“Pasaipa?” Itulah kata-kata atau soalan balas yang selalu saya dengar selepas menceritakan sesuatu kepada Nud’s atau dikenali juga sebagai Nudin, nama pena bagi Amiruddin Alias, kartunis terkenal majalah Gila-Gila yang dilahirkan di Kampung Kuala Poh, Sauk, Perak pada 10 Januari 1966 dan meninggal dunia pada 5 September 2026 yang baru lalu.
Mungkin, pertanyaaan itu jugalah yang mendasari kerja-kerja kreatifnya yang tajam, menyentuh atau mempersoalkan sesuatu, mencari punca dan jawapan, dalam isu-isu yang dibangkitkan atau dirakamkan, terutamanya dalam kartun-kartun editorialnya.
Dia bertanya pasal apa, mengapa dan kenapa sesuatu perkara itu terjadi? Rasa ingin tahu itu menjadi katalis untuk dia berkarya, mencari punca, sebab sesuatu terjadi, dan kesan juga akibatnya.
Kartun-kartun editorial Nud’s yang pernah disiarkan dalam akhbar Berita Harian telah diterbitkan dalam bentuk antologi bertajuk Lawak Orang Malaysia oleh PTS Pop Sdn. Bhd. pada tahun 2012.
Hal ini dijelaskan oleh Wan Zuhairi, Pengurus Penerbitan PTS dan Komik-M, yang turut menyebut bahawa Nud’s juga melukis kartun-kartun baharu khas untuk Komik-M yang kemudiannya diterbitkan dalam buku berjudul Lawak Sembang Binatang (2014). (Komunikasi WhatsApp bersama Penulis, Khamis, 1 Oktober 2026).
Dalam Lawak Orang Malaysia, Nud’s menampilkan pelbagai isu sosiobudaya dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia.
Dia kelihatannya tidak begitu cenderung dengan hal-hal politik secara khusus, tetapi lebih menjurus kepada hal-hal kebajikan umum, misalnya soal pencemaran dan pemuliharan alam sekitar, demam Piala Dunia, jenayah rasuah dalam sukan dan tempat kerja, kesalahan memandu di jalan raya, hutang PTPTN, perihal PLKN, bahaya merokok, kes buli, isu kenaikan harga barang, banjir, dan hal-hal rumahtangga.
Jenakanya sederhana, tetapi persepsi dan sindirannya tajam.
Gaya lukisannya bersih dan kemas, diungguli dengan aplikasi pelbagai garis, padu dan padat dalam menyampaikan isu, mesej dan makna. Itulah sifat asas kartun editorial, ringkas, padu dan padat dalam menyampaikan maksud dengan cepat dan berkesan, berupaya menyimpulkan isu-isu yang kompleks hanya dengan beberapa garis.
Dalam buku Lawak Sembang Binatang (2014) pula, Nud’s menampilkan watak-watak haiwan yang melakonkan perangai dan tingkahlaku manusia.
Haiwan menjadi kiasan atau metafora kepada sifat dan perilaku manusia, yang buruk dan yang baik dengan mengambil kira sifat serta perangai ataupun andaian terhadap sesuatu haiwan yang kerap kali diberikan oleh manusia, seperti biawak yang bercabang lidahnya, zirafah yang tinggi lampai, jerung yang ganas, konotasi ayam jantan dan bapak ayam, ataupun ular si pembelit yang licik.
Kartun-kartun ini sebenarnya adalah kiasan perihal manusia yang bertopengkan haiwan.
Dalam catatan autobiografinya pada bahagian akhir buku Lawak Orang Malaysia, Nud’s berterima kasih kepada sebilangan kartunis yang menjadi mentornya.
Tulisnya: “Akhir kata, terima kasih tidak terhingga kepada para mentor saya, Lat, Jaafar Taib, Don, dan Allahyarham Rejabhad. Tidak dilupakan juga kepada guru-guru saya, warga kerja Berita Harian, keluarga serta penerbit-penerbit yang pernah menerbitkan buku saya. Kartun kita, wajah kita” (2012: 122).
Blurb buku itu pula menjelaskan, “Nud’s @ Nudin adalah pelukis komik legenda tanah air. Sebilangan besar pelukis komik hari ini membesar dengan komik beliau yang kebanyakannya diterbitkan di majalah Gila-Gila. Beliau juga adalah pelukis komik kegemaran Lat. Membaca komik ini, pasti membuatkan kita ketawa. Malah, kita akan ketawakan diri sendiri tanpa kita sedari. Memang seronok ketawakan diri sendiri”.
