(Mengenangkan sahabatku Allahyarham Suhaimi Abdul Wahab dengan doa kerahmatan.)
HARI itu permulaan cuti umum yang agak panjang. Kawasan perumahan sepi. Banyak keluarga pergi bercuti; balik kampung atau ke tempat lain. Isteriku sendiri membawa anak kami pulang ke rumah ibunya di selatan tanah air. Suhaimi, kawan serumah yang tinggal di tingkat satu itu pun pergi bercuti.
Cahaya petang tersembur masuk melalui kaca tingkap. Bau cat minyak, linseed, turpentine dan imej-imej samar, yang belum dikenali mengering bersama bahang matahari di permukaan catan. Sepi.
Bunyi air menitis. Ah, bumbung bahagian belakang itu bocor lagi! Air hujan yang terperangkap jatuh ke bilik air. Bagaimana dan di mana air hujan boleh terperangkap aku tidak tahu. Tiada kuasa aku untuk naik ke bumbung rumah. Biarlah. Setakat ini kebocoran itu tidak menganggu. Nanti aku beritahulah Mr. Yong minggu depan bila dia datang mengutip sewa.
Lapar. Tadi pagi aku minum kopi sejuk dan sebiji telur rebus dan sebiji pisang sahaja. Aku turun ke dapur di tingkat bawah. Dua tingkat ke bawah. Di ruang tangga kelihatan sebahagian ruang dapur sayup ke bawah.
Aku buka peti ais, mencari apa-apa yang boleh dimasak, dimakan. Malaslah nak masak nasi. Tidak ada ikan, ayam nak dibuat lauk. Ikan sardin pun sudah tidak ada – sudah aku makan dengan roti malam tadi. Kalau nak goreng nasi pun, kena masak nasi dulu. Ah.
“Aku juga lapar…”
Aku sangat terkejut, lalu berpusing ke meja kerjaku yang ku jadikan meja makan dan tempat menulis, di belakangku. Dia tersenyum memandangku…
“Maaf kerana buat kau terkejut.”
Sepi. Cahaya matahari terus tersembur bersama bahangnya melalui kaca tingkap ke lantai. Dia senyap di bangku meja membelakangi beberapa buah arca yang belum siap tersandar di penjuru dinding.
Aku naik ke bilik Suhaimi di tingkat satu; sepi dan keseorangan. Bunyi air menitis lagi. Banyaknya air tertakung.
Aku keluar duduk di tebing konkrit bumbung tingkat bawah yang sedikit terjulur ke depan melalui jendela terbuka bilik MPL. Sepi. Tiada bunyi. Radio jiran yang sering mendayukan lagu-lagu Tamil itu pun tidak berbunyi. Rumahnya tertutup. Tiada kereta di jalan. Cuma bayang-bayang dahan pohon dari rumah depan di jalan. Rumah itu juga tertutup. Ada angin berhembus. Ada daun-daun mati bergulingan di jalan. Sebidang bunting iklan perabot yang digantung di tiang letrik di hujung jalan juga bergerak-gerak.
Aku teringat kepada senyuman dan kelaparannya di meja makan di tingkat bawah. Ah. Aku juga terasa lapar.
Aku turun ke dapur, ambil empat biji telur ayam dari peti ais, pecahkan semuanya ke dalam mangkuk, ambil hirisan bawang, sedikit hirisan kobis yang sudah tersedia, bubuh sedikit garam, lada hitam dan kacau. Aku memandang kepadanya dan memberi sebuah senyuman. Dia membalas senyumanku. Aku panaskan kuali, bubuh sedikit minyak masak. Sebentar terjadilah di kuali sebiji omelette dari empat biji telur. Aku bawa kemeja makan.
Aku potong omelette kepada dua bahagian dan masukkan sebahagian ke pinggannya. Aku makan, dia tersenyum lalu makan. Aku bangun ke peti ais, mengambil teko kopi yang didinginkan tadi pagi. Aku makan, dia pun makan. Aku selesai makan, minum kopi dingin lalu keluar dari rumah/studio. Aku menyusur jalan ke belakang blok bangunan rumah. Sepi. Banyak rumah tertutup. Tiada suara dan jeritan penghuni seperti biasa. Anjing di rumah hujung jalan itu pun tidak menyalak. Aku ambil rokok dari poket dan nyalakan ia. Biarlah dia di dalam.
