‘Macam orang tembak tupai’ kata Mat Yie kepada Uwei. Mat Yie adalah pelukis terkenal Ahmad Shukri Mohamed manakala kamu semua kenal akan Uwei. Kebetulan kami bertemu mereka berdua di satu pameran baru-baru ini setelah pulang dari Langkawi.
Mat Yie juga adalah diantara seniman yang kami hormati bersama dengan semua ahli kumpulan Matahati yang terkenal itu. Karya-karyanya sangat sangat mengujakan. Salute Mat Yie.
Dia berkata begitu mengenai cara Uwei bercakap yakni melemparkan peluru penabur dan tidak dapat tidak, pasti satu atau dua bebola besi itu akan sampai kepada buruannya.
Kami memahami apa yang dialami oleh Uwei. Terlalu banyak yang bermain difikiran sehingga semuanya berlumba-lumba mahu keluar melalui mulut. Kami juga mengalami perkara yang sama, cuma bezanya kami meluahkannya melalui mesin taip. Ini agaknya yang sering di sebut orang sebagai kegeniusan anak Pahang.

Dan kerana sibuk melepaskan peluru penabur, kami tidak dapat menyiapkan artikel yang lalu dalam satu hantaran. Terpaksa disambung dalam artikel ini. Pun begitu, tidaklah kami merasa dirugikan. Seperti yang kami katakan sebelum ini, artikel ini dibayar oleh dua pihak, maka mahu ditulis berapa kali pun kami bersyukur.
Kami sampai sehari lebih awal dari yang dicadangkan oleh Balai Seni Negara, maka kami boleh berehat satu hari sebelum dibawa kemana-mana oleh mereka. Lalu duduklah kami dibilik hotel merenung hidup yang sementara ini.
Esoknya adalah hari jumaat maka setelah sarapan di sebuah warung, kami bertanya kepada penjaga tandas awam berhampiran dimanakah masjid yang paling dekat. Dia memberitahu kami bahawa masjid Al-Qadim adalah lebih dekat jika dibandingkan dengan masjid Al-Hana.
Setelah berterima kasih kami pun pulang dan bersiap-siap. Kami mandi dan berwangi-wangi dan sekitar jam 12:30 tengah hari kami sudah berada di masjid. Maklumlah, kata ustaz kita akan mendapat unta merah jika datang awal. Lalu semasa muhasabah diri, kami dapati dosa kami teramat banyak. Layaklah kami datang awal dalam usaha membeli jiwa sang pencipta.
Setelah sembahyang sunat, kami berbuat apa yang patut dan jam menunjukkan hampir pukul 1 tengahari. Masjid masih kosong. Lambat benar orang pulau ini datang sembahyang jumaat, kata kami di dalam hati.
Kemudian terdengar azan di masjid sekitar dan masjid Al-Qadim masih kosong. Kami berfikir lagi, ‘nak kata wahabi, mereka pun sembahyang jumaat.’ ‘Orang pulau ni sesat gamaknya. Nak ikut mat salleh sangat gitulah jadinya,’ fitnah kami lagi.
Dalam berbolak balik itu, kami pun berfikir untuk sembahyang zohor dan balik ke bilik namun ada sedikit cetusan hidayah yang datang. Maka kami pun berjalan menuju Masjid Al-Hana dan tiba Ketika khutbah pertama hampir selesai.

Selesai sembahyang jumaat, kami mencari-cari gerai untuk makan tengahari. Dan bertemu dengan kedai yang menjual lauk pauk Kelantan. Banyak lauk yang dihidangkan dan kami pun mencuba serba sedikit.
Satu perkara yang kami perhatian tentang makanan. Para pemakan ikan keli akan segera menyambar makanan tersebut demi melihatnya. Tidak kiralah mereka sedang berada di restoran nasi campur atau pun di warung tepi jalan.
Hatta jika NOBU menghidangkan makanan tersebut sekalipun mereka akan jadi sesak nafas teruja. Entah dimana sedapnya ikan darat yang berkepala ular itu. Dan yang kami paling hairan ialah, ikan keli akan sentiasa digoreng keras sebelum disimbah lada.
Entah untuk menghilangkan hanyirnya atau entah untuk memperdayakan pemakannya. Apa pun tujuan, pemakan ikan keli adalah manusia pilihan yakni mereka sama seperti bangsa yahudi yang mengutamakan satu-satu perkara di atas perkara yang lain tanpa peduli baik atau buruknya perkara tersebut.
Dan sebagai perbandingan, ikan tamban buru yang dikelar-kelar dan digoreng garing adalah gambaran makanan dari sorga. Bahkan ikan selar kuning yang halus itu pun sejuta kali lebih enak bila digoreng berbanding ikan keli. Kalau ikan keli itu sedap sangat, masak kari la..
Namun untuk memenangkan pemakan ikan keli, kami sendiri walaupun bukan keturunan jawa, akan segera menerpa demi terlihat akan tempe. Kerana itu kamu akan dapati, seperti Khir Toyo, kulit muka kami agak flawless.
Setelah habis makan tengahari, kami ada bercadang untuk melihat-lihat Kawasan keliling namun letih telah menguasai. Lalu kami berjalan perlahan pulang ke bilik sewa.
Disana kami menghabiskan masa dengan tidur dan berangan-angan.
Abdullahjones merupakan seorang pelukis, penulis, penyajak, dan kurator yang sedang cuba mengisi lompongan tinggalan Che Nom dengan memetik Nobuyuki Matsuhisa dan mungkin juga akan menubuhkan KolumpoEats
Nota Editorial:
Pihak Senimalaya masih belum dapat memastikan artikel ini adalah penamat kepada bahagian II atau akan bersambung kerana masih belum muncul kisah tentang BMS29…Baser.
