Baru-baru ini saya hadir ke satu acara perbincangan seni bertajuk ‘On Art Collecting’ di A.POP Jalan Negara, Taman Melawati bersempena pameran Pilih dan Pamer. Sidang tersebut menampilkan tiga orang kolektor tempatan iaitu Dato’ Dr. U-Wei Hj Shaari, Professor Emeritus Dr. Krishna Gopal Rampal dan Dr. Tan Loke Mun dengan sesi dimoderasikan oleh Yap Sau Bin. Masing-masing hadir membawa pengalaman, orientasi dan hubungan mereka terhadap karya masing-masing dengan kisah yang berbeza.
Pada permukaannya, perbincangan tersebut bergerak dalam ruang yang lazim ditemui dalam wacana pengoleksian seni: soal minat peribadi, nilai pelaburan, pengalaman estetika dan hubungan emosi kolektor dengan karya yang dimiliki. Namun begitu, semakin perbincangan berlangsung, semakin jelas saya dapati bahawa persoalan pengoleksian seni yang diperbincangkan tidak sekompleks apa yang saya jangkakan. Ia berlegar di sekitar isu pemilikan objek budaya.

Ada usaha dari moderator yang cuba mengajukan beberapa soalan dalam mod yang mungkin dapat dipecahkan tembok kebiasaan secara kritikal terhadap isi kandungan perbincangan tersebut. Namun, perbincangan tetap berlegar seperti yang lazim kita dengar dan tidak ada yang di luar jangkaan melainkan ada tiga pernyatan dari panelis yang suka untuk saya bincangkan di sini.
Saya akan bicaranya sekejap lagi. Walau apa pun, setelah sesi tersebut saya ada secara sepintas lalu mengutarakan sedikit idea tentang apa yang ingin saya bincangkan dalam esei ini bersama Dr. K Azril Ismail, Yap Sau Bin, Badruddin Syah Abdul Wahab, Mustaffa a.k.a Tapa Otai dan beberapa lagi yang lain. Cuma pada hemat saya, elok saya tuliskan daripada ianya berakhir hanya sebagai bual kosong.

Tujuan esei ini adalah keinginan saya membawa keluar daripada ruang perbincangan itu untuk kita sama-sama sedari bahawa di sebalik bahasa tentang cita rasa, prestij, dan nilai pasaran itu, ada tersembunyi persoalan yang lebih mendasar mengenai bagaimana sesuatu karya memperoleh legitimasi sejarah dan bagaimana memori budaya akhirnya terbentuk. Penyembunyian itulah yang saya maksudkan sebagai satu krisis yang masih belum terungkap dan perlu disedari serta ditangani segera.
Hal ini berkait rapat dengan beberapa pernyataan yang diujarkan oleh panelis berhubung beberapa isu utama dalam industri. Pernyataan tersebut membayangkan beberapa krisis, cabaran dan dinamika dalam ekosistem seni kontemporari tanah air yang sedang bergelut dengan isu dokumentasi, peranan institusi dan jangka hayat sesebuah karya seni.
Ingin saya fahamkan di sini bahawa pernyataan provokatif ‘kolektor seni bunuh seni’ adalah isu aksesibiliti dan ‘kematian’ fungsi sosial sesebuah karya yang disimpan oleh kolektor. Masyarakat dan generasi baharu tidak lagi dapat melihat, mengkaji atau menghayatinya. Yakni, seni tidak lagi berfungsi sebagai ejen perubahan sosial atau refleksi budaya, sebaliknya hanya sekadar menjadi aset pelaburan atau hiasan dinding eksklusif.
Hubungan terhadap peranan institusi memikul tanggungjawab yang lebih kritikal terhadap fungsi pengarkiban dan pendokumentasian juga diujar sebagai ‘it’s the job of National Art Gallery’ yang meletakkan harapan serta kritikan terhadap peranan Balai Seni Negara (Balai) sebagai institusi negara. Balai seharusnya bertindak sebagai pusat rujukan utama yang membina naratif sejarah melalui rekod yang sistematik.
Apabila karya penting berada dalam simpanan kolektor, tugas utama institusi bukan sekadar untuk memilikinya secara fizikal, tetapi untuk memastikan data, konteks dan sejarah karya tersebut diarkibkan dengan sempurna sebagai khazanah negara. Walau bagaimanapun, pada hemat saya, proses pengarkiban ini bukanlah sekadar kerja merekod inventori fizikal barangan, melainkan sebuah disiplin metodologi sejarah seni yang menuntut ketelitian saintifik.
