PERJALANAN menuju World Stage Design 2025 (WSD2025) bukan sekadar urusan menghadiri sebuah festival seni antarabangsa, tetapi satu kembara pemikiran dan pengalaman, mempertemukan saya dengan pelbagai dimensi ruang, budaya dan ideologi, dari kehijauan Kerala yang berakar pada semangat kolektif dan kesedaran sosial, hingga ke padang pasir Sharjah yang sedang membina semula naratif teater dan identiti dunia Arab moden. Kali terakhir saya menghadirinya ialah pada tahun 2017 di Taipei, ketika Asia dilihat sebagai “masih amatur” dalam wacana reka bentuk teater global. Kini, di tahun 2025, WSD berlangsung di Sharjah, kota yang memperlihatkan bagaimana dunia Arab meletakkan nama mereka dalam peta seni rekaan yang sebelum ini dimonopoli Eropah, Barat dan Asia Timur.
Dalam sejarah panjang perkembangan seni rekaan pentas dunia, tidak banyak acara yang menandingi World Stage Design (WSD) dari segi kepelbagaian dan intensiti wacananya. Dianjurkan oleh International Organisation of Scenographers, Theatre Architects and Technicians (OISTAT) setiap empat tahun sekali sebagai sub-acara Prague Quadrennial (PQ), WSD bukan sekadar pameran rekaan pentas dan pencahayaan (Scenofest), malah ia adalah pertembungan antara idea, profesionalisme, estetika, teknologi, dan kesedaran digital; ruang di mana seni persembahan menyoal kembali tubuh, waktu, ruang, dan makna kehadiran manusia di atas pentas dunia.
Perjalanan saya ke Sharjah bukanlah perjalanan yang terus dan lurus. Saya memilih laluan yang sedikit ‘menyusahkan diri’ tetapi berbaloi iaitu Kuala Lumpur-Thiruvananthapuram-Dubai-Sharjah. Satu bentuk transit yang sudah menjadi tabiat peribadi dengan mencari ruang di antara dua destinasi untuk berhenti sebentar, bernafas, memerhati, dan merenung.
Transit di Bumi Kerala
Thiruvananthapuram, ibu kota negeri Kerala, ialah kota yang berdiri di tepi Laut Arab. Sejujurnya, ia adalah nama tempat yang pertama kali saya dengar dan sebut. Negeri ini memiliki identiti yang unik iaitu berbahasa Malayalam, berakar dari tradisi Tamil, dan diwarnai oleh semangat sosialisme yang masih hidup hingga kini. Ia satu-satunya wilayah di India yang ditadbir oleh Parti Komunis India (Marxist) secara konsisten, satu keadaan politik yang unik dalam landskap demokrasi moden. Dalam dunia yang semakin dikawal oleh kapital dan agama, Kerala berdiri sebagai eksperimen sosial yang langka: sebuah negeri berfalsafah kiri dengan kadar celik huruf hampir 100%, dan dengan sejarah kesusasteraan, teater, serta filem yang progresif dan berpaksikan realisme sosial. Ia menjadikan seni dan sastera di sini berkembang bukan kerana kemewahan material, tetapi kerana kesedaran kelas dan nilai intelektual. Dari puisi Kumaran Asan hingga ke filem Adoor Gopalakrishnan (kebetulan Norman Yusoff menulis apresiasi tentang filem-filem beliau dalam kolum Sinemalaya baru-baru ini), kesenian di Kerala bernafas dalam semangat perjuangan dan kemanusiaan. Di sinilah saya menyedari bahawa terdapat estetika yang tidak pernah terpisah daripada politik.

Saya menginap di sebuah homestay kecil di pinggir Shangumugham Beach. Di waktu senja, Laut Arab terbentang dengan warna kuning keemasan yang perlahan-lahan memudar menjadi kelabu, sementara lelaki-lelaki berbaju lusuh bermain bola sepak di pasir dan wanita-wanita bersari pelbagai warna membeli belah di gerai-gerai kecil, dan anak-anak muda menari-nari mencuri perhatian gadis-gadis yang berjalan membawa bunga melur di rambut mereka. Dan esoknya, di pantai yang sama saya menyaksikan bagaimana para nelayan menarik pukat secara beramai-ramai, menjerit dalam bahasa Malayalam yang bergema seperti mantra purba. Di situ saya melihat teater kehidupan yang paling jujur: tubuh-tubuh yang bekerja, berpeluh, bertekak dan bergelut dengan nasib, satu pementasan spontan yang melampaui segala teori realisme mahupun naturalisme Emile Zola. Dalam dunia di mana estetika sering dijual, di sini realisme adalah darah dan garam kehidupan itu sendiri.
