SAYA fikir, lebih dari dua kali U-Wei HajiSaari menyebut, “rasa” bermakna seluruh tubuh kita bersetuju dengan satu-satu keadaan. Saya tak pernah tahu makna “rasa” yang itu. Dalam medan makna kepala saya, “rasa” merujuk sensasi yang dikecap lidah, atau hati, atau fikiran yang tak pasti.
Makna terakhir itu bertentangan dengan apa yang disebut U-Wei. Sebab, yang biasa diguna dalam ucapan harian, “saya rasa” bermakna “saya tak pasti, tapi mungkin itulah bendanya”. Tapi U-Wei kata, “rasa” itu konsensus. Seluruh tubuh, dari ubun-ubun sampai hujung jari kaki, dia kata, bersetuju dengan satu-satu benda. Berlawanan, kan?
Apabila disemak-semak, baru saya faham, itulah erti “rasa” yang sebenar dari bonda bahasanya, iaitu Sanskrit. Dalam Sanskrit dan tradisi Hindu, “rasa” letaknya tinggi. Bukan agak-agak, mungkin-mungkin; tiada ragu.

Oxford mendefinisikan “rasa” sebagai “the agreeable quality of something, especially the emotional or aesthetic impression of a work of art”. Dan definisi itu juga yang diambil Ruang Teduh, galeri baharu yang diusahakan Seni Malaya bersama Galeri Puteh di The Exchange 106, untuk menyampaikan hasrat pada nama pameran sulungnya, RASA Merdeka!.
Virya sringara santa, Salleh Ben Joned membuka sajak Rasa untuk sahabatnya, Ramli Ibrahim, penari klasikal India.
Berani berahi
Mulut ular lukisan Azzaha Ibrahim ternganga luas dan memuntahkan ular lain. Kepalanya bermahkota, matanya melentik dan gigi tajam jarang. Ular itu menyusur atas jubin emas. Azzaha bertanya pada tajuk karya: Merdeka Di Mulut Siapa? Siapa kata kita merdeka? Erti merdeka siapa yang kita guna pakai?

Virya. Berani. Azzaha bertanya di puncak menara, sebatang Lucky rancak menyala. Virya. Perwira.
Rafiee Ghani menamakan karya cat minyaknya sebagai Sea of Love Letters. Dan ia berkecamuk. Merah marah. Biru rindu. Kuning hening. Hijau lampau. Putih kasih. Hitam pitam. Jambu kalbu.
Saya fikir, semua cinta akan berkecamuk. Silap. Semua cinta lulus uji akan berkecamuk. Yang buat ia berkecamuk, selain emosi berpintal dan kacau sibuk orang luar, ialah berahi. Mengurus berahi bukanlah mudah dan ia membawa saya kepada lukisan abstrak Bayu Utomo Radjikin yang diberi nama Tari II.
Yang menari ialah berusnya. Yang menari ialah merah, berlantai hitam gelintin. Kombo merah hitam Bayu sering erotis, tanpa saya sepenuhnya faham kenapa.
Sringara. Cinta. Rafiee dan Bayu menari berkecamuk. Sringara. Berahi.
Bunyi tenteram
Saya belajar sesuatu baru-baru ini tentang kesan frekuensi bunyi kepada manusia. Seorang tabib bunyi kata, ketika berzikir dengan menyebut nama Allah, jantung kita berdegup lebih perlahan. Menyebut nama Allah berulang-ulang buat kita jadi lebih tenang.
Begitu juga kalau kita mengaji. Zikir, wirid dan bacaan ayat suci al-Quran ada frekuensi yang cocok dengan tubuh manusia – tabib bunyi itu kata, sebab Allah itu pencipta, maka membaca nama dan firmannya seolah kita kembali kepada Dia; muasal penciptaan tubuh kita.
Maka saya membaca bunyi tenang dalam lukisan akrilik Ika Sharom bertajuk Mengaji Atas Bantal, walau visualnya tidak menyenangkan. Warna-warna pekat dan kepala orang yang melampau kecil itu mengganggu, namun bunyi mengaji yang keluar dari kanvas itu menenang.

Kemudian saya disua lukisan lebar Benih Padi Belum Tiba II (Kampung Paya Tedoh) oleh Johan Marjonid. Petak sawah digenangi air dan di atasnya terbentang langit biru dengan matahari di kakinya.
Keluasan juga membawa tenang; yang sempit seperti lorong kota dan bilik kecil lebih menegang. Dan nikmat itu biasa dikecap orang kampung. Johan faham, maka dipilih kanvas sinematik dan panoramik untuk menyampaikan rasanya.
Santa. Tenang. Dalam bunyi imaginasi dan gambar, Ika dan Johan memerlahankan degup. Santa. Tenteram.
Merdeka apa?
Berada dalam Galeri Ruang Teduh menikmati pameran RASA Merdeka! (yang terus berlangsung sepanjang bulan ini) boleh memicu navarasa – sembilan rasa dalam tradisi seni India. Tapi, mungkin lebih penting, di mana merdeka?
“Seni adalah tempat seniman menolak patuh mungkin kepada kehendak pasaran, kepada cengkaman kekuasaan, dan kepada arah aliran,” tulis Noor Azam Shairi dalam esei pembuka katalog RASA Merdeka! selepas berceloteh panjang tentang karya kontroversi Konstantin Bessmertny.

Ah, rupanya merdeka yang dilaung-laung sepanjang Ogos dan September setiap tahun bukan sekadar mengenang kebebasan negara. Hampir tujuh dekad merdeka, kita sudah boleh melibas langsir pintu merdeka, masuk ke dalamnya untuk mempersoal kemerdekaan-kemerdekaan lain. Dan merdeka apa lagi yang sesuai ditabrak sebuah galeri seni kalau bukan merdekanya seni?
Ruang Teduh jadi nyaman di saat kita masuk, menyerap rasa karya-karya yang dipamer dan mempersoal setiap sudut merdeka dalam seni, negara dan diri.
Seperti menyerap adbhuta dari karya 68 oleh Hamir Soib, tenggelam dalam kekaguman dan kehairanan melihat sebuah kek yang isinya berwarna tanah. Aising jalur merah putih dilubangi panas lilin, biru perpaduan jadi kulit, biru yang pudar jadi warna bayang, putih jadi tapak dan kuning jadi tapak kepada tapak. Merdeka apa yang Hamir mahu bicarakan?
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