Oleh itu kerja-kerja pengarkiban ini wajib dilakukan dan dipandu oleh pakar serta ahli yang bertauliah (seperti sejarawan seni, aktivis profesional dan kurator terlatih), bukannya diserahkan bulat-bulat kepada kaedah pengumpulan mandiri oleh kolektor peribadi atau disederhanakan oleh birokrat institusi.
Kegagalan dalam melaksanakan tugas kearkiban yang berdisiplin ini memberikan gambaran tentang isu daya saing dan kecekapan institusi. Sebagai institusi awam, Balai mungkin kalah pantas dengan pengumpul persendirian dalam pemilikan material, namun mereka tidak sepatutnya kalah dalam mendokumentasikan impak historiografi karya tersebut.
Jika fungsi pengarkiban ini diabaikan, ia akan menyebabkan lohong besar dalam naratif sejarah seni negara, di mana memori budaya kita menjadi terfragmentasi dan hanya boleh diakses melalui koleksi peribadi yang eksklusif.
Dan sentimen dari pernyataan ‘kurangnya penulis seni’ pula membayangkan krisis intelektualiti dan ketiadaan sistem sokongan yang matang dalam dunia seni. Ketiadaan wacana dan kritikan mengakibatkan seni tidak dapat didokumentasikan, dianalisis atau diterjemah ke dalam konteks yang boleh difahami oleh masyarakat awam.
Seni akan berakhir sebagai objek visual tanpa impak intelektual. Maka, impak jangka panjangnya adalah sejarah seni tempatan akan kekurangan rujukan bertulis yang sahih, menjadikan sumbangan para seniman mudah dilupakan begitu sahaja.
Secara kolektif, perbincangan ini membayangkan sebuah ekosistem seni yang tidak seimbang. Ia menunjukkan situasi di mana karya seni yang baik ada dihasilkan, namun berisiko ‘hilang’ dalam koleksi peribadi (kolektor seni bunuh seni); institusi awam gagal menyelamatkannya untuk tatapan masyarakat (it’s the job of National Art Gallery); dan tiada pula usaha merakam serta membahaskannya dalam bentuk tulisan untuk generasi masa hadapan (kurangnya penulis seni).

Seluruh pernyataan ini pada pendapat saya berfungsi secara serentak sebagai jalan fikiran yang singkat dan penuh dengan paradoks. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa pernyataan-pernyataan itu dibuat secara bias tanpa memahami tahap-tahap situasi secara jelas. Namun pada asasnya, salah satu ironi ketara dalam situasi ini adalah apabila sejarah belum sempat terbentuk melalui proses wacana dan penilaian jangka panjang, tetapi karya telah dipaksa berfungsi sebagai ‘sejarah’ secara segera.
Dalam konteks ini, modal tidak lagi sekadar membeli objek seni tetapi turut mempercepatkan proses legitimasi budaya melalui cara pemintasan temporal dalam pembentukan sejarah seni. Untuk itu, esei ini akan mengemukakan satu kerangka situasi tiga tahap penelitian bagaimana hubungan antara seniman, institusi dan kolektor yang telah menghasilkan suatu bentuk sejarah pramatang yang semakin mengaburkan batas antara nilai budaya dan nilai pasaran.
Pada asasnya, sebarang pembentukan sejarah seni secara idealnya memerlukan rantaian masa yang relatifnya perlahan dan terbuka kepada pertikaian tafsiran. Dalam kerangka ini, terdapat tiga tahap situasi utama yang wajar kita fahami. Iaitu pertama, seniman dan karya.
Kedua, institusi dan wacana dan ketiga, kolektor dan pemilikan. Pada tahap situasi pertama, iaitu fasa genesis, karya seni hadir sebagai respons terhadap pengalaman zaman, keadaan sosial, imaginasi estetik dan pergolakan budaya semasa. Pada tahap ini nilai sejarah karya masih berada dalam keadaan potensi. Ia belum stabil dan masih terbuka kepada pelbagai.
Manakala pada tahap situasi kedua, ia melibatkan proses legitimasi melalui kritik, penulisan, kuratorial, penyelidikan, pameran institusi dan penilaian rentas generasi. Di sinilah setiap karya diuji oleh masa sebelum ia diterima sebagai sebahagian daripada memori budaya kolektif. Sejarah seni bukan sekadar himpunan objek tetapi hasil daripada proses saringan budaya yang berterusan. Dan pada tahap situasi ketiga, karya telah memperoleh kedudukan tertentu dalam wacana budaya kemudian diabadikan melalui koleksi awam dan persendirian. Pengoleksian tidak semestinya bermasalah. Namun, dalam banyak keadaan ia turut berfungsi sebagai mekanisme pemeliharaan material.
