BANDAR RAYA Kuala Lumpur dianjak remaja. Wajah warung jalanan telah pudar. Warung-warung makan di celah Shell Jalan Tuanku Abdul Rahman, kedai-kedai jalanan di depan Safuan Plaza, tempat tumpuan itu telah dirobohkan. Kawasan itu kini telah dipagari. Kerja-kerja menaiktaraf sedang giat dijalankan. Lorong-lorong tikus ke Pasar Chow Kit yang dikenali sempit dan kusam, sebelum ini, kelihatan sedang berusaha dibaikpulih.
Buat masa ini, terutama bagi yang telah terbiasa, tiada lagi warung tepi jalan–dengan pandangan berbagai jenis kenderaan masuk dan orang lalu lalang ketika makan–yang pernah menjadi tempat obserbasi yang baik dan layan. Tidak senasib yang lain, kecuali warung nasi di depan bangunan baharu Kompleks Pasar Raja Bot yang masih kelihatan, pun telah dihimpit warisan sejarahnya yang tersisa. Legasi yang bakal padam, selepas waktu yang berganti kerana sebuah anjakan.
Demi perubahan, Chow Kit kelihatan kembali diperindah. Ironinya bukanlah Chow Kit yang menggoda, yang kita kenali dahulu. Bukan Chow Kit yang menggamit sudilah mampir, yang barangkali tidak akan seakrab panggilan itu lagi. Akhirnya, tiada satu pun yang kekal. Baik alam ini, yang kelihatan seperti tidak berubah. Merenungnya pagi itu, ia bercerita. Terlalu banyak cerita, yang akhirnya berpenghujung. “To be continued” (seperti di akhir sebuah filem), dunia akan diisi pula dengan cerita baharu. Ianya fitrah kehidupan, sebagaimana yang disaksikan pagi itu. Waktu orang mula berniaga, sambil berlumba dengan persaingan yang menghidupkan ekonomi kota. Sebuah ibu kota yang bangkit, sepertimana hidup kita, hari-hari yang menuju anjakan paradigmanya. Tatkala memasukinya, di situ masih pasar yang sama.
Anjakan lahir bersama dengan sikap. Ia diuji lagi. Pernyataan mendepani Boikot dan Blockout, tujuan persoalan ini dibangkitkan dengan metafora sebuah pasar yang masih kekal tradisi lampau, ketika berhadapan dengan perubahan wajah kota yang kosmopolitan. Sementelah dengan amatan alamnya yang baharu, pandangan terhadap dunia filem turut berubah. Pada setiap zaman, filem juga telah menyatakan sikapnya. Pasca Blockout, kita berhadapan pandangan dunia yang baharu dengan membuang dan menyekat mereka yang terkait dengan genosid. Seperti Boikot, Blockout sebuah kesedaran yang berbicara dengan masyarakatnya secara langsung. Sikap saya menyokong aksi ini, berpaksikan cetusan gerakan massa yang disuarakan secara tegas, sebagai respon terhadap sikap para artis dan figura selebriti (termasuk juga seniman) sendiri, yang tidak peka kepada isu kemanusiaan, sepertimana yang sedang berlaku di Palestin.
Sama seperti boikot, kempen ini kembali mengubah arah melihat, ketika kita sedang menoleh arus kebangkitan filem-filem alternatif, sepertimana yang berlaku di Timur. Perubahan wajah baharu sinema dunia. Terhadapnya, saya fikir apakah perubahan ini baharu? Bagaimanakah sikap kita? Ia amat berat jika tidak ditangani. Mendepaninya melibatkan figura-figura yang sebelum ini diangkat ke tahap seniman kultus dan rujukan. Tetapi, sepertinya saya ada membaca, ada yang mengingatkan seni tidak menghalalkan cara.