Hal ini pernah dinyatakan oleh Lat dalam “Apa Kata Lat…”, pengantar buku Nud’s Sembang-Sembang (Creative Enterprise Sdn. Bhd., 1996: 1), “Dapat saja GILA-GILA cepat-cepat singkap ke muka surat yang gerenti beri ‘instant ketawa’. Bagi saya ada dua: tak kira yang mana dulu, iaitu:- i) Halaman Mekar di GG – tentu ketawa punya dek jenaka kebudak-budakan oleh kartunis yang masih berhingus. ii) Mestinya ‘Sembang-Sembang’ kartun Nud’s yang simple tetapi dalam maknanya.
Tentu ketawa, kelakar habis. Kemudian barulah fikirkan siapa di antara kita yang sudah terkena sebijik dek penangan pena si Nud’s. Jangan-jangan yang tengah baca ni sendiri tak?
Apa-apa hal pun, kepada anda yang memegang buku ini saya ucapkan selamat menyingkap maksud yang tersirat dan ketawa, menangis biarlah bersama. Jangan mengilai sudahlah. LAT”.
Dalam catatan autobiografinya di Lawak Orang Malaysia ini juga, Nud’s menulis bahawa berkat kesabaran dan kesungguhan berkarya dan mencuba dengan mengirimkan karya-karya kartunnya, akhirnya kartun pertamanya tersiar dalam majalah Gila-Gila, malahan dia juga berasa amat gembira kerana ekoran daripada itu dia menerima sepucuk surat daripada Rejabhad, yang disifatkannya dan banyak kartunis lain ketika itu sebagai “Raja Kartun Malaysia”.
Memang banyak kartunis baharu khususnya dalam majalah Gila-Gila pada akhir dekad 1980-an dan awal 1990-an yang menerima bimbingan daripada Rejabhad dalam memahami teknik, membentuk konsep dan pendekatan berkarya. Malahan Pak Jab juga kerap mengendalikan bengkel melukis kartun di samping menerbitkan nota-nota bimbingan melukis kartun dalam Gila-Gila.
Seperkara yang mungkin dapat dilihat dalam karya-karya Nud’s ialah falsafah atau prinsip berkarya Pak Jab yang sering ditekankan kepada kartunis-kartunis di bawah bimbingannya, iaitu Konsep 3M, bahawa kartun itu harus “Menghibur, Mengajar dan Menyedarkan” (Rejabhad, 1990 dalam Muliyadi Mahamood, Kartun dan Kartunis di Malaysia, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2017: 179).
Justeru itu, kita dapat merasakan bahawa karya-karya Nud’s kelihatannya menghibur, sambil menegur dan mendidik secara halus, selaras dengan salah satu peranan penting kartun editorial untuk memberikan kesedaran terhadap sesuatu isu di kalangan masyarakat pembaca.
Ekoran daripada pendekatan humor yang halus dan sinis, penggunaan bahasa yang betul serta ciri-ciri 3M yang dimaksudkan, saya kadang-kadang merasakan bahawa karya-karya Nud’s itu seperti jelmaan kepada karya-karya Rejabhad.
Dalam catatan autobiografinya itu, Nud’s juga berterima kasih kepada kartunis Don yang menawarkannya berkarya di majalah humor Batu Api. Namun begitu menurut Nud’s, majalah itu tidak kekal lama dan dia kembali menganggur. Ketika melalui fasa dilema sama ada hendak terus menjadi kartunis ataupun mencari kerjaya lain, Jaafar Taib menawarkannya berkarya dalam majalah Gila-Gila.
Nud’s berasa amat teruja dapat berkarya di bawah satu bumbung dengan kartunis-kartunis legenda tanah air di majalah itu dan amat bersyukur dapat menerbitkan dua antologi kartun berjudul Sembang-Sembang (1996, cetakan kedua 2007) dan Once Upon A Time (2008), bersama Creative Enterprise Sdn. Bhd., penerbit majalah Gila-Gila.
Sewaktu bertemu dengan Jaafar Taib baru-baru ini, saya telah bertanya kepadanya perihal kartunis Nud’s, iaitu apakah yang paling beliau ingat mengenai kartunis itu.
