Landskap seni visual tempatan disemarakkan lagi dengan Harmoni: Warna & Jalinan, sebuah pameran berkumpulan yang menghimpunkan enam artis dengan latar, bahasa visual dan pendekatan berbeza. Berlangsung dari 23 Mei hingga 28 Jun 2026 di Galeri Harmoni Soka, Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia, pameran ini dianjurkan oleh Soka Gakkai Malaysia (SGM) dengan kerjasama Satu: Creative Collective.
Menampilkan karya Ady Ezwan Nordin, Dr. Elias Yamani Ismail, Faizal Suhif, Fakir Md. Noor, Mohd Nizam Radzaly dan Nik Mohd Husyaidie, pameran ini menawarkan sebuah pembacaan visual yang berakar pada gagasan kepelbagaian sebagai asas pembentukan dialog kreatif. Dalam meraikan ulang tahun ke-25 Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia, pameran ini hadir sebagai manifestasi penting hubungan antara seni, budaya dan masyarakat.

Harmoni: Warna & Jalinan menandakan pencapaian signifikan buat Satu: Creative Collective yang meraikan penganjuran pameran ke-25 mereka. Ditubuhkan pada tahun 2008 oleh Dr. Elias Yamani Ismail dan Isnian Ibrahim, kolektif ini telah menjadi salah satu platform seni yang konsisten dalam pergerakan ekosistem seni di Malaysia melalui pameran, projek kuratorial, penyelidikan, program kreatif dan kolaborasi.

Sepanjang hampir dua dekad, Satu: Creative Collective telah menganjurkan 25 pameran, tujuh projek kuratorial, serta mengetengahkan lebih 60 pengkarya tempatan. Pendekatan kerjasama dan komitmen terhadap penglibatan komuniti kolektif ini turut membina jaringan bersama organisasi antarabangsa melalui pelbagai projek seperti Nuqtah: Asal Mula Sebuah Tradisi, Extending Ideas, Transition Transformative: Visual Experience, dan Urban Experience: Lisbon & Kuala Lumpur.

Dari dimensi kuratorial, Harmoni: Warna & Jalinan berteraskan konsep mélange, (French) dalam konteks kreatif merujuk kepada gabungan unik antara orang, gaya atau idea yang berbeza atau gabungan pelbagai unsur yang tidak sepadan. Dalam konteks pameran ini pula, mélange bukan sekadar campuran visual atau formal, tetapi sebuah proses dialog yang aktif antara idea, material, budaya dan pengalaman.
Setiap karya yang dipamerkan memperlihatkan bagaimana pengalaman peribadi pengkarya diterjemahkan melalui pelbagai medium, teknik dan bahasa visual yang berbeza. Perbezaan ini tidak dilihat sebagai jurang, sebaliknya sebagai ruang interaksi yang membina hubungan simbiosis antara individu dan kolektif, tradisi dan eksperimen.

Menariknya, pameran ini tidak menuntut keseragaman. Sebaliknya, kekuatan Harmoni: Warna & Jalinan terletak pada keberanian meraikan ketidaksamaan. Pertembungan idea, perbezaan perspektif dan penerokaan kemungkinan baharu membentuk sebuah kesatuan yang dinamik dan organik.
Melalui semangat mélange, pameran ini mengajak pengunjung untuk menilai semula seni sebagai ruang pertemuan yang sentiasa hidup, ruang di mana pelbagai identiti, latar pengalaman dan pendekatan kreatif saling bertemu untuk menghasilkan dialog yang lebih luas. Dalam era yang semakin kompleks, kepelbagaian bukan lagi sesuatu yang memisahkan, tetapi menjadi sumber kekuatan yang memperkayakan pemikiran dan membina kefahaman bersama.

Harmoni: Warna & Jalinan berdiri sebagai sebuah pernyataan penting tentang seni kontemporari Malaysia hari ini bahawa harmoni tidak semestinya lahir daripada keseragaman, tetapi daripada kemampuan untuk menerima, meraikan dan menghubungkan perbezaan.

Harmoni: Warna & Jalinan
Galeri Harmoni Soka, Wisma Kebudayaan SGM, 243 Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur
23 Mei – 28 Jun 2026 – 1.00 pagi – 5.00 petang – Masuk Percuma
