
USAI mengarah adengan konsert dalam filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ)yang dilakukan di Panggung Anniversari, Nasir Jani bertanya kepada Datuk M.Nasir yang memegang watak utama filem tersebut; “Apa kita buat ni?”
“Kita bikin sejarah,” kata M.Nasir.
Kisah ini diceritakan Nasir Jani ketika sesi bicara Magnum Opus M.Nasir beberapa tahun lepas.
Dan terbukti selepas 36 tahun ia ditayangkan kepada khalayak, KSJ mencipta sejarah tersendiri.
Selepas 36 tahun, KSJ kekal relevan terutama kepada generasi muda yang terlepas zaman 80-an dan 90-an. Ia dibuktikan apabila KSJ ditayangkan di acara-acara melibatkan anak muda , ia mendapat sambutan dan menjadi filem yang dinanti-nanti tayangannya.
Namun, filem ikonik untuk anak muda ini pernah dimusuhi dan dibenci oleh festival filem di negaranya sendiri satu ketika dahulu. Hanya kerana skrip asalnya dihasilkan oleh M.Nasir yang merupakan warganegara Singapura ketika itu.
Akhirnya apa yang terjadi adalah kontroversi, pengarah KSJ, Nasir Jani menuntut penjelasan FINAS kenapa filem sulung arahannya itu ditolak pencalonan untuk juri Festival Filem Malaysia ke-6.
Penjelasan yang dituntut tidak diterima, akhirnya pintu kaca pejabat FINAS berderai dibaling batu oleh Nasir Jani yang berjiwa muda dan memberontak (sehingga kini masih ada sifat itu dalam dirinya walaupun mungkin tidak seagresif dahulu).

KSJ ditolak pencalonannya kerana ia dianggap plagiat dari karya asal orang lain. Perkara ini berlaku kerana beberapa tahun sebelum itu, M.Nasir pada mulanya pernah menyerahkan skrip asal KSJ untuk ditulis lakon layar kepada salah seorang juri FFM6, Hamzah Hussein yang bergiat dalam dunia perfileman sejak era Cathay Keris di.
Namun, kerana tidak berpuashati dengan lakon layar yang ditulis, M.Nasir seterusnya mencari Nasir Jani untuk merealisasikan KSJ.
Ini sekitar tahun 1984, sebelum KSJ menemui penerbit dan memulakan pengambaran selepas Nasir Jani pulang dari kursus perfileman di London.
Kerana naskah asal pernah diserahkan untuk ditulis lakon layer kepada ketua juri FFM6, maka ia dianggap telah diplagiat. Sedangkan skrip asal adalah dari pelakon utama KSJ itu sendiri.
KSJ sarat kritikan terutama hal-hal yang melibatkan cetak rompak yang sangat mencengkam pengkarya muzik.
Cetak rompak masih membarah sejak zaman Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee hingga hari ini. Kerana itu juga KSJ kekal relevan.
Namun tentunya tidak hanya cetak rompak menjadi sasaran Nasir Jani. Peluru sarat kritikan dan sinis turut dihalakan kepada masalah yang berlaku sekeliling masyarakat.
KSJ juga dianggap sebuah filem yang sarat kritikan terhadap pemerintah ketika itu yang memusuhi pemuzik-pemuzik rock, cabang muzik yang diminati anak muda.
Ketika itu, pemuzik rock sering dikaitkan dengan pengaruh negative hingga mereka yang berambut panjang dianggap golongan jahat sedangkan hakikatnya yang berambut pendek dan bertali leher paling banyak melakukan kejahatan, antaranya rasuah.

Kerana perbuatan rasuah inilah juga, Nasir Jani beranggapan gejala cetak rompak berleluasa dan tidak Berjaya dibendung. Lanun-lanun cetak rompak senang menjalankan kegiatan mereka kerana pihak-pihak tertentu melindungi kegiatan mereka setelah dihulurkan sejumlah wang yang agak besar.
Mungkin kerana KSJ sarat kritikan dan dilihat menyindir orang ternama yang terlibat dalam kegiatan cetak rompak dan menghalalkan rasuah, maka ia sangat dimusuhi pemerintah ketika itu.
KSJ melihat kesengsaraan hidup penggiat seni akibat cetak rompak. Biarpun ada yang sangat popular tetapi hasil jualan album amat rendah kerana yang lebih laku adalah versi cetak rompak.
Kegiatan cetak rompak ini pula berkait-kait. Ada pemilik syarikat rakaman yang terlibat sama. Lebih senang membuat untung dengan hasil cetak rompak kerana jualan versi tidak asli ini tidak perlu dikongsi dengan pengiat seni, penyanyi dan komposer.
Lebih membahagiakan lanun-lanun ini bila pihak berwajib juga turut sama memberi ‘sijil halal’ kepada kegiatan tidak bermaruah ini. Bergandalah malang nasib pengiat seni tanah air.
KSJ menyorot konflik politik, kemelestan ekonomi dan hal pengangguran serta isu miskin bandar. Isu-isu ini melatari kisah melawan cetak rompak oleh Bujang dan teman-temannya.
Ada yang melihat isu yang dibawa oleh KSJ terlalu heavy disebalik muzik-muzik rock yang mengiringi file mini. Namun bak kata Bujang; “Cuma satu saja yang tak heavy dalam dunia ni, filem heavy drama Melayu, itu yang tak heavy!.”
Dalam satu temubual Bersama sebuah akhbar beberapa tahun lalu, Nasir Jani menyifatkan KSJ ‘bapa kemodenan’ filem Melayu kerana apa yang diketengahkan sangat berbeza berbanding filem Melayu sebelumnya.

