اِنَّا زَيَّنَّا السَّمَآءَ الدُّنۡيَا بِزِيۡنَةِ اۨلۡكَوَاكِبِۙ
Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit dunia (yang terdekat) dengan hiasan (berupa) bintang-bintang.” (QS As Saffat, 37:6)
Persoalan estetika merupakan salah satu cabang kefalsafahan yang telah berpaksi dan bergelanggang melalui pelbagai ekspresi perdebatan, dukungan, kritik-kritik bahkan apresiasi yang begitu sarat dengan tunjangan makna. Seyogianya, erti estetika telah bergerak, bertindak serta berinteraksi di dalam susur masa peredaran zaman.
Dari perspektif etimologi, ‘estetika’ boleh ditakrifkan daripada perkataan Yunani ‘aisthetikos’, yang dinisbahkan dengan ‘persepsi inderawi’, secara umum. Tafsiran terhadap makna ‘inderawi’ itu pula cukup luas, bersandarkan kepada rangsangan-rangsangan kepancainderaan manusia, seperti penglihatan, pendengaran sekaligus rasa jiwani atau deria rohani, buat mencerap segala apa yang ditanggapinya.
Justeru, dalam konteks Yunani-nya, pengistilahan ini lalu dibezakan dengan pemaknaan ‘noesis’, iaitu ‘persepsi konsepsual’ atau yang kita sebutkannya sebagai alam nalar (fikiran).
Keintiman estetika dengan seni, merupakan hal yang tidak dapat dinafikan. Namun, untuk membahas secara eksplisit dan komprehensif, mungkin ia tidak memadai dengan penulisan yang serba ringkas ini. Jadinya, bersesuaian sebagai risalah pengantar, berikut adalah ikhtisar perkembangan estetika daripada perspektif falsafah dan sejarahnya:
1. Era Yunani Kuno: Ahli falsafah seperti Plato dan Aristotle ‘membuat’ sumbangan besar kepada teori keindahan dan pengaruh seni sebagai teknik, rasionaliti dan dorongan kreatif.
2. Era Hellenistik (Romawi): Yang merupakan kesinambungan pemikiran Yunani dengan kecenderungan Helenis. Bergema gagasan-gagasan Cicero, Philodemos dan Horatius yang membahaskan penekanan kepada keindahan praktis serta penerapannya dalam seni tampak dan seni bina.
3. Estetika di Abad Pertengahan: Pemikiran estetika diwarnai oleh pandangan agama, di mana keindahan sering dihubungkan dengan unsur-unsur spiritual. Terjadinya evolusi Tradisi Klasik dan Estetika Timur. Abad Pertengahan Awal terisi dengan ‘bayang-bayang’ Ikonoklasme, Seni dan Mistisisme, serta Teologi Seni. Boethius dan Platonisme di Barat, dan Al- Farabi serta Ibn Sina di belahan Timur dengan patukan ‘keindahan kodrati’. Abad Pertengahan Akhir berhujung dengan usaha-usaha penterjemahan dan pewarisan falsafah Aristotlean. Ibn Haytham dengan ekspresi keindahan visual, diikuti oleh Ibn Rushd membicarakan alam, seni dan ‘mimesis’. Di sisi lain, Thomas Aquinas menganalisis keindahan sebagai suatu kategori transendental, manakala William Ockham berkesan dengan ciri-ciri reduktif keindahan melalui diktum ‘Pisau Cukur Ockham’ (Ockham Razor) yang masyhur itu.
4. Era Renaisans: Zaman yang ditandai oleh kebangkitan minat pada seni klasik Yunani dan Rom klasik, serta munculnya pandangan baru tentang keindahan serta kreativiti. Sebuah pemulihan yang cenderung menafikan ‘Seni Klasik’, yang memugarkan transformasi daripada Aristotelianisme kepada pendekatan sains moden. Leonardo da Vinci, Michaelangelo, Giotto dan Raphael menggemilangkan seniman sebagai ilmuan.
5. Awal Era Moden: Membentangkan rasionalisme Cartesian dan wacana keindahan. Alexander Gottlieb Baumgarten membahas estetika sebagai epistemologi dalam kefalsafahan seni. ‘Je ne sais quoi’ (aku tidak tahu) berbicara soal ketidaktahuan dan ikonoklasme. Juga, perbahasan Leibniz mengenai masalah selera.
6. Zaman Pencerahan: Ahli falsafah seperti Immanuel Kant memperkenalkan gagasan-gagasan tentang persepsi estetis dan rasa keindahan sebagai pengalaman universal. Kant mendirikan struktur logis terhadap empat penilaian selera melalui karya “The Critique of Judgement”. Kant turut mengutarakan persoalan sublime (indah, mulia, agung) yang memanfaatkan ciri-ciri etis berserta rasionalitinya. Sebelum Kant, beberapa filsuf seperti Earl of Shaftesbury, Francis Hutcheson, Jean-Pierre de Crousaz, Adam Smith, David Hume dan Edmund Burke juga membawa wacana berkisarkan persepsi estetik, piawaian selera, keindahan mutlak ketimbang relatif, serta rasionalisasi keindahan dalam perasaan.
