“Kalau Tan Sri Johan Jaaffar kata teater tu best… kita pun kata teater tu best!” – Aziz Tobek.
BEGITULAH kita. Macam echo. Bergaung-gaung. Kalau di pusat karaoke, lebih bergema-gema adalah lebih bagus kerana dapat menyembunyikan suara yang tak sedap.
Tidak pernah kita ini menonton teater dengan penilaian sendiri (dengan berbekalkan sedikit ilmu atau sedikit pengetahuan tentang teater atau seni lakon) selain hadir sekadar untuk berhibur.
Saya lebih terdedah kepada happening berbanding teater (walaupun kedua-duanya adalah seni persembahan).
Alan Kaprow (1950-an) mentafsirkan happening sebagai event that combined elements of painting, poetry, music, dance, and theatre and staged them as a live action.
Oleh kerana itu saya jarang menonton teater. Sama ada teater tempatan, mahupun teater luar negara. Saya lebih taksub dengan happening. Happening membuatkan saya khayal berfikir dan bersoal jawab dengan diri sendiri. “Apa benda orang gila ni cuba nak kasitahu agaknya ya?” Dan ia berkait dengan pekerjaan saya sebagai koordinator visual dan sedikit sebanyak saya boleh faham (atau cuba nak faham) dengan pernyataan (statement) sesebuah happening. Pendek kata, it’s suits me!
Pun begitu, sekali-sekala saya menonton teater juga. Itu pun terpilih-pilih. Yang saya fikir – saya akan menyukainya. Dan ‘menyukainya’ di sini bermaksud – ‘ada benda’ yang saya nak tengok. Sama ada konsep persembahannyakah, pengarahannyakah, lakonannyakah, setnyakah, pencahayaannyakah, atau kepada sekecil-kecil perkara seperti ‘budak perempuan yang jual tiket itu cantik eh!’ atau ‘oh, pelakon itu memegang ayam terbalik… kepalanya ke belakang dan ekornya ke hadapan?’
Begitulah saya.
Jadi, pada setengah orang, saya mungkin tidak layak untuk mengulas tentang teater. Tapi, saya peduli apa!
Ada dua teater ‘orang muda’ yang saya tonton. Neo Romantik karya dan arahan Aloy Paradoks. Yang bukan dilakonkan oleh Aloy dan Fazleena Hishamuddin (2013), tetapi yang dilakonkan oleh Aloy dan Aisya Hasnaa (2014). Dan itu pun setelah Aloy cakap, “Kau tak pernah nak tengok teater aku, Jimi!” dan kerana mantan kekasih merengek nak pergi tengok teater Aloy sangat-sangat. [Menonton teater dengan bertemankan teman wanita tentulah lain perasaannya berbanding menonton teater dengan kawan-kawan lelaki sepejabat. Bukankah begitu?]
Dan yang satu lagi adalah skrip reading (baca naskhah) Mesyuarat Bihun karya dan arahan Fasyali Fadzly yang diperan oleh Anas Ridzuan, Aloy, Elly Azizi, Fadhli Masoot, Fazleena, dan Hannan Barakbah. Saya menyukai naskhah ini walaupun terdapat beberapa kesalahan kecil (dan Fasyali juga pernah mengakuinya). Isu yang diangkat oleh separa-teater ini adalah isu perkataan “Mihun ke bihun?” Brilliant! Isu bahasa Melayu yang diangkat secara comical ke pentas. Tidak lagi perlu membuat teater tentang perjuangan bahasa Melayu jenis yang berkhutbah panjang.
Saya percaya produksi Neo Romantik (Aloy dan Aisya) dan Mesyuarat Bihun adalah dengan pembiayaan sendiri. Sendiri buat. Sendiri bayar. Kawan-kawan datang menonton. Selepas menonton boleh lepak-lepak sambil minum kopi turas.
Begitu juga dengan teater Persiapan Seorang Aktor arahan Syahrul Musa (Dr), skrip oleh Saat Omar, artistik oleh Hamzah Tahir; dilakonkan oleh Aloy, Fazleena, dan Syahrul sendiri.
“Mengapa teater (yang baik) ini tidak mendapat penajaan?” Tanya beberapa orang kawan setelah usai menontonnya atau setelah membaca ulasan memuji-muji Tan Sri Johan Jaaffar tentang teater ini di Senimalaya. [Well, Johan ni orang teater. Takkanlah cakap dia tak valid, kan!? Jadi, kita kena percaya bahawasanya dia memang betul.]
Sebagai businessman, saya menggira-ngira untung rugi teater ini. Kalau sekeping tiket dijual dengan harga RM40 x 60 tempat duduk x 4 hari = RM9,600. Dan kalau dibahagi sama rata kepada enam orang = RM1,600 seorang. Untung tang mana kalau buat teater ni?
