Masih saya ingat malam pertemuan awal dengan Azzaha Ibrahim yang sepatutnya cuma untuk bertukar pandangan tentang Dikir Labah-Labah (atau Dikir Labo) – salah satu bentuk dikir yang agak berbeza daripada Dikir Barat yang kita tahu. Dikir Labo tidak menggunakan sebarang alat muzik, tidak ada gendang ibu, gendang anak, gong dan rebana, tidak sama sekali, bahkan yang tambah unik, ia menggunakan kipas yang seakan-akan kipas di pelamin pengantin. Sekejap, sebelum saya lanjutkan cerita ni, harus saya ingatkan apa yang bakal awak baca adalah bukan daripada orang yang ada pelajaran formal tentang seni Dikir Labo.
Berbalik kepada malam pertemuan kami – Seperti kebiasaan, Azzaha Ibrahim ialah tempat kami rujuk berkenaan perkara-perkara tradisi lokal sebegini memandangkan beliau seorang pengkaji mandiri yang aktif dalam seni kontemporari bersama After Monsoon Project, dan tak dinafikan seorang teman borak yang sangat partsipatif, dan macam selalu juga, banyak bercerita pasal pengalaman peribadi. Cara kami kenal pun agak pelik, masih ingat isteri saya diperkenalkan melalui Nandhita Solomon, produser filem yang sangat berkaliber, ketika awal mula kami tiba di Kelantan.
Nak jadi cerita, dan sungguh tak sangka, Azzaha atau kami mesra memanggilnya Abe Ha, pernah melalui pengalaman secara langsung, suatu fasa ketika arwah ayahnya mengelola kumpulan Dikir Labo suatu masa dulu.
“Ambo tok reti, tapi ambo lalu semua tu.” Jelas Abe Ha, menegaskan sebelum melanjutkan cerita.
“Atah rumoh tu beraso serupo nok rutuh kena henjut ko demo hok tengoh berdikir..”
“..hor Dikir Labo..”

Fikiran saya masa tu ligat cantumkan hubungan perkara-perkara yang saya sedang dengar.
Saya agak faham bila dia cakap pasal lantai rumah yang dihenjut hampir runtuh. Itu merujuk kepada gerak badan yang mengikut suara acapella ketika kumpulan ini sedang berdikir, semakin berahi dihenjut-henjut bersama goyang kipasnya, berubah alunnya dari masa ke masa menuju klimaks jeritan suara soprano yang dinamakan jerit muse (musang).
Menurut Abe Ha lagi, memandangkan ibunya seorang tukang jahit, kipas-kipas yang jadi ‘alat’ di tangan pendikir tu dijahit oleh ibunya dengan kretiviti sendiri.
“Kipas tu keno jangok (cantik dan berhias), dulu ore siap bbadi kipas hok paling jangok.” Tambah Abe Ha.

Malam itu kami habiskan dua pinggan colek, perlahan-lahan waktu melarut rancak berlalu dengan cerita pengalaman sebenar yang Abe Ha lalui ketika kecil. Daripada cerita ibu menjahit kipas pengantin, rumah dihenjut, hinggalah juadah yang disedikan ketika malam dikir, roti butut (bun) dicicah dengan teh o, dan jika acaranya lebih besar, maka ibunya akan masak gulai. Begitulah ceritanya, bertambah-tambah lagi hingga ke larut malam. Nyatanya, cerita-cerita ini sangat personal dalam saduran humoris dan nostalgik sudah tentu.
Mengenali Abe Ha yang juga seorang artis kontemporari memfokuskan gastronomi dalam karya-karyanya, saya pulang dengan perasaan bercampur baur.

Tuhan temukan saya dengan orang yang sangat tepat — cerita dan pengalaman yang beliau lalui sebagai anak kecil yang menyaksikan sendiri sekumpulan orang tempatan berkumpul dan berdikir-labo itu sangat personal buat dirinya dan, sangat mahal untuk generasi hari ini.
Kepala saya dah mula bermain dengan visi yang ambitious, saya membayangkan satu acara dikir yang tak akan jadi semacam persembahan semata-mata, sesuatu yang intim bahkan personal.
Saya mahu segala apa yang Abe Ha ceritakan kepada saya malam itu, disampaikan juga kepada lebih ramai orang, tapi kali ini dalam bentuk satu acara imersif meraikan Dikir Labo.

