“Kita tidak hanya celik visual, bahkan perlu mengarifinya”…
Prawacana
Ekspresi kehidupan moden yang diselirati melalui tatanan imej semisal karya reka grafik, video interaktif, simbol dan beragam citraan representasi visual, menyebabkan manusia semakin bergantung kepada daya pengamatan sebagai medium utama untuk memahami dunia.
Namun demikian, melihat bukanlah jaminan mutlak kepada sebuah maksud ataupun pemahaman. Seseorang boleh memandang sesuatu objek tanpa perlu benar-benar ‘menangkap’ makna, konteks, bahkan segenap perkara yang terkandung di dalamnya.
Maka, dari sinilah bermuara konsep ‘kearifan visual’ (visual intelligence), yakni kebolehan untuk mencermati, menafsir dan membuat pertimbangan wajar, bersandarkan ‘khabar-khabar’ bergambar.
Secara dasar, ia mula dibahas serta dibicarakan lanjut melalui buku karangan seorang ahli hukum, Amy E. Herman, yang berjudul Visual Intelligence: Sharpen Your Perception, Change Your Life (2016).
Herman berhujah bahawa kebanyakan manusia sebenarnya tidak melihat dunia sebagaimana adanya, tetapi memerhati berdasarkan andaian, prasangka dan dugaan yang telah terbentuk dalam minda mereka.
Bertitik tolak daripada itu, beliau mengemukakan latihan pengamatan yang diadaptasi daripada kajian seni visual, sebagai kaedah untuk mempertajam persepsi dalam kehidupan seharian. Kearifan visual bukan sekadar kemahiran teknikal mengenal bentuk atau warna, sebaliknya melibatkan gabungan aspek kognitif, psikologi, falsafah, budaya dan etika.
Dalam konteks ini, kearifan visual boleh dianggap sebagai satu bentuk kebijaksanaan yang membolehkan manusia memahami realiti dengan lebih mendalam melalui pengamatan yang sensitif, teliti, malahan reflektif.

Konsep Kearifan Visual
Secara umum, kearifan visual merujuk kepada keupayaan seseorang untuk mengenal pasti, menganalisis, menafsir dan menggunakan maklumat visual secara berkesan. Ia melibatkan proses melihat yang aktif, bukan pasif.
Amy Herman melalui bukunya itu mendefinisikan kearifan visual sebagai kemampuan untuk memerhati secara tepat dan menggunakan maklumat yang diperoleh daripada pemerhatian tersebut, sebagai pedoman untuk membuat keputusan yang lebih baik.
Beliau berhujah bahawa, begitu ramai individu gagal melihat perkara penting, disebabkan oleh perhatian mereka terganggu oleh andaian-andaian awal, atau kecenderungan untuk melihat apa yang mereka mahu lihat sahaja. Justeru, buat mengukuhkan argumentasi, kearifan visual merangkumi beberapa komponen utama iaitu:
- Pemerhatian yang teliti (observation).
- Kesedaran terhadap konteks (contextual awareness).
- Penafsiran makna (interpretation).
- Pemikiran kritis (critical thinking).
- Pengambilan keputusan (decision-making).
Jadinya, secara sederhana kearifan visual bolehlah kita anggapkan sebagai penghubung di antara kemahiran persepsi dan kebijaksanaan intelektual.
Dasar Falsafahnya
Perbahasan tentang penglihatan atau persepsi visual telah lama menjadi sebahagian daripada tradisi, malah keniscayaan dalam kerangka kefalsafahan Barat. Plato, melalui magnum opus The Republic, ada mencanangkan mengenai konsepsi alegori gua (allegory of the cave). Alegori (kiasan) ini menunjukkan bahawa apa yang dilihat oleh manusia tidak semestinya mencerminkan hakikat yang sebenarnya.
Pada Plato, dunia yang dapat dilihat hanyalah bayangan kepada dunia idea yang lebih sempurna. Penglihatan fizikal mampu menipu serta memanipulasi, manakala pengetahuan sejati memerlukan penggunaan akal budi. Walaupun demikian, perbahasan Plato secara tidak langsung menimbulkan persoalan penting tentang hubungan di antara persepsi visual dan hakikat kebenaran.
