PERJALANAN hidup yang penuh dengan perubahan dan pencarian, seiring bertambahnya usia, berbagai pertanyaan sering kali muncul dalam akal fikiran. Pertanyaan-pertanyaan ini seringkali disertai dengan keraguan dan skeptisisme yang membukam hati, menunggu masa yang tepat untuk dileraikan.
Pilihan untuk berdiam diri seketika dalam menghadapi fenomena yang berlaku adalah keputusan yang ada untuk sementara waktu. Ini bukanlah sekadar keterpaksaan tetapi lebih kepada langkah untuk memperoleh pemahaman yang lebih berguna mengenai makna sesuatu yang kompleks. Pilihan ini mencerminkan prinsip sebagaimana yang dipegang Al-Ghazali, seorang pemikir konsep ilmu pengetahuan terkemuka dalam tradisi Islam, pernah memilih untuk berdiam diri sebagai sebahagian daripada pencarian ilmunya.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Ghazali dalam karya agungnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din (Kehidupan Ilmu-ilmu Agama), beliau menekankan bahawa berfikir adalah asas utama dalam memperoleh ilmu dan melakukan amal. Al-Ghazali menggariskan bahawa hasil daripada berfikir bukan hanya terletak pada pengetahuan semata, tetapi juga pada gerak hati dan amal yang diperoleh melalui proses pemikiran (Al-Ghazali, 2006). Menurut beliau, berfikir merupakan kunci utama dalam mencapai kebaikan dan pemahaman yang lebih mendalam. Hal ini menunjukkan bahawa berdiam diri atau mengambil masa untuk berfikir adalah langkah penting dalam proses pencarian kebenaran dan pemahaman.

Mengambil panduan dari Al-Ghazali dengan menyuluh konteks seni lukis kini, berbagai pertanyaan skeptikal sering kali muncul mengenai nilai, tujuan, dan makna seni. Pertanyaan ini merangkumi apakah nilai sebuah karya seni lukis ditentukan oleh teknik, estetika, konteks, isi, atau faktor lain, seperti harga pasaran semasa. Menurut Al-Ghazali, dalam Mishkat al-Anwar (Relong-relong Cahaya), seni yang berharga adalah yang dapat memanfaatkan estetika untuk memahami dan merenungkan aspek metafizik dan spiritual (Al-Ghazali, 2010). Dengan demikian, nilai seni tidak hanya terletak pada kualiti teknikal atau estetika, tetapi juga pada konteks makna sejarah, budaya, adat, adab dan potensi akhlak untuk memberikan pencerahan kepada diri sendiri.
Pertimbangan seumpama ini juga pernah dinyatakan oleh Syed Mohammad Naquib Al-Attas (2019) bahawa dalam sistem budaya dan masyarakat, penting untuk mengetahui “sebab-sebab wujud” dan “keadaan sesuatu” untuk memperoleh pemahaman yang lebih berkesan tentang apa yang ada di hadapan kita. Syed Mohammad Naquib menekankan bahawa untuk membentuk ilmu pengetahuan yang sahih, seseorang harus memahami latar belakang dan konteks di sebalik kewujudan sesuatu fenomena. Ini sejalan dengan pandangan bahawa seni dilihat melalui lensa yang lebih kritikal dan reflektif, dapat berfungsi sebagai medium untuk menyelidik dan membentuk pengetahuan yang lebih intuitif mengenai pengalaman kejiwaan manusia yang berbeza mengikut latar belakang dan tindak balas terhadap realiti sosial yang melingkari kehidupan seharianya.
Selain itu, pandangan Hegel dalam Lectures on Aesthetics (Kuliah tentang Estetik) menawarkan perspektif yang relevan dalam memahami nilai seni. Hegel mengemukakan bahawa seni adalah manifestasi dari Geist atau “semangat” dalam bentuk material (Hegel, 1835). Menurutnya, seni adalah cara untuk memahami dan menghayati prinsip-prinsip metafizik serta roh kolektif masyarakat. Oleh itu, seni bukan hanya mempunyai nilai estetik tetapi juga berfungsi sebagai sumber pengetahuan, membantu individu dan masyarakat untuk memahami dan mengalami idea-idea abstrak yang mungkin sukar difahami melalui pemikiran rasional semata. Ini menunjukkan bahawa seni berfungsi sebagai medium yang memungkinkan kita untuk menjelajahi dan menghayati prinsip-prinsip metafizik.
