Teks Ucapan Tan Sri Johan Jaaffar
Pentas Utama PABKL – WTC Kuala Lumpur – 30hb Mei 2026
Malam ini, tepat jam 8.00 sebentar tadi, hari Sabtu, 30 Mei 2026, usia Abdul Ghafar Ibrahim atau AGI genap 82 tahun, 6 bulan, 30 hari. Atau berdasarkan kiraan lebih tepat, beliau sudah berada di Bumi Allah ini selama 992 bulan dan 30 hari, atau 4,317 minggu dan 4 hari, atau selama 725,352 jam, atau lebih terperinci lagi 45,521,120 minit atau 2,611,267,200 saat.
Apalah yang ada pada angka. Dengan izin, age is just a number. Memetik ungkapan karyawan Mark Twain, age is an issue of mind over matter, if you don’t mind, it doesn’t matter. Demikianlah, orang yang kita raikan malam dan buku yang bakal dilancarkan dan dibicarakan bukan sebarangan orang.
Bagi saya AGI adalah sebuah institusi. Beliau seorang pelukis, penyair, ideolog, guru, pemikir, penelaah, dan lebih penting lagi bagi saya, seorang Abang yang Istimewa, orang yang sedikit sebanyak mempengaruhi kreativiti saya, juga membantu membuka cekrawala kesenian dan keilmuan saya.
Seperti yang pernah saya rakam melalui sebuah rencana dalam SeniMalaya berjudul “Dari Tak Tun Ke Kaleidoskop: Pengembaraan Seorang Troubadour”, AGI adalah ikon saya dalam dunia seni.
Kepada AGI saya sentiasa terhutang budi. Beliau memperkenalkan saya pada makna baharu “experimentasi” atau “percubaan”, pada konsep “improvisasi”, pada “pendramaan puisi” pada awal kegiatan seni saya di Kuala Lumpur pada tahun 1970-an.
Saya datang dari kampung, membesar dengan tradisi Opera Cina (potehi), Bangsawan dan Sendiwara. Saya terdedah pada teater experimen di UM, melalui Teater Keliling dari Jakarta yang dipimpin oleh Rudolp Puspa yang mulanya membawakan “Kapai-Kapai”, teater Nordin Hassan, karya Dinsman dan lain-lain. Apabila pertama kali melihat AGI membaca puisinya, sudah tentu saya terpesona. AGI menteaterkan puisinya. Puisi didrama atau diteaterkan.
Sewaktu di kampus Universiti Malaya (UM) saya sering menjengah ke DBP, mengikuti pelbagai kegiatan – juga menemui nama-nama besar dalam dunia sastera ketika itu, khususnya di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera (BPPS).
Dan saya mendampingi Anak Alam walaupun ketika itu penggerak awalnya seperti Latiff Mohidin, AGI, Siti Zainon, Zulkifli Dahlan, Ali Mabuha dan lain-lain sudah tidak berkubu di situ, namun membawa bara dan semangat Anak Alam ke mana-mana. Hanya Mustafa Hj Ibrahim di situ, menjadi Bapa Alam, menaungi generasi kedua Anak Alam.
Dan saya melihat, mendengar dan cuba memahami AGI dengan gaya dan pendekatannya yang “lain”, seorang contrarian dengan karya dan gaya deklamasi yang sangat “berbeza.” Orang teater macam saya melihat AGI bagaikan seorang mahkluk seni yang bergerak, berinjak, hidup, gegak gempita dan unik. AGI tidak sekadar bersajak, AGI menteaterkan sajak, mendramakan puisi, membawakan seni deklamasi pada level yang lain.
Dan AGI juga seorang pelukis. Beliau melakar, merakam, menterjemah, mentafsir, membawakan subjeknya ke persada verbal dari imageri pada kanvas. Kanvas tidak mati di tangannya. Puisi tidak statik. Tidak beku. Dari kanvas ke puisi, kanvas yang mati tidak mati, sajak yang beku tidak beku. Di tangan AGI sajak dan lukisan menjadi hidup, bernafas, bernadi. Melihat AGI membaca puisi bagaikan melihat AGI berteater, bereksperimen, berimprovisasi – dengan gerak, langkah, intonasi suara, play-acting, penuh penghayatan dan meyakinkan.