7. Era Romantisisme: Fasa yang menekankan ekspresi peribadi, imaginasi dan perasaan dalam seni. Kembalinya segala hal yang bersifat kerohanian dan manusiawi. Jean-Jacques Rousseau menarafkan seni sebagai sesuatu yang bersifat peribadi. Friedrich Schiller mengembangkan pendidikan estetika sebagai wadah pembebasan. Friedrich Schelling menonjolkan estetika berbasis teologi, sebagai jalan menuju kemutlakan (absolute). Georg Friedrich Wilhem Hegel mewacanakan dialektika seni dalam syarah-syarah berkaitan estetika, sebagai manifestasi sejarah. Arthur Schopenhauer ‘mendaratkan’ seni, muzik dan representasi sebagai ungkapan terhadap kehendak-kehendak jiwa yang halus.
8. Estetika Abad ke-19 hingga Awal ke-20 (Pasca-Romantik): Berkembangnya berbagai teori, termasuk estetika formalisme, ekspresionisme dan kritik-kritik seni moden. Friedrich Nietzsche dengan seni kehidupan, Benedetto Croce menanggapi seni sebagai satu institusi dan R.G. Collingwood mensyaratkan seni halus sebagai sesuatu yang bersifat peribadi. Turut bergema, adalah Estetika Marxis yang memuarakan Materialisme Sejarah ke dalam estetika. Karl Marx membugarkan landasan estetika Marxis dengan laungan seni dan keterasingan (perbezaan yang ketara di antara ‘Seni untuk Seni’ dan ‘Seni untuk Rakyat’).
9. Pertengahan Abad ke-20: Bermunculan beragam aliran seni seperti seni abstrak, seni konsepsual, dan pasca-modenisme, yang mengubah pandangan terhadap keindahan serta seni. Jean Baudrillard melalui gagasan ‘simulakra dan simulasi’, membuahkan wacana trans-estetika, sebagai prakarsa estetika era pasca-moden.
10. Estetika Fenomenologi: Akar-akar hermeneutik (seni memahami). Edmund Husserl dengan penemuan fenomenologi. Martin Heidegger mempertahankan estetika ontologis dengan menyangkutkan ‘seni’ dengan persoalan ‘ada’ (being/dasein) dan memberi hujahan tentang isu-isu mengenai seni yang menyanggahi teknologi. Hans Georg Gadamer mencetuskan takrif ‘horizontal’, yakni tafsiran-tafsiran kreatif bagi mengungkapkan seni sebagai sebuah citraan karya dan kebenaran.
11. Estetika Abad ke-21: Estetika terus berkembang dengan perkembangan teknologi dan globalisasi, memicu pertanyaan baru tentang seni, keindahan dan nilai-nilai estetis. Revolusi digital serta kecerdasan buatan sebagai cabaran baharu, justeru melahirkan ekspresi pergeseran paradigma (unprecedented paradigm), dalam wacana estetika global. Perkembangan estetika terus berlanjut, dipengaruhi oleh perubahan sosial, budaya serta teknologi.
Kesimpulan
Susur masa perjalanan falsafah dan perkembangan sejarah estetika, yang berlangsung selama lebih daripada 2000 tahun, telah memposisikan keberagaman makna serta nilai dalam upaya manusia mencerap keindahan.
Secara dasar, estetika telah ‘menetaskan’ prinsip-prinsip bersangkutan dengan soal keindahan yang dipersepsikan oleh pancaindera sebagai premis utama. Wacana keestetikaan berbicara tentang segala perkara-perkara indah, baik yang ditata secara semulajadi mahupun yang tercipta oleh sinergi kreatif para seniman.
Estetika, yang bermula dengan ketakjuban terhadap keindahan alam dunia yang disebutkan sebagai ‘Falsafah Keindahan’, bergerak dengan lebih proposional serta berprestij apabila Alexander Gottlieb Baumgarten (1714-1762) ‘menafaskannya’ dengan citra ‘Falsafah Seni’.
RUJUKAN
Baumgarten, Alexander Gottlieb (2000). ‘Reflections on Poetry’, dalam Charles Harrison, et. Al., ed. Art in Theory, 1648-1815: An Anthology of Changing Ideas. Oxford: Blackwell.
Martin Suryajaya (2016). Sejarah Estetika: Era Klasik Sampai Kontemporer. Jakarta: Gang Kabel.
Zakaria Ali (1989). Seni dan Seniman; Esei Seni Halus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.

