MELAYU sepatutnya beradab, tertib dan tidak mencela lebih-lebih lagi sesama sendiri hingga membuatkan timbul sengketa.
Sifat-sifat yang penuh susila dalam diri orang Melayu itu kian hilang hari demi hari lebih-lebih lagi bila ada yang tanpa segan mencerca bangsanya sendiri.
Melayu yang seperti diperkatakan oleh Sasterawan Negara Datuk Wan Osman Wan Awang atau Usman Awang yang bijaksana dan tinggi budi bahasanya, sebahagiannya boleh dicari pada lukisan-lukisan Mastura Abdul Rahman.
Orang Melayu kaya budi Bahasa, buktinya banyak pantun dan peribahasa tentang perilaku budi bahasa orang Melayu.
Orang Melayu mulai kehilangan jati diri berikutan ramai yang tidak tahu atau mengenal sejarah kehebatan bangsa sendiri.
Akibatnya lahirlah Melayu yang terpekik terlolong menyalahkan orang lain. Lebih menyedihkan bila ada sanggup mencela bangsanya sendiri.
Identiti Melayu yang ada karya-karya Mastura itu membuatkan Fergana Art memutuskan untuk mengadakan pameran solo kedua seniman seni rupa itu.
Kurator pameran yang diberi judul Pesan Ibu: Alam dijaga, petua diingat, M Jaafar Ismail menjelaskan masalah penting dalam dunia seni rupa sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah mencari identiti.


Katanya, dia sentiasa mencari pelukis dan karya-karya yang autentik yang mempunyai simbol-simbol melayu dan nusantara
Dalam karya Mastura jelas Jaafar mencerminkan sifat-sifat unik orang Melayu yang yakin dengan kebolehannya sendiri.
Mastura tidak perlu ke sana sini memberitahu bahawa dia adalah Melayu yang sangat baik dan wajar diberi puji dan dipuja. Tidak itu bukan Mastura, kata M Jaafar.
Menerusi karya-karyanya, Mastura membuktikan dia seorang pengiat seni yang baik biarpun tidak pernah menghebohkan kepada khalayak bahawa dia berada pada kelasnya tersendiri.
Mastura juga kata M Jaafar merupakan seorang seniman yang sentiasa merendah diri, tidak pernah menganggap karya bersifat unik dan istimewa.
Ini sifat seorang seniman yang sepatutnya dicontohi oleh ramai orang terutama bangsa Melayu yang mempunyai keunikan tersendiri. Tidak perlu menghebahkan kepada orang ramai kehebatan sendiri. Biarkan sahaja orang lain yang menilainya dan terima seadanya andai ada teguran.
Seniman kata M Jaafar merupakan pemerhati kehidupan masyarakat dan hasilnya direkodkan menerusi karya-karyanya untuk mengajak khalayak berfikir.

Mastura kata M Jaafar memberikan karyanya untuk tatapan khalayak tanpa merasa bangga yang berlebih-lebih atau bongkak.
“Saya rasa Mastura menerusi karya-karyanya mencerminkan sifat meritokrasi Melayu.
“Kemelayuan Mastura dalam diri sendiri dan dia tidak perlu diberi puji-pujian atau dipuja sebagai seorang yang pintar.
“Ini adalah karyanya, seadanya tapi dia tahu baik, sebaik-baiknya,” ujarnya.
Pesan Ibu: Alam Dijaga Petua Diingat diadakan di Fergana Art, Publika pada 4 hingga 31 Julai baru-baru ini.
Dalam karya yang warna-warnanya sangat dekat dengan dunia Melayu, Mastura ingin menunjukkan kepada khalayak siapa dirinya.
Pesan agar menjaga alam dan mengingati petua disampaikannya menerusi buku-buku yang ada pada hampir semua karya yang dipamerkan.
Ujar Mastura, buku-buku merupakan kisah dua insan yang sangat dikasihinya. Kedua-duanya telah kembali ke rahmat yang Esa. Allahyarham ibu dan ibu mertuanya, kedua-duanya gemar membaca.
“Mereka selalu datang, mereka suka baca buku, mereka suka menasihati.
“Jadi saya tergerak untuk mengenengahkan buku itu sebagai simbol kedatangan mereka dahulu dimana mereka bercerita tentang petua-petua dan nasihat yang disalurkan kepada anak cucu,” kata Mastura.
Pesan Ibu: Alam Dijaga Petua Diingat adalah kisah Melayu yang yakin pada dirinya. Kisah Melayu yang menjada adab dan susilanya.
Ia adalah cerita untuk semua tentang seorang Melayu yang yakin pada diri dan bangsanya. Kisah Melayu yang tidak mencerca bangsanya sendiri demi kedudukan dan kuasa.