Sikap saya terhadap Blockout bukan sepenuhnya baharu. Saya menoleh ke tahun 2017, ketika membuat kajian berkenaan tema keterasingan dengan merujuk beberapa filem, yang ada di antara peluang itu dari menonton di saluran A bagi mengisi kesunyian di kampung. Tahun-tahun keterasingannya, saya bersama keluarga tinggal bersama emak di rumah pusaka di kampung. Saya fikir, ia kajian saya berkaitan psikologi. Di sini ada suara yang memprotes hal-hal yang dimarjinalkan. Filem yang dimaksudkan The Mohican Comes Home (2016, terajutama Shuici Okita). Persoalan personal yang dibangkikan adalah isu hiliran seperti muzik underground dan hubungan kekeluargaan dalam tema yang sederhana seperti “homecoming”. Ketika mencari arah baharu bercerita, saya fikir The Mohican Comes Home memberi saya inspirasi. Memorinya, ia tahun saya mencari arah baharu dalam perfileman juga; dengan persaingan yang semakin kacau, semak (tantangan masyarakat terhadap media baharu). Pada tahun itu ibukota Kuala Lumpur menjadi sempit, yang menjadikan para seniman ber”hiatus” di pekan-pekan orang pencen, seperti di Ipoh, bagi mencari jati diri yang semakin pudar. Tahun-tahun perjuangan bikin filem dihidupkan dengan tradisi filem pendek (yang dipopularkan singkatannya sebagai “filpen”). Maka sebuah kesinambungan dari alam pendidikan, secara tepatnya. Pendidikan sepanjang hayat, yang terus saja diperkukuhkan, seperti kisah dari warkah yang disebutkan; sebagai tumpuan dalam persoalan sinema ini.
Warkah-warkah itu dikirim lewat faksimili. Warkah yang diawali bertarikh 18 November 1997 adalah antara Jonathan dan Abbas, dengan harapan untuk bersapa dan bicara filem. Perkara yang menolak Jonathan Rosenbaum menulis warkah kepada Abbas kerana desakan berita-berita yang baru didengarinya, bahawa Abbas Kiarostami telah membuat keputusan untuk memotong (delete) sequance terakhirnya di dalam filem The Taste of Cherry (1997); sebagai judul yang disebut dalam tayangan di festival. Isunya apabila versi filem ini tanpa sequance epilog telah ditayangkan pada malam pembukaan di Itali. Rosenbaum mengaku, pada waktu beliau mendengar berita-berita itu, dialaminya rasa sakit, merasa kehilangan. Diungkapnya, ibarat ketika sesuatu yang dicintai, yang tiba-tiba ditarik jauh dari Jonathan. Dan Jonathan sedang cuba memujuk Abbas, tidak mengusik hatta satu “frame”, yang dianggapnya sebagai karya Kiarostami yang paling “masterpiece”. Hakikat ini diakui, Rosenbaum telah menonton The Taste of Cherry sebanyak dua kali semasa ia ditayangkan di Festival Filem Cannes pada Mei 1997, yang mengangkat nama Kiarostami. Karyanya menang Palme D’Or. Kemudian menonton kali ketiga di New York, Oktober berikut. Rosenbaum juga mengaku akan kebimbangannya jika Kiarostami memotong sequance yang sama ketika tayangan pembukaan The Taste of Cherry di United States (dalam waktu terdekat, sebagaimana dijadualkan), di mana tayangan yang dia sendiri akan hadiri dan kurasi.
Warkah Jonathan bertarikh 18 November itu berbunyi:
“Kehadapan Abbas (jika diizinkan)
Saya telah diasak untuk menulis warkah ini kepada anda kerana berita-berita yang menyusahkan yang saya dengar baru-baru ini, bahawa anda telah memutuskan untuk memotong sequance terakhir dalam The Taste of Cherry dari versi tayangan pembukaan filem ini di Itali. Pada saya ini bahaya, yang saya dengar juga, bahawa anda akan potong sequance yang sama semasa pembukaan filem ini di United States. Saya ada pengakuan, yang bila saya mendengar berita-berita ini, hati saya sakit, rasa kehilangan – seperti sesuatu yang saya cintai, yang tiba-tiba direntap keluar dari saya. Dan saya amat gembira untuk cuba-cuba memujuk anda, tidak menyentuh walau sebarang frame karya masterpeice anda.”
Di dalam warkahnya, merujuk kepentingan sequance “ending” yang dipertahankan, Jonathan berpendapat adalah disebabkan kelayakannya diangkat sebagai filem terbaik Kiarostami. Di kesempatan yang terhad itu (hanya sepucuk warkah yang dikirim lewat faks), bagaimanapun, Jonathan Roserbaum tidak dapat menitip penjelasannya yang terperinci. Betul, ia zaman faksimili. Tetapi apabila filem itu datang ke Chicago, dia akan datang dan akan menulis kritikannya. Warkah di antara pengkritik filem dan pembikin filem, kemudian dilanjutkan dengan pertemuan dan bual filem. Satu penghormatan kepada Mehrnaz Saeed-Vafa sebagai penterjemah. Dia berkhidmat sebagai penterjemah semasa tayangan filem Kiarostami ini di Cannes, dan sekali lagi di New York.
