KEHEBATAN seniman muda Mohamad Khiddir Baharudin atau Kide tidak boleh disangkal lagi. Karya-karyanya sering mendapat perhatian pengumpul seni.
Bukan hanya karyanya jadi pilihan pengumpul seni, jenama kasut pilihan anak muda, Vans juga turut tertarik dengan sentuhan Kide lalu terhasillah kerjasama antara keduanya.
Terbaru, menerusi Galeri Puteh, Kide bersama karyanya akan ke Sydney untuk sebuah pameran berkumpulan yang dinamakan ‘Gotong Royong”. Selain Kide, seniman-seniman seperti Kusofiyah Nibuesa (Pattani), Fefia Suh (Bandung) dan Sakina Atalas (Jogjakarta/Perth) akan turut mempamerkan karya mereka.
16albermarle Project Space merupakan sebuah galeri persendirian milik John Cruthers yang dibuka sejak 2019.
“Satu pertemuan antara Galeri Puteh dan John yang telah diadakan di Singapura baru-baru ini.
“Kami telah berbincang tentang pameran yang akan diadakan pada 24 Februari nanti.
“Pameran bertemakan ‘Gotong Royong’ yang akan disertai juga oleh beberapa artis muda dari Asia Tenggara,” kata Pengarah Galeri Puteh, Nizam Rahmat kepada Senimalaya.
Nizam berkata, Kide dipilih oleh kurator pameran tersebut, Ellya Gunawan yang berpendapat ia bertepatan dengan tema pameran yang bakal diadakan.
Sementara itu, bercakap kepada Senimalaya, Kide memaklumkan dia menyiapkan tiga karya untuk pameran tersebut.
“Karya utama berjudul “Begholek” tentang situasi persediaan sebelum kenduri, ada kena mengena dengan gotong-royong.
“Dua lagi karya saya bercerita tentang suasana di kedai kopi dan pasar basah.
“Saya kembalikan tema-tema tentang suasana kampung dan pekan lama di Malaysia, terutama di tempat saya di Kuala Pilah.
“Saya cuba nak perkenalkan budaya atau latar belakang tempatan kepada orang luar,” katanya.
Tahun lepas, Kide telah mengadakan pameran solo berjudul ‘Kulu-Kilir’ di Galeri Puteh dan 100 peratus karya-karyanya terjual dalam masa yang singkat.
