“SENI lukis tidak boleh ubah politik. politik boleh ubah seni lukis,” kata pelukis lagenda Aris Aziz kepada kami. Kami lupa samada kata-kata ini adalah kata-kata dia sendiri atau dia mengambilnya dari orang lain.
Bersama Raduan Norudin dan juga Mior Salim, kami satu kereta ke Tanjung Malim bagi menghadiri pameran SEMUKUTISM di Galeri UPSI. Pameran yang terhasil dari penjelajahan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bersama beberapa universiti tempatan dan luar negara dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Tioman ke Kampung Salang dan Kampung Tekek di Pulau Tioman ini juga memperlihatkan karya-karya yang menakjubkan.
Baru-baru ini Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS) telah mengadakan mesyuarat agungnya dan A.Zaki Hadri telah dilantik sebagai presiden yang baru.
Agak menarik bila ini berlaku. Zaki yang juga bekas pengerusi Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA) ini agak muda jika dibandingkan dengan mantan presiden APS sebelum ini. Dan PeRupa pimpinannya sebelum ini juga adalah sebuah persatuan yang dianggotai oleh karyawan seni yang relatif muda.
PeRUPA juga terkenal sebagai sebuah persatuan yang agresif dalam mempromosi seni catan baik di dalam mahupun luar negara. Mereka juga mempunyai jaringan yang luas dengan artis-artis dari seluruh dunia. Tidak menghairankan apabila hampir semua aktiviti yang dijalankan oleh PeRUPA selalunya dihadiri oleh peserta dalam seluruh dunia.
Apakah Zaki berupaya ‘memudakan’ APS? Hanya masa yang menentukannya.
Apa yang pasti. seminggu setelah APS mengadakan mesyuarat agungnya, PeRUPA juga melakukan hal yang sama. Yang lebih menarik, setelah selesai mesyuarat pemilihan, PeRUPA dengan pantas telah mengumumkan senarai ahli jawatan kuasanya manakala APS yang terlebih dahulu bermesyuarat masih ‘merahsiakan’ anggota kabinet mereka sehingga artikel ini ditulis.
Mungkin Zaki gagal dalam usaha pertamanya untuk menjadikan APS lebih proaktif.
Persatuan-persatuan seni lukis di Malaya ini sememangnya agak rileks dalam bekerja. Yang menjadi tumpuan mereka adalah mengadakan pertemuan melukis bersama dan juga berpameran di bawah khemah. Mereka senang begitu dan kemudian mereka akan mula bersunggut apabila karya-karya ahli mereka tidak mendapat tempat di galeri-galeri persendirian.
Tidak ada satu usaha yang bersungguh untuk membentuk satu tindakan yang membuatkan ahli-ahli persatuan mereka dilihat sebagai kumpulan yang serius dalam memartabatkan hasil kerja mereka.
Lebih 10 persatuan yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Pelukis SeMalaysia (GAPs) itu sangat selesa menjadi kumpulan yang sangat mengutamakan kegiatan santai berbanding sebuah entiti yang diambil serius.
Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) misalnya sentiasa mendapat perhatian dari kerajaan baik dari segi kebajikan ahlinya mahu pun peruntukan kewangan kepada anggotanya. GAPs pula tidak pernah diketahui kewujudannya oleh mana-mana kerajaan. Mereka bergerak dibawah radar dan berkeluh kesah apabila tidak mendapat apa-apa peruntukan apabila kerajaan membentangkan belanjawan negara.
Tidak seperti persatuan penulis (PENA) misalnya, hampir tiada persatuan pelukis di negara kita yang memiliki bangunan sendiri. Mujur Balai Seni Negara sentiasa membuka pintunya untuk mana-mana persatuan yang mahu menggunakan bangunannya untuk bermesyuarat. Jika tidak, sambil ‘plein-air’ sambil mesyuarat agunglah jawabnya.
PeRUPA mempunyai peluang untuk pergi lebih jauh kerana seperti APS, mereka tidak tertakluk kepada GAPs. Ini adalah kerana ahli-ahli GAPs terdiri dari persatuan negeri manakala PeRUPA dan APS adalah dua persatuan yang bertaraf nasional.
Jika APS masih mahu bergerak seperti sebuah persatuan negeri yakni masih leka dengan aktiviti ‘plein-air’nya, maka PeRUPA harus bertindak menjadi persatuan nasional yang lebih penting.
Penglibatan dalam politik adalah tidak dapat dielak jika mana-mana persatuan pelukis mahu lebih maju. Politik bukan bermakna menyokong mana-mana pihak tetapi persatuan yang ada perlu lebih menonjolkan diri supaya dikenali.
Sebagai permulaan, nanti bila ada mana-mana ahli politik menang pilihan raya, buat poster besar-besar untuk mengucapkan tahniah kepada mereka misalnya.
Seperti kata Pak Aris, seni lukis tidak boleh merubah politik tetapi politik boleh merubah seni Lukis.

Berpersatuan seronok ..bila seronok Kita Lupa…pelukis mahir Melukis tapi untuk mentadbir perlu pentadbir, jaga kewangan perlu akauntan begitulah seterusnya….antara sebab kenapa persatuan sukan Banyak Yang ke laut….ahli sukan di lantik mentadbir, jaga perbendaharaan, ahli sukan jugak jadi setiausaha….hmmmm..
Salam perkenalan Tuan abdullah Jones. Saya berharap tulisan Tuan ini menjadi satu pemangkin untuk kemajuan seni lukis di Malaysia.