BILA dicadangkan agar kami mengulas buku ini, kami katakan bahawa buku ini terlalu cerdik untuk kami. Tahap pemikiran yang dilontarkan oleh penulisnya jauh meninggalkan pemahaman kami dalam semua hal. Lihat saja bagaimana penulisnya melemparkan nama-nama besar seperti Tomas Kulka, Fiona Rae, Clive Bell, Brian Alfred dan juga Gillian Rose seolah-olah kamu menyebut nama Mat Topan, Pian Belanda, Mie Gondok atau siapa pun nama teman-teman rapat kamu.
Juga, untuk berlaku adil, penulis buku Sidang Sepetang Dr. Jalaini Abu Hassan memang sudah lama meninggalkan penulis artikel ini dalam semua hal. Buku ini adalah bahan pengiring untuk pameran solo Jalaini yang berjudul Melekat: Malay Kitsch yang berlangsung di Galeri Puteh beberapa bulan yang lalu.
Apa yang dicadangkan oleh penulis bila dia memetik kata-kata dari nama-nama di atas tidak diketahui namun kamu mesti menghormati dia dalam hal mencari rujukan. Pun begitu, kami dapati nama seniman tempatan tidak dapat dirujuk mungkin kerana para seniman kita sibuk menghasilkan karya yang siap untuk dijual. Tersangat kurang di antara seniman kita yang mahu terjun ke dalam alam yang membincangkan karya. Sementelah pula kita kini hampir tidak lagi menghasilkan karya-karya yang layak diperdebatkan.
Affendi Salleh, penulis yang dijemput untuk menulis satu bab dari buku ini dan juga Jalaini adalah dua orang pembaca yang kononnya kecewa dengan hasil tulisan kami mutakhir ini. Kata mereka kami tidak lagi kritis dan juga tidak sebengis dulu. Dengan penuh kepura-puraan mereka menyatakan kekecewaan mereka atas perkara tersebut.
Biasanya kami menjawab dengan mengatakan bahawa kami ini sudah berusia dan mahu lebih tenang dalam menjalani hidup. Tidak mahu marah-marah lagi dan hanya mahu menulis, melukis dan menghisap rokok.
Namun apa yang tidak diketahui oleh dua nama yang kami sebut di atas tadi adalah, kami berasa amat marah apabila dikritik sedemikian rupa. Mana mungkin penulis, pelukis dan pemikir besar seperti kami dianggap sudah melepasi had relevan dan boleh diperkotak-katik oleh orang seperti itu.
Kami adalah seniman dan sebagai seniman kami tidak boleh disentuh apatah lagi dikritik. Kami adalah insan terpilih dan entah nanti, jika diizin Tuhan, bebas memilih untuk masuk sorga ikut mana pintu yang kami suka.
Dan kami pun berdendam dengan mereka lalu ulasan buku ini adalah pembalasan dendam berkenaan.
Pertama, Affendi merendahkan Bahasa Melayu apabila dia mengatakan bahawa perkataan KITSCH itu tidak ada terjemahannya dalam bahasa kebangsaan kita. Dia hanya mencari makna di kamus Dewan dan kemudiannya bertanya pula kepada penyair avant garde yang terkenal, Jack Malik. Lalu kedua mereka bersetuju bahawa perkataan tersebut memang tidak terdapat dalam daftar perbendaharaan bahasa kita.
Kedua mereka adalah lemah.
Sepatutnya mereka bertanya kepada kami. Dan kami akan cadangkan perkataan koman, kodi, menyolok, picisan, atau pun norak. Atau jika kamu mahu boleh saja digunakan perkataan kitsch itu sendiri tanpa perlu diterjemahkan kerana mereka yang mahu menggunakan perkataan tersebut tahu akan maknayanya. Sementara mereka yang tidak tahu pula akan berusaha untuk tidak ambil peduli.
Kami tidak tahu samada semua perkataan yang kami cadangkan sebagai ganti kepada perkataan kitsch itu adalah tepat namun seperti yang kami nyatakan, ini adalah tulisan membalas dendam. Dan dalam berdendam kamu tidak memerlukan akal dalam menanganinya. Yang penting kamu yakin dan berdoa agar seluruh dunia mempercayainya.
‘secara moral, aku tak perlu judge client begini. Kerana aku faham dari mana datang naluri ini. aku boleh design super kitsch pun, janji bayar fee’.
Demikian kata Affendi dalam tulisannya dalam buku berkenaan mengenai permintaan pelanggannya yang mahukan rekaan yang kitsch. Dan sebagaimana budak-budak yang belajar bidang seni bina dan mahu tunjuk handal, dia menyebut nama Frank Gehry.
Sebenarnya tidak ada bezanya Affendi dengan Haji Bakri. Kedua-dua mereka meminta bayaran apabila menurunkan tandatangan. Affendi tidak peduli akan hubungan manusia dan alam dalam seni rekanya selama mana dia dibayar. Super kitsch dibuatnya dan rumah kedai seribu bilik juga dibuatnya. Janji bayar, kata dia. Dan Haji Bakri juga serupa. Borang pengesahan gaji buku bantuan kerajaan ditandatanganinya, akuan bersumpah jatuhkan Kerajaan pun dia sain juga.
