satu lorong itu dikongsi dengan segala macam kenderaan. Secara kasarnya mereka tidak memandu laju namun 80-100kmj di jalan begitu sempit dan ditambah pula cara pemanduan yang sedikit kurang berhemah itu membuatkan kamu menyesal kerana tidak melakukan sembahyang sunat taubat untuk hari tersebut.
Mereka yakni para pemandu kereta dan van yang membawa penumpang saling berlumba. Bukan untuk segera sampai tetapi hanya kerana mahu berbangga siapa diantara mereka yang lebih cekap.
Setelah membaca apa-apa ayat yang kami ingat, setelah beristighfar entah berapa ribu kali, kami pun pasrah dan menyerahkan nasib pada Tuhan. Apa lagi yang boleh kami lakukan.
Lebuhraya bertol masih belum siap sepenuhnya dan hanya semasa melalui lebuhraya kami merasa aman. Tambahan pula semua pemandu yang membawa kami membenarkan kami merokok di dalam kenderaan mereka.
Budak Hitam yang ikut bersama kami mengatakan bahawa setelah melihat keadaan sekeliling maka dia bersyukur dilahirkan di Malaya.
Kami enjoy seluruh pengalaman tersebut dan seperti kata orang-orang tua, kalau banyak ketawa, tunggulah, masa menangis akan tiba.
Segala macam kenangan yang indah yang kami bawa pulang hapus sebaik saja kami menjejak kaki ke pelabuhan.
Di sana kami dilayan sebagaimana layaknya kambing dan lembu. Namun kerana telah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak menjadikan apa-apa platform yang kami wakili sebagai milik peribadi, kami lupakan saja apa yang berlaku. Biarlah kedukaan itu kami tanggung sendiri.
– ABDULLAHJONES merupakan penulis dan pelukis yang menganggap menaiki feri juga merupakan perjalanan darat.


Amat letih jika dirumus dari penulisan ini.. tahniah pada semua yg terlibat!!!