Hal ini sebenarnya berseberangan pula dengan murid beliau Aristotle, yang lebih menekankan kepentingan pengalaman deria sebagai asas pengetahuan. Sebagaimana disorot, Aristotle mendalilkan bahawa penglihatan merupakan deria yang paling penting kerana ia memberikan maklumat yang paling luas tentang dunia.
Alhasil, dwi-gagasan ini selanjutnya bakal menjadi asas kepada tradisi rasionalisme (faham yang mengutamakan perenungan akal sebagai sumber pengetahuan) bawaan Rene Descartes, Spinoza dan Leibniz dan ‘gempita’ empirisisme (faham yang menyatakan bahawa pengalaman inderawi adakah sumber utama pengetahuan), yang kemudiannya berkembang melalui tokoh-tokoh seperti John Locke dan David Hume.

Amy Herman dan Konsep Kearifan Visual
Amy E. Herman berprofesi sebagai peguam dan pendidik seni yang terkenal melalui program The Art of Perception. Program ini sebenarnya mengapresiasi karya seni muzium sebagai alat pelatihan kecekapan memerhati untuk anggota polis, doktor, tentera, peguam dan profesional lain. Lantaran itu, melalui bukunya Visual Intelligence (2016),
Herman mengumandangkan satu tesis yang menarik. Bahawasanya manusia sering gagal melihat perkara yang sebenar, yang berada di hadapan mata mereka. Beliau memberikan pelbagai contoh bagaimana saksi jenayah, doktor atau pegawai keselamatan boleh terlepas pandang maklumat penting walaupun melihat situasi yang sama. Dalam cermatan Herman, terdapat beberapa halangan utama kepada pengamatan yang tepat, tajam serta arif yakni:
1. Andaian Awal
Manusia cenderung melihat apa yang mereka jangkakan untuk dilihat. Sebagai contoh, seorang doktor mungkin terus membuat diagnosis berdasarkan simptom awal tanpa memerhatikan petunjuk lain yang lebih penting.
2. Gangguan Perhatian
Dalam dunia digital, perhatian manusia sentiasa terganggu oleh pelbagai rangsangan. Akibatnya, keupayaan untuk memerhati secara mendalam semakin merosot.
3. Kemiringan (bisa) Kognitif
Persepsi visual sering dipengaruhi oleh prasangka sosial, budaya dan psikologi. Herman menegaskan bahawa pengamatan yang baik memerlukan kesedaran terhadap kemiringan tersebut.
4. Kegagalan Membezakan di antara kenyataan dan tafsiran
Salah satu latihan utama Herman ialah membezakan antara apa yang sebenarnya dilihat dengan apa yang disimpulkan. Sebagai misal:
– Kenyataan: Seorang lelaki sedang berdiri di tepi jalan.
– Tafsiran: Lelaki itu sedang menunggu seseorang.
Tafsiran mungkin benar atau salah, tetapi ia bukan fakta yang dapat diperhati mahupun ditafsir secara langsung.
Seni Sebagai Latihan Kearifan Visual
Salah satu sumbangan terbesar Herman ialah penggunaan karya seni sebagai medium latihan pemerhatian. Tatkala seseorang itu memandang sebuah lukisan, mereka digalakkan menjawab tiga pertanyaan utama iaitu:
- Apa yang kita perhatikan?
- Apa yang menyebabkan kita berfikir demikian?
- Apakah lagi yang boleh kita temukan?
Soalan-soalan ini menggalakkan pemerhatian yang lebih sistematik dan kritis. Kaedah ini selari dengan pendekatan pedagogi seni yang menekankan bahawa karya seni bukan sekadar objek estetik, tetapi juga medan asuhan intelektual.
Dalam konteks ilmu seni, kearifan visual ini merupakan ‘suntikan’ ideal untuk kita mengenal hubungan bentuk dan makna, mengembangkan pemikiran kritis, menilai simbol dan representasi budaya, bahkan berupaya pula untuk membina keteguhan menafsir.
