Saya buka dengan penafian: Bila saya sebut rock, saya tak maksudkan rock glam semata-mata, walaupun saya tahu kebanyakan awak berfikir begitu. Saya maksudkan rock sebagai genre payung untuk muzik di luar kerangka muzik pop dansa dan balada yang tersangatlah luas cakupannya, termasuk metal, rock berat dan muzik alternatif.
Baik, kita boleh mula.
Saya fikir, konsep sebuah rumah yang melahirkan kugiran atau sekelompok pemuzik sudah semakin asing sekarang. Tak pasti juga mengapa, tapi cerita kewujudan sebuah rumah yang sangat signifikan dalam perjalanan muzik seseorang/sekelompok pelagu semakin jarang didengar.
Mungkin ia terkait trend dalam industri perumahan juga, seperti wujudnya skim bilik sewa yang semakin mendominasi pasaran kediaman sewa, yang meletakkan strangers dalam sebuah rumah yang sama (masing-masing menyewa bilik dengan kontrak berasingan), yang menyasarkan golongan muda pula.
Kalau dulu, ramai golongan muda yang baru bekerja akan cari sebuah rumah untuk disewa bersama beberapa kenalan. Ini membolehkan mereka duduk dengan orang yang sekepala, seminat dan setujuan. Sebab itu banyak pemuzik mudah nak menggerakkan kugiran, sebab besar kemungkinan mereka duduk serumah. Bangun tidur nampak muka kawan dulu. Sebelum tidur, muka kawan sama yang terakhir dilihat.
Pastinya keadaan itu mempengaruhi amalan bermuzik mereka. Kalau dah duduk serumah, banyak masa diluang bersama, lebih mudah nak gerakkan muzik dan kimia sesama juga pastinya lebih serasi.
Mungkin masih ada keadaan sebegitu sekarang tapi tak banyak, atau tak dicerita. Yang saya dengar, kugiran seperti Spooky Wet Dreams dan empty page ada menyewa Airbnb, menetap di sana beberapa hari untuk menyiapkan album. Spooky Wet Dreams untuk album Dewa Kotaraya, empty page untuk album Cahaya.
Tapi itu berbeza, sebab ia hanya penginapan sementara. Bilik tak sempat nak serap bau badan masing-masing.
Sepanjang bacaan, tontonan dan bual saya bersama beberapa manusia muzik, saya kenal pasti tiga buah rumah yang signifikan dalam perjalanan muzik tempatan, khususnya rock (ketiga-tiga rumah ini melibatkan kugiran). Biar saya catat satu persatu.
Tapi ini cuma pengenalan yang ditulis dengan sumber dan masa yang terhad. Untuk yang lebih terperinci, perlu diselidik lebih mendalam.
121-C, Brickfields
Ini rumah paling legenda. Sudah hampir 40 tahun bumbungnya jadi tempat teduh penggiat dan peminat muzik underground, baik metal, punk dan segala subgenrenya.
Dalam satu catatan di Facebook, Joe Kidd kata sejarah rumah itu bermula pada lewat 80-an di lokasi asalnya di Jalan Scott, Brickfields. Yang menarik, komunitinya masih wujud sampai sekarang, boleh berkumpul di rumah sama. Terbaharu, mereka ada reunion dan rumah terbuka Aidilfitri di situ pada April lalu.
Kisah rumah ini, mungkin yang paling jelas dan tersusun, ada dalam dokumentari Pekik (2023). Tak semua perincian saya ingat, tapi dokumentari itu bukan hanya bercerita, malah membawa penonton menjelajah secara visual ke dalam ruang di rumah tersebut.
Melalui Pekik juga saya dapat tahu, banyak kugiran underground legenda seperti Sil Khannaz, Silent Death, Koffin Kanser dan Republic of Brickfields lahir di 121-C. Ini diriwayat legenda underground Malaysia, Fathullah Luqman Yusuff dalam dokumentari itu.
121-C menjadi ruang komunal buat komuniti muzik underground kerana semua penghuni tetapnya ialah orang penting komuniti itu. Apabila ada gig atau apa-apa acara yang mengumpulkan peminat muzik underground, selalu juga mereka yang datang dari negeri lain tumpang tidur di situ, sampai penuh ruang tamunya.

