SELESAI pilih pakaian untuk dibawa, saya periksa stok rokok. Lebih kurang 10 batang.
Kalau hari biasa dan tak ada sesi melepak, 10 batang itu boleh tahan tiga ke empat hari. Saya tak merokok sangat di rumah dan kalau di luar pun, waktu buat kerja, saya akan merokok selepas selesai satu kerja. Paling banyak pun tiga batang dalam satu sesi.
Tapi saya fikir, acara Kem Ilustrasi Botani akan menemukan saya dengan ramai pelukis. Mengikut pengalaman mengenali sosok bernama Abdullah Jones, pelukis kuat hisap rokok. Maka, saya pun beli lagi sekotak. Buat modal nak melepak lama dengan pelukis, kononnya.
Di Langkawi, rupanya saya tak luang banyak masa dengan pelukis. Para peserta sudah lebih awal ikuti kem. Masuk hutan, jumpa tumbuhan dengan nama lucah, makan dan karaoke dengan gembira.

Kami para media hanya terlibat dalam sesi terakhir. Majlisnya diberi nama Media Preview. Semua karyasudah siap dan dipamer. Tinggal sesi taklimat dan temu bual bersama artis serta kurator.
Tak banyak lukisan yang menambat hati tapi itu bukan masalah para artis. Itu masalah saya.
Ketika ditaklimat serba sedikit dalam acara Kataseni tahun lepas, saya paling tertarik dengan statement dalam lukisan. Maka, pada tahap ini, saya baru pandai nak menyelongkar statement dalam lukisan.
Ilustrasi botani tidak begitu mengutamakan statement. Mungkin ada, cuma sukar untuk saya kesan dengan tahap pengetahuan seni rupa yang rendah.
Yang dapat dilihat dengan jelas ialah keindahan – estetika yang lebih afdal dinikmat dengan pengetahuan teknik. Itu yang saya kurang.
Pendidikan dalam lukisan
Apabila menu nasi daging disertai perkataan danok, maknanya daging itu akan manis. Begitu juga teh o kurang manis, ia tetap akan manis. Itu pengajaran pertama saya dapat sesampainya di bumi Langkawi.
Tarikan utama di Langkawi, selain pantai, ialah coklat. Kedai coklat TS Free Duty di depan Balai Seni Negara Langkawi lebih murah berbanding yang lain. Itu saya dapat tahu dari Anis, Yaya dan Izzah, rakan media yang turut sama ke acara ini.
Dan lukisan botani mementingkan elemen pendidikan. Melihat lukisan-lukisan yang dipamer, saya teringat pada kamus bergambar yang biasa dibaca semasa kanak-kanak.
Latar belakangnya putih bersih. Lukisan tumbuhan disusun sebiji-sebiji di atas kanvas. Ada tumbuhan yang dikerat rentas, ada dilukis penuh. Kadang-kadang nama saintifiknya ditulis tangan.
Seperti karya Bendi/Okra oleh M. Aminuddin Osman, dalam satu kanvas dilukis pokok bendi, daunnya, buahnya serta keratan lintang dan tegak buah bendi. Ia menjelaskan struktur dan morfologi bendi secara penuh.
Ada juga yang memilih lukisan lebih rumit, seperti Yeo Eng Peng dengan karya Stages of Gold (lukisan nanas) dan Nature’s Purple Jewel (lukisan bunga senduduk).

Sebagai pakar cat air dan fotorealisme, Eng Peng memaparkan keindahan tumbuhan melalui permainan warna tanpa meninggalkan elemen pendidikan.
Malah, beliau menggunakan medium tambahan seperti gouache untuk Stages of Gold dan pen pigmen untuk Nature’s Purple Jewel.
Medium cat air juga boleh dimanfaat untuk memaparkan keindahan botani, seperti yang dilakukan Jamal Tumiran.
Pelukis yang dikenali sebagai Jamal Tommy itu banyak bermain dengan rona gelap untuk karya Bunga Kantan dan Jantung Pisang. Kedua-duanya bermain dengan komposisi padat untuk menonjolkan kegunaan setiap tubuh tumbuhan, terutamanya dalam masakan Melayu.
Sebuah ekstrakan perasaan
Sejak melihat kuntumnya mekar di halaman Balbuk Haus, Perlis beberapa tahun lalu, bunga telang menjadi bunga kegemaran saya. Ia malah dijelma indah dalam lagu Telang Ungu oleh Mohd Jayzuan dalam album Filokalis (2021).
Sebab itu, karya Bunga Telang (Clitora Ternatea) oleh Mohammad Shahrin Shaari antara yang awal saya teliti.
Keindahan ungu bunga telang dilukis dengan baik. Keseluruhan kanvas itu dilakar dengan warna terang dan lembut, buat saya teringat kembali kepada keindahan telang yang selama ini dinikmati secara audio.
Ia berbeza dengan karya Penyeri Rasa (lukisan bunga kantan) dan Asam dari darat (lukisan asam jawa) oleh Hashim Man atau Ubi Marchino.
Berkali-kali Encik Anuar, pegawai komunikasi korporat Balai Seni Negara mengingatkan kami para media, bahawa Ubi Marchino adalah pakar hutan. Dan ia terserlah pada keringkasan karyanya.

Saya percaya mereka yang sudah pakar dalam sesuatu perkara lebih senang melihat perkara tersebut dengan ringkas. Kerumitan untuk orang yang sedang belajar.
Ubi Marchino memilih untuk melukis sesuatu yang dekat dengan tema pameran, iaitu Rasa Alam. Dalam tafsirannya, gabungan kata rasa dan alam itu membawanya ke daerah gastronomi. Maka, bunga kantan dan asam jawa yang banyak digunakan dalam masakan dipilih.
Ah, lihatlah saya memandai-mandai dalam huraian karya di atas. Tapi ia jujur.
Sepanjang di Balai Seni Negara Langkawi, saya memandang karya yang ada dan cuba untuk mengekstrak perasaan yang timbul dari pandangan tersebut.
Sepulang dari Langkawi, saya pandang semula lukisan-lukisan yang ada dalam katalog dan membaca deskripsi oleh pelukis.
Apa yang anda baca di atas ialah ekstrakan perasaan saya yang dipicu karya-karya yang ada. Tak semua dapat dimasukkan.
Pameran Ilustrasi Botani: Rasa Alam akan berlangsung sehingga 31 Julai ini. Masih banyak masa yang ada untuk anda, kalau berada di Langkawi atau merancang untuk ke Langkawi, menikmati lukisan-lukisan yang ada.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
