
“Saya fikir masalah itu ialah yang punyai terlalu sarat informasi, pengetahuan yang berlebihan,” kata Manny Farber.
Kata-kata Manny yang juga pempengaruh underground culture, pelukis, pengkritik filem dan penulis dari Amerika Syarikat itu memberi gambaran terhadap seseorang yang “iconoclastic”.
Ungkapan Eliot, “anda harus mengkaji sastera sebagai sastera dan tidak ada yang lain”, adalah idea asas “new criticism” yang sering digambarkan sebagai elit dan sayap kanan. Konsep ini menerangkan keluasan seni.
Dalam seni, sesiapa sahaja berupaya memberi komen terhadap teks jika memberi perhatian yang serius. Melihat kepada objek seni dengan akrab kesedaran dalaman bekerja secara menakjubkan. Demikian dari kesedaran tersebut keyakinan terhadap keluasan seni itu dijelmai.
New Critic adalah tradisi ilmu pada asalnya ditelusuri di universiti awam. Ia telah mencipta “type criticism” yang memperdaya pembacaan visual sejak kanak-kanak.
Maka acapkali kritikan filem terikat di antara dua persoalan yang ekstrem ini, iaitu; perspektif sejarah yang khusus dan keterbukaannya terhadap sesuatu ujikaji. Persoalan ini akan diteliti secara makro.
Selama ini perbahasan dalam kritikan filem, kurang diberikan perhatian. Jauh sekali menjadi budaya fikir dalam melihat persoalan sinema.
Harus diucap, kritikan filem memiliki spektrum yang dinamik dan luas. Di dalam dunia kritikan filem sendiri terdapat dua garis yang berbeza di antara para pengkritik filem. Mereka juga terpecah-pecah dalam klasifikasi seperti pengkritik akademik, pengkritik jurnalisme dan pengkritik festival.
Misalnya, pengkritik akademik. Mereka terarah kepada kecenderungan untuk memikirkan sesuatu secara teori, mengamalkan pandangan yang lebih terpisah dari sekadar mengkritik. Mereka lebih rumit berbanding pengkritik filem yang mengamalkan aliran kewartawanan–yang kebiasaannya kurang selesa dengan aspek akademik yang menekankan pendidikan secara formal dan berpandukan kompleksiti–di mana peranan akademiknya lebih disalurkan untuk mengesahkan, menetapkan dan menilaikan tingkat keasyikan atau ‘rasa’ sesebuah karya dalam kanun filem. Terdapat tanggapan bahawa pengkritik akademik adalah juga pengkritik festival seperti Jonathan Rosenbaum. Walaupun bukan sesuatu yang mutlak.
Kesamaran ini sebuah penjajaran kepada persoalan kritikan filem yang “essential” apabila terdapat label garis kanan dan garis kiri dalam kalangan pengkritik filem. Berlatar belakangkan kesusasteraan; walau pun dianggap garis kanan dalam kritikan filem, kehadiran sosok Andrew Sarris, Robin Wood dan Jonathan Rosenbaum mewarnai pemahaman radikal terhadap aspek analisa dalam dunia kritikan mereka. Pokoknya tetap sikap yang “cool”; yang lahir mewarisi elegi Andre Bazin, legasi kritikan filem yang paling relevan di dunia.
Paling menarik apabila pengkritik filem bergelut dalam garis berbeza secara solidariti. Bukan dengan cop “poyo” dan “cool” seperti tafsiran kanan dan kiri yang lazim dalam politik. Sesiapa sahaja akan mengangkat Manny Farber sebagai rujukan paling terkenal walaupun dilabel sebagai “orang kiri” dalam dunia kritikan filem.
Garis kiri kritikan filem berkembang sejak tahun-tahun 1970an, zaman kemuncak French high theory paling berjaya. Dengan gaya penulisan yang gelap dan ekspresionis, perbincangan berkenaan dengan realiti kehidupan dan menjadi cabaran kepada Hollywood. Secara visual, idea-idea kiri dalam kritikan filem mendasari imej dalam karya filem “counter-cinema” Godard dengan gagasan-gagasan “political avant-garde”, sebagai pemangkin yang mendorong kemunculan semangat zaman (zeitgeist).
