WHY don’t you just buy art from artists and display them appropriately instead of laying them on beds or hung them in bathrooms or on railings! Purchasing art from artists is the sensible way to help them and make art more appreciative, not spreading them all over your places! Well, I may no longer contemporary or trendy enough, but I still am able to think straight! Harhar…
Demikian hantaran di dinding peribadi FB saya pada 2hb. Julai 2024 setelah melihat paparan foto- foto dari CIMB Hotel Art Fair 2024 baru-baru ini. Kelmarin, saya terlihat pula sebuah video di pameran International Art Bridge 2024 di New Era University College, Kajang. Fenomena ini mencabar kewarasan saya dan terus merangsang saya membuat catatan dengan judul di atas. Maaflah, harap tidak menjadi hal kepada orang lain.
Aku tidak larat melawat pameran seni rupa lagi, apa lagi dengan keadaan diri yang hemiplagiak* begini, terhegeh-hegeh, kena ada orang tolak, orang jaga. Dan, ini pula bukan zamanku: tidak lagi layak memberikan pandangan, bahkan untuk merasai hawa seni sezaman pun tidak perlu lagi! Baik pergi mati sajalah Tengku Sabri tu! Orang tua kutuk! Busuk dengan sampah 1980-annya! 1990-annya! Malah sampah kakak-abang 1970-an dan 1960-annya pun dikendong sama! Busuklah! Ya! Baik pergi mati sajalah!
[Ed: Hemiplagiak: hemiplegia – keadaan lumpuh sebelah badan akibat serangan angin ahmar.]
Tapi, jangan kau tidak tahu, aku ini kaya-raya! Biar pun kau tidak nampak kereta-kereta mewahku! Biar pun kau tidak dapat hidu wangi-wangian tebalku! Biar pun kau tidak tahu rumahku ada lima orang pembantu rumah! Biar pun kau tidak dapat rasa lazat makanan dan minumanku! Kau pergilah tanya dalam bahasa Inggeris: apa itu wasiat kepada peguam terhebatmu! Tidak mahukah kau akan harta- hartaku ini? Ini harta akan terserahkan kesemuanya kepadamu bila aku mati kelak; ada wasiat atau tidak – peguam terhebatmu pasti boleh saja mengaturkannya. Biarlah kau kata aku kolot. Memang aku kolot pun – selalu saja terlupa password akaun itu ini di komputer! Biarlah kau kata aku busuk. Aku tidak terasa apa-apa kalau kau suruh aku pergi mati. Tak payah kau suruh pun – sampai masa aku pergi, aku pergilah! Sampai masa aku mati, aku matilah! Kemudian, terserah sajalah kepada kau -mahu kebumikan atau bakar mayat aku nanti! Astarghfirullah!
Tapi, yang nyata – tetap nyata!
Rupa-rupanya, rugi besar ditubuhkan pasukan kuratorial untuk mengurus sesebuah pameran seni. Rupa-rupanya, rugi besar ditubuh pasukan teknikal kuratorial untuk menggantung atau meletakkan sesebuah karya seni di sebuah pameran seni. Tiadalah berguna lagi alat tolok aras (level gauge), tali inci (measuring tape), paku dan lain-lain itu…tiadalah berguna lagi konsep ‘aras mata (eye-level)’!
Hentam sajalah! Selagi ada ruang boleh letak, boleh bubuh… kita letak, kita bubuh! Selagi ada ruang boleh sendeng, kita sendeng! Bukan ada apa-apa pun! Ia cuma sekeping lukisan, sekeping catan. Pameran ini kita yang anjurkan! Oh! Kita ada banyak lagi? Tak cukup? Boleh cari di studio seniman/artis yang sekepala dengan kita! Puji sikit, bagi sikit duit imbuhan, oklah tu. Janji event kita meletup! Janji, event kita up to date! Kita selit dengan mengatakan bahawa usaha kita ini usaha amal -sekian-sekian persen akan kita dermakan kepada tabung Palestin ke, Rohingya ke, apa ke…
Pedulikan si tua kutuk itu! Sikit hari mati – mampuslah tu!
- TENGKU SABRI IBRAHIM merupakan seorang pelukis dan penulis. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis. Ia tidak mencerminkan pandangan dan pendirian sidang redaksi Senimalaya.
