TANGGAL 2 Julai lepas saya ke pameran seni Artconomics, pameran solo ke-8 oleh Ali Nurazmal Yusoff bertempat di Galeri Seni Universiti Malaya. Menurut Pengarah Projeknya, Amin Sufian pameran ini terinspirasi daripada artikel yang ditulis oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 2021 sewaktu beliau menggalas jawatan Menteri Kewangan.
Dari namanya Artconomics, saya fikir ia satu istilah atau gagasan yang genius kerana menggabungkan ilmu seni (subjektif) dengan matematik (objektif) di mana ilmu yang kedua itu melibatkan nombor dan pengiraan yang sering ditakuti para artis. Namun, menjadi artis ada ketikanya perlu untuk menjadi serba boleh, multidisiplin– plan B yang wajib ada dalam poket – serta mempunyai perancangan dan hala tuju yang jelas (walau bergelumang dalam dunia keniskalaan bentuk/warna). Di sini Amin dan Ali Nurazmal telah menjumpai titik temu antara dua bidang yang berlawanan, seperti di atas neraca kedua-duanya saling mengimbangi, compelementary bak dalam roda warna, antara hijau dan merah. Dua warna yang biasa kelihatan pada catan-catan Ali sendiri.
Pameran ini dikurasi oleh Zena Khan dan Mohd Umair, menampilkan sejumlah 43 buah karya Ali yang dipilih dari koleksi kolektor-kolektor tempatan dan luar negara antaranya AFK Collection, Kuldip & Aage Aasmundsen, Pak Udin, dan juga termasuk koleksi artis sendiri.

Menelusuri perjalanan seni Ali dengan jenama ‘Alism’, beliau bermula secara independen melalui grup Studio Dikala Jingga yang dianggotai sekumpulan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan gaya abstrak realisme, melukis sejumlah potret dan figura anak-anak, beberapa mimik wajah sendiri yang ‘dibadutkan’ hingga karya-karya terkemudian, siri Ralik di mana sisi abstraknya mula memenuhi ruang kanvas menyembunyikan figura ‘penari yang sedang ralit’ di balik berlapis lorek warna. Perubahan atau evolusi gaya biasa berlaku pada kebanyakan artis tidak terkecuali Aris Aziz, yang juga merupakan mentor Ali sewaktu beliau belajar seni lukis secara informal di Central Market, ‘universiti para seniman outsider’ sekitar awal 80-an hingga akhir 90-an dahulu.
Daripada kesemua koleksi pameran Artconomics, ada beberapa catan yang membuatkan saya terpaku sejenak memandangkan kebanyakan karya dipamerkan sudah pernah dilihat di pameran-pameran terdahulu dan dilaporkan di akhbar dan majalah-majalah seni tempatan. Karya pertama berjudul Monumental: The Story of Floating Apple (2024), sebuah catan minyak atas kanvas. Lukisan besar sebiji epal yang berwarna seperti tembikai, dipotong elok membentuk peta Palestin. Saya sangka ini merupakan siri terbarunya untuk pameran solo akan datang, tapi telahan saya salah. Menurut Ali, sebelum ini banyak juga imej tembikai dilukis atas catannya cuma posisinya diletak pada tepi-tepi bingkai kanvas, sepertimana kisah kesengsaraan rakyat Palestin yang dialami sejak 1948 hanya sekadar berita ‘sampingan’ sahaja sehinggalah meledak menjadi berita besar bermula 7 Oktober tahun lepas.

Ali mengakui warna hijau, merah, hitam dan putih merupakan warna kesukaannya, mengikut sunah Nabi Muhammad SAW yang juga menggemari keempat-empat warna tersebut. Bahkan sewaktu membuat kerja-kerja bidang grafik dan reka bentuk dalaman pada satu ketika dulu beliau turut memasukkan komposisi warna-warna itu.