Krisis mula muncul apabila tahap situasi ketiga memintas fungsi tahap situasi kedua lalu mempercepatkan legitimasi sejarah sebelum proses wacana sempat matang. Apabila hal ini berlaku, sejarah tidak lagi terbentuk melalui proses perdebatan dan penilaian yang berpanjangan tetapi melalui pengesahan yang berlaku hampir serentak dengan kemunculan karya itu sendiri.
Salah satu kekeliruan utama dalam ekosistem seni semasa ialah kecenderungan menyamakan nilai pasaran dengan nilai sejarah. Dalam keadaan tertentu, keterlihatan ekonomi sesuatu karya mula dianggap sebagai bukti automatik terhadap kepentingan historiografinya. Hakikatnya, sejarah seni tidak terbentuk melalui pemilikan atau pengumpulan objek semata-mata. Tidak semua karya yang dijadikan koleksi mempunyai nilai sejarah yang setara, dan tidak semua karya yang penting secara sejarah sempat memperoleh legitimasi pasaran pada zamannya.

Tidak semua yang dikoleksi menjadi sejarah, dan tidak semua yang bersejarah sempat dikoleksi
Pernyataan ini menandakan perbezaan asas antara logik pasaran dan logik historiografi. Pasaran beroperasi melalui pemilikan, keterlihatan dan pertukaran nilai simbolik. Sebaliknya, sejarah seni terbentuk melalui pembacaan semula, kritik, penyelidikan dan penilaian rentas generasi. Seorang seniman boleh menjadi signifikan dalam sejarah seni tanpa karyanya mempunyai kedudukan historiografi yang sama.
Sebaliknya, sesebuah karya tertentu boleh menjadi penting bukan semata-mata kerana nama senimannya, tetapi kerana kemampuannya menangkap perubahan budaya, membuka kemungkinan estetik baharu atau mengubah cara sesuatu zaman memahami dirinya sendiri melalui bentuk visual. Dalam pengertian ini, historiografi seni bukan sekadar sejarah individu atau inventori koleksi. Ia ialah sejarah hubungan antara karya, konteks budaya dan pembentukan kesedaran masyarakat terhadap pengalaman zamannya.
Tegasnya, sebarang analisis tentang seni perlu bermula daripada tahap situasi pertama iaitu realiti material. Seniman memerlukan sumber ekonomi untuk terus hidup dan berkarya. Kos studio, material, mobiliti sosial dan kelangsungan hidup seharian menjadikan pasaran sebagai salah satu mekanisme utama sokongan budaya. Apabila pasaran menjadi mekanisme dominan akibat keterbatasan sokongan institusi, beberapa implikasi struktural mula muncul.
Pada peringkat ini, keterjaminan ekonomi terlalu bergantung kepada kehendak pasaran maka proses penciptaan di studio cenderung mengalami penyesuaian awal terhadap jangkaan pembeli. Dalam keadaan ini, seni mula dibaca terutamanya melalui fungsi utilitinya, sama ada sebagai instrumen pelaburan atau penanda status sosial.
Dalam situasi ini, pengalaman estetik dalam jarak kritikalnya semakin mengecil menyebabkan risiko konseptual menjadi sesuatu yang cuba dielakkan oleh seniman, manakala formula visual yang telah terbukti mempunyai permintaan pasaran lebih mudah diulang. Masalah utama di sini bukan semata-mata komersialisasi tetapi bagaimana logik ekonomi pula membentuk horizon kemungkinan artistik sejak di peringkat awal penciptaan.
Di tahap situasi kedua, kelemahan autonomi institusi budaya menyebabkan pergantungan kepada koleksi persendirian sebagai asas utama pameran berskala besar. Dalam keadaan ini, berlaku apa yang boleh disebut sebagai inversi historiografi, iaitu apabila sejarah seni dibina berdasarkan apa yang tersedia dalam struktur pemilikan persendirian, dan bukannya penyelidikan sejarah yang bebas dan berjangka panjang.

