“Ini masih boleh dimajukan lagi!” Inilah antara kata-kata Choong Kam Kow ketika beliau meneliti karya catan yang sedang saya kerjakan ketika berada dalam kelas Seni Catan yang dikendalikannya pada tahun 1983, sewaktu saya mengikuti program pengajian Diploma Seni Halus di Kajian Seni Lukis & Seni Reka (KSSR), di Institut Teknologi MARA (ITM) (1980-1984) (sekarang Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR atau AD), Universiti Teknologi MARA). Barangkali, kata-kata ini jugalah yang diingati oleh rakan-rakan sekelas saya atau pelajar-pelajar lain yang pernah mengikuti kursus Seni Catan oleh Choong Kam Kow.
Choong Kam Kow adalah seorang pensyarah yang berdisiplin, komited dan berhemah dalam pendekatan pengajarannya. Sewaktu mengendalikan kelasnya, seawal pagi lagi dia sudah berdiri tercegat di muka pintu studio, meskipun belum semua pelajarnya sampai ke kelas. Dia berpakaian kemas dan kelihatan segak dengan kemeja berlengan panjang, kadang-kadang berkemeja lengan pendek ala-busjaket, berdiri tinggi serta kelihatan tegap.
Apabila berkata-kata atau menegur pelajarnya ketika menunjukkan sesuatu teknik catan atau dalam sesi bimbingan, dia bertutur dengan tenang dan sering kali memberi kata-kata mendorong lagi membina. Itulah pendekatan pengajaran Choong Kam Kow yang saya ingat sehingga ke hari ini, barangkali, mungkin itu juga yang diingati oleh rakan-rakan lain sekelas saya.

Pada awal tahun 1980-an itu, Choong Kam Kow adalah antara salah seorang tenaga pengajar studio di Jabatan Seni Halus, ITM di samping pensyarah-pensyarah lain seperti Sulaiman Esa, Ponirin Amin, Fauzan Omar, Tang Tuck Kan, Ariffin Ismail, Tajuddin Ismail, Yusof Ghani dan Zakaria Awang.
Pelajar-pelajar ketika itu memang amat bertuah kerana dibimbing oleh pelukis-pelukis penting negara dengan pendekatan pengajaran yang juga berbagai lagi berbeza. Antara lain, hal ini berkemungkinan berpunca daripada pendidikan formal yang mereka terima, sebahagiannya menuntut seni di United Kingdom, sementara sebahagian lain dari Amerika Syarikat.
Di samping itu, penglibatan aktif dan pencapaian-pencapaian penting mereka dalam dunia seni tanah air banyak membantu para pelajar bukan sahaja dalam memahami ilmu di dalam bilik kuliah atau studio, malahan tentang apa yang berlaku dalam dunia seni sebenar ketika itu. Pelajar sering kali dibawa melawat pameran dan galeri, melukis di lapangan ataupun membuat projek seni bersama-sama tenaga pengajar. Apa yang lebih penting, mereka semua menjadi inpirasi dan suri teladan bagi pelajar-pelajar mereka.

Dr. Choong Kam Kow bukan sahaja menuntut di Amerika Syarikat, tetapi juga di Taiwan. Dia mendapat pendidikan seni secara formal daripada National Taiwan Normal University, Taipei, Taiwan (1961) dan Pratt Institute, Brooklyn, New York, USA (1968). Pada tahun 2006, beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat, Doctor of Arts daripada The Robert Gordon University, Scotland, United Kingdom.
Selepas tamat perkhidmatan mengajar Seni Halus di Institut Teknologi MARA (ITM) selama dua puluh tahun (1969-1989), dia menjawat jawatan Dekan, School of Fine Art, La Salle-Sia College of the Arts, di Singapura (1989-1994) dan kemudiannya menjawat jawatan Presiden Malaysian Institute of Art daripada tahun 1994 hingga 1999. Dalam konteks ini, Choong Kam Kow bukan hanya seorang pelukis, malahan pendidik dan pentadbir seni.
Pameran solo terbaharunya, “Dr. Choong Kam Kow Solo….. @91” yang sedang berlangsung di La Galerie du Monde di Jalan Gasing Petaling Jaya daripada 8 Jun hingga 6 Julai ini memberi peluang kepada khalayak untuk menghayati kembara kreatifnya yang panjang serta meneliti penemuan dan inovasinya dalam proses pengkaryaan.