Pada hari The Taste of Cherry ditayangkan di Festival Filem New York pada 1997, The House Is Black (1962), sebuah filpen Forugh Farrokhzad turut ditayangkan. Forugh Farrokhzad dalam kerjayanya sebagai pembikin filem, dikaitkan dengan kebangkitan Iranian new wave; gelombang baharu perfileman Iran yang mencapai kemuncak pada dekad 1990-an. Sebalik seorang pembikin filem, Forugh Farrokhzad juga pemusi. “In Night’s Cold Streets“ barangkali, antara puisinya yang terkenal. Pengkritik filem, Jonathan Rosenbaum dan Mehrnaz Saeed-Vafa, pembikin filem yang sekali lagi berperanan sebagai penterjemah sesi pasca-tayangannya–yang Rosenbaum kenalinya sejak tayangan filem pertama Abbas Kiarostami, Report (1977) di Tehran–seterusnya ketika Mehrnaz berkhidmat lagi sebagai penterjemah di Filem Festival Toronto pada 1992; bersepakat mengadakan interview dengan Kiarostami, seperti yang diatur.
Guru yang bertapak di Chicago
Jonathan Rosenbaum bertemu Mehrnaz dalam satu atau dua lagi festival selepas itu, dan perbualan lebih mendalam dapat mereka lanjutkan pada tahun 1997 di New York, seperti yang diketahui. Mehrnaz bukan hanya pembikin filem, sebaliknya seorang penulis ini juga adalah Guru yang bertapak di Chicago. Jonathan Rosenbaum dan Mehrnaz telah bekerjasama menulis topik berkenaaan Abbas Kiarostami, di mana Rosenbaum (ketika itu) sedang mengerjakan sebuah buku di bawah “working title”: Movie Mutations: The Changing Face of World Cinema (terbit 2003 oleh British Film Institute), di mana Abbas Kiarostami di antara pembikin filem sepertinya di Asia–dengan contoh Edward Yang dan Hou Hsiao Hsien yang turut disentuh–menjadi kajian tentang jiwa kebangsaan dan penonton filem (bagaimana penonton filem dahagakan karya-karya alternatif dengan visi yang lain macam) sebagai subjek fokus.
Di masa lain, Jonathan Rosenbaum dan Mehrnaz turut pernah bekerjasama untuk menulis sarikata bahasa Inggeris The House Is Black, ketika filpen ini ditayangankan bersama The Taste of Cherry, seperti mana yang telah dinyatakan. The House Is Black dikesan berkenaan isu terpinggir, seperti kemiskinan. Filem yang menjalankan pembikinannya ketika era pra revolusi, mencerminkan keadaan Iran yang bonsai. Terdapat jurang yang besar antara masyarakat, namun mewujudkan satu tanggapan yang sama terhadap sesuatu yang hodoh (perasaan malu yang diciptakan minda sendiri). Ia menyangkut tentang kajian Leprosy, iaitu penyakit kronik yang berpunca dari jangkitan. Forugh Farrokhzad telah terbang ke Tabriz, sebuah bandaraya di bahagian utara-barat Iran, di mana penyakit ini dikatakan telah menular untuk membuat dokumentari ini dengan nahu poetik. Ia sebuah ungkapan paling jujur tentang dirinya. Pada masa ini, karya sebegini semakin jarang kelihatan. Festival berlangsung pada bulan Oktober (seperti diberitahu), filpen ini ditayangkan umpama sebuah “opening act”.