Saya suka AGI kerana itu. AGI memberi makna baharu dunia saya – dunia teater saya ketika itu.

Bayangkan concoction seni lukis dan puisi yang tergabung dalam satu penyataan atau ekpresi seni. Maka tertonjollah apa yang diungkapkannya sebagai Tri-V – Vokal, Verbal dan Visual. Verbal katanya adalah isi sajak, vokal bunyinya, visual tekniknya. Mudah katanya. Semudah ABC. Tapi kompleks untuk menghazaminya.
Bagi saya sesusah menghazam teater “Waiting for Godot” oleh Samuel Beckett. Atau karya Luigi Pirandello, “Six Characters in Search of An Actor.” Atau drama “Bukan Bunuh Diri” dan “Di Pulau Sadandi” oleh Dinsman. Atau drama saya, drama Nordin Hassan, drama Hatta Azad Khan yang dikatakan mempelopori gerakan teater absurd di Malaysia.
Kata sesetengah orang apa ada pada karya kabur, kompleks dan boleh keliru.
Macam juga “sajak-sajak kabur” yang debatnya hangat diperkatakan satu masa dulu dalam sejarah sastera Melayu moden.
Macam juga AGI yang mahukan kompleksiti itu mencabar – agar sajak itu dibaca, didengar, dilihat. Hanya dengan itu kita akan dapat “suatu pengertian yang nikmat” katanya Bukankah itu cara terbaik “membiakkan” sajak? “Menyuburkan” sajak?
Lama sebelum itu, pada kira-kira tahun 1972, beliau sudah mempopularkan konsep sajak “audio-visual” – audio dan visual – pendengaran dan penglihatan. Beliau memberikan keutamaan pada “abjad” – abjad yang menurutnya “individu yang konkrit” yang membina maknanya masing-masing.
Orang boleh menuduh bahawa semua “keganjilan” itu sengaja dibikin-bikin. AGI pernah menulis begini, “kesenghajaanku meletakkan kata-kata dan penyusunan baris yang unconventional, itu bukan suatu keganjilan. Itu satu tugas sajakku.”
Maka itu sajak-sajak AGI “ganjil” – atau lebih tepat dalam konteks seninya – unik, luar biasa namun istimewa (“Istimewa” dengan huruf “I” besar). Maka itu saya dan peminat puisi eksperimental tersentak, terhentak, terpukau, terpesona oleh “Tak Tun” pada kita-kita tahun 1974. Itu tahun saya masuk ke UM. Itu tahun saya mencari diri, cuba membina kesenimanan saya dari “kecelaruan indah” dunia kreatif KL tahun-tahun 70-an.
Semua itu berlatarbelakangkan gerakan mahasiswa yang panas, ganas dan sentiasa berkocak. Itulah langkah mula pendedahan saya pada KL. Puisi AGI menjadi sebahagian daripada backdrop “kecelaruan indah” dunia pelajar, politik dan seni yang saya harungi pada masa itu.
Saya melihat “Tak Tun” sebagai signature AGI. Buah tangan, air tangan, bekas tangan AGI. Macam Latiff Mohiddin menemui “Pago-Pago”nya atau Muhammad Haji Salleh menemui Si Tanggangnya atau Salleh ben Joned dalam proses mencari the sacred and the profane dalam sajak atau mencari diri, entah-entah Si Tegang yang pulang.
Selepas itu saya dipersona dan dicabar oleh “Tan Sri Bulan”.
Itulah AGI. Bezanya AGI tidak mati kreativitinya dan eksperimentasinya pada “Tak Tun.” “Tak Tun” sekadar jadi pintu gerbang kreativitinya. Bukan sekadar totem pole kesenimananya tapi pembuka gelanggang pada dunia pelbagai dimensinya.
Inikah sajak? Atau sajakkah ini? Atau inikah AGI yang melampaui sajaknya? Apakah AGI yang menjadi simulacra persajakannya, maka persona yang tertonjol adalah keAGIan sajaknya?
