Fung Keong Sneakers (FK Sneakers) meneruskan kolaborasi berasaskan ikon budaya pop negara dengan menjadi ‘kawan’ filem Keluang Man melalui rekaan kasut eksklusif untuk filem berkenaan.
Kerjasama itu diumumkan dalam sidang media yang diadakan di Aurum Theatre, Tun Razak Exchange pada 23 April.
Untuk filem yang akan memulakan tayangan pada 29 Mei itu, FK Sneakers menghasilkan rekaan kasut khusus berasaskan logo adiwira tempatan popular tersebut.
Dalam video acah yang dikongsi dalam sidang media, rekaan eksklusif potongan tinggi tersebut menampilkan warna kulit yang kelihatan gelap dengan rona kuning dan tapak merah tua (burgundy). Rekaan sebenar dan terperinci belum didedahkan, setakat ini.
Malah, kasut edisi terhad itu juga merupakan rekaan pertama FK Sneakers yang menggunakan bahan kulit, memandangkan produk mereka sejak 2023 menggunakan kanvas.
Sebelum ini, FK Sneakers pernah berkolaborasi dengan tiga ikon dari filem Kembara Seniman Jalanan (1986), iaitu Datuk Dr. M. Nasir, Allahyarham Pyanhabib dan Nasir Jani, selain ikon budaya pop lain seperti Zainal Rashid Ahmad, Adam John dan kugiran No Good.
Pengarah Strategi Penjenamaannya, Izzat Amir berkata, pihaknya bersyukur dengan peluang untuk bekerjasama dalam filem tersebut, memandangkan Keluang Man merupakan ikon penting dalam kehidupan anak muda 90-an.
“Untuk Kembara Seniman Jalanan pun, kolaborasi kami lebih kepada watak yang dimainkan, iaitu Bujang dan Osman Tikus, berbanding sosok M. Nasir dan Pyanhabib itu sendiri.
“Memang hasrat kami untuk memanjangkan ingatan rakyat Malaysia terhadap ikon-ikon budaya pop terdahulu dan ia seiring dengan matlamat penerbitan filem Keluang Man,” katanya ketika ditemui dalam sidang media tersebut.