Daripada jawapan Jaafar Taib itu, saya dapat membuat kesimpulan bahawa Nud’s adalah seorang yang agak pendiam dan tidak begitu ambil pusing dengan hal-hal yang remeh-temeh di sekitarnya.
Dia fokus dengan kerjanya. Mungkin dengan sikap yang agak pendiam itu, dia sebenarnya menjadi pemerhati yang tajam, seperti tercermin dalam kartun-kartunnya yang menyentuh hal-hal sosiobudaya dalam masyarakat (Perbualan dengan Jaafar Taib, Khamis, 1 Oktober 2026 di Restoran Firdouse, Jalan Kucing, jam 3.45 hingga 4.15 petang).
Berbanding dengan kartun editorial, Nud’s sebenarnya lebih dikenali menerusi karya-karya kartun yang bersifat nostalgia, merakam dan mengimbau kenangan-kenangan lalu, terutamanya kehidupannya semasa kanak-kanak. Kehidupan zaman itu, kebanyakannya bersifat universal, dialami juga oleh banyak kanak-kanak lain seangkatan umur Nud’s.
Kerjaya Nud’s sebagai seorang kartunis bermula dan mencapai kemuncaknya pada dekad 1990-an, khususnya dalam Majalah Humor Nasional Gila-Gila terbitan Creative Enterprise Sdn. Bhd.
Di samping Nud’s, dekad 1990-an menyaksikan kelahiran beberapa kartunis baharu lain dalam Gila-Gila yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam mencorakkan persembahan kartun dalam majalah itu.
Antara lain, mereka terdiri daripada Ambo, Asan, Roy, Azhar Senapons, Aloy, Baha, Nik, Gayo, Kid, Azam, Cik Li, Nat, Amir Astar, De’ Usof 5050, Yob, dan Ramzahurin.
Muncul dalam Gila-Gila pada awal tahun 1990-an, karya Nud’s “Sembang-Sumbang” mula tersiar dalam majalah itu pada keluaran ke-301 (15 Mac 1991: 30-31).
Ruangan ini menampilkan ilustrasi kartun yang disertakan teks atau kapsyen di bawahnya, dan kadang-kadang disertakan belon dialog bagi watak-wataknya. Ia mengupas isu-isu dan hal ehwal semasa dalam kehidupan seharian masyarakat secara sinis dan penuh sindiran.
Pada tahun 1992, ruangan “Sembang-Sumbang” kemudian ditukar namanya kepada “Sembang-Sembang”.
Seorang pembaca telah meminta penjelasan daripada Ketua Pengarang mengenai nama sebenar ruangan ini dalam kolum “Hai KP” (Gila-Gila No. 343, 15 Disember 1992: 6). Jelas KP: “Semasa baru lahir dinamakan SEMBANG-SUMBANG, apabila dah dewasa tukar nama SEMBANG-SEMBANG. KP- ada banyak nama” (Muliyadi Mahamood, Gila-Gila: Gaya dan Tema Kartun 1978-2008. Institut Terjamahan dan Buku Malaysia, 2017).
Pada tahun 1992, Nud’s memulakan siri kartun jenaka baharu berjudul “Dua Budak Botak” (Gila-Gila No. 332, 1 Julai 1992: 92), iaitu kisah telatah dua budak nakal berkepala botak. Pada tahun 1994 pula, Nud’s menjadikan pengalaman diri sebagai sumber inspirasi untuk menghasilkan siri kartun popular ”Once Upon a Time” yang kemudiannya dibukukan pada tahun 2008.
Bagi banyak kartunis, pengalaman hidup sendiri merupakan sumber inspirasi yang cukup penting dan bermakna.
Banyak karya besar diolah menerusi pengalaman sendiri, dalam konteks seni lukis kartun negara ini, seperti Lat menerusi Kampung Boy(1977) dan Town Boy (1981), ataupun Ujang menerusi Aku Budak Minang (2006). Oleh kerana pengalaman adalah cerminan kehidupan kartunis itu sendiri, ia begitu sebati dengan diri dan lebih mesra untuk diolah sebagai subjek karya seni.
