‘Tak payah!’ kata kami dengan suara yang menahan marah bila Tapa Otai menyatakan hasrat untuk menjadi pelukis. Tapa berkata demikian kerana menurutnya, pelukis sentiasa ada acara. “Tiap minggu ada event, aku pun nak join..’” kata Tapa. Jenis suka hura-hurey gamaknya.
Kami menentang idea berkenaan dan mencadangkan supaya dia teruskan dengan fotografi dan mengambil Che Mat Azhar sebagai contoh. Dia nampak bersetuju dan mempamerkan beberapa keping foto janaan AI yang sedang diusahakannya. Sebagai artis terkenal, kami memandang serong kepada keterujaannya pada kecerdikan buatan tersebut. Dan di dalam hati kami berkata, “Ko dah kenapa Pa? Buang je la semua kamera kalau sibuk dengan Ai Pa…” Diharapkan dia tidak mendengar suara hati kami itu.
Kami bertemu Tapa di pameran ‘Surrealist Expression’ di Galeri Puteh. Jika kamu belum pergi ke pameran tersebut, dijemput datang. Pameran ini membariskan ramai artis yang dikenali. Dan karya-karya yang dipersembahkan adalah hebat-hebat belaka.
Tapa memang selalu menghadiri acara perasmian pameran lukisan dan mungkin dari sana muncul idea untuk menjadi pelukis. Dia ingat sebab dia belajar di ITM dia boleh melukis gamaknya.
Dan lagi, selama kami melihat dia di pameran-pameran lukisan, tidak pernah lagi kami melihat dia mengambil gambar artis-artis yang berpameran. Tidak seperti keterujaannya terhadap kumpulan-kumpulan rock tempatan yang suka berkelahi itu.
Padahal, jika dibandingkan dengan kumpulan rock, kumpulan artis (visual) biasanya lebih berhemah dan berakhlak mulia. Jarang bahkan tidak pernah kita dengar kumpulan artis (visual) berkelahi dan berebut nama kumpulan, misalnya ada pernah kita dengar Masnor Ramli keluar dari Matahati lalu menubuhkan ‘The Real Matahati’?
Jenis suka huru hara gamaknya. Kalau tak huru hara, dia tak ambil gambar. Baser.
Dan lagi jika dia mula mengumpul foto-foto artis yang biasanya datang dengan budaya, warisan, kesenian dan khazanah negara ini, nanti dia boleh menerbitkan buku mengenai artis tempatan yang memang kurang direkod itu dan Balai Seni Negara tentunya tidak keberatan untuk menerbitkan buku berkenaan. Ini tidak, pergi Balai suruh terbit buku rock. Budaya kebende minum darah kambing.
Ok. Siap bahagian menyebut nama-nama orang terkenal demi untuk mempopularkan diri sendiri. Kita masuk kepada bahagian 3 artikel ini. Entah ini bahagian akhir entahkan tidak. Kita tengok apa jadi nanti.

Untuk mendapatkan buku STAGE 01 sila hubungi: FB Tapa Otai
Rupanya kami lupa bahawa ada mendapat perkhabaran yang kumpulan wartawan yang dijemput akan bertemu di lobi hotel setelah sembahyang Jumaat. Kami turun dan setelah menunggu hampir dua jam, kelibat mereka tidak kelihatan. Namun kerana taat, kami tunggu juga dan sekitar jam 6 petang baru kelihatan sebuah van berhenti di lobi hotel.
Dari kereta yang mengekori van berkenaan, kami bertemu dengan Zuriyadi dan juga Faez, yakni dua pegawai dari Balai Seni Negara yang bertanggungjawab atas semua wartawan.
Semasa kumpulan wartawan ini turun dari van, kami mencari-cari Ku Syafiq dan demi terlihat akan dia, kami pun berasa gembira. Rambutnya makin panjang dan tubuhnya sedikit berisi. Gembira tidak bermajikan gamaknya.
Kami juga dapati cara dia berpakaian juga sudah berubah. Tidak se-indie dulu. Dia kini berseluar sukan besar seperti remaja yang tiada tujuan hidup hari ini. Kami kini menunggu hari dimana dia akan menyagat keseluruhan rambut bahagian tepi kepalanya itu. Bila ini berlaku, maka lengkaplah kegagalan gerakan muzik indie Malaya.
Rasanya kami pertama kali bertemu Ku Syafiq adalah di Ipoh beberapa tahun sebelum itu. Laki Hanim memperkenalkan kami berdua. Namun setelah itu tidak lagi kami berdua ada apa-apa hubungan.
Hanya setelah wujud SeniMalaya, kami mula kerap bertemu.
Biasanya bila bertemu Ku Syafiq, kami akan segera teringat kepada arwah Irwan. Irwan memang suka jika kami hiburkan dengan pegeseran di portal ini. Ada sedikit kesedihan bila mengenangkan perkara tersebut dan seperti yang kami sebutkan tadi, Ku Syafiq akan sentiasa mengingatkan kami kepada Irwan.
Setelah ketiadaan Irwan, kami juga hilang semangat untuk bergeser dengan Ku Shafiq. Dan kami berharap Ku Syafiq tidak akan meninggal dunia dalam masa terdekat ini. Tidak tertanggung rasa kesedihan rasanya jika ini berlaku.
Menurut Ku Shafiq, mereka terlewat tiba kerana kapalterbang yang mereka naiki terlepas jadual, dan lagi semasa diawan, mereka mengalami gangguan cuaca yang buruk. Kapalterbang mereka bergoyang sehingga setengah jam. Mujur kami tidak menaiki kapalterbang.
Di dalam kelewatan tersebut, pihak Balai memutuskan untuk membawa semua pelawat ke beberapa tempat di mana karya-karya peserta Bakat Muda Sezaman 26 dipamerkan.
Malas pulak mahu menulis. Lagipun dah panjang sangat ni. Tak padan dengan bayaran. Jadi kamu baca cerita mengenai Tapa dan Ku Syafiq sudahlah untuk kali ini. Nanti kami ceritakan mengenai BMS di artikel akan datang.
Abdullahjones merupakan seorang pelukis dan penulis yang kini sedang berliar-liar mengasah ketajaman kata-katanya untuk menjadi ‘Pengata Seni’ professional pertama di Malaysia demi menyahut cabaran tentang kurangnya penulisan berkaitan seni dan budaya tempatan.