Itu belum lagi ditolak dengan kos penyediaan set dan kos pergi mari dari rumah masing-masing ke tempat latihan selama satu bulan dan macam-macam kos lain lagi.
Memohon penajaan atau sumbangan dari pelbagai pihak memerlukan: 1. Kertas kerja (berserta belajawan), 2. Laporan (pasca-persembahan). Kedua-dua perkara ini adalah sebuah pekerjaan sebenarnya. Dan perlu ada upah juga sepatutnya. Kerana penyediaannya memerlukan seseorang itu terfikir-fikir dan mengambil masa.
Dan adakalanya permohonan ini ditolak dengan pelbagai alasan. Saya tahulah! Sebab saya selalu juga memohon sumbangan daripada pihak berwajib atau pihak yang dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja seperti ini. Kadang, dapat. kadang, tak dapat. Jadi, sudah tentulah percakapan saya tentang hal penajaan dan sumbangan ini valid.
‘Talk less and work more. Talking too much will never make you happy.’
Saya fikir, Persiapan Seorang Aktor mengambil pendekatan ini kerana rasa cinta mereka kepada seni teater yang mendalam, lalu mereka mengambil keputusan untuk mengetepikan hal-hal yang merenyahkan itu.
Saat tulis skrip. Syahrul kata, “wow, dah best ni.” Dan pelawa Fazleena berlakon di bawah arahannya. Dan ‘minah loud speaker kami ni’ akan kata, “Kalau berlakon sekali dengan Aloy… I nak.” Mengenali Fazleena, dia adalah… ‘bila kita lepak di warung dan dah bangun nak balik dah – tiba-tiba dia sampai dan suruh kita duduk semula untuk dengar dia bercakap – kita akur! Sudah tentulah, dalam skrip saya ini, jika Fazleena yang mengajak Aloy untuk berlakon bersama-sama – Aloy, seperti kita juga, akan akur! [Saya tak tahu nak masukkan di mana peranan Hamzah dalam skrip saya ini. Mungkin dia follow sahaja tanpa banyak soal.]
Mereka ini orang teater. Kalau kena dengan regunya – mereka on sahaja.
Pasangan Aloy dan Fazleena bukanlah baharu dalam persembahan teater. Bolehlah dikatakan kedua-duanya adalah pasangan serasi. Saling memberi dan menerima di atas pentas. Cuma, sebahagian orang ‘buta’ akan kewujudan mereka. Tapi, untuk pengiat teater dan penonton-penonton teater generasi mereka – kedua-duanya well known. Mungkin setelah tersiarnya rencana tulisan Johan – akan ada lebih banyak orang yang akan menjadi ‘celik’ dan dengan tiba-tiba akan mengkagumi kedua-duanya.
“I tak sangka Aloy pandai berlakon. Dia menangis betul-betul, you!”
Come on!!! Kamu berhenti tengok drama pentas arahan cikgu sekolah tu boleh tak?
“Saya ni struggle actor…” sepatah kata Aloy, “Terima kasih kepada kawan-kawan yang datang menyokong.”
Saya tidak datang menonton Persiapan Seorang Aktor kerana jauh dan ‘takutkan hantu’ apabila harus memandu kereta di tengah-tengah malam sunyi seorang diri setelah usai menonton teater ini.
Tetapi, ada saya memberitahu kepada seorang kawan: kalau saya adalah Presiden persatuan bla bla – saya akan berkerjasama dengan produksi ini untuk mempersembahkan teater mereka di tempat kami (terletak di Kuala Lumpur dan mudahlah untuk saya pulang ke rumah seusai persembahan tanpa dikekah hantu) tanpa mengenakan bayaran serta akan memohonkan penajaan atau sumbangan dari pelbagai pihak sebanyak RM50,000 atau lebih. Sumbangan dana + hasil kutipan tiket = semuanya untuk produksi teater mereka! Persatuan tidak akan ambil satu sen pun!
Kemudian, saya akan bawa mereka pusing keliling Malaya. Dan seterusnya saya akan bawa mereka pusing keliling Borneo, Singapura, Indonesia, dan Brunei. [Part ni kita kena bincang kemudianlah.]
Kerana, pada pendapat saya, kerja meminta dana ini adalah kerja Penerbit (atau businessman seperti saya) dan bukannya kerja para karyawan. Biarlah mereka berkarya dengan seronok tanpa dibebankan dengan hal birokrasi.
– JIMI MAHMUD adalah kawan Aziz Tobek dan sangat meminati kumpulan nasyid Saujana.
