“Dialog yang kita baca setiap hari tu, kalau bahasa Melayu mungkin kita cakap, ‘badi’, yang melekat pada kita. Atau dalam sains, mungkin dia masuk ke minda bawah sedar.
“Apa yang jadi pada saya dalam dunia teater — dia tidak jadi dalam dunia filem dan drama. Sebab filem dan drama, hari ni datang, kita balik habis. Esok kita datang dan hadapi dialog baharu.”
Aloy Paradoks seperti mahu membuka aib. Pada riak wajah dan intonasinya, ia sesuatu yang tidak pernah dicerita pada orang lain. Di hadapan wartawan-wartawan, entah apa yang merasuk, dia mahu membuka cerita.
“Kebiasaannya bila saya main sesuatu teater, dia ada kesan sampingan kepada diri walaupun saya tak nak. Sebab itu saya tidak begitu serius memikirkan watak, sebab tak mahu tenggelam dan larut hingga mencederakan diri sendiri.”
Kesan sampingan. Tenggelam. Larut. Cedera. Ini hal serius dan tidak boleh dibuat main.
“Saya pernah berlakon satu watak yang menderita sakit. Dengan izin Tuhan, atau dengan minda saya yang entah apa-apa ni, saya betul-betul sakit sampai menjelang hari pementasan. Memang sakit yang mengikut naskhah tu, bukan sakit yang mengada-ngada.
“Sama juga kenapa saya menolak tawaran teater Persiapan Seorang Aktor kedua yang dipentaskan di UniMAS (Sarawak). Sebab teater ini tentang pergelutan dan kesusahan hidup Sadiq Saufi dan isterinya, Nina.

“Kebetulan, dengan izin Tuhan, semasa pementasan pertama, saya sangat struggle dalam hidup. Dengan masalah kewangan, itu, ini, sebab watak Sadiq ini ada masalah ekonomi yang teruk.
“Saya fikir, ‘apa ni?’. Saya berlakon watak ni dan ini jadi pada saya. Jadi saya surrender, saya tak nak bawa watak ini untuk seketika.”
Hmm. Tahyul.
Pergelutan seorang aktor
Kalau itu alasan Aloy menolak memainkan watak Sadiq Saufi untuk pementasan Persiapan Seorang Aktor di Sarawak, saya terima.
Semakin berusia, wajahnya semakin polos. Dahinya berkilat, seakan memantul segelung halo di atas kepala. Pemakaiannya juga lebih kemas dan bergaya. Jadi, saya terima, malah percaya.
Yang lebih mustahak, Aloy akan kembali menjadi Sadiq. Dengan jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan upah skrip filem kelakar dibarisi bintang, mungkin badi watak itu tak lagi melekat nanti. Saya harap begitu.
Apa yang dicerita Aloy, walau berbaur tahyul, penting untuk difikirkan. Kerana ia berkait dengan naskhah Persiapan Seorang Aktor.
Pemenang anugerah Best of 2024 dan Best Original Script (Saat Omar) di BOH Cameronian Arts Awards ke-20 itu akan dipentaskan sekali lagi, kali ini dengan bajet dan pentas lebih besar, malah diiringi pemuzik serta dua pelakon tambahan.
Persiapan Seorang Aktor menjadikan pergelutan pelakon sebagai pokok cerita. Kesukaran Sadiq Saufi (lakonan Aloy) melakonkan watak Hamlet untuk satu pementasan, tentang teknik method yang mendatangkan masalah dan sokongan isteri terhadap kerjaya lakonannya yang tiada laba kewangan.
“Saya tahu suami ada kemampuan untuk melakukan sesuatu yang luar biasa, seorang pelakon yang hebat. Tetapi apabila dia dapat skrip Hamlet ni, tiba-tiba segalanya berubah.
“Dia jadi tak keruan, obses terhadap watak itu sehingga mengganggu kehidupannya sebagai manusia sendiri. Macam mana saya sebagai isteri nak tolak dia keluar dari obsesinya tu?” jelas Fazleena Hishamuddin yang membawakan watak Nina, isteri kepada Sadiq.
Namron yang hilang hafalan doa
Teater Persiapan Seorang Aktor kali ini dibawakan oleh produksi Mask Team dan akan dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performance Arts Centre (PJPAC) pada 17 hingga 20 Julai ini.
Pengarahnya masih sama, iaitu Dr. Syahrul Musa, cuma watak pengarah yang dibawakan Syahrul sebelum ini diganti dengan Namron, pelakon popular yang mengaku tak suka berlakon teater.
Mengapa sidang media di Sudu House 25 Jun lalu menjadi seperti sidang meluahkan perasaan dan aib-aib tersimpan?
Kata Namron, masalah yang dihadapi Sadiq dalam naskhah itu turut ada pada dirinya, cuma ia lebih kepada ketakutan berlakon atas pentas. Pernah dalam satu teater, dia terlupa doa yang dihafal kerana terbayang wajah U-Wei HajiSaari tertunduk kecewa melihat lakonannya.