Institusi berisiko berubah daripada ruang saingan budaya kepada mekanisme pengesahan retrospektif terhadap nilai yang telah ditentukan terlebih dahulu oleh pasaran. Ini adalah bentuk kekerasan struktural dalam ekosistem seni, di mana modal ekonomi yang rakus cuba memintas masa untuk menukar dirinya menjadi modal simbolik secara paksa.
Kekuasaan dana kewangan digunakan untuk membeli ‘maruah’ dan legitimasi sejarah secara segera. Kesannya, institusi berisiko berubah daripada ruang perdebatan wacana kepada sekadar ejen cop pengesahan terhadap nilai estetika yang sebenarnya telah ditentukan lebih awal oleh pasaran.
Sungguhpun demikian, telah wujud bersamanya retorik bahawa sesuatu karya ‘layak dimiliki muzium’ atau ‘bertaraf muzium’ sering berfungsi sebagai mekanisme penghasilan prestij simbolik yang mempercepatkan pengukuhan nilai pasaran. Terdapat paradoks yang wajar diperhatikan di sini.
Apabila karya yang didakwa mempunyai kepentingan sejarah yang tinggi kekal dalam ruang pemilikan persendirian yang terbatas aksesnya kepada umum, maka idea ‘kepentingan awam’ mejadi semakin tidak stabil. Ia tidak lagi merujuk kepada akses atau perkongsian pengetahuan, tetapi kepada status yang diperoleh melalui hubungan simbolik dengan institusi budaya. Dalam keadaan demikian, sejarah seni berisiko beralih daripada ruang memori kolektif kepada mekanisme pengukuhan nilai dalam struktur pemikiran persendirian.
Di sebalik retorik ‘taraf muzium’ ini, terdapat persoalan yang mendasar mengenai kewajaran hubungan antara pemilikan peribadi dan pembentukan historiografi. Kita perlu mempersoalkan bagaimana hubungan ini sebenarnya sedang melakukan penapisan ideologi dan kelas terhadap apa yang akhirnya layak dinamakan ‘Sejarah Seni Kontemporari Malaysia’.
Apabila naratif sejarah terlalu bergantung kepada apa yang ‘terselamat’ dalam koleksi peribadi kelompok kolektor elit, sejarah seni kita berisiko menjadi sebuah rekod yang memihak. Ia boleh dikatakan bakal cenderung merakam hanya seni yang divalidasi oleh selera dan kepentingan kelas menengah atas, manakala gerakan seni protes, eksperimentasi akar umbi, atau karya yang tidak mesra pasaran walaupun punya impak sosiopolitik yang besar pada zamannya – bakal tercicir daripada radar sejarah.
Ini pada hemat saya adalah satu bentuk penswastaan kebenaran sejarah, di mana hak penafsiran terhadap memori budaya bangsa dipindahkan daripada akses awam yang demokratik ke dalam ruang pemilikan eksklusif yang berkepentingan.
Seperkara lagi yang perlu ditegaskan di sini adalah jika institusi awam memikul tanggungjawab sebagai penjaga memori budaya kolektif maka, setiap keputusan pengoleksian seharusnya disertai dengan justifikasi kuratorial dan historiografi yang jelas. Pembelian karya bukan sekadar transaksi kewangan atau urusan pentadbiran tetapi, juga pada tindakan memilih apa yang dianggap wajar dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Atas sebab itu, persoalan utama bukan sama ada institusi membeli karya (sama ada atas nasihat atau desakan seniman atau kolektor) dalam jumlah kecil atau besar. Persoalannya ialah berdasarkan kriteria apakah karya-karya tersebut dipilih, dan bagaimana pemilikan itu
Secara ideal, pengoleksian awam perlu disokong oleh penyelidikan, dokumentasi dan hujah kuratorial yang menerangkan kedudukan sesuatu karya dalam perkembangan sejarah seni. Di sinilah peranan autoriti profesional yang bertauliah menjadi mutlak; penetapan kriteria ini tidak boleh disandarkan kepada selera peribadi atau desakan pemegang modal, melainkan mesti melalui saringan ilmiah yang objektif.

Tanpa kerangka dan kepakaran bertauliah sedemikian, proses pengoleksian berisiko kehilangan fungsi historiografinya dan berubah menjadi sekadar pengumpulan aset budaya. Masalah akan menjadi lebih rumit apabila pembelian dilakukan secara pukal tanpa penerangan yang memadai tentang rasional pemilikannya. Status institusi yang melekat pada karya-karya tersebut boleh menghasilkan legitimasi rasmi secara serta-merta, namun legitimasi itu tidak semestinya disertai dengan penjelasan yang mencukupi tentang kepentingan sejarah, estetik atau budaya karya berkenaan.