Maka teringatlah saya kenyataan AGI pada kira-kita tahun 1979 yang membawa judul “Sajak Ingin Berberber dan Beryangyang”. Bukanlah AGI mahu mempertahankan keAGiannya atau ke Ghafarannya. Sekadar menyatakan pendiriannya tentang percubaannya, tentang kreativiti yang melampaui garis kuning konvensional, tentang “keganjilan” karyanya, sekalipun dia dikritik. Tulisnya, adalah hak penyajak mempertahankan sajaknya, macam penyair A.D. Hope yang harus menjawab tulisan tiga orang kritikawan yang menurutnya tidak berlaku adil padanya.
Tulis AGI lagi, “mempertahankan sajak itu adalah membetulkan yang sipi dan mengetengahkan yang menepi.” Dalam sajak itu “ada akuku. Masing-masing cuba mengeluarkan akuku apabila mencipta karya masing-masing.”
Menurut AGI lagi, “ambiguiti dan misteri perlu digali dari diri sajak. Dengan Tri-V, aku balik kepada diri sajak.” Sajak membawa persoalan, bukan jawaban. Tulisnya, “sesebuah sajak akan berhenti menjadi sajak apabila ia telah menyediakan jawaban dalam dirinya.”
Kata AGI, dia “lari dari belenggu konvensi menuju jalan yang baharu dengan maksud tidak untuk meninggalkan yang lama. Yang lama ada sejarahnya. Aku tidak dapat lari dari sejarah. Tetapi sejarah baru tidak akan lahir kalua tidak berlaku sejarah yang lebih baru.”
Tentunya AGI bukan menulis sejarah melalui sajak-sajaknya atau berlagak mendekati sejarah sebagai seorang revisionist. Beliau seorang wordsmith – tukang buat abjad, tukang ukir kata, penukul kata. Tapi kata-kata yangyangyang dalam batas terhad – bukan mabuk meminum kata-kata yang besar-besar dan gagah-gagah.
Itulah AGI.
Pada bulan Julai dan Ogos 2019, AGI mengadakan pameran solo di Galeri Aswara. Saya bersama-sama beliau pada satu pagi bercakap tentang “Tak Tun” dan hal-hal lain. Hasil perbualan dan kesan pemerhatian saya terhadap pameran itu saya rakamkan dalam rencana yang tersiar dalam akhbar The Star berjudul “Feel the Tak Tun Pulse In Veteran Poet-Painter AGI’s Abstract Works” yang tersiar pada 13 Ogos 2019. Dan saya rakamkan juga dalam SeniMalaya kemudiannya.
Dalam buku cenderamata itu AGI menulis:
“Sajak tidak habis dan tidak tamat dalam tulisan, tidak mencungap-cungap dan tidak terpengap dalam buku; tidak hapak; dan tidak menyombong dalam kota akademik. Sajak ingin melontar, bersilat, berenang, berterbangan, berlari, bertepuk-tampar, berdoa, beratip, berzanji, berqasidah, bernasyid dan berberber dan beryangyang.”
Lalu saya terbayangkan apa yang saya pelajari tentang folk literature (sastera rakyat) khususnya di Perancis Selatan dan Utara Itali pada abad ke-11 hingga ke-13. Kelompok lyric-poets (penyair lirik) dan poet-musicians (penyair pemuzik) yang berkembang sebagai seniman yang dihormati. Mereka berkeliling membawakan puisi dan lagu. Mereka dikenal sebagai troubadours.
Dalam konteks lebih moden penggunaan konsep troubadour dihidupkan kembali sebagai seniman yang membawa puisi dan lagu kepada khalayak. Perkataan itu secara slanga dikaitkan dengan gerakan seniman yang mendidik dan menghibur serta turut mencorakkan kesenian rakyat atau folk tradition.
Bagi saya Agi adalah troubadour kontemporari dengan ciptaan puisi dan melodi puisi yang membentuk korpus yang mendefinisikan personanya.
Maka bagi saya, perjalanan Agi sebagai seniman adalah pengembaraan seni seorang troubadour moden di rantau ini. Beliau mencipta, mencorak, mewarnai, memberi digniti dan harga diri pada dunia kesenimananya.