Kamu tanya siapa Haji Bakri?
Seperti Affendi, Haji Bakri adalah seorang pesuruhjaya sumpah, jawab kami.
Cerita-cerita peribadi yang dinukilkan dalam buku ini agak menarik. Jalaini menceritakan akan hal bagaimana lukisan mooi indie mempengaruhi perjalanan awal dunia seni catannya. Bagaimana lukisan yang mungkin terdapat hampir di semua rumah ditempat kita itu menyemai benih yang membawa kepada tumbuhnya minat yang mendalam kepada seni Lukis.
Dia juga bertanya bagaimana lukisan-lukisan mooi indie yang kita semua kenal sebagai lukisan permandangan dari Indonesia itu dengan mudah menawan hati hampir semua orang.
Sebenarnya tidak ada misteri pun jawapan dari pertanyaan dia itu. Pertama, lukisan tersebut adalah cantik dan kedua harganya cuma RM35 sekeping jika kamu tidak mudah diperdaya. Jika kamu jenis yang senang ditipu scammer, maka harganya adalah dalam lingkungan RM100-RM150 sekeping.
Kami memanggil lukisan-lukisan ini sebagai lukisan yang talinya lebih mahal dari lembunya kerana harga bingkai lukisan tersebut biasanya akan melebihi harga lukisan itu sendiri.
Selain cerita peribadi seperti Kenapa Saya Melukis dan juga Pesanan Buat Anak Saya, Jalaini berkongsi pengalaman dan juga pendapat mengenai seni catan yang telah menaikkan namanya itu.
Misalnya di dalam bab Lukisan Kontemporari dia menceritakan perjalanan dunia catan semasa kamera dicipta. Bagaimana waktu itu menurut dia, pelukis potret khususnya merasa terpinggir kerana kurangnya tempahan akibat dari kecanggihan teknologi kamera. Ini menurut dia lagi menghasilkan satu macam ‘pemberontakan’ dalam duni seni lukisan bila para seniman mula menghasilkan karya yang tidak dapat dihasilkan oleh kamera.
Dari sana lahirlah beberapa aliran di dalam dunia seni catan.
Hal ini tidak ada bezanya dengan apa yang berlaku sekarang ini. Terdapat seniman yang terpegun dengan kecanggihan kecerdasan buatan (A.I) dan menganggap ini adalah pembuka jalan kemusnahan dunia catan buatan manusia.
Jalaini juga menceritakan pengalaman semasa berkunjung kebeberapa tempat di luar negara dan ini tidak menghairankan kerana seperti mana-mana seniman,kecil atau besar, berjalan melawat negara orang dan menghargai seniman luar lebih dari kerja anak tempatan adalah kebanggan. Tentu saja ada bezanya melukis di bawah Effiel Tower dengan mafla dileher dengan berplaien air di Air Terjun Batu Asah misalnya.
Selamanya seniman tempatan berbangga apabila karya mereka dibeli oleh orang putih. Jenis minda terjajah. Walhal orang putih itu cuma seorang pelancong yang mencari buah tangan untuk rakan di negara mereka.
Alah, seperti kamu keluar negeri dan membeli fridge magnet sebagai cenderamata kepada kawan-kawan. Pertama sebagai kenangan bersahabat dan kedua sebagai modal berbangga bahawa kamu sudah sampai ke Hard Rock Café Timbuktu, misalnya.
Sesuatu yang menarik adalah bila buku kecil ini disertakan dengan foto-foto berwarna yang menarik. Selain foto karya ianya juga diselitkan dengan gambar-gambar studio pelukis serta gambar-gambar pelukis bersama dengan Khairy Jamaluddin, ahli politik yang kini menjadi juruacara radio.
Entah apa tujuannya tidaklah diketahui. Gambar Khairy Jamaluddin maksud kami.
Sekali lagi kami ulang bahawa buku ini adalah sesuatu yang boleh dipilih jika kamu merasakan perlu untuk menyimpan rekod pemikiran seorang seniman yang diakui hebat di negara kita.
Cuma, masalah buku ini adalah bila mana hampir seluruh isinya dipetik dari penulisan Jalaini di internet. Walaupun ianya masih boleh dihargai,kami merasakan bahawa model yang diasaskan oleh Hafiz Hamidun itu tidak berapa molek untuk seseorang yang mahu dihormati sebagai seorang pelukis dan penulis.
Ianya seperti seorang pelukis yang mengutip mana-mana lukisannya yang tidak terjual dan terperosok di studio lalu dibersihkan dan mengadakan satu pameran solo sambil mendakwa ianya sebagai kumpulan karyanya yang terbaru.
*********************************************
ABDULLAH JONES merupakan seorang pelukis dan penulis sepenuh masa.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Senimalaya.