Terdapat sebuah teori kritikan yang popular terhadap mengangkat idea kiri yang dinamakan “Screen Theory”. Dalam sebuah gerakan “cultural studies” sebagai reaksi kepada teori ini, perhatian kritikan berakar kepada penontonan dan penerimaannya.
Bukan aspek kualiti formal sesebuah filem dalam aspek pembuatan dan pengeluaran filem. Dinamika melangkaui tumpuanyan kepada seketat-ketat analisa, sebaliknya seperti sains dan antropologi, tumpuan kritikan filem garis kiri lebih terhadap kebenaran manusia dan nahu kemanusiaannya.
Ia sebuah perlawanan melanggar hal-hal yang “establish” di dalam aspek kritikan filem yang lebih formal. Sekali gus menyarankan bahawa garis kiri merupakan idea kritikan filem yang membumi dan kritikal terhadap penilaian filem berasaskan kelas.
Dalam hal ini garis kiri kritikan filem menolak “essentialist”. Orang kiri dalam kritikan filem lebih cenderung melayan filem secara nikmat yang menekan kepada kesedaran budaya. Kritikan filemnya menyentuh aspek- aspek khusus perihal puisi lirikal dan aspek budaya yang terkandung dalam teks-teks kanon.
Kita barangkali suka pada satu-satu kritikan yang orang lain menyampah. Seperti dalam kes Wellman vs Huston, Manny Farber menulis kritikannya secara beremosi yang kurang dipersetujui termasuk mengundang kecaman.
Dalam tahun-tahun 1950an dan 1960an, Farber sosok seorang “auteur”. Berbanding pengkritik filem garis kanan yang berlatarkan sastera moden, kajian budaya dan sumber rujukan Farber lahir dari kegemarannya bergelumang dengan dunia seni di New York. Dekad kemudian, Farber lebih dipengaruhi dengan idea “structuralist” dan “political avant-garde”, pada akhirnya, beliau kurang lebih berhenti menulis tentang filem.
Dalam penulisannya, Farber mengenepikan aspek penilaian kerana dalam menganalisa “form”, sering kali terjadi berlebihan. Pun, atas kepekaannya terhadap sesuatu nilai yang mesti dipertahankan, Farber tidak akan bertolak ansur atas nama kebenaran; yang sebetulnya berpijak pada kedudukannya sebagai pengkritik mapan.
Sebagai contoh di luar dunia filem, ada yang mengutuk politik T.S. Eliot yang banyak mempengaruhi penilaian atau analisanya terhadap sastera, namun dalam menghadapi seberapa banyak kecaman sekalipun, beliau tetap seorang pengkritik yang paling menarik yang pernah wujud dalam sejarah.
Mansor Puteh vs P. Ramlee: di mana polemiknya?
Lazimnya kematian begitu. Ruangnya sepi. Meski dibayangi ambien sebuah pusat beli belah, lokasi galeri RA Arts Haven diasaskan Pak Engku menjadi peribadi. Seniman Santai sebuah acara percakapan seni di bawah siri “Mengenang Mansor Puteh” menampilkan penceritaan dari kisah-kisah peribadi sahabat-sahabat yang dianggap dekat dengan arwah.

Acara hari itu dihiasi sebersit kesunyian. Keberadaannya dirasai selepas dia pergi. Ia pada hari saya rasa lebih mengenali Mansor Puteh berbanding pada masa lalu.
Akhir tahun 1979, pada waktu itu tidak ramai lagi pelajar Malaysia di kota New York. Yang disedari beberapa orang senior. Pada awal tahun 1980-an Wan Manan bertemu Mansor Puteh. Allahyarham Mansor berpendidikan seni halus dan pengarahan filem. Pernah belajar dengan Andrew Sarris dan Milos Forman, sebagai antara pensyarah beliau di Universiti Columbia.
Ketika itu di New York, bukan hanya Mansor mula kritikal terhadap filem. Malah pelajar-pelajar Melayu dan Malaysia yang mula bertapak di Amerika, dari Queens di New York ke Manhattan dan Chicago, walaupun mengikuti bidang pendidikan yang lain, mereka turut membaca The Village Voice; sebuah akhbar berstatus “cult” yang menempatkan pojok buat Andrew Sarris menulis kritikan filem.
