“Pi la tengok, cerita ni best!” kata pelakon terkenal Nam Ron.
Jika untuk mencantikkan cerita, kami akan katakan yang kami bersarapan dengan pelakon itu.
Namun yang sebenarnya kami berdua kebetulan bermalam di hotel yang sama.
Dia ke Johor Bahru untuk mempromosikan filem ‘Terbang’ lakonannya dan kami pula dibawa oleh Balai Seni Negara untuk program ‘Graff For Nation’.
Kami akan menulis mengenai ‘Graff For Nation’ dalam artikel lain.
Pun begitu, Kolumpoart dan juga Senimalaya tentu saja telah menerbitkan artikel mengenai program anjuran Balai Seni Negara tersebut sebelum artikel ini tersiar.
Kedua-dua artikel tersebut adalah ‘bayaran hutang’ kami kepada Balai Seni Negara.

Satu perkara yang kami baru tahu ialah, pelakon-pelakon filem hanya akan menonton filem lakonannya pada tayangan perdana sama seperti orang lain yang hadir pada waktu itu.
Kami sangka tentu saja para pelakon sudah menonton filem yang siap lama sebelum filem tersebut masuk panggung.
Rupanya tidak. Mereka juga seperti orang lain yakni tidak mengetahui bagaimana rupa filem yang mereka lakonkan itu.
Setelah berlakon, ‘nasib’ mereka diserahkan bulat-bulat kepada pengarah dan penyunting filem. Ini andaian kami saja kerana kami sendiri tidak pernah terlibat dalam sebarang proses pembikinan sesebuah filem.
Kerana itu agaknya kadang-kadang kita mendengar cerita bagaimana pelakon datang ke malam tayangan perdana dan mendapati tidak semua atau hanya sedikit lakonannya dimasukkan ke dalam filem.
Hal ini pada kami agaknya tidak memberangsangkan. Setelah berhempas pulas berkarya, kerja akhir kita ditentukan oleh orang lain.
Agaknya ini beza antara pelukis dan pelakon.
Dan bila Nam Ron mengatakan yang filem ini ‘best’, kami percaya dia berpuas hati dengan hasil akhir filem tersebut.

Cuma, pada hari berkenaan dia mengenakan kemeja T dari filem berkenaan dan kami lihat kemeja T tersebut dibuat dengan kasih sayang.
Ringkas dan cantik. Tahniah kepada perekanya, dan semasa bertemu kali kedua dengan pelakon hebat itu, kami ada memberi bayangan yang kami suka akan kemeja T berkenaan dan berharap dia faham, alas, dia buat donno je…
Hanya kerana itu, kami sehingga kini masih berkira-kira untuk menonton filem berkenaan. Kalaulah saja dia segera menghulur kemeja T saiz 2x kepada kami…
Semasa berbual dengan Nam Ron, seorang lelaki membawa sepiring telur goreng kepadanya dan bertanya sama ada dia mahukan kacang panggang atau roti bersama dengan telur berkenaan.
Kami pun menjadi cemburu kerana dia mendapat layanan sehingga tidak perlu mengambil sendiri makanan paginya.
Sedangkan kami perlu beratur dan makan sendiri tanpa ditemani sesiapa.
Semuanya disiapkan oleh orang lain. Terfikir juga mengapa kami tidak menjadi pelakon dan diraikan seperti dia. Tapi bila melihat jauh ke dalam, kami pun sedar diri.
Sebut fasal makan pagi, kami bertanya kepada seorang pelukis yang terkenal soalan “apa state dunia catan kita sekarang ini?”
“Lost” adalah jawapan yang diberikannya tanpa teragak-agak.
Mungkin dia sudah lama menyimpan jawapan pertanyaan tersebut dan hanya menunggu ditanya.
Kemudian dia bercerita bagaimana pelukis kita mahu sibuk menjadi Monet dan juga Heri Dono.
Dia bersungguh-sungguh melemparkan kekesalannya pada hal-hal yang begini.
Dan dengan ‘lost’, kami mengandaikan dia bermaksud bahawa dunia catan kita ini sedang sesat. Dan dengan sesat, kami sendiri maksudnya seperti pengikut ajaran yang tidak benar.
Dia juga mengkritik pengumpul karya yang membeli karya kerana ‘I like it’.
Dia mengakui yang pengumpul ada hak berbuat demikian kerana mereka membelanjakan wang sendiri untuk memiliki karya, namun di samping mengumpul satu-satu karya, mereka juga perlu ada sedikit pengetahuan dan mungkin juga ‘perjuangan’ demi untuk memajukan lagi dunia catan tempatan.
“Jangan sibuk nak jadi artis!” katanya lagi kepada pengumpul.
“Semua bangkai!” jawabnya bila kami bertanya pula mengenai penulisan seni di tempat kita.
Mungkin kerana kami yang bertanya, dia kemudiannya memuji-muji tulisan kami dan walau apa pun niatnya, kami kembang tidak ingat dunia.
Yalah, pujian walaupun adalah racun, kadang-kadang ia juga melegakan, sebelum membunuh mati tuan punya badan.
“Sudah-sudahlah memetik Alain Depocas, Lakoff, cuba tulis bagi orang awam faham, ini tidak, tulis syok sendiri, bangkai semua tu, bangkai!” katanya lagi.
Mujur muzik tempat kami minum dimainkan dengan agak kuat dan menenggelamkan kemarahannya itu. Kami tidak berkata apa-apa sambil cuba ketawa takut-takut.
Ini hal orang handal dan kami bukan duduk di sana, maka adalah lebih baik kami kekal pandir dan tidak diambil kira dengan serius.
Seperti yang kami selalu katakan, kami hanya mahu melukis, menulis dan menghisap rokok dengan bersungguh-sungguh.
Abdullahjones merupakan seorang pelukis dan penulis yang dalam diam-diam sedang mencari agensi yang dapat membolehkan beliau terjun ke dunia perfileman sebagai seorang pelakon atau setidaknya sebagai pelagak ngeri.
