“Aku rasa dia ni kencing manis. Kejap ke tandas, kejap ketandas,” kata Z.Lokman pengarah filem yang boleh kita semua angkat sebagai pengarah yang mempunyai kultunya yang tersendiri. Dia menujukan kata-kata tersebut kepada Kepuk. Puncanya ialah bila Kepuk kelihatan seperti tidak menumpukan perhatian kepada apa yang sedang dia cakapkan.
Kepuk memang begitu. Dia memang senang dibenci. Dia suka bertanya itu ini dan sejurus kamu memberi penerangan, dia akan menyibukan diri dengan membelek telefon bimbitnya yang tidak mempunyai kredit itu. Antara kelebihan yang ada pada Kepuk ialah dia suka mengambil tahu semua perkara dan tidak pandai menyimpan rahsia. Akan habis segala kebaikan kamu diceritakan kepada mereka yang baru mengenali kamu. Akibatnya kamu jadi riak tak tentu hala. Kepuk ini kami kenal dan menyesal sejak dari lama dulu. Kami membesar dan tua bersama. Dan kami juga berjanji untuk memandikan jenazahnya bila dia meninggal nanti.
Kami bertemu dengan Z.Lokman di sebuah restoran di bandar lama Nilai. Sebenarnya kami selalu ke Restoran Rahmaniya itu. Karinya agak kena dengan selera kami dan kedai tersebut juga sudah berusia lebih 50 tahun. Z. Lokman pula akan ke kedai tersebut dua kali sehari. Cuma kami tidak sampai hati untuk menegurnya.

Tetapi hari itu kami bersama Kepuk dan juga Abid dan seperti biasa, Kepuk yang mudah teruja dengan selebriti itu pun segera meminta nombor telefon pengarah tersebut. Kami membuat janji untuk minum di hari lain bersama dengan lagenda hidup itu.
“Muka dia ni macam A.Ali,” kata Z.Lokman kepada kami mengenai Kepuk. Kami pun setuju kerana kawan karib Kepuk pula iaitu Cikgu Lokman Lazim saling tak tumpah seperti Joey yakni penyanyi kumpulan rock Bumiputra Rockers. Sayugia kami cadangkan supaya Kepuk dan Cikgu Lokman Lazim menubuhkan sebuah kugiran dan mengambil Dimunoh sebagai penari latar. Dimunoh ini agak berhemah orangnya. Jika Dimunoh tidak berkawan dengan Kepuk dan Cikgu Lokman, rasanya dia akan cenderung kepada perkara-perkara yang lebih Islami. Tapi, itulah. Sepertimana kita tidak boleh memilih ibu bapa, kita juga memang ditakdirkan untuk bersahabat dengan siapa.
Z.Lokman menceritakan kepada kami bagaimana sewaktu di dalam tentera laut lagi dia sudah mula berkreatif. Bagi memenuhkan masa lapang dan juga untuk menambah pendapatan, dia telah mula menulis cerpen. Tulisan tersebut kemudiannya dihantar ke beberapa penerbitan dan dari sana dia menerima sekitar RM70 ke RM80. Ini tentu saja satu jumlah yang lumayan jika dibandingkan dengan gajinya sebagai tentera laut pada waktu itu. Menurut Z.Lokman gaji prebet tentera laut pada tahun 1963 ialah sekitar RM150.
Dari situ dia juga mula fokus pada persembahan pentas dan salah satu pementasannya telah memenangi pertandingan teater di Singapura.

“Aku belum habis cakap, dia dah menyampuk,” kata pengarah yang sedang meniti usia 80 tahun itu. Entah kerana otaknya cepat bersambung atau mungkin juga gelojoh mahu tahu, Kepuk akan selalu memotong cakap siapa saja. Dia menyampuk tanpa mahu tahu perlu, sesuai atau beradab kah terjahannya itu. Kami mengenali ibu bapa Kepuk dan mereka adalah insan-insan yang terlalu baik. Lalu kami pun membuat keputusan yang Kepuk ini anak yang tidak mahu menerima pelajaran yang baik dari orang tuanya.
Z. Lokman sedang bercerita mengenai proses bagaimana setelah berkhidmat selama 13 tahun dalam tentera laut, semasa cuti peralihan dia telah memilih RTM sebagai tempat latihan. Selesai tugas itu, dia kemudiannya diberi kepercayaan untuk membuat sebuah dokumentari untuk Lembaga Tabung Haji. Waktu ini menurut Z. Lokman, stesen televisyen masih belum menayangkan program berkaitan ibadat haji. Maka Lembaga Tabung Haji menerbitkan sendiri siri perjalanan haji untuk tayangan. dokumentari tersebut dibawa ke seluruh negara dan disebarkan.
Setelah itu, dia kemudiannya terlibat mengarahkan beberapa filem untuk tayangan di seluruh gugusan Felda tanahair. Filem-filem tersebut mendapat sambutan hangat dan dia kemudiannya mendapat peluang untuk mengarahkan filem untuk tayangan panggung. Menurut Z. Lokman, filem pertamanya adalah filem Raja laut. Filem tersebut ditayangkan pada tahun 1982.

