KALI terakhir saya melawat Centre Pompidou, Muzium Seni Moden di Paris ialah pada
tahun 2007. Ketika itu ada pameran besar memperagakan karya-karya Herge, kartunis
penting Belgium yang terkenal dengan komiknya The Adventures of Tintin. Pada kunjungan kali ini, kebetulan juga muzium ini sedang mengadakan pameran komik secara besar-besaran, iaitu pameran “Comics 1964-2024,” “Revue Lagon: Le chemin de terre,” dan “Corto Maltese: Une vie Romanesque.”
Ketiga-tiga pameran ini bukan sahaja meletakkan komik dalam konteks galeri seni,
berbeza daripada sifat asalnya yang terbit dalam bentuk bercetak untuk edaran massa,
malahan diiringi dengan penerbitan buku ilmiah serta beberapa program diskusi. Hakikatnya, komik telah melalui pelbagai transformasi gaya, teknik, pendekatan, bentuk, makna dan kaedah penyampaian, daripada versi cetak kepada digital dan virtual, malahan bersifat interaktif, abstrak dan eksperimental, meninggalkan ciri-ciri tradisionalnya.

Di antara ketiga-tiga pameran tersebut, pameran Comics 1964-2024 yang berlangsung daripada 29 Mei hingga 4 November 2024 paling menarik perhatian saya kerana mempersembahkan perkembangan seni komik secara kronologi dan berasaskan tema. Pendekatan ini memungkinkan khalayak memahami sejarah komik, sumbangan dan peranannya dalam perkembangan sosiobudaya masyarakat dan tamadun manusia. Di samping itu, pengunjung juga berpeluang menghayati karya tulen seniman-seniman komik yang tersohor seperti Will Eisner, Art Spiegelman, Joe Sacco, Osamu Tezuka, Neal Adams, Chris Ware, Gilbert Shelton, Robert Crumb, Fujio Fujiko dan ramai lagi.
Dua belas tema yang diketengahkan ialah Budaya Saingan, Tawa, Ngeri, Mimpi, Semakin Hari Berlalu, Kisah Personal, Warna, Hitam dan Putih, Sejarah dan Memori, Fiksyen Masa Depan, Bandar, dan Geometri.
Dekad 1960-an yang menjadi permulaan batas masa pameran ini merupakan era yang penting bagi seni komik, ketika beralihnya peranan dan bentuk komik daripada yang berfokus kepada pembaca muda amnya kepada suatu bentuk medium ekspresi ‘budaya saingan’ (counterculture) yang penting. Seniman komik menjadikan seni itu sebagai medium komunikasi alternatif bagi meluahkan perasaan menentang arus budaya perdana, dengan menghasilkan karya-karya komik yang menyentuh tema dan subjek dewasa, seperti komik underground di Amerika Syarikat yang dihasilkan oleh Robert Crumb dan Gilbert Shelton. Komik jenis ini yang dilabel sebagai ‘comix’ asalnya dan berkaitan dengan pergerakan Hippie menentang Perang Vietnam, mempromosikan semangat kasih sayang dan membenihkan penerbitan komik moden seperti jurnalisme grafik, karya-karya autobiografi dan yang mempersoalkan tentang hal-hal masyarakat dan kemasyarakatan.
Di Eropah pula, seperti di Perancis, terbit majalah Hara Kiri dengan moto ‘bodoh dan jahat’ (stupid and nasty) oleh kartunis-kartunis seperti Fred dan Wolinski yang penuh dengan karya-karya serius dan absurd. Di Jepun pula, terbit majalah Garo yang menjadi asas kepada komik-komik bersifat introspektif dan menyentuh realiti kehidupan. Barbella yang diterbitkan oleh Losfeld di Perancis menampilkan watak wirawati dengan biasan erotik dan gaya seni pop, berbeza daripada watak-watak adiwira lelaki yang biasa dilihat dalam komik-komik popular sebelum ini.
Selaras pertaliannya dengan seni karikatur, komik tidak pernah terpisah daripada peranan asasnya untuk hiburan dan membuat orang tertawa. Dalam komik, khususnya kartun, jenaka disampaikan menerusi karya berformat satu panel dan juga berbentuk lerang (strip comics) serta bergantung pada aksi dan ekspresi watak-watak yang melucukan. Antara yang terkenal dan turut diperagakan ialah Peanut oleh Charles Schulz, Doraemon oleh Fujiko Fujio dan Calvin and Hobbes oleh Bill Watterson. Walaupun dalam sesetengah karya komik, jenaka bukanlah objektif utama, pendekatan ini kerap digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej ataupun makna.

