LUKISAN-lukisan Kide Baharudin akan selalu buat saya teringat pada Asai—kedai snuker dan game arked di Johol, Negeri Sembilan. Tempat yang ditakuti mak bapak sebab lazimnya, di situ anak-anak mereka belajar merokok dan berjudi.
Saya antara yang takut nak masuk ke Asai dulu walaupun abang-abang dan kawan-kawan yang lebih berusia sudah biasa ke situ. Tapi akhirnya saya masuk juga, entah dihasut siapa, untuk main game arked. Saya tak masuk untuk main snuker atau pool, malah sampai sekarang saya bungko main snuker dan tak pernah tahu cara main lucky ball.
Saya masuk, dengan modal entah berapa ringgit atau sen, untuk main King Of Fighter, pilih regu K9999, Rugal dan Joe untuk menang sebanyak mungkin permainan. Bila kalah, kita hentak semua butang.
Kide tidak melukis persekitaran Johol, kebanyakannya Kuala Pilah, tapi imaginasi saya hanya sampai ke ‘sarang dosa’ budak Johol yang jaraknya tak sampai 500 meter dari rumah itu. Mungkin sebab di situlah saya banyak melihat watak-watak Negeri Sembilan berkumpul, dengan jerit makinya, borak pekat dialeknya dan kepul-kepul asap rokok.
Saya rapat dengan Kuala Pilah hanya ketika Tingkatan Enam, sebab saya masuk SMK Tuanku Muhammad (TMS). Lebih-lebih lagi bila dah masuk asrama, memang banyak hayat saya pada 2012 diluang di Kuala Pilah.
Itu hal yang menarik tentang Johol, sekurang-kurangnya dari pemerhatian saya. Disebabkan kami berada di antara dua pekan, Kuala Pilah dan Tampin, budak-budak Johol juga terpecah sebegitu. Mereka yang memilih sekolah menengah di SMK Datuk Undang Abdul Manap (DUAM) biasanya lebih cenderung berhujung minggu ke Tampin. Kebanyakan kawan saya begitu. Tapi ada juga beberapa kawan, terutamanya yang tinggal di Kampung Padang Jual dan ke atas (ke arah Inas) yang bersekolah di Kuala Pilah, sama ada TMS atau SMK Senaling.
Kalau mahu diguna bahasa orang sekarang, yang berjimba di Tampin biasanya lebih rempit. Aktivitinya main snuker, pergi kafe siber, main PS2 atau karaoke. Yang ke Kuala Pilah nampak lebih berbudaya. Mereka tahu lagu Avenged Sevenfold dan System of a Down.
Kendughi, pasar dan kodai lamo
Dalam temubual yang dimuatkan dalam buku katalog pameran Mato-Mata, Kide ada kata, dia banyak membayangkan suasana pekan Kuala Pilah ketika ibu-bapanya membesar, iaitu pada 1960 dan 1970-an. Imaginasi saya tak sampai sejauh itu tapi ada beberapa lukisan Kide yang buat saya mengenang waktu kecil.

Seperti Kendughi Moh! yang memaparkan suasana kenduri kampung di tengah padang. Kerusi plastik merah, kendi basuh tangan, dulang bunga-bunga—semua ini imej yang dekat dengan mana-mana budak kampung Negeri Sembilan. Terutamanya yang baya-baya saya, kenduri jadi acara penting sebab ia boleh jadi sumber rezeki. Antara kerja awal yang saya buat ialah jadi penanggah di majlis kenduri. Bayarannya tak mahal – saya pun tak ingat berapa kadar lazimnya – tapi cukup untuk dibuat modal pergi Asai.
Begitu juga karya seperti Colah Sudut Kodai, Hughuhagho Pasar Pagi dan Boli Apo? membawa saya balik ke Johol yang suatu masa dulu akan meriah pada setiap awal bulan sebab ada Pasar 1 Haribulan. Waktu itu kami akan pilih baju dan seluar terbaik untuk ke pasar sebab kemungkinan besar, gadis-gadis sebaya juga akan turun. Budak Mawang pun tughun Johol time tu.