Walau bagaimanapun, pameran ini sedikit berbeza daripada Pameran Retrospektifnya “Choong Kam Kow: Merentasi Budaya – Melintasi Era” yang diadakan di Balai Seni Negara pada tahun 2015 ketika dia berusia 81 tahun, kerana tidak menampilkan keseluruhan siri karya utamanya. Namun begitu, penampilan karya-karya terbaharunya dalam siri “Co-Exist Series” (2003 hingga kini) amat mengujakan, terutamanya dalam melihat reaksi dan persepsi pelukis ini terhadap gaya, corak, ragam dan nilai hidup masa kini yang banyak dipengaruhi oleh kemajuan komunikasi dan teknologi digital.
“Co-Exist” bagaikan cerminan pertembungan nilai hidup tradisi dengan masa dan nilai hidup kontemporari. Bersempena pameran ini, setiap Sabtu daripada jam 2.00 hingga 4.00 petang sehingga tempoh pameran berakhir pada 6 Julai 2025, Choong Kam Kow akan berada di galeri itu untuk menemui peminat dan khalayak seninya. Saya dapati ramai bekas pelajar dan rakan sekerjanya hadir mengunjunginya pada sesi itu.

Menelusuri penglibatan panjang selama lebih tujuh dekad Choong Kam Kow dalam dunia seni, tahun-tahun 1950-an boleh disifatkan sebagai Era Formatif bagi dirinya. Seperti kebanyakan pelukis tempatan pada era tersebut, cat air menjadi medium pengkaryaan terpenting pelukis ini. Hal ini dapat dihayati dalam “Kinta Series” yang merangkumi sejumlah besar karya cat air awalnya yang menggambarkan keindahan pemandangan desa, gunung-ganang dan lombong bijih timah di Perak, di mana dia menghabiskan banyak masa kecilnya di situ. Baginya, era ini merupakan suatu peringkat eksplorasi, percubaan dan pencarian dalam seni.
Sewaktu menuntut di Taipei, Taiwan, Choong Kam Kow merakam pemandangan jalan, aktiviti manusia dan seni bina sekitar bandaraya itu. Hal ini bukan sahaja menjadi sebahagian daripada dokumen masa, lokasi dan sejarah, malahan bersifat nostalgia dan membangkitkan banyak kenangan bagi pelukis, seperti dalam catan cat air “Taipei Street Scene – 3” (cat air, 39 cm x 53 cm, 1958) yang turut diperagakan dalam pameran ini.

Sewaktu melanjutkan pengajiannya di Pratt Institute, New York, Choong Kam Kow menghasilkan kumpulan catan “The New Yorks Series.” Siri karya yang terhasil sekitaran tahun 1965 hingga 1968 itu menterjemahkan reaksinya terhadap suasana hidup dan persekitaran baharu di kota besar yang memberi kesan kepadanya dalam menyesuaikan diri dan kaedah pengkaryaan.
Siri ini bagaikan suatu cerminan reaksi pelukis berdepan dengan suasana kehidupan kota yang pantas, sibuk dan padat. Dalam konteks ini, karya-karyanya menggabungkan imejan abstrak organik dan geometrik, bagaikan mencerminkan pertembungan jiwa yang lembut dengan persekitaran hidup yang keras dan mencabar di kota besar itu.
Ketika di New York (1965-1969), Choong Kam Kow juga menerima banyak inspirasi daripada Abstrak Ekspresionisme. Rentetan daripada itu, dia menghasilkan satu siri karya catan abstrak berasaskan medium dakwat menerusi gabungan pengolahan konvensional catan dakwat Cina yang dipelajarinya ketika di Taiwan dengan teknik-teknik yang bersifat eksploratif dan ekperimentasi. Hasilnya kesan visual yang dinamik dapat dihayati dalam siri karya “Ink Dance Series” seperti “Ink Dance Series 1” (dakwat Cina, 31 cm x 47 cm, 1967).
Pada sekitaran tahun 1969 hingga 1972, Choong Kam Kow menghasilkan siri catan baharu iaitu catan rupa dan berbatasan tepat (hard-edged paintings). Pendekatan ini dilihat sebagai reaksi pelukis terhadap penekanan negara kepada sains dan teknologi dalam membangunkan bangsa dan negara.
Melabelkan pendekatan baharu Choong Kam Kow ini sebagai usaha mengetengahkan unsur sains dan intelektual dalam seni, menyelesaikan persoalan struktur dan nilai-nilai perseptif seni, sejarawan seni Redza Piyadasa dan T. K. Sabapathy (Modern Artists of Malaysia. Kuala Lumpur: DBP, 1983) menyifatkan Choong Kam Kow dan beberapa pelukis lain, khususnya Tang Tuck Kan sebagai “The New Scene Painters.” Mereka dilihat menjawab kepada tanggapan negatif bahawa pelukis di negara ini cuma tertarik kepada penghasilan karya-karya yang semata-mata indah, tetapi tidak mempunyai kekuatan makna dan teori.