Sepi. Aku menyusur tepian kanan jalan. Ada angin bertiup, menggoyangkan lalang-lalang di birai sungai. Seekor anjing kurap kelihatan merayau di persimpangan depan, sambil menghidu-hidu entah apa di tepi jalan.
Dalam senyumnya, aku melangkah longkang dan menuruti denai yang membelah kawasan berlalang ke birai sungai. Aku duduk di batu besar melihat arus sungai, melaju, perlahan dan berpusar dalam luas sungai kira-kira 50-60 meter itu. Aku lihat ada burung terbang, hinggap di pohon-pohon di tebing sebelah sana sungai. Awan kurang. Langit membiru. Terasa matahari petang membahang. Ada angin bertiup. Serumpun semak berdekatan bergoyang. Ada sebatang kayu belayar. Aku keluarkan sebatang rokok lagi. Di sini tidak ada air menitis. Di sini, air mengalir; melaju, perlahan dan berpusar. Di sini air sudah sedikit keruh. Di rumah, air sudah jernih di proses, termasuklah yang menitis itu; walaupun ia dari langit – hujan, dan hujan pun memang sudah terproses.
Aku bangun untuk kembali menulis. Ada ilham untuk sebuah puisi. Mungkin perihal kesepian dan keseoranganku. Apa? Tulis sajalah dulu, nanti boleh dibaiki. Entah bila belum tahu lagi – yang hampir penuh buku catatan itu belum diperbaiki. Oh.
Aku sampai di rumah. Di pintu pagar, menembusi bidang pintu kaca, aku melihat dia terpampang, mendepangkan kedua-dua tangannya seperti postur Jesus di tiang salib, di atas permukaan catan dalam berbagai warna dan garis yang telah dipalit Suhaimi. Dia terpandang aku lalu tersengih. Dalam sengihnya itu dia semakin tenggelam pula ke dalam dinding di mana bingkai catan itu sedia tersandar. Ya, sengihnya sudah terbenam ke dalam dinding, hanya bahagian bawah bingkai catan itu yang kelihatan. Aku merenung ke catan di dinding. Ya bahagian atasnya semakin tenggelam ke dalam dinding.
Aku terdengar titis air. Aku mendongak ke atas melalui ruang tangga. Sayup. Ada suatu sepi memanggil-manggilku dari tingkat atas.
Dalam senyum dan sengihnya, ada helaian kertas berselerakan di lantai. Kertas sajak-sajak aku kah itu? Ada air mata, ada debu perjalanan, ada senyuman perempuan jahat, ada asap ganja dan suara-suara malam di kertas-kertas itu. Sajak-sajak aku kah? Oh. Bukan. Biarlah siapa punya dan apa pun. Bukan masalah aku untuk ketika ini…
Aku bawa pinggan, gelas, sudu dan semuanya di meja ke sinki. Biar dulu, nanti malam aku cucilah semuanya. Teko kopi aku masukkan semula ke dalam peti ais. Aku terdengar titis air. Aku mendongak ke atas melalui ruang tangga. Sayup. Ada suatu sepi memanggil-manggilku dari tingkat atas. Kuat dan nyaring bunyinya. Aku memanjat anak tangga ke tingkatku.
Aku menjenguk ke dalam bilik Suhaimi. Sepi. Tiada apa, almari baju Suhaimi yang sedikit senget, beberapa helai baju dan seluar di penjuru bilik. Beberapa biji buku dan golongan tilam. Sepi. Tiada suara. Aku masuk menutup jendela. Di luar, daun-daun mati masih bergulingan. Helaian plastik bunting iklan perabot masih bergoyang.
Air takungan menitis lagi. Ada suara kertas memanggilku. Aku memanjat anak tangga ke tingkatku. Aku pandang ke bawah. Sayup. Dan, dia ada di tingkat bawah, mendongak memandangku sambil tersenyum seperti biasa.
**************************
TENGKU SABRI IBRAHIM merupakan seorang pelukisa dan penulis. Cerita ini dihasilkan pada 1990 dan tidak pernah disiarkan dalam mana-mana penerbitan.