”Once Upon a Time” bukan sekadar karya autobiografi yang merakamkan zaman kanak-kanak yang dilalui Nud’s, tetapi juga mencerminkan zaman kanak-kanak yang universal yang turut dirasai oleh kebanyakan khalayak pembaca seangkatannya. Di samping bersifat nostalgia, terdapat juga kisah-kisah yang masih relevan dan berlaku pada masa sekarang.
Nud’s menyingkap kejenakaan yang melingkari zaman kanak-kanaknya, bersama keluarga, ibu, bapa, rakan-rakan dan masyarakat sekelilingnya. Ia pengalaman benar, yang ada kalanya dibandingkan dengan suasana kehidupan sekarang.
Contohnya, kalau dahulu, ada sejenis sabun dipanggil ”sabun cap kapak” yang boleh digunakan untuk semua perkara, kini ada sabun khusus untuk setiap satu perkara: mandi, cuci pakaian, basuh pinggan, dan lantai. Dahulu ada pelbagai jenis kalendar, termasuk yang memaparkan gambar perempuan seksi yang cuma disimpan oleh bapa dalam almarinya.
Kalau dahulu waktu tivi, tiada radio adalah sumber maklumat bagi segala-galanya: hiburan, berita, iklan, dan drama, kini masyarakat punya banyak pilihan. Seperti hari ini, semasa Nud’s kecil, hari raya dilihat sebagai hari paling gembira untuk kanak-kanak yang mendapat banyak duit raya, tetapi habis dibelanjakan dengan membeli mainan tikam-tikam, sejenis mainan cuba nasib untuk mendapatkan hadiah berbentuk tunai atau mainan dan jajan.
Nud’s menggambarkan dirinya sebagai seorang kanak-kanak biasa yang sederhana. Ada banyak cita-cita, seperti mahu menjadi pengawas di sekolah, tetapi tidak memenuhi syarat-syaratnya; mahu menonton filem Hindustan di pekan, tetapi kehabisan tiketnya, ataupun mahu berlumba basikal di kampung, akhirnya jatuh terlentang.
Banyak aksi yang diakhiri dengan humor luar jangkaan. Pendekatan inilah yang mewujudkan kejenakaan dalam ”Once Upon a Time”. Karya ini sebenarnya bukan sekadar catatan nostalgia alam kanak-kanak yang dilalui kartunis, malahan mencerminkan kisah-kisah umum yang turut dialami banyak pembaca.
Hal ini memungkinkan siri ini cukup bermakna bagi kartunis dan khalayak yang membacanya. Ia tentang diri pengkarya dan masyarakat di sekitarnya. Dalam konteks ini, Nud’s adalah seniman masyarakat yang peka akan alam sekelilingnya.
Pendekatan Nud’s kini dapat kita hayati dalam karya-karya kartunis Aku Napie seperti Satu Kenangan (Anithink Consultant Sdn. Bhd., 2023) dan Memories (Anithink Consultant Sdn. Bhd., 2023).
Apabila kartunis Zunar yang memulakan kerjaya sebagai kartunis Gila-Gila pada tahun 1983 mengambil keputusan untuk berhenti dan meninggalkan syarikat Creative Enterprise pada tahun 1991 untuk bekerja sendiri dan menjadi kartunis sepenuh masa, siri kartun popularnya “Ofis Corner”, “Liza” dan “Gebang-Gebang” masih diteruskan untuk beberapa ketika sebelum diambil alih oleh Nud’s dengan mengekalkan kosep asalnya pada keluaran 15 Julai 1991.
Siri kartun “Liza” memaparkan watak-watak lucu Kadok yang menagih cinta daripada Liza menerusi dialog dan aksi yang padat dan penuh jenaka. Konsep kartun yang sinis dan lucu itu berjaya diolah dan dipersembahkan dengan baik oleh Nud’s. Malahan, karya-karya Nud’s yang lain juga memperlihatkan ketajaman kritikan sosial sepertimana dilakukan oleh Zunar.
Penghijrahan kartunis Nud’s ke negeri abadi merupakan satu kehilangan besar bagi dunia seni kartun tanah air, para peminat dan rakan-rakan kartunis yang akrab dengannya.
Karya-karyanya yang tajam dan lucu, serta membangkitkan nilai-nilai nostalgia pastinya tersemat dalam ingatan semua.
Dia menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan dan kecemerlangan majalah Gila-Gila.
Kehilangannya sukar dicari ganti.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang beriman.
Al-Fatihah.