Antara karya Choong Kam Kow yang signifikan dalam siri ini termasuklah “Vibration” (emulsi atas kanvas, 213 cm x 152 cm, 1969, koleksi Balai Seni Negara). Selain daripada memperlihatkan kesan pengolahan yang begitu kemas dan teliti, karya-karya catan berbatasan tepat ini turut menghasilkan kesan optikal yang menarik, aktif dan beritma di mata penghayat. Kepelbagaian rupa bentuk, ukuran dan ketinggian kanvas serta warna-warna yang disusun atur juga menghasilkan kesan pertembungan warna yang indah dan bertenaga.
Choong Kam Kow menyifatkan konfigurasi catan berbatasan tepat mencerminkan keindahan bersifat industri yang berteraskan kepada ketepatan. Dalam pendekatan ini, kesan gestural sengaja dilenyapkan sementara pengertian warna sebagai rupa dan rupa sebagai warna dipertegaskan secara terperinci. Aspek industri turut ditekankan menerusi penggunaan bahan warna emulsi atas kanvas. Karya-karyanya itu dilihat sebagai suatu usaha untuk mengangkat seni kepada suatu kegiatan yang bersifat intelektual, bukan semata-mata berasaskan perasaan.
Sikap Choong Kam Kow yang sentiasa mahukan pembaharuan dan inovasi dalam seni terus dilihat dalam awal dekad 1970-an khususnya menerusi siri karya baharu beliau yang diberi judul “The SEA-THRU Series”. Idea judul karya yang tercetus ekoran daripada perpindahannya ke kediaman baharu di SEA Park, Petaling Jaya disifatkannya sebagai suatu sudut baharu kepada semantik. Dalam siri karya ini, unsur ilusi optikal dan fizikal saling bertembung dan bertindan.
Pada hujung dekad 1970-an hingga 1990-an, Choong Kam Kow meneroka dan menemui pengucapan baharu dalam karyanya. Jika sebelumnya beliau begitu cenderung kepada pendekatan seorang formalis yang menyelesaikan isu-isu berkaitan pengkaryaan dan seni semata-mata, kini beliau menumpukan kepada persoalan hubungan kaum di negara ini menerusi penampilan objek budaya, khususnya berkaitan dengan pemakanan dan aspek pembungkusan makanan tradisional bagi sesuatu perayaan kaum di negara ini. Dalam konteks ini, beliau menterjemahkan aspek asimilasi budaya dan perkongsian nilai tradisional dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang multietnik dan multibudaya.