“Tak tahulah. Orang kata bukan, itu orang lain. Tapi saya rasa macam itu, dia (U-Wei) tengok saya, lepas tu dia pegang kepala macam tu (kecewa). Hilang terus dialog saya,” kata Namron.
Sekali lagi, berbaur tahyul. Tapi Namron akhirnya setuju juga untuk menyertai produksi Persiapan Seorang Aktor. Malah – ini perlu ditulis supaya orang tahu keikhlasan hati seorang Namron dalam berkarya – dia terima tanpa bertanya bayaran. Pengarah beritahu, bayaran boleh dinaikkan tapi dia kata, “tak apa, itu bukan tujuannya”. Suci. Sufi.
Menjadi besar dalam ruang yang besar
Fasyali Fadzly suka pementasan Persiapan Seorang Aktor di Studio Sedar Ruang tahun lalu. Katanya dalam ulasan di Tunas Cipta, naskhah itu membesar dalam ruang yang kecil (sebab Studio Sedar Ruang memang sangat kecil, kedudukan penonton sangat dekat dengan pelakon).

Malah, mendengar cadangan untuk teater itu dipentaskan dalam ruang yang lebih besar, Fasyali kata, “biarlah ia membesar dalam ruang yang kecil daripada mengecil dalam ruang besar”.
Saya tanyakan soalan yang hampir sama ketika sidang media – dalam pentas yang lebih besar, bagaimana mahu mengekalkan keintiman yang disukai sebilangan penonton ketika pementasan di Sedar Ruang?
“Pelakon perlu besarkan lakonan dan lain-lain,” kata Syahrul. Sebagai pengarah, dia melihat peranan pelakon sebagai yang utama, selain bantuan aspek artistik seperti penggunaan pemuzik langsung, visual dan sebagainya.
Menurut Fazleena pula, ruang seperti Nero Event Space lebih menepati visi Syahrul sebagai pengarah. Walaupun dipuji, pementasan intim dalam ruang yang kecil sangat mencabar. Begitu juga jika ruangnya terlalu besar, seperti yang mereka hadapi di Sarawak.
“Kita sebagai pemain, perlu sesuaikan diri dengan ruang itu,” katanya.
Hal sama diutarakan Aloy yang melihat kepentingan pelakon menjadi dinamik dengan ruang pementasan. Dari segi vokal, olahan fizikal – semuanya perlu disesuaikan dengan saiz atau bentuk ruang pementasan.
Buang tepi hal-hal mistik dan tahyul yang diceritakan dalam sidang media tersebut, para pelakon teater Persiapan Seorang Aktor kelihatan bersedia dengan apa saja cabaran dalam pementasan kali ini. Kalau anda berminat untuk saksikan teater ini, maju terus ke pautan ini untuk membeli tiket. Keseluruhannya akan ada lima pementasan berlangsung dalam empat hari.