Yang berkesan buat ingatan saya terpasak ke pekan Kuala Pilah ialah lakaran bangunan-bangunan lama dalam karya Kide. Seperti dalam Tu Deh!, Bontuih, Bondo Vairal dan lain-lain lukisan, saya terbayang hari Jumaat waktu menapak ke masjid untuk solat Jumaat, kami akan lalu kawasan pekan yang dipenuhi bangunan-bangunan sebegitu.
Kuala Pilah, seperti pekan lama lain di negara ini, dipenuhi kedai warisan keluarga yang bertahan berpuluh tahun. Pemandangan orang tua melepak di kopitiam menjelang petang itu biasa. Cuma, sebagai budak Johol yang banyak habis masa main PS2 di Tampin, saya kurang hargai kewujudannya ketika itu.
Warno-warna
Manusia-manusia dalam imaginasi Kide berwarna cerah dengan fizikal yang herot-berot: perkataan dismorfik masuk dalam kepala ketika menatapnya, kerana ada yang tangannya melampau besar, jarinya melampau panjang dan mukanya penyek-kemek.
Dalam katalog Mato-Mata, ada disebut nama empat artis yang menjadi kegemaran Kide, iaitu Robert Crumb, Gerald Scarfe, Ralph Steadman dan Neo Rauch. Tiga yang pertama itu illustrator dan kartunis. Ketiga-tiganya banyak bermain dengan satira serta imej yang ekspresif dan grotes. Neo Rauch pula wajah New Leipzig School.
Pengaruh keempat-empat mereka ada dalam karya Kide. Untuk artis tempatan, Kide banyak dikaitkan dengan Lat, terutamanya sebab kemahiran kedua-dua mereka membangkitkan nostalgia luar bandar dalam lukisan. Tetapi, saya fikir, lukisan Kide yang bersifat komikal turut dipengaruhi Crumb, Scarfe dan Steadman.

Melalui Rauch pula saya faham rujukan Kide dari segi pewarnaan. Mata saya laju tertarik pada warna merah jambu yang diguna Kide dalam Tu Deh!. Menurut Dr. Muliyadi Mahamood, Kide banyak menggunakan latar warna biru untuk suasana siang manakala waktu malam dilatari warna merah muda dan merah jambu.
Tetapi warnanya lembut, tidak pekat dan terang–tidak begitu Fauvist. Kombinasi warna yang diguna agak sumbang (discordant), seperti yang Rauch guna dalam Die Kontrolle (2010). Menyenangkan tetapi tetap buat kita rasa keliru dan berfikir.
Dalam banyak karya, Kide suka menggambarkan kekecohan. Baik di bandar atau kampung, ada manusia bersempit-sempit dengan pelbagai kerenah. Mereka tidak duduk diam, sebaliknya berborak dan berbuat sesuatu. Ia merakam sikap masyarakat Malaysia yang memang jarang duduk diam, terutamanya ketika beramai-ramai di pekan. Selalu meriah.
Mengonang guno mato
Melalui pameran Mato-Mata di Galeri Puteh, Kide mendedahkan imaginasinya tentang tempat-tempat yang memberi pengaruh besar pada hidupnya, baik Kuala Pilah, Seremban atau Kuala Lumpur. Watak-watak yang dilukis – baik wujud atau ciptaan – menggambarkan suasana yang hidup dalam nostalgianya dan itu titik yang menghubungkan Kide dengan penikmat karyanya.
Ika Sharom, isteri Kide, menulis yang suaminya itu seorang yang teliti ketika melukis, melihat, merasa dan berfikir. Ia terserlah melalui karyanya yang banyak perincian. Kita boleh berdiri lama, merenung setiap babak dan watak yang ada dalam lukisannya. Semuanya berharmoni dalam satu kanvas, mencipta cerita dalam kepala semua yang memandang.
Mato-Mata memanfaatkan mata manusia. Mata merakam imej dan membawanya masuk ke dalam fikiran, membuatkan kita berfikir, mengenang, merasa dan mentafsir. Suasana yang dilukis Kide mengaktifkan semua fungsi itu dalam fikiran manusia.
Dari mata turun ke hati, kata orang yang hangat bercinta. Ngan mato den balik Johol, kata saya yang asyik mengenang.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