Oktober itu mungkin momen yang akan terus dihayati, di mana di dalam kesempatan itulah Jonathan Rosenbaum telah mengatur pertemuannya dengan Abbas dan Mehrnaz pada sebelah pagi 1 Mac 1997. Mereka bersarapan di sebuah restoran di Chicago. Ia sebuah rakaman interview yang turut disertai Muhammad Pakshir, seorang Iranian yang telah bertapak di Chicago. Dia telah memandu Kiarostami dan Mehrnaz ke restoran dan ikut menyertai bual filem. Perubahan wajah dunia filem adalah hasil atau berteraskan legasi filpen.Saya fikir, The House Is Black adalah legasi filpen, yang menghidupkan tradisi lampau perfileman Iran. Perubahan wajah dunia filem juga berteraskan legasi filpen. Pada dekad itu (1960an-70an), pembikinan filem pendek telah memulakan gelombang angkatan sinema baharu di Iran. Fenomena dan tradisinya dapat dilihat ketara, misalnya jika kita merujuk Abbas Kiarostami dengan filpennya seperti The Bread and Alley (1970), Breaktime (1972) dan Two Solutions for One Problem (1975). Ia termasuk filpen lain juga dari sejumlah pembikin filem di Iran yang sohor dengan angkatan “new wave”. Di antara pembikin filem tersebut seperti Dariush Mehrjui, Forugh Farrokhzad, Jafar Panahi dan Mohsen Makhmalbaf yang mencetuskan kebangkitan filem seni, mengambil inspirasi gelombang yang berlaku sebelumnya di Perancis dan Itali.
Menerusi interview, perbualan tentang isu-isu umum mengenai nasionalisme dan penonton filem, Kiarostami ‘belanja’ dengan menerangkan tentang method-nya bekerja dalam menghasilkan sesebuah filem khususnya The Taste of Cherry. Ia tentang bagaimana Kiarostami menangani sinema-nya, iaitu seperti yang diakui di dalam interview itu di mana Kiarostami shooting The Taste of Cherry tanpa skrip bagi melahirkan keadaan yang lebih nyata atau secara spontan, “tiada apa yang ditulis,” ujar Kiarostami. Dari pengakuan itu kita mengetahui Kiarostami memanfaatkan sepenuhnya teknik improvisasi (dengan mengawalnya pada bahagian-bahagian tertentu dan menyantuni mereka untuk menyatakan dialog-dialong yang khusus), meskipun para aktor bukanlah sepenuhnya berperan sebagai diri mereka sendiri. Mereka masih perlu memainkan watak tertentu seperti Safar Ali Moradi bukanlah seorang askar dalam kehidupan hariannya. Dijelaskan bahawa, semasa penggambaran, hanya Kiarostami berada bersama aktor di dalam kenderaan (di mana Kiarostami bertindak sebagai “stand-in”) dan semua persoalan yang dibangkitkan, hakikatnya adalah perbualan antara dirinya dengan watak-watak terbabit. Ujarnya dia kemudian memanfaatkan perbualan yang dirakam itu di meja suntingan, yang menurutnya, keadaan yang natural itu diwujudkan sehingga ada ketikanya para aktor tidak mengetahui bahawa mereka sedang dalam penggambaran filem.
Janji temu ini mempunyai besar signifikan, berkait dengan warkah-warkah yang telah diutus Jonathan selepas itu kepada Abbas lewat faksimili; terutama sebuah warkahnya yang bertarikh 18 November 1997, dari jiwa keresahan Jonathan terhadap berita-berita yang didengar tentang keputusan Kiarostami untuk memotong babak atau “scene” epilog, yang berlaku ketika tayangan pembukaan filem ini di Itali tanpa “video ending” seperti asal. Meskipun sebelumnya pada Mei 1997 The Taste of Cherry yang ditayangkan di Cannes dan Oktober tahun yang sama di New York adalah dengan video ending; iaitu video di sebalik tabir, antaranya didengari Kiarostami mengumumkan tentang penggambaran visual telah usai dan hanya berhutang rakaman bunyi. Babak ini dilatari runut bunyi Louis Armstrong yang memainkan “St James Infirmary” dalam versi instrumental. Warkahnya melahirkan kebimbangan atau apa yang diistilahkannya sebagai bahaya, bahawa Kiarostami akan memotong “sequance” yang sama ketika tayangan pembukaan filem ini di United States. Sepertimana yang dipetik dari Jonathan yang kekal berpendapat bahawa The Taste of Cherry baginya sebuah karya besar (masterpiece), dengan atau tanpa video ending. Namun filem adalah persoalan peribadi. Bahawa dia juga percaya dengan babak epilog ini–yang jika direnungi–adalah sisi potret diri Kiarostami; terajutama filem yang agung ketika sedang merakam sejarahnya menjadi legasi yang mengubah pandangan dunia “cinephilia”.