Dalam keadaan demikian, institusi awam berisiko mengulangi logik pasaran dalam bentuk birokratik. Apa yang diperoleh mungkin menerima pengiktirafan rasmi, tetapi proses yang sepatutnya menjelaskan mengapa karya tersebut penting kepada sejarah seni negara kekal kabur atau tidak didokumentasikan dengan baik. Perbezaan asas antara kolektor persendirian dan institusi awam terletak pada tanggungjawab mereka terhadap sejarah. Kolektor mempunyai hak untuk membeli berdasarkan minat, citarasa atau strategi pemilikan masing-masing.
Sebaliknya, institusi awam beroperasi atas dasar amanah budaya. Oleh itu, pengoleksian awam memerlukan tahap ketelusan dan justifikasi yang lebih tinggi kerana ia melibatkan pembentukan memori budaya yang dikongsi bersama bukan sekadar hak pemilikan terhadap objek.
Pada tahap situasi ketiga, masalah mendasar dalam ekosistem seni kontemporari Malaysia bukan semata-mata kekurangan penulis tetapi penyempitan fungsi kritik. Apabila penulisan seni terlalu bergantung kepada katalog pameran, promosi institusi atau penghasilan naratif legitimasi, peranan penulis beralih daripada pengkritik kepada pengantara pengesahan budaya.
Fungsi untuk menyoal hubungan antara seni, kuasa, pasaran dan sejarah menjadi semakin terhad. Walaupun masih terdapat pengkritik, kurator dan penulis yang berusaha mempertahankan autonomi wacana, tekanan ekonomi dan struktur industri secara umum telah mengecilkan ruang semak dan imbang yang diperlukan bagi pembentukan historiografi yang kritikal.
Jelasnya, lumpuhnya fungsi historiografi tidak wajar dilihat sebagai keadaan mutlak. Ia masih merupakan medan yang boleh dirunding melalui pembinaan infrastruktur wacana alternatif. Iaitu melalui platfom digital, jurnal akses terbuka dan bentuk penerbitan baharu yang membuka ruang kepada penghasilan kritik yang kurang bergantung kepada struktur institusi atau pasaran. Jaringan kolektif kuratorial juga boleh berfungsi sebagai ruang eksperimen historiografi bagi membolehkan karya dibaca melalui konteks sosial dan budaya yang lebih luas daripada sekadar nilai pasarannya.
Dan pendokumentasian kolektif karya, pameran dan gerakan seni semasa juga boleh turut membantu bagi memastikan sejarah tidak hanya dibentuk melalui pemilikan atau pengumpulan objek tetapi juga melalui rekod pengalaman budaya yang lebih teragih.
Dalam pada itu, saya menjangkakan bahawa penegasan saya terhadap keperluan saringan teoretikal dan autoriti bertauliah dalam menentukan naratif sejarah bakal mengundang skeptisisme tertentu daripada pelbagai pihak dalam ekosistem seni semasa. Tentu ada yang akan berhujah bahawa dalam sejarah perkembangan seni kontemporari Malaysia, batasan antara ‘kolektor’ dan ‘sejarawan seni’ sering kali kabur.
Sejarah awal kita, sebahagian besarnya, amat terhutang budi kepada inisiatif dokumentasi dan pemeliharaan mandiri oleh pengumpul-pengumpul generasi awal yang digerakkan oleh passion peribadi sewaktu institusi awam masih belum wujud atau belum matang. Justeru, kedengaran seolah-olah tidak adil untuk menafikan peranan pengarkiban peribadi ini.
Namun, hujah sedemikian sebenarnya mengelirukan antara tindakan menyelamatkan material dengan legitimasi hostoriohrafi. Saya tidak menafikan jasa kolektor sebagai penjaga fizikal objek budaya, tetapi sumbangan material tersebut tidak boleh dijadikan lessen mutlak untuk memiliki hak penafsiran sejarah. Kolektor boleh sahaja bergerak atas logik selera dan pengumpulan yang secara materialnya juga turut terikat dengan bias kelas. Manakala sejarawan seni yang bertauliah pula bekerja dengan meletakkan jarak reflektif dan metodologi saintifik untuk mencari kebenaran naratif yang melangkaui kepentingan pasaran.