Ketika membahas tentang seni, sering kali timbul pertanyaan mengenai apakah setiap karya seni memiliki makna tertentu atau hanya sekadar estetika bisu dan kaku pada dinding galeri sahaja. Tidak semua karya seni mempunyai makna yang jelas; beberapa kemungkinan diciptakan hanya untuk keindahan visual atau eksperimen teknik. Sebagai contoh, seni abstrak sering kali tidak memiliki makna literal dan lebih fokus pada bentuk, warna, dan tekstur (Smith, 2018). Namun, ini tidak mengurangi nilai seni tersebut sebagai manifestasi dari pemikiran artistik dan ekspresi. Sebuah pertanyaan yang bermain adalah tentang bagaimana penghayat mendapat manfaat dan faedah daripada kesan visual sedemikian, kerana bahasa visual masih janggal dalam pengetahuan di kalangan penghayat.
Seni juga berfungsi sebagai representasi realiti, interpretasi subjektif dari dunia, atau bahkan penciptaan realiti baru. Lukisan boleh menggambarkan dunia sebagaimana adanya atau mengubahnya melalui imajinasi dan interpretasi artistik, persoalannya kemana tujuan akhirnya?. Dalam hal ini, seni bukan hanya sekadar representasi dunia, tetapi juga merupakan medium untuk mengeksplorasi dan menyampaikan pandangan peribadi atau sosial tentang realiti (Jones, 2020). Hal ini menegaskan bahawa seni tidak hanya mencerminkan realiti tetapi juga mampu mempengaruhi dan menciptakan perspektif baru mengenai dunia, mencipta dan menerbitkan denai-denai baru atau sebagai ilmu alat yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan. Justeru, meraikan kewujudan bidang seni dalam pentas pemikiran dunia dan kehidupan manusia itu semasa perlu diletakan setara dengan kekuatan bidang-bidang yang lain.
Pada masa yang sama, keterampilan aspek teknik adalah penting dalam seni lukis, tetapi bukan satu-satunya faktor akhir yang menentukan kualiti karya seni. Kreativiti, visi artistik dan kemampuan untuk menyampaikan idea awal perlu dibawa bersama-sama untuk diterjemahkan. Ramai dalam kalangan seniman terkenal mempunyai keterampilan teknik yang tinggi, tetapi seni yang berkesan sering kali berasal dari originaliti dan inovasi (Brown, 2017). Ini menunjukkan bahawa nilai seni terletak pada keseimbangan antara keterampilan teknik dan kreativiti idea artistik yang dituangkan dalam karya mengikut kaedah atau metodologi tertentu cara sejadi mengikut laras pemikiran pengkarya.
Selain itu, penilaian terhadap karya seni yang kontroversial sering kali dipengaruhi oleh reaksi emosional, nilai-nilai peribadi, dan konteks sosial. Karya seni yang kontroversial dapat memicu jalan diskusi dan refleksi tentang isu-isu sosial, politik, atau moral. Walaupun beberapa orang mungkin merasa tersinggung, manakala yang lain mungkin melihat karya tersebut sebagai bentuk ekspresi artistik yang sah (Davis, 2019). Ini menekankan bahawa penilaian terhadap seni bersifat subjektif dan bergantung pada konteks bagaimana individu tersebut menjalani kehidupan sosialnya, disinilah persepsi mulai berbeza antara sesama individu.Kebenaran masih ditangan pengkarya.

