Kami ke Langkawi untuk buat liputan Bakat Muda Sezaman (BMS) ke-29 tapi dah tiga artikel, masih belum ada cerita BMS yang ditulis Abdullahjones. Dah hampir dua bulan sejak kami ke sana, dia masih menulis tentang makanan, sembahyang dan orang.
Tapi saya fikir, itulah besarnya Abdullahjones sebagai penulis. Dia tak ikut orang, orang ikut dia. Apatah lagi di Senimalaya. Kalau editor marah, dia boleh ungkit jasanya yang dah bertahun mempopularkan portal ini.
Dalam artikel terbaru, dia petik saya dan Abang Tapa. Dia kata saya dah tak indie sebab pakai seluar besar. Saya beristighfar lalu memaafkan, sebab tak guna juga nak marah-marah Bang Dolah bila masuk bab indie ni. Dia masih melihat indie sebagai Jayzuan.
Untuk pengetahuan Bang Dolah, budak indie sekarang memang suka pakai seluar besar. Dunia bergerak dan berubah, dan semua ini boleh diikut rapat jika kita ada telefon bimbit.
Di Langkawi, untuk maklumkan pergerakan pasukan media, saya ambil tanggungjawab menghubungi Bang Dolah menggunakan telefon di bilik hotel.
Kun, fayakun
Dr. Kamal Sabran menulis tentang kun fayakun di Substack. Berbekalkan rujukan Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, Dr. Kamal ambil perspektif seniwan dalam menanggap makna kun fayakun.
Artikel itu datang seakan pujukan buat saya yang sedang sibuk mengusahakan pelancaran sebuah portal muzik. Hari-hari tenung skrin, menyusun apa yang perlu dibuat, kemudian buat apa yang perlu dibuat, kemudian susun lagi, betulkan apa yang silap, susun lagi. Penat.
“Bergantung pada Sumber, bukan instrumen,” tulis Dr. Kamal. Mungkin saya terlalu banyak merancang, tak banyak berserah.
Tapi apa yang dikongsi Dr. Kamal sangat baik diteliti pada seniwan, dalam apa bidang sekalipun.
Dan pada tahap ini, saya harap awak semua sudah selesa apabila saya gunakan perkataan seniwan. Itu perkataan seniman yang saya gubah supaya jadi gender-neutral.
Antara perkongsian yang menarik dari Dr. Kamal adalah tentang ilham, atau jalan. Katanya, “Laluan tak muncul pada yang menunggu, tetapi pada yang berjalan. Dalam tasawuf, keikhlasan selalu diberi ganjaran panduan.”
Yang saya faham, ilham-ilham seni tak datang tiba-tiba macam mimpi. Kita perlu berusaha, berjalan dan berserah. Kadang-kadang jalannya jauh, sampai tiga artikel, tapi kalau kita terus berjalan dan ikhlas pula berusaha, jalannya akan muncul.
Bila baca perkataan tasawuf, saya pun teringat pada Bang Dolah. Saya pun tak pasti kenapa, mungkin sebab rambutnya selalu rapi.
Ketika ke Pulau Tuba, Bang Dolah nampak gembira sebab ada kawan. Dari mula sampai habis, dia berkepit saja dengan Dr. Jalaini. Malah, dia tak ikut pasukan media lain sepanjang berjalan di pulau itu. Dia naik buggy kuning dengan orang penting balai.
Sebab naik buggy, dia tak perlu jalan jauh-jauh nak tengok kerja seni johan BMS di tengah bendang.
Tapi saya bersyukur juga sebab dia ada. Dapat juga saya dengar cerita dia dan Dr. Jalaini tentang pengalaman mereka berkampung di Pulau Tuba suatu masa dulu, yang saya dah lupa apa yang diceritanya. Saya masih ingat mi udang.
Selepas lawatan ke Pulau Tuba, Bang Dolah dan Dr. Jalaini ajak saya pusing-pusing Langkawi menaiki kereta yang ada drebar. Sayangnya saya tak dapat ikut sebab terikat kerja buat majalah. Sebab itu saya rasa tak banyak masa yang diluang dengan Bang Dolah sepanjang di Langkawi itu.
Dan tak banyak juga yang saya boleh cerita tentang dia sebab penampilannya tak berubah. Apabila menjengah ke satu-satu usia, memang kita jarang ubah penampilan. Begitulah resminya.
Cara fikir jadi cara buat
Bagi saya, apa yang dikongsi Dr. Kamal ialah cara yang sepatutnya seorang seniwan, Muslim khususnya, berfikir.
Ketika menemubualnya suatu masa dulu, Dr. Kamal ada kata, kalau karya itu dikerjakan seorang Muslim, mahu tak mahu, akan terpancar ke-Islam-an dalam karya itu. Saya tertanya, bagaimana pancaran itu boleh ada?
Awalnya, saya fikir syariat. Contohnya, seorang pengarah filem Muslim akan mengawal kandungan filemnya mengikut syariat, maka terpancarlah Islam dalam filem itu. Tapi sekarang, saya fikir, itu hanya pancaran kecil.
Lebih besar lagi ialah cara fikir. Setiap agama ada tuhan masing-masing tapi cara kita berserah itu berbeza. Cara berserah, seperti yang dikongsi Dr. Kamal dalam artikel Substack itu, yang akan membentuk cara fikir dan mempengaruhi rupa karya yang dihasilkan.
Dan mungkin Muslim yang dimaksudkan Dr. Kamal bukan Muslim IC.
Tulis Dr. Kamal, mungkin, rahsia kun fayakun bukan pada kuasa untuk menjadikan tetapi kearifan untuk menyerah pada Dia yang menjadikan.
Dan dia tulis lagi, semakin dia menua, semakin dia sedar yang kreativiti terdalam timbul bukan dari kawalan, tetapi percaya.
Dr. Kamal guna perkataan “trust”, bukan “faith”, dan itu buat saya tertanya-tanya.
Dan ketika Dr. Kamal memetik dirinya yang semakin tua, teruslah ingatan saya sampai pada Bang Dolah yang sejujurnya, buat saya teringat pada arwah Bang Irwan juga.
Dalam menunggu ulasannya tentang BMS, ada masanya saya tewas juga dengan amarah, tapi saya semakin faham yang ia bukan untuk ditunggu. Kalau Allah kata jadi, maka jadilah.
KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik dan lain lain hal berkaitan dunia kontemporari & subbudaya. Sokong dan langgani artikel berbayar beliau di: substack.com

👍