Pada malam 18 Oktober, saya sempat menonton pementasan teater berjudul Vamsham bersempena Samskara Sahithi Professional Drama Festival di Bharath Bhavan, Mannarankulangara walaupun masuk agak terlewat. Festival ini berlangsung dari 18 hingga 23 Oktober, menghimpunkan teater profesional seluruh Kerala. Vamsham, yang membawa maksud “keturunan” atau “darah warisan”, menelusuri konflik generasi dan nilai-nilai yang bertembung antara zaman lama dan moden. Vamsham, arahan Pramod Payyannur, sebuah karya realisme sosial yang menelusuri konflik generasi dan warisan patriarki dalam keluarga kelas pekerja. Walau dipentaskan dalam bahasa Malayalam tanpa sari kata, kejujuran lakonan dan aksi fizikal para pelakon membantu saya untuk berapresiasi.
Pagi 19 Oktober, saya ke Spencer Junction menaiki tuk-tuk, simpang sibuk di tengah kota di mana Indian Coffee House menjadi tumpuan lokal sejak era kolonial. Saya mencicip chai panas bersama capati dan dhal yang disediakan oleh pelayan berpakaian seragam putih, satu peragaan budaya kecil yang seolah menentang arus masa. Di sinilah, saya diberitahu, para penulis, wartawan, dan penggiat teater sering berkumpul dan berdialog, tidak jauh beza daripada kedai kopi Jalan TAR atau warung mamak di tepi Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur yang menampung mimpi dan keluhan seniman Malaysia.
Sebelum meninggalkan Thiruvananthapuram, saya berdepan situasi cemas di lapangan terbang apabila petugas syarikat penerbangan tempatan memberitahu bahawa saya “denied to enter UAE.” Saya kekal tenang, menjelaskan bahawa warga Malaysia tidak memerlukan visa untuk ke UAE. Hampir dua puluh minit saya menunggu sebelum mereka mengesahkan dan menyerahkan boarding pass. Namun drama kecil itu belum berakhir. Di kaunter imigresen, saya sekali lagi ‘dikerumuni’ kerana mereka hairan mengapa saya memilih untuk bermalam hanya satu malam di Kerala. Saya jawab dengan jujur: “Kerana saya sebenarnya transit dan mencari perjalanan alternatif yang memberi pengalaman. Melihat budaya lain.” Mereka akhirnya tersenyum dan berkata, “Come again, next time longer.” Kata-kata itu menjadi semacam penutup yang manis pada perjalanan singkat saya.
Di Sharjah: Antara Tanah Arab dan Reka Bentuk Kontemporari
Tiba di Sharjah, saya bertemu dengan dua rakan seperjuangan seni dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), UiTM iaitu Hamzah Tahir, seorang scenographer, dan Hafshizan Hashim, set designer, yang sudah lama berkolaborasi dengan saya dalam pelbagai produksi termasuk Gugurnya Kopiah Putih dan Persiapan Seorang Aktor. Mereka tidak bersama saya di Thiruvananthapuram; kami bertemu terus di Sharjah, dan di situlah peranan kami sebagai tenaga akademik, peneliti dan penggiat teater bermula.

Saya menginap di hotel berdekatan pusat bandar Sharjah, kira-kira 15 kilometer dari Sharjah Performing Arts Academy (SPAA) iaitu lokasi utama WSD2025. Ia jauh lebih praktikal dan menjimatkan berbanding tinggal di Dubai. Saya memandu sendiri buat pertama kali di UAE dengan pemanduan sebelah kiri dan melalui pengalaman gemuruh, menyusuri lebuhraya lebar, empat hingga enam lorong di bawah langit padang pasir.
Hari pertama (20 Oktober), saya mengikuti Symposium: Scenographic Heritage, Design Futures & Sustainability. Dalam sesi “From Concept to Creation: The Impact of Digital Communication on Theatre Design Processes” oleh Patrick Rizzotti dan Rachel Peake, mereka menegaskan bahawa komunikasi antara pengarah dan pereka pentas adalah teras utama dalam reka bentuk teater moden. Bukan soal perisian atau teknologi, tetapi bagaimana idea dan visi dapat dijelaskan dengan tepat, secara visual dan intuitif, agar imaginasi pengarah diterjemahkan menjadi ruang yang hidup.
Petangnya, dua persembahan antarabangsa membuka acara utama: Pain Killer oleh Fruzsina Nagy & Rita Gobi, dan Afro-Bhangra, gabungan ritma diaspora Afrika dan Asia Selatan dengan gerak tari Bhangra, rentak perkusi, dan muzik Reggae yang memecah sempadan budaya.
