PELUKIS cat air dan juga pelukis dari kaum India di negara ini ada satu kerungsingan yang sama. Mereka sama-sama merasa terpinggir. Menurut mereka, jarang ada galeri seni komersil yang mahu mempamerkan karya-karya mereka.
Tentu saja ini adalah tidak benar. Galeri komersil sering saja mempamerkan karya-karya cat air oleh Chang Fee Ming, Maamor Jantan dan juga Rohaizat Shaari misalnya. Sementara seniman dari kaum India seperti J Anu, Jeganathan Ramachandran, Banu Achan dan juga beberapa nama lain adalah ‘darling’ kepada kebanyakan kolektor.
Dan jika kamu tidak rasis, Piyadasa juga adalah seorang pelukis bukan berbangsa Melayu!
Nama-nama yang kami sebut diatas adalah sekadar contoh dan juga pembelaan terhadap sangkaan pelukis cat air dan juga pelukis dari kaum India.

Mereka yang merasa dipinggirkan itu seharusnya mencari apa kelebihan yang ada pada nama-nama yang kami sebut tadi sehingga menyebabkan mereka boleh berdiri sama tinggi dengan seniman kontemporari yang lain.
Lihat karya mereka dan cuba belajar. Mungkin mereka berjaya membawa diri melalui karya-karya yang bagus. Mungkin mereka lebih bebas menggunakan bahan tanpa perlu diikat dengan satu jenis imej tertentu. Mungkin juga mereka tidak terlalu sibuk untuk mempromosi budaya sendiri dengan keterlaluan. Atau mungkin saja kerana mereka lebih banyak bekerja, keluar bertemu dan kenal dengan rakan-rakan pelukis yang lain. Mungkin juga kerana mereka tidak terikut dengan sentimen dan mungkin juga kerana mereka lebih senang dan tenang dari sibuk mahu meradang tak tentu fasal misalnya.
Lihat bagaimana Rohaizat ‘aku sapaa’ Shaari yang tinggal dan berkarya jauh di Kedah namun masih berjaya dengan cat airnya. Lihat juga karya-karya Noor Mahnun. Walaupun sering menggunakan cat minyak, karya-karya cat air oleh Noor Mahnun berada di tempat lain jika dibandingkan dengan karya-karya cat air tempatan.
Kami yakin tidak ramai pelukis kaum India dan juga pelukis cat air yang mengenal Noor Mahnun dan kerjanya. Jika tidak silap informasi, kami dengar dia kini menetap di Kuantan, bandar kopi hipster tapi mahal itu.
Menganggap diri adalah mangsa bukanlah satu senjata yang akan memenangkan kamu dalam apa pun jenis peperangan.
Dalam hal yang berkaitan, jika pasaran adalah sasaran maka pelukis cat air sepatutnya bersyukur kerana mereka ada peminat mereka sendiri. Peminat yang akan bermati-matian mempertahankan serta melanggan karya-karya mereka, dan dalam masa yang sama mereka tidak perlu bersaing dengan pelukis-pelukis luar dari dunia mereka.

Lukisan cat air juga adalah pilihan ramai para pelancong yang datang ke negara ini. Disitu datangnya untung kepada pelukis cat air. Mungkin kerana karya mereka sentiasa romantis dengan perahu dan pokok kelapa melambai itu menggamit pelancong untuk menjadikannya sebagai cenderamata. Tambahan pula, karya-karya tersebut ringan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.
Atau jika mereka mahu, boleh saja mereka memperhatikan karya-karya yang dihasilkan oleh Piyadasa. Walaupun pelukis itu kerap menggambarkan budaya bangsanya, tetapi dia menghasilkan semua karya tersebut dengan menjadikan jati diri negara sebagai tema besarnya.
Tambahan pula Piyadasa bukanlah seorang pelukis yang sentiasa merintih,kecil hati dan juga berdendam dengan negara yang banyak memberi peluang kepada semua orang yang mahu berusaha ini.
Pelukis dari kaum India juga mungkin boleh memberi tumpuan kepada kolektor dari kelompok mereka sendiri jika mereka masih bertegas mahu menghasilkan karya-karya yang sehala.
Untuk pengetahuan pelukis cat air dan juga pelukis dari kaum India, persaingan pasaran dalam dunia seni catan terbuka tempat kita adalah amat sengit. Tidak semua mereka yang memulakan larian dalam bidang ini berjaya menamatkan perlumbaan. Terlalu ramai yang kandas berbanding mereka yang berjaya.

Pelukis kaum India dan juga pelukis cat air beruntung kerana berjaya duduk dalam dunia mereka yang tersendiri. Mereka adalah niche dan terpinggir adalah sesuatu yang bagus dalam situasi ini misalnya.
Atau mungkin mereka yang berada dalam dunia cat air juga memerlukan seorang Sang Pencerah yang akan membawa karya-karya mereka ke suatu tempat yang selama ini diidamkan oleh mereka. Itu pun jika mereka masih tidak menganggap Chang Fee Ming, Maamor Jantan, Rohaizat dan juga Noor Mahnum sebagai suri teladan yang baik. Harapannya kesatria yang mereka pilih itu nanti bukan datang dari mereka yang mudah panas hati.
Sekadar makluman, yang paling kami meluat ialah bila orang mengatakan bahawa orang seni itu sensitif. Nak muntah hijau rasanya bila mendengar orang mengaku anak seni dan sensitif padahal cuma lukis bunga kangkung.
Podah la.