Saya melihat ke-troubadour-an seorang AGI, yang tulen, asli, jujur, bersahaja. Maka saya mula berjinak-jinak untuk memahami apakah yang menggelodakkan seorang penyair-pelukis menggunakan ruang sebagai ekpresi vokal dan puitiknya. Dan cuma meletakkan dirinya pada sangkar kesenimanan yang istimewa.
Di Galeri Aswara pagi itu, AGI menunjukkan pada saya sebuah lukisan yang luar biasa – kanvas bermuat dua buah puisi Muhammad Yassin Makmur atau lebih dikenal sebagai Pungguk berjudul “Ibuku” dan “Selalu Merayu.” Kedua-dua buah puisi itu pernah tersiar dalam Majalah Guru pada tahun 1934. Menurut cerita AGI pada satu hari pada tahun 1970, Pungguk datang sendiri ke rumahnya di Kampung Sesapan Batu Minangkabau di Beranang, Selangor.
Pungguk menulis semula kedua-dua buah puisi itu di atas kanvas dalam tulisan jawi. AGI mengisi ruang yang kosong di antara dua sajak itu dan melakar wajah Pungguk. Maka terakamlah lakaran wajah Pungguk, orang yang dianggap Bapa Puisi Moden Melayu, bersama-sama dua buah puisinya yang ikonik.
Pungguk adalah lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim yang tersohor itu. Selain menjadi guru beliau adalah Pengarang Majalah Guru. Pungguk adalah sasterawan-guru dalam sejarah sastera Melayu.
Menurut AGI, Pungguk datang lagi ke rumahnya pada 1 Februari 1971, kali ini untuk menurunkan tandatangannya pada lukisan itu. Lukisan itu berukuran 110 kali 104 sentimeter.
Pada tahun 2019, sudah 48 tahun usia lukisan itu.
Sehingga hari ini catan itu masih dalam simpanannya.
Malam ini kita merayakan dan menghargai kelahiraan Viva Poesie, koleksi terbaru AGI. Koleksi ini dalam dua bahasa. Prolognya ditulis oleh Dr Mohd Saipuddin Suliman dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).
Viva Poesie adalah satu celebration pencapaian terbaru seorang AGI. Viva membawa maksud “long live” atau panjang umur, atau sorakan “hooray” atau “cheers.” Mengapa Viva Poesie? Mengapa tidak? Ini peristiharan kegembiraan – exultation – seorang penyair luar biasa yang masih menganggap eksperimentasi itu caranya, dirinya, manifestasi kesenimanannya. Walaupun beliau sudah berada di muka bumi ini selama 2,611,267,200 saat.
Kata orang putih “Experiment” is his middle nama. Abdul Ghafar (Experiment) Ibrahim, begitulah kira-kira namanya.
Saya tidak mahu mengulas koleksi ini, ada orang yang akan membahaskanya.
Seperti puisi dalam koleksi sebelum ini, Kaleidoskop, Viva Poesie disusunselia oleh seorang anak muda pengagum AGI bernama Jack Malik. Beliau kebetulan anak kawan saya, ibunya Puan Mek Asiah Hamzah sama-sama di UM, masukan tahun 1974, graduan 1977.

Beliau juga melakukan terjemahannya. Tugas yang bukan mudah.
Dalam Kaleidoskop Jack menulis, “Apa yang Abdul Ghafar Ibrahim tawarkan adalah sebahagian daripada kanon persajakan Melayu Malaysia. Kebiruan langit Abdul Ghafar Ibrahim mungkin berlainan daripada apa yang biasa kita tatap. Tetapi jika kita sudi mendongak barangkali kita nampak dunia persajakan kita hanya terbatas oleh keterbukaan diri kita. Sajak dari Tan Sri Bulan, Tak Tun dan Yang Yang, Abdul Ghafar Ibrahim sudah menghamparkan kepada kita rangka tindakannya untuk menggerakkan sajak Melayu Malaysia ke ufuk baharu.”
Saya bersetuju penuh pemerhatian cerdik ini.