Menurut Nasir, KSJ merupakan filem Melayu pertama yang mengetengahkan isu cetak rompak biarpun masalah itu sudah wujud sekian lama.
KSJ juga merupakan filem Melayu pertama yang menampilkan babak konsert berskala besar selain disertakan program “The Making Of…” yang tidak pernah dihasilkan oleh pengarah dan penerbit lain sebelum itu.
“Jika kita memperkatakan mengenai filem muzik rock di negara ini, KSJ adalah ‘ibu’nya,” kata Nasir.
Tanggal 22 Februari 1986 adalah Tarikh KSJ ditayangkan kepada umum. Kerana itu, pemerhati seni Harris Hauzah dalam satu tulisannya di portal Malaysiakini mencadangkan agar Tarikh itu pada setiap tahun dikenang untuk KSJ, filem cult yang relevan sepanjang zaman.
KSJ yang dibintangi Datuk M.Nasir yang memegang watak Bujang/Jebat, Pyanhabib (Osman Tikus), Datuk Khatijah Ibrahim (Ana), Datuk Ramli Sarip, Imuda, Ito Blues Gang dan ramai dianggap filem generasi baru ketika ia diterbit dan ditayangkan.
KSJ bukan hanya menarik kerana ia sarat kritikan dan mempunyai mesej, tetapi naskah ini juga akan dikenang kerana Pyanhabib yang memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik ketika Festival Filem Malaysia ke-6 untuk filem Tsu Feh-Sofiah arahan Datuk Rahim Razali, menolak anugerah yang dimenanginya itu.
Pyanhabib pada awalnya dicalonkan menerusi filem KSJ namun setelah pencalonan filem ditolak, anugerah itu diberikan kepada penyair itu untuk filem Tsu Feh-Sofiah yang turut dibintanginya.
Apa yang dilakukan oleh Pyanhabib adalah sebagai tanda solidariti terhadap KSJ yang ditolak pencalonannya di festival filem yang sama dengan alasan skrip filem tersebut ditulis oleh M.Nasir yang mana ketika itu masih warganegara Singapura.
Ironinya, di festival yang sama, filem Suara Kekasih yang diarahkan oleh pengarah dari Indonesia diangkat sebagai filem terbaik.

Pyanhabib naik ke pentas menerima trofi yang dimenanginya, bergambar untuk seketika dan kemudiannya memberitahu dia menolak anugerah tersebut.
Jika ditonton Kembali KSJ, kita dapat melihat filem ini penuh dokumentasi tentang zaman dan masa. Rumah flat, bas mini, gerai burger, perhentian bas,pondok telefon, persekitaran Dataran Merdeka dan bangunan Dayabumi memberi erti dan makna cerita.
Nasir Jani cuba mendefinasikan ini melalui pendekatan meletakkan suatu garis visual melalui penceritaannya. Dia sengaja meletakkan seluruh karektor muda sebagai pembentuk hala tuju baru cita-cita apabila hanya memaparkan watak-watak tua pada cerita melalui cara imbas kembali semata-mata.
Bagi peminat muzik rock dan penggemar filem, KSJ dianggap filem Melayu terbaik. Ia juga dianggap unik dan berbeza dengan filem-filem Melayu yang lain.
Kerana itu, adalah tidak pelik apabila Harris mencadangkan agar tarikh 22 Februari setiap tahun dikenang untuk KSJ, sebuah filem yang sangat berbeza cara pembikinan dan arahan seninya.
Ketika sesi bual santai sebelum tayangan KSJ di program Wayang Pacak baru-baru ini, M.Nasir mengalungkan penghargaannya kepada Nasir Jani kerana mendewasakan beliau melalui naskah KSJ.
Menerusi blog peribadinya, Nasir menganggap filem pertama arahannya itu banyak membentuk corak hidupnya, sama ada dalam bidang filem atau kehidupan peribadi.
“KSJ tidak menjanjikan aku glamour, kekayaan dan pangkat serta darjat.
“Sebaliknya KSJ mengajar aku erti perjuangan memartabatkan seni bangsa terutamanya filem Melayu.
“KSJ juga menemukan aku sepak terajang dalam industry filem dan juga kemunafikan dunia politik tanah air,” katanya. Benar kata sang pengarah, sehingga kini KSJ masih meneruskan kembaranya untuk menyedarkan khalayak tentang hak cipta dan kehancuran nilai hidup jika rasuah tidak dibanteras.