Satu lagi catan yang membuat saya terpegun seketika ialah Si Kario memaparkan figura seorang kawan Ali yang bernama Kirin. Kirin telah meninggal dunia pada tahun 2022 yang lalu. Catan ini dihasilkan sewaktu era Covid-19, arwah Kirin yang diberhentikan kerja kemudian berusaha melakukan kerja-kerja freelance, salah satunya membuat reka bentuk grafik dan katalog seni untuk Ali. Jarang pelukis melukis sahabatnya dan ‘diangkat’ keatas kanvas, kecuali susuk itu seorang yang amat istimewa. Memandangkan lukisan-lukisan lain memaparkan figure anak-anak, ayah dan diri Ali sendiri dalam warna monokrom, harmoni dan complementary maka painting yang berlatar warna gelap, mood sedih dan misterius ini sedikit menyentuh jiwa saya. Beginilah kerja-kerja pelukis dibaca, melalui luah rasa yang tidak terucap dengan kata-kata.
Setiap artis ada signature tersendiri membezakan dirinya dengan yang lain. Itu adalah ‘DNA’ yang terjalin di dalam karya seorang seniman. Antara signature Ali di atas catan ialah objek-objek bulat yang dilukis secara rawak seolah kesan ‘UV Spot’ dalam dunia percetakan, disapu dengan minyak linseed. Juga beberapa elemen jalur-jalur skematik warna dalam hue (rona), value (nilai) dan chrome (krom) tersendiri memandangkan Ali pernah bergelumang dalam dunia grafik dan percetakan.
Ali Nurazmal seperti yang disenaraikan oleh Tengku Zafrul sebagai salah seorang artis lokal bertaraf A-list dan jenama Alism itu sudah pun sebenarnya gah dan telah berjaya diangkat ke persada antarabangsa sejak tahun 2016 lagi di Art Stage Singapore kemudian pada tahun 2019 melalui ekspo-ekspo kesenian di Nanjing Art Fair International, Art Taichung, Hotel Art Fair (Bangkok) dan The 8th Shanghai Citizen Art Fair. Taip saja nama Ali Nurazmal di enjin carian Google atau pergi terus ke laman webnya, www.alism.world maka terpapar pelbagai kejayaan dan anugerah yang pernah dirangkul beliau. Dalam dunia seni halus, beliau tidak perlu diperkenalkan lagi.
Artconomics pada hemat saya, adalah satu projek pameran selain menjambatani antara dua bidang praktik ia juga bertujuan secara tersirat memberi motivasi dan petunjuk kepada para pelukis junior, yang sedang berjuang bersengkang mata dalam studio-studio seni di kolej dan universiti tempatan, bagaimana mencari jalan dan merebut peluang untuk menempa nama sebagai pelukis profesional. Alism adalah salah seorang mentor yang perlu dirujuk.
Ada satu anekdot yang diceritakan Ali dalam bukunya, My Way (2020):
Pada satu hari sekitar 33 tahun lepas di ruang makan sebuah rumah kuarters, seorang pegawai polis bermisai tebal yang amat cengé (garang) menyuruh anaknya melukis sebiji epal yang diletakkan di atas meja makan. Pada mulanya, anak itu melukis dan mewarnakan epal itu merah seperti biasa. Kemudian si ayah suruh perhatikan dengan lebih teliti. “Perhatilah. Hang akan nampak banyak warna. Kali ni lukis apa yang hang nampak.” Kemudian, barulah anaknya itu perasan ada bermacam-macam warna di kulit epal dan mula bereksperimen dengan melukis epal berwarna biru dan tertanya-tanya bagaimana rasanya epal biru? Dia melukis pula epal dalam warna jalur pelangi dan daya imaginasinya diteroka lagi hingga menukar terus bentuk epal yang asal. Akhirnya, budak itu didenda dua minggu tak boleh keluar rumah.
“Semuanya bermula dengan sebiji epal, dan aku fikir (pada waktu itu) epal adalah buah tempatan.”
– M. FAREZ KARIM ialah seorang usahawan seni (artrepreneur) yang adakala mereka bentuk grafik buku, menulis secara eceran di mana-mana portal dan menulis puisi di platformnya sendiri, sajak.mfarez.com. Beliau menubuhkan sebuah penerbitan mandiri Studio Kaukab sejak tahun 2013, yang telah menerbitkan lebih daripada 10 judul buku, kebanyakannya dalam genre sastera/puisi. Judul terbaru terbitan Studio Kaukab ialah zine puisi ‘Waktu yang lahap mengunyahku’ karya Ibnu Din Assingkiri.