Justeru itu, berbalik kepada persoalan utama ialah dimanakah dan bagaimanakah penghayat harus mendapatkan maklumat “sebab-sebab wujud” sesuatu itu?, sudah pasti tidak lain adalah dengan merujuk penyataan karya yang disediakan pengkarya ataupun melakukan temubual bersama pengkarya. Pada posisi ini kadang kala (tidak semua) penyataan pengkarya yang ditemui hadir sebagai ilmu pengetahuan, sebaliknya hanya untaian demi untaian kata penuh metaforikal daripada pengalaman yang disusun mengikut naratif kejadian yang berkembang dalam lingkungan pengkarya. Kejadian daripada pengalaman pengkarya dilihat sebagai satu identiti dan memenuhi daya autentik atau sebuah pengalaman yang ingin dikongsi bersama-sama penghayat.
Pada perkiraan saya, isu utama yang perlu disingkap adalah daerah mana pengalaman daripada individu pengkarya tersebut boleh dilihat sebagai ilmu pengetahuan yang benar-benar mampu mengisi relong jiwa agar menjadi dasar kepada pembinaan akal budi penerima ilmu, kerana pengertian konsep ilmu dan pengetahuan adalah dua entiti yang berbeza. Tujuan utama membebaskan diri daripada doktrin pemikiran yang hanya bersifat spekulatif, retorik atau hanya pseudo seni. Buktinya mudah sekali, lihat sahaja penyataan setiap karya di dinding galeri ketika pameran sempena sesuatu, kadang-kala ditemui berapung, terbang diawan yang tidak berpenghujung seakan-akan tidak lagi mahu pulang ke bumi.
Oleh yang demikian, pertanyaan skeptikal tentang seni lukis mencakupi berbagai aspek dari nilai dan makna hingga keterampilan pada kesan zahirnya. Pendekatan skeptikal ini membantu dalam menguji sesuatu hakikat klaim dan mengembangkan pemahaman yang lebih pasti tentang peranan serta fungsi seni terhadap pemikiran masyarakat. Menyatakan sesuatu yang telah terjadi, di alami atau sedang mencadangkan sesuatu yang merentasi zaman. Menjawab pertanyaan-pertanyaan ini, kita boleh memperoleh wawasan yang lebih luas tentang bagaimana seni lukis berinteraksi dengan kehidupan, budaya, dan pengetahuan manusia. Ini sejalan dengan pandangan Al-Ghazali yang menekankan pentingnya berfikir dan refleksi dalam memahami sesuatu. Maka, menghayati rasional kewujudan sesuatu dalam wilayah seni merupakan sebagai daripada proses pencarian ilmu dan kebenaran.
– DR SHAHRUL A. SHAARI adalah pensyarah kanan Bahagian Seni Halus, Pengajian Pengajian Seni,Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD di Akademik Pengajian Melayu, Univerisiti Malaya, pengkajian dalam bidang budaya kesenian visual manuskrip alam Melayu dan telah menulis dalam penerbitan jurnal ilmiah, cerpen, artikel majalah Dewan Budaya, disamping mempunyai pengalaman berpameran dalam dan luar negara.
Rujukan
Al-Attas, S. M. N. (2019). Islam and Secularism: A Critique of Contemporary Thought. International Institute of Islamic Thought
Al-Ghazali, I. (2006). Ihya’ ‘Ulum al-Din (Kehidupan Ilmu-ilmu Agama). Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Ghazali, I. (2010). Mishkat al-Anwar (Lampu-lampu Cahaya). Al-Maktabah al-Islamiyyah.
Brown, J. (2017). The Role of Technical Skill in Art. Art Journal, 76(2), 45-59.
Davis, K. (2019). Controversial Art: Emotional and Ethical Reactions. Contemporary Art Review, 89(4), 123-136.
Hegel, G. W. F. (1835). Lectures on Aesthetics. Berlin: Academy of Sciences.
Jones, L. (2020). Art as a Reflection of Reality and Imagination. Journal of Art Theory, 62(3), 78-92.
Smith, A. (2018). Understanding Abstract Art. Visual Arts Journal, 54(1), 101-115.