Siapa sangka, awal mula pertemuan yang cuma untuk makan colek, jadi bercambah kepada satu idea – menggabungkan seni kontemporari Abe Ha yang berteraskan gastronomi, bersama orang kampung meraikan malam persembahan Dikir Labo.
Kata putus diambil, Abe Ha setuju untuk mengolah satu masakan nasi kambing Parsi sebagai juadah gotong-royong kenduri (orang tempatan memanggilnya bekwoh) bersama orang kampung, sebagai simbolik gastronomi kepada asas Dikir Labo yang berkait rapat dengan Parsi — dikatakan bahasa yang digunakan dalam Dikir Labo ialah sadur Kelantan Parsi. Bersama itu, kari (atau kami orang lokal Kelantan selesa memanggil gulai) akan jadi kuah untuk dicicah dengan roti. Ya, sama seperti dalam nostalgia memori Abe Ha. Baru sekarang saya perasan, secara tak langsung ini dah semacam acara spin-off daripada persembahan Abe Ha dalam After Monsoon Project yang sebelumnya.

Hari Bekwoh Malam Dikir ‘Labo
Seawal pagi sabtu, semua kontributor berkumpul di Pantai Pulau Kundur bersama orang kampung. Dua ekor kambing dipersiapkan dengan resepi khusus bersesuaian konsep persembahan. Keterujaan orang setempat yang menanti persembahan Dikir Labo dapat dilihat di dalam seloroh setiap yang datang. Sebaik doa mula sebagai pembuka, persiapan juadah nasi kambing Parsi pun bermula, kelapa-kelapa muda dikait sendiri, dikopek dan airnya dijadikan minuman jongkako hilangkan haus. Colek mangga muda dan buah kuini juga jadi juadah ringan kunyah-kunyah sambil potong bawang. Semuanya daripada orang sekeliling yang sedang bekwoh. Menjelang petang, juadah tersedia! Roti-roti sebagai menu tambahan untuk dicicah dengan kuah kambing juga sudah siap tiba, tepat sebelum maghrib.

Ketibaan Kumpulan Dikir Barat Sri Remaja yang dihadirkan khas dari Kok Keli Tumpat, mendapat sorakan gemuruh dengan penampilan Rozi Kemang Berduri sebagai Tok Jogho/ Ketua Kumpulan. Sebagai sebahagian proses imersif, orang ramai yang bersama audiens dibawa melewati pit-stop setiap bahagian memasak, hinggalah ke juadah utama dengan penceritaan daripada kuratornya sendiri Azzaha Ibrahim bersama pengurus acara, Haziqah Azemi.

Di hadapan tasik indah di Pantai Pulau Kundur, ketika jemaah Isyak masjid mula berkumpul bersama, ketika orang kampung dah selesai menjamu nasi kambing Parsi, lalu Rozi Kemang Berduri bersila bersama-sama awak-awak Kumpulan Dikir Sri Remaja Kok Keli, acara tabuh buka panggung di pentas utama bergema — Dan sebagai pengacara majlis pada malam itu, sekali lagi saya memanggil nama Azzaha Ibrahim di dalam bulatan pentas tikar mengkuang. Penampilan khas selepas tabuh buka panggung ini yang mengalun konsep acara menjadi solid.

Seperti malam ketika kami makan colek, ini seakan Dejavu — malam ini seorang Azzaha Ibrahim bercerita semula kisah personal ketika arwah ayahnya mengelola satu malam Dikir Labo, dengan kipas jangok jahitan ibu, dengan roti-roti butut dicicah gulai, humoris, nostalgik, lalu diteruskan dengan suara dikir dialek saduran Kelantan-Parsi yang bahkan tak difahami oleh barisan pelontar suara, bersama henjutan gerak tubuh dalam suara acapella Dikir Labo – audiens yang turut sama mengelilingi kami jadi khusyuk menyaksikan, kagum hingga berkerut di ketika lontaran klimaks suara soprano jerit muse.

Bekwoh Malam Dikir ‘Labo ialah sebuah acara oleh Kapsul Studio bersama Aftrer Monsoon Project dengan sokongan Yayasan Hasanah.
Teks Oleh Cech Adrea
