Mengenang dua acara buku besar yang saya sertai dua bulan ini, ingatannya berwarna-warni macam skrin yang pecah, trippy macam terkesan dadah psikedelik sebab secara keseluruhannya, secara restrospektif, memori yang terjana sangat beraneka.
Saya maksudkan KL Zine Etc. (KLZE) 2026 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada Ogos serta Bazar Buku Antarabangsa Johor (BBAJ) di Paradigm Mall, Johor Bahru pada September. Dua artikel terakhir saya di Seni Malaya juga tentang dua acara itu, cuma kali ini saya memilih untuk menulis secara makro, menyimpul kenangan dalam kedua-dua acara itu.
Lalu dalam aneka ingatan yang terbit, saya memilih hal paling mustahak dan untuk menulis tentang hal itu, saya ambil pedoman esei pembuka dalam buku Algorifobik: Alternatif Resah Algoritma oleh Zim Ahmadi, tajuknya Maybe the Scene are the Friends We Made Along the Way. Tajuk itu yang saya terjemah dan ubah menjadi tajuk artikel ini.
Sebab dalam Algorifobik, Zim menyimpul kenangannya menulis tentang muzik melalui sosok-sosok kawan yang dia jumpa. Saya juga berfikir begitu sebab dalam dua acara itu, walaupun terasnya ialah buku, yang mengikat ingatan saya ialah kawan-kawan, yang baru dan yang lama, yang rapat dan yang longgar.
Dalam kedua-dua acara itu, saya masuk melalui dua entiti berbeza. Di KLZE, saya berdagang secara peribadi menggunakan penerbitan sendiri, Colang Amai. Saya betul-betul berseorangan—sendiri angkut buku, sendiri susun meja, sendiri kira jualan. Tapi di sekeliling, ada kawan-kawan yang buat pengalaman berdagang itu menarik.
Di BBAJ, saya datang sebagai penulis Rabak-Lit dan menjadi resam penerbitan alternatif, saya juga membantu menggerakkan operasi Rabak-Lit—tolong jadi promoter, moderator acara, dan kadang-kadang juga jadi cashier.
Ladang sayang KLZE
Berdagang seorang diri, kalau ikutkan hukum dan disiplin bisnes, kena kerja keras dan kurang rehat, sebab kita kena sentiasa ada di meja untuk menyambut pelanggan dan potensi pelanggan. Tapi saya penulis yang pakai jaket peniaga, jadi segala hukum dan disiplin saya letak tepi. Selang dua jam, saya hilang pergi hisap rokok. Dalam dua jam itu, kadang-kadang, saya hilang pergi lepak booth kawan-kawan. Patutlah tak kaya.
Di KLZE, saya berjumpa Beduk Logam, Adam Suharto, Ahmad Pipit, Azan Kawah, Sue Emoqwin, Zaidi Kedai Hitam Putih (KHP), Jasad Bersiong dan ramai lagi. Kami banyak luang masa merokok bersama, atau saya ke booth mereka untuk berbual. Melalui rakan-rakan itu juga, saya berkenalan dengan Asari dan Lestari dari Kolektif Arungkala, mereka datang dari Yogyakarta.

Sebahagian persahabatan yang terbina di KLZE, paksinya ialah rokok. Ketika merokok kami banyak berbual, malah banyak juga yang dibual adalah tentang rokok sebab Zaidi, selain menjual buku-buku KHP, juga jual pek rokok daun bersama poskad sebagai cenderahati. Saya mula menegur Asari juga ketika merokok, kemudian saya menawarkan sekotak Rothmans Charcoal dengan baki kira-kira 10 batang, sebab selepas biasa hisap kretek, rokok 7E dah terasa macam lipas di mulut saya.
Selama dua malam juga kami melepak di Al-Haji Bistro, Kampung Attap. Itu kedai mamak yang nostalgik sebab dulu, waktu Petai Belalang masih di Kampung Attap, itulah tempat melepak sebelum dan selepas gig.
Malam pertama, mejanya lebih panjang dengan lebih ramai ahli, termasuk Andrialis Abdul Rahman dan Fishah Azmi, dua orang yang saya selalu jumpa dalam acara separa akademik atau acara yang ada Bang Tapa Otai, yang saya baru tahu mereka juga banyak bikin zin di bawah nama Imagizine.
Malam kedua, malam terakhir selepas KLZE tamat, meja kami lebih pendek tapi bualnya lebih peribadi, intim walaupun masih tentang scene buku dan zin, kebanyakannya. Sosok Alynn Sharuddin jadi penggerak perbualan; malam pertama Alynn ada juga, tapi meja panjang itu seperti terpecah dua, dan Alynn aktif di bahagian yang saya pasif.
Saya kenal Alynn dari Facebook rasanya tapi kami tak banyak berinteraksi, mungkin ada sekali dua berbalah politik, kemudian saya dapat tahu dia agak rapat dengan kakak saya. Antara momen tiber yang saya ada dengan, mungkin paling sesuai disebut sebagai kawan-kawan ideologi. Cringe tapi itu istilah yang dapat difikir. Cuma malam itu, saya dapat rasa seronoknya berbual tentang scene sebab saya biasanya tak peduli sangat apa yang terjadi.
Kawan baru dan kawan lama
Di BBAJ, saya banyak kenal orang baru dan ia sangat menyenangkan. Suasananya tak sama dengan KLZE yang lebih mandiri, lebih frinjan; BBAJ yang dianjur Perbadanan Perpustakaan Awam Johor pastinya lebih formal, kerajaan, nerda, awam dan banyak pelanggannya sekali pandang kita tahu ada degree.