Karya-karya dalam siri ini seperti “Festive Mood 89-1” (media campuran, 148 cm x 118 cm, 1989) terbentuk menerusi media campuran, kertas buatan tangan dan kertas beracuan serta akrilik. Pelukis memilih dan mengangkat pembungkusan makanan tradisional yang signifikan sebagai objek dan simbol budaya, seperti ketupat, pulut panggang dan kuih angku.
Pemilihan bentuk pembungkusan dan rupa bentuk makanan tradisional ini juga bertalian dengan pelbagai konotasi budaya serta menjadi simbol kesatuan masyarakat berbilang bangsa dan budaya. Asimilasi budaya tercermin dalam budaya pemakanan dan perayaan yang diraikan bersama sebagai suatu bentuk tanda hormat menghormati antara masyarakat berbilang kaum.
Pada tahun 1985, Choong Kam Kow bersama sekumpulan pelukis telah mengadakan ekspedisi ke hutan hujan tropika Endau Rompin sebagai suatu usaha untuk mendekati dan memahami fenomena warisan alam semula jadi. Ekspedisi ini telah memberi kesan mendalam kepada diri dan proses kreatifnya hingga memungkinkan beliau melahirkan beberapa siri karya berasaskan alam semula jadi yang penting, iaitu “The Rhythm of Growth Series”, “The Rockscape Series” dan “The Earthscape Series”.
Di hutan yang luas itu, dia memahami proses pertumbuhan dan perubahan alam semula jadi. Berdasarkan kefahaman ini, beliau telah menimba inspirasi daripada penyesuaian motif cendawan lingzhi dengan bentukan tunggul kayu mati bagi mentafsirkan proses pusingan kehidupan alam semula jadi.
Rentetan daripada metafora ini, Choong Kam Kow telah menghasilkan sejumlah karya berasaskan alam yang indah dan penuh keterperincian seperti “Rhythm of Growth V” (1988). Pengolahan warna alami, jalinan tampak dan kesan garisnya begitu halus dan teliti, sebagaimana juga ketelitian yang tercermin dalam siri pemakanan tradisinya. Hal ini secara umumnya mencerminkan sikap ketelitian pelukis yang sudah sedia memahami prinsip-prinsip asas kesenian tradisional yang dikajinya, lantas diterjemahkannya pula kepada penelitian ke atas alam.
Lanjutan daripada siri ini, Choong Kam Kow menghasilkan siri “The Rockscape Series” dan “The Earthscape Series”. Siri yang mendapat inspirasi daripada kunjungan ke Endau Rompin dan Taman Negara itu benar-benar menunjukkan kekaguman pelukis terhadap keindahan dan misteri alam semula jadi. Menerusi siri ini, dia merakamkan kesan visual bentukan batu keras yang telah melalui proses hakisan.
Bagaikan tirai alam yang berbidai-bidai, permukaan batu yang terhakis itu bagaikan beralun lembut. Ritma alam ini benar-benar melukiskan komitmen penuh pelukis dalam merakamkan rupa alam semula jadi yang dihayati dan diamatinya penuh asyik dan teliti. Hal ini bagaikan suatu proses transformasi alam yang keras kepada suatu rupa bentuk yang lembut, bercahaya dan berirama, seperti dilihat dalam karya “Rhythmic Flow 91-1” (akrilik atas kanvas, 152 x 122 cm, 1991).

