SETIAP kali menghadiri pratonton filem dalam apa sahaja ia dipanggil – Malam Gala Filem atau Tayangan Perdana, saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi. Dengan usia yang meningkat, saya tidak mahu kecewa. Datang, tengok dan pulang. Tanpa harapan. Lain ceritanya ketika saya menonton pratonton filem Angkat.
Tiga beradik. Satu mayat. Sebatang jalan dan keranda yang perlu diangkat — secara literal dan emosi. Inilah inti Angkat, naskhah komedi gelap arahan Feisal Azizuddin. Melalui filem ini, sinema Malaysia menerima suntikan suara terkini yang tidak malu untuk menyindir, tidak segan untuk menggali luka keluarga dan tidak takut untuk ketawa dalam suram.
Cerita bermula selepas kematian Pak Gani — seorang tukang kayu kampung yang dihormati. Namun seperti kebanyakan cerita Melayu, kematian bukanlah penamat — ia permulaan. Ibrahim, Yusuf dan Karim, tiga anak lelaki yang sudah lama renggang, dipertemukan kembali untuk membawa jenazah bapa mereka pulang ke kampung terpencil. Perjalanan ini ditemani seorang pemandu van jenazah wanita bernama Mia, yang menggantikan bapanya. Perjalanan mereka bukan sekadar fizikal, tapi emosional — satu pelayaran ke dalam ruang masa silam, penuh beban rahsia, dendam lama dan harapan tak terucap.
Namun 30 kilometer sebelum tiba, van rosak dan di situlah judul filem ini menuntut maknanya. Mereka terpaksa mengangkat keranda ayah — memikulnya dengan tangan sendiri, merentas sawah, hujan, malam dan segala metafora yang sedang menunggu untuk dibaca. Apa yang berlaku selepas itu tidak sekadar plot, namun ia adalah pembukaan segala luka dan persoalan tentang siapa sebenarnya yang sedang mereka usung.
Feisal bijak membingkai naratif yang padat dengan subteks. Dalam satu filem, kita disajikan pertembungan klasik: anak sulung yang memikul tanggungjawab, anak tengah yang sering menjadi pendamai, dan anak bongsu yang masih belum ‘jadi orang’. Ketiga-tiganya adalah cerminan bangsa yang sedang memikul jenazah sejarah, tradisi dan nilai-nilai lama, tetapi saling bercanggah tentang arah tuju. Mia pula menjadi suara luar yang mencabar dan mencucuk. Dialog-dialognya bersahaja, tetapi tajam. Wataknya berfungsi sebagai ‘pengacau sistem’ — atau mungkin alter ego kita yang sedang menonton dan mahu menjerit: “Korang nak ke mana sebenarnya?”

Dari sudut pengarahan, Angkat menolak pendekatan selamat. Ia bukan filem yang memberi jawapan mudah. Sebaliknya, ia mendorong penonton untuk membaca. Contohnya, adegan karakter bermandi hujan separuh bogel bukan sekadar dramatis, namun itu ialah simbol pelucutan ego. Ketika fizikal dibogelkan oleh alam, emosi juga dicuci bersih. Kita dibawa ke tahap di mana watak-watak tidak lagi memakai topeng, tetapi hanya tinggal manusia yang sebenar, letih, dan ingin berdamai.
Sawah padi yang menjadi latar bukan sekadar pilihan visual, namun ia adalah layar kritik sosial. Dalam sejarah sinema Malaysia, sawah sering menjadi tapak kegagalan atau harapan. Ini dapat diperhatikan dari Jogho ke Ranjau Sepanjang Jalan, dari Mukhsin ke Jalan Pintas. Dalam Angkat, sawah itu terbalik. Dunia yang terbalik. Norma yang dibongkarkan. Ia menjadi simbol masyarakat yang sedang hilang arah — terlalu moden untuk jadi tradisional, tapi terlalu terikat untuk menjadi bebas.
Feisal juga memasukkan unsur Kafkaesque secara halus. MacGuffin seperti ‘van rosak’ ialah alat untuk memecahkan realiti — dan membawa watak ke ruang absurd tetapi jujur. Sama seperti The Metamorphosis, transformasi tidak berlaku secara fizikal, tetapi dalam batin. Kita melihat lelaki-lelaki ini berubah — perlahan, gelisah, tidak sempurna, tetapi penting.
Sesuatu yang mengejutkan apabila Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak memaksa agar babak-babak ‘fantastikal’ dijadikan mimpi. Tidak seperti Spilt Gravy on Rice yang terpaksa melabelkan unsur roh sebagai ‘hanya khayalan’, Angkat dibenarkan terus menjadi alegori terbuka. Adakah ini petanda kematangan? Atau kelonggaran sementara? Jangan memberi idea.
Apa yang membezakan Angkat dengan kebanyakan filem Malaysia lain ialah keberanian untuk tidak menjual visual atau selebriti. Bajetnya sekitar RM700 ribu. Pelakonnya bukan A-list tabloid. Tetapi kejujuran naratifnya melebihi nilai ringgit yang dibelanjakan. Malah, tiketnya dijual pada harga tetap RM10, sehingga 13 Ogos 2025, sebelum tayangan umum menjadi satu bentuk pemberontakan kecil terhadap dominasi filem aksi murah, seram bancuh atau komedi slapstik yang sentiasa laris di pawagam.
Namun Angkat bukan hanya berbeza, tetapi ia penting. Dalam ekosistem sinema kita yang semakin padat dengan telefilem dan drama tular, filem ini muncul seperti nota kaki yang enggan dibaca — tetapi menyimpan seluruh tesis tentang keluarga, bangsa dan negara. Dalam setiap langkah yang berat, kita melihat refleksi diri kita sendiri. Siapa yang kita sangka kita dan siapa yang kita sebenarnya.
Apa yang diusung bukan hanya bapa yang sudah mati. Ia adalah rasa bersalah tak terlafaz. Dendam yang tidak selesai. Cinta yang tak sempat. Mereka memikul warisan yang selama ini mereka diamkan, hingga ia menjadi beban. Apabila mereka akhirnya “sampai”, mereka tidak pulang sebagai orang yang sama, kerana yang benar-benar diangkat bukanlah keranda, tetapi harga diri, keinsafan dan kejujuran yang telah lama tertinggal.
Sebagai penonton, kita tidak sekadar menonton mereka. Kita Bersama-sama mereka. Kita juga pernah memikul sesuatu yang berat tetapi tidak kelihatan. Kita juga pernah berdamai dalam hujan atau marah dalam diam. Kita juga pernah merasa jauh dari keluarga yang paling dekat.
Maka Angkat bukan sekadar filem. Ia adalah pengebumian kecil untuk ego lama dan kenduri kecil untuk harapan baharu.
Kalau kamu masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang diangkat dalam Angkat, percayalah ia bukan sekadar mayat dalam keranda, tetapi semua beban yang kita warisi, kita rahsiakan, kita sembunyikan dan akhirnya kita sendiri perlu menghadapinya sebelum orang lain pula memikul keranda kita.
Angkat sedang ditayangkan kepada umum sejak 14 Ogos 2025.
– MOHAMED NASSER MOHAMED ialah editor perunding yang terlibat dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.