Di Johor, kenalan baru yang dijumpa banyak dari lingkungan rockers sebab sosok paksinya ialah Nasir Jani. Ajaibnya pengalaman di Johor, dan saya fikir ini berkat hati baik dan ramah Izzat Amir, tauke Rabak-Lit dan FK Sneakers, begitu banyak tangan yang membantu kami tanpa diminta.
Rabak-Lit datang dengan tenaga kerja minimum, boleh kata hanya saya dan Izzat, bersama Pak Nasir yang membantu dengan sedaya kudratnya, tapi semua urusan jadi mudah dengan tangan-tangan yang membantu. Pastinya yang banyak berjasa ialah Syed Qais, pengasas penerbit komik Kemves Studios yang berkongsi tapak dengan Rabak-Lit, dan dia dengan sukarela membantu Izzat mengoperasikan booth apabila kami berdua tiada. Kemudian, barisan buskers Ohmygais, Bang Yus, Bang Azmi, Bang Kamm dan penyajak Johor bersuara guruh, yang namanya juga Yus, jadi kami panggil dia Angah sentiasa ada dan membantu kami dari waktu pasang sampai kemas booth.
Yang paling besar jasanya pastinya Hakimi Karim sebab dia sentiasa ada dari hari pertama kami sampai hingga ke akhir, menjadi pemandu dan penunjuk arah, jadi sekuriti ketika sesi autograf, malah jadi promoter dan cashier kadang kala. Hakimi juga yang membawa saya ke Burger Kerajaan, di Medan Selera Tepian Tebrau, yang harganya langsung tak ikut kadar inflasi semasa.
Di Johor juga, hampir setiap malam kami diziarahi tetamu. Mereka datang, pastinya untuk berbual dan bersantun dengan Nasir Jani, tapi saya dapat limpahan silaturrahimnya. Hari Sabtu, pelancaran buku ‘Kita Bikin Sejarah’ jadi hari penuh rahmat dengan ramainya tetamu yang kami jumpa, termasuk yang datang makan dan melepak lama di rumah sewaan kami.

Hari itu, saya berjumpa semula dengan Sariy dari kolektif Malaya Roll yang saya dah lama tak jumpa, juga ada Bang Ronasina yang tumpang bermalam dan kali pertama juga berjumpa Daus, yang sangat Johor dan jernih hati. Daus, tanpa diminta, membantu mengawal pengunjung ketika pelancaran Kita Bikin Sejarah. Kalau dia tak ada, Qais pening kepala.
Paling manis, saya fikir, ialah bertemu berkali-kali dengan Syima Azlan, bertegur sekejap dengan Nadhirah Hamzah, kawan sepengajian dari UPSI dan menyapa Toya, gitaris Laila’s Lounge yang saya hantar gambar bersamanya kepada Hadi Jaafar. Dan dalam kesempatan ini saya mahu beritahu, kalau tiba-tiba Hadi dan Toya ada projek bersama nanti, saya ada saham dalam merealisasikannya.
Kalau mahu disebut semua nama, saya sendiri tak mampu sebab terlalu ramai yang datang bersapa, berborak, berkongsi cerita dan pandangan. Tapi yang pasti, BBAJ jadi tempat saya segar berbual pelbagai topik dan ia jadi peristiwa besar untuk saya pada 2026. Kalau awak ingin tahu wajah nama-nama yang saya petik di atas, saya tak boleh nak letak semua gambar di sini, jadi lihatlah dari post Instagram saya ini.
Segembira dan seseronok ini
Banyak hal yang saya cuba capai dengan menjadi penulis. Salah satunya, mungkin secara separa sedar dalam kebanyakan masa, ialah membuat kawan. Dan saya tahu, kata-kata yang saya tulis akan memandu saya bertemu lebih ramai kawan nanti, dan menghubungkan saya dengan kawan-kawan yang sedia ada. Selagi badan mengandung nyawa.
Tapi dalam masa sama, saya juga sedar kelemahan sendiri yang sukar menjaga hubungan dengan orang dalam dunia nyata, sebab ingatan tentang orang selalu ada dalam kepala; saya suka membelek gambar dan tulisan lama yang menghubungkan saya dengan kawan-kawan, tapi ia selalu berakhir dalam kepala saja.
Untuk selalu berjumpa atau berbual melalui telefon, itu bukan kepakaran saya. Begitulah biasanya keadaan saya dengan kawan-kawan yang dah terpisah jarak, baik kawan sekolah, universiti atau tempat kerja lama. Cuma saya harap mereka tahu, imej mereka selalu ada dalam kepala.
Saya ikut serta Pesta Buku Alternatif KL (KLAB) pada awal tahun, kemudian Pesta Buku Antarabangsa KL (PBAKL) pada pertengahan tahun, tapi tidak pula besar impaknya pada ingatan seperti KLZE dan BBAJ. Mungkin novelty effect, kedua-duanya kali pertama, tapi yang pasti, kenangannya sangat menggembirakan.
Saya cuma berharap, dalam lemah dan berdosanya saya, Tuhan masih mahu izinkan saya mendapat pengalaman seseronok ini pada masa hadapan. Mungkin dalam acara sama, mungkin berbeza. Perinciannya saya serah pada yang menulis takdir.
KU SYAFIQ KU FOZI adalah penulis dan juga pemerhati perkembangan muzik dan hal-hal lain berkaitan dunia kontemporari & subbudaya. Sokong dan langgani artikel beliau di: substack.com