Untuk penterjemahan koleksi ini, Jack menyatakan penghargaannnya pada usaha Harry Aveling yang menterjemah tiga koleksi AGI, My Lord Moonkite, Tak Tun dan That’s That. Kerja-kerja Harry Aveling banyak membantu beliau untuk mencari titik tengah dalam menterjemahkan AGI.
Beliau menyamakan AGI dengan penyair Edward Estlin Cummings, penyair, pelukis, eseis, penulis dan dramatis Amerika yang terkenal khususnya dengan puisi-puisi eksperimennya. Beliau dikaitkan dengan mordenist free-form poetry. Seorang penelaah puisi menyebutkan bahawa “the chief effect of Cummings’ jugglery with syntax, grammar, and diction was to blow open otherwise trite and bathetic motifs through a dynamic rediscover of the energies sealed up in conventional usage…”
Saya setuju dengan perbandingan yang dibuat oleh Jack Malik di antara AGI dengan Cummings.
Jack Malik anak muda yang luar biasa – ilmuan, seniman, penyair. Tidak banyak orang yang melihat keluarbiasaan secara akademik, secara ilmu, secara tuntas, macam beliau. Macam beliau melihat Salleh ben Joned dalam “Matahari yang Tak Daya Kita Hentikan” (Dewan Sastera, Ogos 2023” dan “Dari Mana Datangnya Cinta” (Dewan Sastera, Julai 2024).
Salleh dan AGI kedua-duanya contrarian. Melawan konvensi. Menentang konservatisme dalam seni. Cara dan pendekatan mungkin berbeza. Tapi sama-sama rebel, penderhaka, penentang seni konvensional. Sama-sama troubadours.
Saya tanyakan juga apakah cabaran menterjemah buku Viva Poesie? Cabaran paling besar tentulah tentang sintaks dan semantik, juga untuk setia pada “bentuk” teks. Ada kalanya beliau terpaksa mengorbankan “kesetiaan” visual untuk mengetengahkan vokal dan verbal. Benarlah kata orang, penterjemahan karya sastera ibarat wanita, “if they are beautiful they are not faithful, if they are faithful, they are certainly not beautiful.” Kaum wanita mengatakan kenyataan ini berbau misogynist. Maaf, bukan saya kata begitu, kononnya Yevgeny Yevtushenko, penyair tersohor Rusia yang buat kenyataan itu, nama penyair ini ada dicatat pada halaman 108 koleksi ini.
Bagaimanapun saya tabik hormat pada Jack Malik dan terjemahannya.
Demikianlah malam ini kita hargai dan raikan AGI, Si Troubadour Tua yang masih tetap berbisa dan bersengat yang akan terus melakar kanvas dengan ketekunan luar biasa dan melahirkan puisi yang menjelaskan persona artistiknya. Perjalanan itu belum selesai sekadar Viva Poesie. Perjalanannya masih panjang selagi nyawa dikandung badan.
Sama-samalah kita doakan kesejahteraan dan kesihatan AGI agar beliau terus “berberber dan beryangyang.” Juga berpuisi, melukis dan berbunyi-bunyi terus tentang seni dan budaya.
Saya juga berdoa semoga AGI dihargai oleh establishment sastera negara sekalipun dia tidak mengikut kayu ukur dan penanda aras konvensional. Sebab AGI itu AGI. AGi macam Benjamin Peret, surealis Peranchis yang dipinggirkan oleh establishment kesusasteraan Peranchis semasa hayatnya kerana beliau tidak tunduk kepada konvensi dan suara establishment
Apakah AGI sekadar layak menerima Hadiah Sastera Nasional atau menjadi penerima S.E.A. Write Award? Apakah experimentalist tidak layak dinobatkan Sasterawan Negara? Bukankah Nordin Hassan menjadi penerima kerana drama-drama eksperimentalnya, demikian juga sedikit sebanyak Allahyarham Mana Sikana?
Sekadar melontar fikiran beryangyang.
Maka dengan lafaz Bismillah, saya dengan ini melancarkan buku istimewa karya manusia istimewa yang Bernama A Ghafar Ibrahim yang berjudul Viva Poesie.
Terima kasih