Penceritaannya mengusik kembali kisah di Columbia University, sewaktu Mansor terpukau mengikuti kelas-kelas filemnya di Amerika. Ketika itu Mansor sudah mula berjinak menulis kritikan filem dan mencipta eksperimen seni. Sangat manis cara Wan Manan, seorang profesor dalam bidang nutrisi dan kesihatan awam, bercerita ketika beliau dan sahabat yang lain terlibat membuat muzik eksperimental yang dicipta Mansor dengan menggunakan peralatan dapur. Dikisahkan bagaimana sikap mereka ketika melayan Mansor, sehinggalah kepada pendapat Mansor yang kontroversi tentang P. Ramlee.
“Mansor waktu itu banyak mengkritik P. Ramlee. Rakan-rakan pelajar lain cukup marah sebab kritik P. Ramlee sehingga ia menjadi perkara biasa. Semuanya P. Ramlee tak betul sebab takda pendidikan formal” ujar Prof.
Kontradik dari sisinya sebagai pengkritik filem, sosok yang digambar Nasir Jani sebagai pejuang seni tulen, Mansor hidup dengan sikap yang tak pernah lelah dalam pelayarannya mencari dana filemkan naskahnya “Malaysian Snow”, berjuang sampai ke saatnya menutup usia.
Saya terusik, ingatan kepada P. Ramlee dalam “Kisah Hidup Seniman Agung”, memoir karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain bermain. Ia bagai muncul dalam seni layar. Sukar melupakan penceritaannya, saat P. Ramlee melepaskan tawaran mengembara ke Eropah dan Amerika. Sekaligus membuka jalannya mendapatkan pendidikan secara formal yang ditawarkan majikannya. Saat Shaw Brothers masih sebuah perusahaan filem terbesar sejak bermulanya era studio di Singapura. Ia garis masa suksesnya sebagai terajutama pasca Penarik Beca (1955) dan Semerah Padi (1956).
Rasa saya, kritikan filem Mansor Puteh meletakkan nilai pada kritikannya dilihat kekananan. Berbeza di jalur kiri, Sceen Theory meneroka pengalaman budaya dalam aspek kritikannya yang dicontohi dari pengkritik-pengkritik filem yang menulis di Screen, sebuah majalah filem kultus dalam dekad 1970an di Perancis ketika filem diangkat sebagai seni yang sangat politikal. Jalur kiri juga membincangkan peranan seniman dalam menghidupkan ruang, menciptakan seadanya sebagai sebuah narasi seni yang terdiri dari sisi terang dan gelapnya secara paralel.
Ketika sesi apresiasi terakhir yang dihadirinya tahun lalu sebagai terajutama, Mansor defensif pasca tayangan filem kultusnya, Seman (1986) yang berlangsung di Pawagam Mini P. Ramlee pada tahun lalu, filem itu disamakannya seperti karya catan. Namun yang lebih celaru apabila kedudukannya sebagai seorang “misc en scene” tampak kurang sejalan dengan kedudukannya di jalur kanan sebagai pengkritik filem. Merawat kerancuan ini, sewajarnya persoalan sinema tersebut diangkat ke tahap polemik “Mansor Puteh vs P. Ramlee” sebagai wacana aspek epistemologi dan kritikan filem.
Seniman kurang lebih seorang lliad yang mendedikasikan seluruh hidupnya terhadap perlawanan biarpun perang telah lama usai. Dan seperti Homer, setiap naratif menceritakan kisahnya sendiri dengan caranya sendiri. Maka abadinya ingatan dalam merdu pujian dan sanggahan yang sama, sampai tertusuk hati.
Hari yang membuat saya terasa seperti Mansor lebih difahami, malah terasa dikasihi berbanding ketika hidupnya. Adakah kematian akhir sebuah destinasi? Bagaimana saya tahu. Tetapi seperti dalam puisi Cavafy, yang hidup ialah perjalanan.