Hari berikutnya, saya meneliti puluhan pameran reka bentuk pentas, kostum dan bunyi dari seluruh dunia antaranya dari China, Barat, Eropah dan Amerika Latin yang menampilkan set digital interaktif, sistem bunyi imersif dan material lestari. Ia menunjukkan betapa cepatnya dunia reka bentuk teater berubah; di sinilah teknologi bukan musuh, tetapi bahasa baharu yang memperluas daya imaginasi pementasan.

Salah satu sesi menarik ialah “Interviewing, Writing, and Covering the People that Make Theatre” oleh Richard Bryant, yang membicarakan tentang etika dan empati dalam menulis tentang seniman, bagaimana wartawan seni perlu mendengar dengan sensitiviti, bukan hanya menulis mengikut rasa.
Menjelang petang, kami memandu ke Mleiha Archaeological Centre, kira-kira 30 kilometer dari SPAA, untuk menyaksikan persembahan site-specific berjudul Transcendents Renaissances oleh Calin Topa. Persembahan ini berlangsung di bawah langit padang pasir ruang yang terbuka, dengan cahaya dari intelligent lighting dan rekaan bunyi eksperimental. Dari segi idea, ia membincangkan peranan manusia dalam dunia yang digugat oleh kecerdasan buatan (AI).
Namun jujurnya, karya ini bukan sesuatu yang baharu dan segar. Malah, ia sesuatu yang boleh sahaja direalisasikan oleh penggiat teater Malaysia andai ruang dan dana mencukupi. Kami mungkin datang dengan ekspektasi terlalu tinggi, tetapi pengalaman menonton di tengah gurun memberi makna tersendiri, membuktikan bahawa lokasi boleh menjadi elemen utama dalam naratif persembahan, bukan sekadar latar.
Hari terakhir, kami menutup minggu WSD2025 dengan menyaksikan pementasan Hikayat Wanatentrem: Maharani Mancanagara, produksi dari Bandung, Indonesia yang menjadi antara persembahan Asia Tenggara yang agak menyerlah di festival itu membuktikan bahawa mereka punya suara dan estetika yang diberi perhatian luar biarpun masih tidak dapat lari dari bayangan ‘wayang kulit’ sebagai tradisi seni persembahan kebanggaan mereka.
24 Oktober 2025, ketika menunggu boarding di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dari jam sepuluh malam hingga tiga pagi, saya terfikir panjang tentang semua yang sempat saya lihat dan alami sepanjang WSD2025. Tentang bagaimana dunia kini melihat reka bentuk bukan sekadar fungsi teknikal, tetapi sebagai bahasa visual yang mentafsir makna kehadiran manusia di atas pentas. Di Malaysia, kita jarang benar berbicara tentang ruang. Ruang yang bernafas, berfikir, dan menghidupkan teks dengan naratifnya sendiri. Dalam wacana antarabangsa, sinografi kini dianggap sebagai falsafah persembahan, bukan hanya latar belakang. Ia membentuk cara kita memahami emosi, sejarah, dan masa hadapan dalam bentuk visual yang mempengaruhi penonton secara bawah sedar.
Saya percaya bahawa seni reka pentas di Malaysia punya potensi besar bukan sekadar dalam konteks estetika teater, tetapi juga sebagai medium diplomasi budaya dan promosi warisan. Ruang di mana motif-motif yang kita ada boleh diterjemahkan semula dalam bentuk visual kontemporari yang memikat dunia. Mungkin sudah tiba waktunya institusi seni, akademi dan pembuat dasar melihat rekaan pentas bukan sebagai pelengkap, tetapi sebagai landskap wacana kebangsaan satu bentuk penceritaan alternatif yang dapat memperkenalkan Malaysia bukan sekadar melalui tarian dan muzik, tetapi melalui imaginasi ruang dan cahaya yang berakar dari identiti kita sendiri.
Kerana akhirnya, di mana pun kita berdiri, sama ada di pentas kecil Kuala Lumpur, di tepi padang pasir Sharjah, atau di ruang senyap antara transit, seni reka pentas selalu mengingatkan bahawa setiap ruang ialah jiwa yang menunggu untuk diberi makna. Dan mungkin di situ letaknya harapan kita: untuk melatih mata bangsa ini agar tidak hanya melihat apa yang ada di atas pentas, tetapi memahami bagaimana dunia dapat dibina semula melalui ruang dan rekaan yang jujur, berani, dan berjiwa.