Satu lagi kritikan yang lazim dilontarkan adalah mengenai ‘keobjektifan’ pakar institusi awam. Pengkritik daripada kelompok pasaran atau galeri swasta mungkin mempersoalkan: adakah jaminan bahawa ahli bertauliah di institusi awam bebas daripada birokrasi, agenda politik kepartian, atau faksionalisme akademik mereka sendiri? Bukankah arkib peribadi kolektor, walaupun berasaskan secara kelas, setidak-tidaknya turut menawarkan kepelbagaian pilihan di luar naratif rasmi institusi?

Skeptisisme terhadap integriti institusi awam ini adalah wajar dan perlu sentiasa dihidupkan. Bagaimanapun, jalan penyelesaian kepada kelemahan institusi bukanlah dengan menyerahkan kedaulatan memori budaya kita kepada tangan pasaran bebas yang jauh lebih tidak telus dan tidak mempunyai akauntabiliti awam. Apa yang kita wajar tuntut bukanlah sebuah institusi yang totalitarian, melainkan sebuah badan kuratorial dan pengarkiban yang mempunyai autonomi intelektual yang dilindungi oleh polisi, yang dipandu oleh pakar yang faham bagaimana untuk mengkritik bias institusi mereka sendiri.
Akhir sekali, cadangan untuk membina ‘ruang autonomi alternatif’ mungkin akan disanggah sebagai sebuah romantisisme yang utopik. Kelompok pragmatik akan membangkitkan isu kelestarian jangka panjang dengan hujah bahawa gerakan akar umbi atau jurnal kritik bebas sering kali tumpas disebabkan ketiadaan dana material, yakni dana yang ironiknya, sebahagian besarnya dipegang oleh kelompok elit yang dikritik ini. Kritikan ini sebenarnya adalah simptom dan bukti yang nyata kepada penyakit struktural yang sedang saya bahaskan dalam esei ini.
Justeru, perjuangan merebut kembali tahap situasi kedua bukan sekadar sebuah projek estetika yang romantis tetapi sebuah tuntutan politik budaya. Kelestarian ruang alternatif ini menuntut kita untuk mempersoalkan dan mendesak pengagihan semula sumber, sama ada dana negara mahu pun ruang awam, agar tidak hanya mengalir ke arah pengukuhan nilai modal simbolik koleksi peribadi, tetapi digunakan untuk membiayai ekosistem wacana yang sihat dan demokratik.
Melalui usaha-usaha demokratisasi wacana inilah, ruang masa yang direbut kembali itu membolehkan kita melihat kedudukan seni dengan lebih jernih. Pada dasarnya, seni tidak akan lenyap hanya kerana kewujudan pasaran. Pasaran, dalam banyak keadaan, merupakan sebahagian daripada syarat material yang memungkinkan kegiatan seni terus berlangsung. Namun persoalan yang lebih mendasar ialah bagaimana sejarah seni dibentuk sebelum sempat melalui proses wacana yang matang.
Apabila legitimasi sejarah semakin dipercepatkan oleh modal simbolik, pemilikan eksklusif dan institusi yang kehilangan autonomi kritikal, sejarah seni cenderung kehilangan sebahagian daripada jarak reflektif yang diperlukan untuk menilai dirinya sendiri. Oleh itu, cabaran utama kini bukan sekadar penghasilan karya, tetapi bagaimana ruang masa bagi pembentukan sejarah dapat dipertahankan daripada tekanan legitimasi yang semakin dipercepatkan oleh pasaran, institusi dan ekonomi prestij budaya.
Dalam konteks ini, usaha mempertahankan pengarkiban sebagai tapak pembinaan historiografi tidak boleh diserahkan kepada kaedah bebas yang tidak terkawal. Ia menuntut campur tangan dan tataurus daripada tenaga pakar yang bertauliah demi memelihara integriti intelektual ekosistem seni. Pada akhirnya, persoalan historiografi bukan lagi tentang apa yang dimiliki atau dipamerkan tetapi bagaimana sesuatu masyarakat memilih untuk memahami, menapis dan mewariskan ingatan budayanya kepada masa hadapan.

Sangat jelas dan menyedarkan! Dalam bahasa yang agak keras ialah perihal nilai dan makna bersejarah yang ‘benar’ mungkin hilang akibat melalui proses ‘penilaian sejarah karya yang disongsangkan’ tanpa diskusi dan ulasan minda kritikal. Moga penulisan ini mendapat liputan yang meluas dan dibaca oleh ramai peminat seni visual di luar sana.
Ini sebuah kritikan dan pendapat yang menyegarkan untuk semua.Tahniah untuk penulis.