Kedatangan alaf baharu menimbulkan pelbagai reaksi dan persepsi di kalangan masyarakat secara umumnya. Kemunculan globalisasi dilihat sebagai suatu ancaman kepada identiti dan budaya tradisi yang semakin terhakis ditelan budaya global dan sejagat. Alaf baharu menuntut individu melihat ke dalam diri serta menilai kembali perhubungan diri dengan masyarakat, adat dan budaya tradisi, serta persekitaran secara umumnya.
Bagi Choong Kam Kow, kedatangan alaf baharu yang kebetulannya jatuh pada Tahun Naga semacam memberinya inspirasi untuk menghasilkan karya bertunjangkan tradisi kendiri. Tradisi naga merentasi budaya global dengan pelbagai interpretasi berkaitan budaya, semangat, kuasa dan dinamisme kemanusiaan yang melintasi era.
Dalam karya “The Dragon Tradition Series”, Choong Kam Kow memberi interpretasi baharu terhadap rupa bentuk naga menerusi aplikasi warna yang bergetar, bersemangat dan bertenaga bagi memanifestasikan dinamisme dan kekukuhan menghadapi cabaran-cabaran alaf baharu. Simbolisme naga yang telah melalui sejarah tradisi yang panjang diungkapkan kembali menerusi pengolahan-pengolahan visual yang segar seperti dalam “Layers of Dragon Tradition 7” (akrilik atas kanvas, 152 x 122cm, 2007).
Secara umumnya “The Dragon Tradition Series” melukiskan kesungguhan Choong Kam Kow yang berusaha penuh gigih tanpa jemu bagi mendapatkan hasil seni yang terbaik dan penuh dengan nilai estetika. Dia merujuk kepada alam persekitarannya dan kekayaan tradisi masyarakat berbilang budaya di negara ini sebagai inspirasi, justeru membuktikan prinsip kreatifnya bahawa seni yang baik seharusnya menampilkan intipati budaya serantau dan nilai-nilai tradisi.
Karya-karya “The Gongfu (Kungfu) Series” pula lebih bersifat peribadi, bertolak daripada kegiatannya mengamalkan pergerakan taiji dan qigong sebagai terapi diri selepas menjalani pembedahan kanser kolon. Dalam proses mengamalkan kesenian ini, minda dan tubuh manusia saling bersatu dan mengukuh antara satu dengan yang lain, justeru menjadi harmoni dan segar. Hal inilah yang telah memberinya semangat dan kekuatan dalam menghadapi krisis kesihatan, proses penyembuhan dan hari-hari yang mencabar.
Dalam siri ini, pelukis mengabadikan ke atas kanvas pergerakan dan postur manusia yang mengamalkan kesenian tradisi ini bagi menggambarkan kesegaran tubuh badan. Postur manusia mencerminkan ritma tenaga yang mempertahankan kesegaran minda dan tubuh. Menurut pelukis, gambaran pergerakan tubuh badan dan postur ketika melakukan qi atau tenaga ketika mengamalkan taiji, qigong dan shaolin gongfu beserta gabungan teks manual gongfu, sama ada dalam bentuk statik atau kaligrafi adalah untuk menyatakan semacam suatu dinamika visual dan makna dalam karya-karyanya itu.
Meskipun secara asasnya bersifat peribadi, “The Gongfu (Kungfu) Series” mencerminkan kesinambungan pengolahan visual Choong Kam Kow yang konsisten, merujuk tradisi dan akar budayanya. Di samping itu, karya-karya mutakhirnya itu juga mencerminkan ketelitian dan komitmen yang semakin meningkat dan terkawal, berbanding sesetengah pelukis yang menjadi lebih ekspresif pada usia lanjut dan di penghujung kerjaya kesenian mereka.
Dalam konteks ini, penampilan karya-karya terbaharunya dalam siri “Co-Exist Series” (2003 hingga kini) amat mengujakan, terutamanya dalam melihat reaksi dan persepsi pelukis ini terhadap gaya, corak, ragam dan nilai hidup masa kini yang banyak dipengaruhi oleh kemajuan komunikasi dan teknologi digital. “Co-Exist” bagaikan cerminan pertembungan nilai hidup tradisi dengan masa kini.

Hal ini digambarkan menerusi gabungan corak ringkas motif-motif tradisi yang ditimba daripada objek kesenian tradisional seperti bakul buluh, tikar mengkuang, lambang tradisi, teks Cina kuno dengan kod QR yang biasa kita lihat pada hari ini, sebagai cerminan hakikat kewujudan bersama atau rasa kebersamaan, meskipun mempunyai pemikiran dan fahaman yang berlainan, seperti dalam karya “Co-exist 9: New & Old” (akrilik atas kanvas, 122 cm x 152.2 cm, 2019).
Jelasnya, karya ini adalah perihal keperluan untuk meraikan kepelbagaian dalam masyarakat hari ini. Jika kod QR itu diimbas, khalayak akan dapat melayari laman web Choong Kam Kow yang menghimpunkan maklumat diri dan karya seninya. Hal ini menunjukkan, meskipun pada usia 91 tahun, dia tidak ketinggalan atau terkecuali dalam mengikuti dan meraikan kemajuan teknologi masa kini. Sejak awal penglibatannya dalam seni, dia sentiasa memberi reaksi terhadap budaya, kehidupan dan alam persekitarannya.
Choong Kam Kow adalah seorang pelukis yang dinamik, selalu dahagakan pembaharuan bagi menghasilkan karya-karya yang inovatif dari segi gaya, bentuk dan makna. Pameran “Dr. Choong Kam Kow Solo….. @91” ini seperti sebuah mini restrospektif pelukis, menunjukkan setiap titik perubahan penting dalam pendekatan seninya, daripada kencenderungan kepada landskap dan alam semula jadi, kepada seorang formalis, dan akhirnya seniman yang kembali kepada alam dan akar budaya kendiri tanpa mengabaikan teknologi terkini.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
