KESUKARAN mendapatkan dana untuk menghasilkan filem yang mengetengahkan isu sosial tidak pernah mematahkan semangat Jin Ong untuk mengarahkan filem Abang Adik.
Biarpun filem itu dihasilkan untuk menyebarkan mesej cinta berbanding memecahkan rekod, takdir menentukan ia mendapat sambutan tidak diduga.
Ong sendiri tidak menyangka Abang Adik – filem sulung arahannya – mampu mencapai kejayaan itu. Abang Adik adalah filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama di Italy’s Far East Film Festival selain filem Malaysia dengan kutipan tertinggi di Taiwan, mencapai NT$90 juta (RM13.5 juta) sejak tayangan perdana pada 1 Dis 2023.
Bercakap kepada Senimalaya, Ong berkata dia sentiasa ingin bercerita tentang negara ini, tentang kehidupan dan cinta antara manusia.
“Anda akan melihat saya suka meletakkan isu sosial sebagai latar belakang cerita.
“Saya rasa filem adalah medium yang baik untuk menceritakan kisah ini.
“Harap ia boleh mempengaruhi penonton dan pihak berkaitan,” katanya kepada Senimalaya.
Bercerita lanjut, Ong menjelaskan dia mengambil masa setahun setengah untuk menulis skrip Abang Adik.
Pada awalnya dia mahu mengangkat isu mereka yang memiliki kad pengenalan merah namun menukarnya selepas membuat kajian dan tinjauan.
“Teman saya memiliki kad pengenalan merah, dan saya awalnya mahu mengetengahkan isu ini.
“Selepas membuat tinjauan, isu tanpa kewarganegaraan adalah lebih serius, jadi saya ubah kepada isu ini,” katanya lagi.
Secara keseluruhan, Ong mengambil masa lebih tiga tahun untuk menyiapkan filem yang menelan belanja RM3.8 juta ini.
Beberapa masalah yang timbul antaranya disebabkan COVID-19 membuat kos menyiapkan filem ini meningkat.
Sementara itu, bercakap kepada sebuah portal berita, Ong memberitahu sangat sukar baginya mendapatkan pembiayaan bagi filem iyang mengangkat isu sosial di Malaysia kerana kebanyakan agensi perfileman lebih suka “melabur dalam filem komersial”.
“Abang Adik juga tidak ada bezanya, sukar mendapatkan pelaburan.
“Kami berjaya mendapatkan pelaburan pertama kami dengan menyerahkan (Abang Adik) kepada Golden Horse FPP melalui the International Film Project Market.
“Kami juga menerima dana Film In Malaya Incentive
Kami juga menerima dana Film In Malaysia Incentive (FIMI) yang disediakan oleh FINAS dan mendapatkan beberapa rakan kami untuk menjadi pelabur.
“Ia adalah satu proses yang sangat sukar,” katanya seperti dilapor StarLifestyle.
Sebelum mengarahkan Abang Adik, Ong, 48, menerbitkan ‘Shuttle Life‘ pada 2017 yang bercerita tentang usaha menangani kemiskinan, dan pada 2019, dia menerbitkan ‘Miss Andy ‘ yang meneroka kehidupan seorang wanita transgender yang tinggal di Malaysia.
Ong bagaimanapun tidak boleh mengatakan dengan pasti kejayaan Abang Adik akan menggalakkan lebih banyak agensi melabur dalam filem isu sosial, ia adalah permulaan yang baik.
“Saya percaya Abang Adik boleh dijadikan rujukan kepada agensi atau pelabur.
“Saya sentiasa percaya cerita yang bagus boleh menarik pelabur berpotensi,” katanya.
Penyanyi-pelakon Malaysia Lee Sinje diberi tanggungjawab sebagai penerbit dan ia dibiayai dengan bantuan rakan-rakan Lee, seperti penyanyi Malaysia Michael Wong, lebih dikenali sebagai Guang Liang.
Abang Adik merupakan naskah yang mengangkat isu kemiskinan dan tiada kerakyatan. Ia menyelami pengalaman dua beradik yang tidak mempunyai dokumen – Abang dan Adik – dan usaha mereka untuk mendapatkan kerakyatan di Malaysia penuh dengan cabaran.
Ong berkata terdapat usaha untuk membawa Abang Adik ke Eropah selain akan diserahkan untuk Festival Filem Malaysia akan datang.
Mengenai sama ada terdapat rancangan untuk menyerahkan Abang Adik untuk Oscar, Ong berkata dia terbuka dengan pilihan tersebut.
Kata Ong, menyertai festival bukan bermaksud mengejar trofi tetapi apa yang lebih penting pada penghujung hari adalah untuk membuktikan bahawa Malaysia mampu menghasilkan filem yang begitu bermakna.
