FILEM Imaginur, terbitan Lumatic Films Sdn. Bhd dinobatkan Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang berlangsung pada Sabtu malam.
Kemenangan berkenaan membolehkan filem arahan Nik Amir Mustapha itu membawa pulang trofi FFM33 dan insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menyampaikan anugerah tersebut di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.
Kemenangan itu sekali gus menundukkan enam lagi finalis dalam kategori sama iaitu Abang Adik (terbitan More Entertainment), Duan Nago Bogho (Kalamariff Holdings), Sheriff: Narko Integriti (Skop Productions & Astro Shaw), Mechamato Movie (Animonsta Studios), Hungry Ghost Diner (Kinovisuals) dan Rain Town (Current Pictures).
Filem tersebut turut membawa pulang tujuh anugerah lain termasuk Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi Beto Kusyairy, manakala Nik Amir sendiri dianugerahkan sebagai Pengarah Terbaik.
Pelakon Zakaria Ahmad atau lebih dikenali dengan nama A. Galak diberikan Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman manakala Anugerah Khas Karyawan kepada Indera Che Muda Redzuan.
Pemenang Aktres Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2024, Susan Lankester, menepati ramalan untuk dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Raintown, manakala Elizabeth Tan memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Sherif: Narko Integriti.
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula dimenangi Jack Tan menerusi Abang Adik dan Jin Ong sebagai Pengarah Harapan, juga menerusi filem Abang Adik.
Anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Harapan pula masing-masing dimenangi Aniq Durar (Pagari Bulan) dan Trisha Ooi (Janna Endoro).
Sebanyak 28 kategori anugerah lain turut disampaikan, antaranya dokumenteri “Pekik” terbitan Stereo Pixels Sdn. Bhd. yang memenangi kategori Dokumentari Terbaik menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi.
Sementara itu, “The Missing Trophy” terbitan Wayang Works Sdn. Bhd. diangkat sebagai Filem Pendek Terbaik yang membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi.