Bertentangan dengan jenaka, alam mimpi dan rasa ngeri turut menjadi genre penting komik, seperti ditemui dalam komik-komik DC di Amerika Syarikat pada tahun 1950-an, meskipun akhirnya disekat oleh badan penapisan media. Awalnya, genre ini digarap menerusi pengolahan lukisan hitam putih yang kukuh, dengan kesan mainan cahaya dan bayang, atau tenebrisme yang kuat, seperti dalam karya Daniel Clowes, Charles Burns, dan Emil Ferris. Tema ini kemudiannya diangkat dalam karya karya novel grafik yang lebih eksklusif sifatnya.
Seperkara yang menarik mengenai pameran ‘Comics 1964-2024’ ini ialah bagaimana satu ruang galeri dihubungkan dengan ruang-ruang galeri lain menerusi tema-tema yang saling berkaitan. Ini diselang-selikan dengan peragaan interaktif dan tayangan animasi. Penerangan dan huraian setiap tema pada teks dinding galeri memudahkan penghayatan bahan-bahan peragaan. Dalam konteks ini, kaitan jelas dapat dihayati dalam tema-tema berikut: Kengerian, Alam Mimpi, Kisah Personal, Warna, Hitam dan Putih, serta Sejarah dan Memori.
Karya Art Spiegelman, Prisoner on the Hell Planet: A Case History dan Maus yang mengisahkan kekejaman Nazi semasa Peperangan Dunia Kedua dilihat begitu kukuh dalam menemukan kepelbagaian tema ini. Disampaikan menerusi pendekatan simbolisme dan analogi, karyanya itu terhasil menerusi temubual dengan bapanya yang mengalami perjalanan hidup penuh keperitan dalam mengharungi kekejaman Nazi di Poland. Karya Spiegelman ini memperlihatkan unsur jurnalisme komik yang juga dilihat terserlah dalam karya Joe Sacco, Palestine.
Karya mereka menunjukkan bagaimana komik menjadi suatu alat dokumentasi yang efektif dalam merakam sejarah dan peristiwa yang menyayat hati, meluahkan pengalaman kendiri dan menyampaikan mesej berguna untuk khalayak, khususnya bersangkutan dengan hal-hal kemanusiaan, peperangan dan keamanan sejagat. Dalam konteks ini, komik juga dilihat sebagai suatu bentuk kesusasteraan visual, merangkumi teks dan imejan serta menampilkan penceritaan yang berstruktur kemas, bermula dengan pengenalan, mencapai kemuncak dan pengakhiran. Jelasnya, seni komik itu bersifat hibrid: berkomunikasi secara visual dan verbal.

Di samping tema-tema ini, penampilan karya-karya bertema geometri menunjukkan bahawa pameran ini bukan sahaja berfokus kepada tema yang bersifat kemanusiaan, tetapi juga pada gaya dan teknik. Komik dilihat sebagai suatu bahasa.
Seni komik dan geometri tidak dapat dipisahkan, misalnya menerusi rupa bentuk panel yang mengasingkan satu adegan dengan adegan-adegan yang lain, menunjukkan kesan visual, suasana, emosi, peredaran masa, ruang, dan kronologi naratif. Jelasnya, sejak awal kelahirannya, geometri merupakan antara ciri-ciri terpenting sebuah komik. Eksplorasi komik sebagai bahasa dan medium komunikasi kendiri menjadi fokus utama dalam sebuah lagi pameran di muzium ini, ‘Le chemin de terre’, di mana karya-karya berskala besar menghiasi dinding galeri, bersifat konsepsual dan eksperimental.
Sewaktu berkongsi foto dan maklumat mengenai pameran ini di laman Instagram saya, seorang teman pengkritik komik memberi reaksi yang dia belum melawat pameran itu, tetapi ada teman temannya menyebut bahawa pameran tersebut terlalu banyak menumpukan kepada komik-komik di Eropah dan Amerika Syarikat sahaja, tidak pada komik-komik dari Timur atau benua Asia, seperti manhwa dari Korea Selatan ataupun manhua dari Tanah Besar China.
Apa yang pasti, sebagaimana dinyatakan oleh Kurator, pameran ini hanya memberi tumpuan kepada karya-karya komik Eropah, Amerika dan Manga sahaja. Sewajarnya kita perlu memikirkan dan mengatur strategi untuk melaksanakan sebuah pameran komik yang memfokus kepada komik-komik Asia, khususnya komik di Malaysia sendiri.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