Kearifan Visual dalam Era Digital
Pesatnya revolusi digital yang menjelmakan ekspresi teknologi alaf ke-21, sedang menyaksikan ledakan maklumat visual yang belum pernah berlaku dalam sejarah umat manusia.
Media sosial, kecerdasan buatan, video pendek dan teknologi realiti maya menjadikan imej sebagai bahasa ontology kekuasaan dalam masyarakat.
Sebagai reaksinya, justeru fenomena ini menyaksikan betapa signifikan kearifan visual untuk dipelajari, difahami, dihadam serta dapat pula diperkasakan tindakannya!
Cabaran Deepfake
Teknologi deepfake, membolehkan imej dan video dimanipulasi dengan sangat meyakinkan (yang justeru ‘menetaskan’ fitnah-fitnah visual).
Tanpa kearifan visual, seseorang akan mudah terpedaya oleh maklumat palsu yang konon-kononya ditanggapi sebagai kebenaran.
Budaya Infografik
Maklumat kini sering disampaikan melalui graf, carta dan infografik. Kearifan visual membolehkan seseorang menilai sama ada sesuatu visual benar-benar mewakili data atau sekadar alat pemujukan, manipulasi, bahkan propaganda.
Media Sosial
Media sosial menggalakkan budaya melihat secara pantas (rapid viewing). Amy Herman berpendapat bahawa kebiasaan ini boleh mengurangkan kemampuan pemerhatian mendalam yang diperlukan untuk memahami situasi kompleks.

Meneroka Simpulan dan Ibrah
Kearifan visual merupakan satu bentuk kecerdasan yang semakin relevan dalam lingkungan masyarakat kontemporari, yang begitu disarati oleh imej-imej piktorial, bahasa simbolik dan pesan-pesan visual bergambar.
Ia merupakan akar tradisi kefalsafahan, sejak pemikiran Plato hingga Merleau-Ponty, bahkan kepada gagasan Hang Georg Gadamer dalam keupayaan menafsir, sebagai andalan yang menunjukkan bahawa daya penglihatan sebenarnya merupakan proses yang kompleks, dipengaruhi oleh pengalaman, budaya serta ‘sengatan’ pemikiran yang kritikal.
Makanya, naskah Visual Intelligence tulisan Amy E. Herman semacam cuba untuk menghidupkan kembali kesedaran bahawa perkara ‘melihat’ itu memerlukan pelatihan yang dibaluti kehikmahan. Pengamatan yang teliti bukan sahaja membantu dalam bidang seni, tetapi juga dalam profesion seperti perubatan, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan dan kepimpinan.
Sebagai rumusan nan sederhana, di saat kita bergelut dalam ‘cakerawala’ digital alaf kontemporari dengan keberagaman manipulasi visual, berita palsu dan limpahan imej, kearifan visual sedang menawarkan ‘penyembuhannya’.
Ia membolehkan manusia membezakan antara fakta dan tafsiran, antara akal insani (A.I.) dan akal ilusi (A.I.), serta antara pengetahuan dan prejudis. Kearifan visual bukan sekadar tentang kemampuan mata untuk melihat, tetapi tentang kemampuan akal budi untuk mengerti apa jua yang dicermati. Ia adalah seni melihat dengan lebih halus, lebih mendasar dan penuh kebijaksanaan!
Rujukan:
Gadamer, H.-G. (2004). Truth and method (2nd rev. ed.). Continuum.
Herman, A. E. (2016). Visual intelligence: Sharpen your perception, change your life. Houghton Mifflin Harcourt.
Locke, J. (1975). An essay concerning human understanding. Oxford University Press. (Karya asal diterbitkan pada 1690)
Merleau-Ponty, M. (1962). Phenomenology of perception. Routledge & Kegan Paul.
Plato. (1992). Republic (terjemahan oleh G. M. A. Grube,). Hackett Publishing.
Sturken, M., & Cartwright, L. (2018). Practices of looking: An introduction to visual culture (3rd ed.). Oxford University Press.
Arnheim, R. (2004). Art and visual perception: A psychology of the creative eye. University of California Press.