241, Jalan Damansara
Dalam buku Radhio Radhikal: Seksa, Dada dan Rock & Roll, Radhi OAG menulis satu bab tentang sebuah banglo tiga tingkat yang menjadi tempat berkumpul anggota dan peminat OAG.
Bab itu tak panjang, tak cukup untuk saya pastikan banyak maklumat tentangnya. Tapi cukup untuk saya faham kepentingannya.
Kata Radhi, rumah itu tempat beranak OAG. Malah, antara lagu paling awal dicipta Radhi, Knocked Silly juga dicipta di situ bersama Andy Flop Poppy (lagu itu lebih awal diterbit dalam kompilasi A Circle of Friends pada 1993, ketika Radhi menjadi vokalis Flop Poppy, dengan tajuk Flop Poppies, sebelum ditukar tajuk kepada Knocked Silly dan dimuat dalam album OAG, Melody Mocker pada 1999).
Banglo yang saya tak pasti milik siapa (mungkin keluarga Radhi) itu menjadi tempat lepak OAG dan peminatnya, sehingga tertubuh kelab peminatnya dan dalam perutnya juga tercipta bermacam lagu yang menaikkan nama OAG.
Ia mungkin tak melibatkan komuniti yang besar seperti 121-C tapi kalau kita nilai impak OAG terhadap muzik alternatif Malaysia, maka rumah itu signifikan. Tanpa OAG, saya yakin, haluan muzik alternatif kita tak sama macam sekarang.

2, Taman Cuepacs
Ketika menyunting artikel tulisan Johari Hamid di portal ini tentang sejarah kugiran Rastari, sekali lagi, saya tertarik dengan cerita berkenaan rumah.
Rastari dibentuk oleh M. Nasir sebab ketika itu, Loloq mahu buat kugiran bersama rakannya dari Singapura, Ridzwan Hashim. Johari diajak menyertai kugiran itu bersama pemain dram, Rohaizid Saad.
Rumah No. 2, Taman Cuepacs, Cheras ialah tempat tinggal anggota Rastari sepanjang penubuhan kugiran itu, bersama pengurus mereka, Omar Zahran. Di rumah itu Loloq dapat nama Rastari, selepas nama lamanya, Rapscallion ditolak kerana terlalu keras dan kebaratan. Di rumah itu juga idea-idea penulisan lagu dan haluan Rastari dibincang. Selepas beberapa ketika, Zainal Abidin Mohamed (Jai), adik kepada M. Nasir turut tinggal di rumah itu dan menjadi anggota kelima Rastari.
Sekali lagi, komunitinya tak sebesar 121-C. Malah, impak Rastari juga tak sebesar OAG. Tapi, disebabkan satu sosok rumah itu jadi penting, iaitu Omar Zahran.
Tempoh pembentukan Rastari bertindih dengan fasa awal penubuhan Luncai Emas, antara syarikat rakaman tempatan paling besar dan berpengaruh yang Malaysia pernah ada. Dan Omar Zahran (yang juga memainkan peranan penting dalam pembikinan dua filem berontak arahan Nasir Jani, Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta ‘87) antara tunggak mustahak penubuhannya.
Omar banyak menguruskan penubuhan Luncai Emas, malah alamat kepala surat Luncai Emas ialah No. 2, Taman Cuepacs, sebelum adanya pejabat rasmi mereka dahulu.

KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik dan lain lain hal berkaitan dunia kontemporari & subbudaya. Sokong dan langgani artikel berbayar beliau di: substack.com

Alhamdulillah . Patutlah saya kerap tersedak . Rupanya nama saya disahut sebut disini disebalik Rastari , Luncai Emas Sdn Bhd , Hussein Ali dan Bob Lokman yang menggunakan rumah sewa itu sebagai markas kerja . Lampauan kisah era BUNYI YANG DILIHAT menuju era META SUARANAMPAK di Bandar Baru Sg Bukoh.