MASALAH utama yang dihadapi perfileman negara ialah ketiadaan sinema, kata pengarah tersohor Dr. U-Wei HajiSaari.
Bercakap di Podcast Senimalaya, U-Wei berkata sinema negara lain mempunyai identiti sendiri.
Sebaliknya, di Malaysia, kata U-Wei, filem-filem yang dihasilkan tidak mempunyai identiti yang boleh dikaitkan dengan negara ini.
“Identiti harus bukan tentang perkauman, banyak boleh dikaitkan dengan identiti.
“Kalau tengok filem Iran, 3 minit sahaja sudah tahu itu filem Iran kerana ia mempunyai identiti.
“Masalah sinema Malaysia tidak mempunyai sinema dalam pengisiannya kerana mereka tidak tahu apa itu sinema.
“Dalam sinema Malaysia kononnya, kebanyakannya adalah karya-karya televisyen. Mereka tidak tahu membezakan antara filem dan televisyen,” katanya.

U-Wei juga berkata sinema Malaysia sudah jauh ketinggalan berbanding beberapa negara Asia Tenggara yang lain.
“Sinema kita sudah ketinggalan dengan sinema Vietnam. Kalau kita tengok filem Vietnam sangat menarik dan progresif.
“Begitu juga dengan Cambodia. Cambodia filemnya tak banyak tetapi kualiti penceritaannya sangat menarik.
“Kita, filem kita yang mainstream masih lagi dengan tembak-menembak,” katanya lagi.
U-Wei menyifatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) umpama sebuah bas yang rosak akibat kegagalannya berfungsi sebagai badan yang ditugaskan membangunkan bidang perfileman di negara ini.
“Dalam bas itu ada warga-warga filem untuk pergi ke satu destinasi, jadi bayangkan bas itu melambangkan FINAS yang sudah rosak.
“Dalam (bas) itu ia membawa warga-warga filem ke satu tempat dan dalam bas itu bukan sahaja ada ada warga filem tetapi juga Tok Empat-Tok Empat FINAS.
“Tok Empat-Tok Empat inilah yang memegang spare part-spare part yang rosak tadi.
“Mereka tak mahu serahkan spare part-spare part itu, jadi bas itu terus rosak,” katanya.
Podcast Senimalaya dikendalikan oleh Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen dan dibantu oleh Ketua Editorial Senimalaya, Irwan Muhammad Zain.
