KOMIK dan kartun sudah menjadi ‘senjata’ nan ampuh dalam gelintaran dunia politik, propaganda dan budaya. Pesan-pesan serta nilai yang dijelmakan secara naratif visual, mempunyai keunikan tersendiri, bahkan senang pula untuk dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Ditanggapi sebagai alat politik, komik dan kartun sering digunakan sebagai wadah kritikan mahupun dukungan oleh banyak pihak. Manifestasi komik dan kartun berupaya untuk ‘mewajahkan’ tokoh serta elit politik dengan cara yang menghibur, santai atau mampu menggambarkan situasi politik yang kompleks, berlandaskan representasi yang lebih sederhana. Contoh terkenal adalah komik dan kartun editorial yang sering kita temukan di dada- dada akhbar, yang mengekspresikan paduan di antara imej visual dan teks, sebagai reaksi terhadap sebarang kebijakan (polisi) pemerintah, sosok-sosok pemimpin atau isu-isu siasah yang mutakhir.
Sebagai alat propaganda, komik dan kartun telah digunakan oleh pemerintah dan kelompok politik untuk mempengaruhi pendapat dan suara massa. Ia dapat digunakan untuk membangkitkan sentimen-sentimen nasionalisme, menggambarkan musuh politik sebagai ancaman atau merayakan kejayaan-kejayaan pemerintah. Justeru, kartun dan komik, beriringan dengan risalah serta pesan-pesan propaganda secara bertulis, menjadi kaedah yang efektif untuk menyebarkan berita-berita tertentu kepada masyarakat.
Disamping bersinergi melalui ranah politik dan propaganda, komik dan kartun juga memainkan peranan signifikan dalam soal kebudayaan. Ia dapat membawa cerminan nilai-nilai, kepercayaan dan norma-norma dalam masyarakat. Misalnya, karakter kartun seperti ‘Mickey Mouse’ atau ‘Superman’ di dunia Barat, telah menjadi ikon budaya yang telah menginspirasi banyak orang di seluruh dunia. Jika di negara kita, kartun-kartun seumpama ‘Upin dan Ipin’, ‘Boboi Boi’ serta ‘Didi n Friends’, menjadi cetusan kepada ragam dan kebudayaan Malaysia, untuk mekar menyebarkan makna budaya, ke segenap ceruk di nusantara.
Seperti yang telah disinggung pada mukadimah, mengapa komik dan kartun dianggap sebagai senjata budaya, adalah disebabkan oleh kemampuannya untuk ‘mengalirkan’ pengaruh-pengaruh secara piktorial, dalam keupayaannya untuk memobilisasi massa, menyampaikan protes-protes politik, satira serta membawa nuansa jenaka.
Memetik pandangan Muliyadi Mahamood lewat penulisannya dalam buku ‘Dunia Kartun: Menyingkap Pelbagai Aspek Seni Kartun Dunia Dan Tempatan’ (2010), yang menjelaskan mengenai peranan kartun sebagai medium untuk mengubah persepsi stereotaip masyarakat, yang beranggapan bahawa kartun hanyalah bahan ketawa untuk kanak-kanak. Kartun editorial disifatkan oleh banyak penyelidik dan sarjana sebagai kartun politik.
Kenyataan yang diwajarkan oleh Muliyadi Mahamood ini, selaras juga dengan pandangan Sodei (2001), melalui artikel berjudul, ‘The Double Conversion of a Cartoonist: The Case of Kato Etsuro’. Karangan ini membahaskan peranan dan tugas kartunis sebagai sebuah entiti yang berupaya mempengaruhi tindakan serta cara berfikir seseorang pemerhati. Para kartunis diibaratkan Sodei seumpama ‘ilmuan visual’, yang boleh menterjemahkan perkara-perkara yang sensitif dan kritikal ke dalam bentuk visual yang bertenaga, agresif serta kontroversial.