“Muka dia ni takde seri. tak macam kau berdua’,” kata Z.Lokman. Wajah yang penuh sinar keimanan itu dia maksudkan kami dan Abid. Dan yang penuh zulmat itu dia maksudkan si Kepuk.
Sebagai seorang yang telah berusia, kami dapati Z.Lokman adalah seorang yang masih aktif. Masih gagah dan yang paling kami kagum ialah daya ingatannya. Dia kelihatan seperti seorang yang berusia sekitar 60 tahun dengan ingatan mereka yang berusia 30 tahun. Dia dapat mengingat semua filem yang diarahkannya berserta dengan cerita-cerita dibelakang tabirnya. Dia juga rupanya mengingati semua pelakon yang terlibat dalam filemnya sambil memberitahu kami siapa pelaburnya.
Semasa berbual, kami dapati nasib pengarah dan juga pelakon filem ada sedikit persamaan dengan pelukis. Mereka juga tidak mendapat apa-apa royalti walaupun filem-filem mereka dijual berkali-kali.
Sebagai makluman, filem-filem yang tidak laku di panggung akan dijual berkali-kali ke stesen televisyen seluruh dunia dan pengeluar modal akan tetap mendapat untung walaupun filem keluaran mereka mendapat kutipan sebanyak RM1,500 seperti filem Awang Gerudi misalnya. Dan juga pengeluar filem sangat suka menayangkan filem mereka di panggung walaupun untuk hanya satu hari. Ini kerana ia dijual sebagai filem dan bukan telefilem kepada stesen televisyen kerana harganya akan lebih mahal. Filem juga tidak akan mati kerana ia boleh dijual berkali-kali selagi ada bulan dan matahari.
Kamu mungkin mentertawakan Awang Gerudi namun yang ketawa berpanjangan hingga ke bank ialah pelaburnya.
Kami bertanya apa amalannya sehingga ingatannya begitu kuat. “Tak ada apa, aku hari-hari selawat, istighfar seratus kali . haaaaaaa! Bapak aku ada ajar satu zikir yang aku amal. Zikir yang pairing nama-nama Allah. Ni zikir yang dibaca oleh malaikat yang pikul arsy Allah. Itulah gamak,” katanya berteori. Dia ada memberitahu kami nama kitab tersebut tetapi kami lupa judulnya.
“Dia tak hisap rokok? Patutla macam kedi..,” kata Z. Lokman bila mengetahui Kepuk tidak merokok. Kami membela Kepuk dengan mengatakan yang dia mengasihi serta menghormati isterinya dengan sepenuh hati. “elehhhhhh…,” kata Z. Lokman dengan mual sambil menggulung sebatang rokok.
Z.Lokman adalah seorang yang reda. Dia tidak senang tetapi langsung dan tidak juga susah. Hidupnya dilalui seadanya. Pun begitu walaupun mempunyai 23 orang anak dan sudah mengarah 32 buah filem tempatan, 4 buah filem Filipina dan masing-masing satu di Indonesia dan juga Thailand, dia masih bersemangat untuk berkarya.
“Rumah aku tujuh langkah dari masjid. Aku dapat sembahyang jemaah lima kali sehari. Kalau masjid besarkan kawasannya, dengan rumah aku sekali masuk dalam masjid. Nak apa lagi hahahaaha!” katanya ketawa besar.
Untuk mengisi masa sementara menunggu tawaran mengarah dan juga berlakon Z.Lokman menyediakan perkhidmatan berbekam sementara isterinya pula adalah seorang tukang urut yang bertauliah.

Kami menghormati dia atas pegangannya dan senang melihat dia menjalani hidup dengan gembira. Mungkin FINAS boleh menjeling ke arah dia melalui projek supertele untuk pelakon dan krew veteran yang sedang dirancang itu.
“Eh! Engkau kenal Amir Muhammad? Dia buat filem. Engkau cakap kat dia aku ada gambar hantu. RM200 000 boleh siap!,” kata Z. Lokman kepada kami. Kami malas mahu mengaku kerana janji kami mahu menulis buku untuk Amir Muhammad pun kami mungkiri ini pula mahu berjanji dengan Z. Lokman.
Z.Lokman juga sedang menyiapkan sebuah memoir dan jika kamu ada podcast, sayugia kami mengesyorkan supaya kamu menjemput dia. Tidak kering gusi kamu dibuatnya bila mendengar cerita darinya. Dan dengan ‘menjemput’ kami maksudkan kamu perlu mengambilnya untuk ke studio kerana dia kini tidak lagi memandu kereta.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pengarah yang kini sedang belajar mengarah filem.