Kartun politik dan propaganda biasanya dizahirkan secara serius, tidak seperti kartun humoristik yang agak rendah mesej serta pemaknaannya. Konsepsi ‘Kartun yang Benar’ seperti yang diistilahkan oleh Kato Etsuro (1899–1959) sebagai Shin No Manga (True Cartoon), merupakan usaha pencerahan oleh kartunis, bagi menyampaikan mesej dan maksud-maksud politik. Etsuro menentang keras kartun murahan yang beliau istilahkan sebagai ‘Nonsense Cartoons’. Beliau berpandangan bahawa tugas kartunis bukanlah hanya membuatkan penonton ketawa semata-mata, bahkan tidak seharusnya berlaku sedemikian. Pandangan ini sedikit sebanyak dapat dikaitkan dengan tradisi fahaman Confucius, yang hampir jua menyamai ‘akidah Shintoism’, yang menyifatkan bahawa orang yang banyak ketawa itu sebenarnya sedang merendahkan atau menjatuhkan maruah dirinya sendiri (Mayo, Rinner, et,.al, 2001).
Sebuah kartun yang dihasilkan oleh Kato Etsuro berjudul “Koko ni mo funsho” (terjemahan; Di sini, buku dibakar lagi!) 1933, melontarkan kritikan keras terhadap polisi pemerintahan Reich Ketiga Jerman, pimpinan Adolf Hitler yang mengarahkan pembakaran buku-buku yang berlawanan dengan ideologi fasis.
Dalam waktu yang sama di Jepun, Menteri Pendidikan, Hatoyama Ichiro telah menuduh seorang professor di Universiti Kyoto yang bernama Takigawa Yukitoki sebagai seorang Marxis, lalu beliau mengarahkan Takigawa untuk melepaskan jawatannya dan buku-buku beliau dilarang beredar. Peristiwa yang dikenali dengan nama ‘Takigawa Incident’ ini, lalunya dipotretkan oleh Kato Etsuro dalam majalah Tokyo Puck, mewajarkan kritikan serta kekecewaan terhadap kebebasan akademik beliau melalui ekspresi visual (kartun).
Akhir bicara, dapatlah dirumuskan jua bahawa komik dan kartun ternyata memiliki peranan signifikan dalam ikhtiar-ikhtiar bagi membentuk pandangan politik, mempengaruhi massa, memulai strategi propagandistik yang efektif dan juga entiti yang mampu memperkasa budaya. Keunikan serta kemampuan komik dan kartun, dapat menjadikan kedua-dua representasi visual ini sebagai ‘sanggar’ terkuat dalam merencanakan komunikasi dalam pelbagai konteks dan perspektif.
RUJUKAN
Alip Yog Kunandar (2017). Memahami Propaganda (Metode, Praktik dan Analisis). Yogyakarta: PT Kanisius.
Combs, James E. & Dan Nimmo (1994). Propaganda Baru: Kediktatoran Perundingan dalam Politik Masa Kini. Bandung: PT Remaja Rosdakarya.
Craig Yoe (2009). The Great Anti-War Cartoons. Seattle: Fantagraphic Books.
Dower, J.W. (1986). War Without Mercy: Race and Power in the Pacific War. New York: Pantheon Books.
Fredrick Stromberg (2010). Comic Art Propaganda. New York: Ilex Press Limited.
Gombrich, E. H. (1939). Art and Propaganda dalam majalah The Listener, 7 Disember 1939 (m/s 1118-1120).
Gombrich, E. H. (1962). Art and Illusion: A Study in the Psychology of Pictorial Representation. London: Phaidon Press.
Gombrich, E. H. (1963). The Cartoonist’s Armoury. In Mediations on a Hobby Horse and Other Essays on the Theory of Art. London: Phaidon Press.
Jowett, Garth S. & O’ Donnell, Victoria (2006). Propagandaand Persuasion, 4th Edition. California: Sage Publication.
Marlene J. Mayo, J. Thomas Rinner, et al (2001). War, Occupation and Creativity; Japan and East Asia, 1920-1960. Hawai’i: Hawai’i University Press.
Muliyadi Mahamood (2004). The History of Malay Editorial Cartoons (1930s-1993). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Muliyadi Mahamood (2010). Dunia Kartun: Menyingkap Pelbagai Aspek Seni Kartun Dunia Dan Tempatan.Kuala Lumpur: Creative Enterprise Sdn. Bhd.
