ArtScience Museum Singapore bagaikan teratai gergasi yang mekar, menegak megah di tepi Marina Bay. Di depannya, sebuah tasik buatan memantulkan imej kelopak putih bangunan itu dengan anggun, airnya berkilau di bawah sinaran matahari, seolah menari bersama angin.
Langkah pertama melintasi jambatan kecil ke muzium itu sudah cukup membuatkan saya terpesona–gabungan seni bina futuristik dan panorama semula jadi mencipta pengalaman visual yang menakjubkan, mengundang rasa kagum dan kedamaian serentak.
Berdiri di tepi tasik, melihat refleksi bangunan dan langit biru yang bersatu, seolah-olah masuk ke dalam kanvas kehidupan. Riak air yang hening menambah dimensi damai, sementara struktur bangunan dengan jemari seperti kelopak bunga menegak ke langit seolah menyambut setiap pengunjung dengan penuh kesantunan. Sensasi itu bukan sekadar visual; ia menyentuh semua deria–bunyi lembut air beriak, bau segar sekitar tasik, cahaya yang menembusi celah-celah struktur, dan kesejukan udara Marina Bay.
Kolam dipenuhi bunga teratai hidup–putih, merah jambu juga ungu–begitu menawan, seolah-olah seluruh tempat itu direka untuk membuat pengunjung berhenti seketika dan menghargai suasana.
ArtScience Museum dibina oleh Moshe Safdie dengan bahagian luar daripada plastik bertetulang gentian dan rangka keluli di dalamnya. Dikenali juga sebagai ‘The Welcoming Hand of Singapore’, bangunan unik ini ada struktur bulat di tengah serta sepuluh ‘jari’ yang sebenarnya ruang galeri, siap dengan skylight di hujungnya untuk pencahayaan semula jadi.
Muzium ini menempatkan 21 ruang galeri keseluruhannya, berkeluasan kira-kira 64,583 kaki persegi. Selain reka bentuknya yang menarik, bangunan ini juga mesra alam–air hujan dikumpulkan dari bumbung berbentuk mangkuk dan dialirkan ke kolam pantulan sebelum dikitar semula untuk kegunaan tandas.

Melangkah ke dalam pameran SingaPop! 60 Years of Singapore Pop Culture seolah-olah memasuki sebuah taman fantasi yang nyata. Setiap sudut dipenuhi warna-warni ceria, bunyi muzik yang mengalun dari jukebox interaktif, dan cahaya yang menari-nari di dinding instalasi. Di dalam diri, ada anak kecil seakan menjerit-jerit mahu keluar–teruja, ingin meneroka, bermain dan tertawa–tetapi hati dewasa saya membiarkan diri berjalan perlahan, menikmati setiap sudut dengan penuh rasa kagum dan hangat. Ada keseimbangan aneh tapi indah antara keterujaan yang meletup dan ketenangan yang menyentuh hati.
Dalam konteks seni dan budaya, istilah ‘pop’ merujuk kepada budaya popular–unsur-unsur yang dikenali dan diterima secara meluas oleh masyarakat, termasuk muzik, fesyen, filem, televisyen, komik, dan simbol kehidupan seharian. Pameran bertema ‘pop’ seperti SingaPop! menyorot aspek-aspek budaya yang dekat dengan pengalaman rakyat, bersifat interaktif, visual, dan penuh nostalgia, bukannya sekadar seni elit.
Fenomena ini bukan eksklusif bagi Singapura. Di London, Tate Modern menganjurkan pameran Pop Life: Art in a Material World, menampilkan karya ikon pop art seperti Andy Warhol dan Roy Lichtenstein yang mengangkat objek harian dan selebriti menjadi seni.
Di Seattle, Museum of Pop Culture menonjolkan superhero sebagai ikon pop, mempamerkan kostum, poster, dan memorabilia daripada komik Marvel dan DC. Sementara itu, di Tokyo, muzium seni kontemporari memberi fokus kepada anime, manga, video game, cosplay, dan J-pop–semua sebahagian daripada budaya pop Jepun yang interaktif dan mudah diakses.
Kesemua contoh ini menunjukkan bahawa konsep pop adalah universal, tetapi cara ia diterjemahkan tetap unik mengikut konteks budaya tempatan, seperti SingaPop!, yang memaparkan evolusi muzik, fesyen, filem, dan bahasa Singapura selama enam dekad.

Pameran ini dikurasi oleh Dick Lee, ikon budaya Singapura–penulis lagu, pengarah teater, pemuzik dan penerbit yang telah membentuk landskap seni tempatan sejak 1970-an. Pengalaman dan perspektifnya jelas terasa dalam setiap sudut pameran: dari lagu-lagu klasik hingga karya moden, dari klip filem dan drama, hingga fesyen dan gaya hidup rakyat Singapura, semuanya dirangkum menjadi satu naratif ‘rojak’ yang unik.
Setiap pengunjung diberikan gelang tangan khas yang merekod interaksi di pelbagai zon–dari memilih lagu, bermain kuiz Singlish dan mencuba sajian. Ini menjadikan pengalaman lebih personal, membolehkan pengunjung merasai sendiri identiti SingaPop! mereka. Pameran ini relevan untuk semua generasi: yang ingin mengimbau masa lalu, yang hidup bersama budaya pop moden, atau pelancong yang mahu memahami identiti unik negara ini.

Pameran SingaPop! 60 Years of Singapore Pop Culture disusun melalui beberapa zon tematik yang membawa pelawat menyelami lapisan budaya pop Singapura dari pelbagai sudut. Lawatan bermula di SingaWho?, zon pengenalan yang memperlihatkan sejarah budaya pop negara ini melalui perspektif pengkurasi, Dick Lee, sambil menyingkap peranan beliau dalam membentuk muzik dan teater tempatan.
Seterusnya, segmena RojakLand meraikan kepelbagaian masyarakat Singapura dengan paparan motif dan elemen budaya Cina, Melayu, India, Eurasia dan lain-lain, mengingatkan pengunjung kepada konsep ‘rojak’ yang menyatukan pelbagai rasa.

RojakLand, menempatkan beberapa sub-zon interaktif: SingaStyle menyingkap evolusi fesyen dan gaya hidup mengikut dekad; menampilkan sejarah Hari Kebangsaan melalui kostum, klip video dan memorabilia; SingaSong menyediakan jukebox interaktif untuk meneroka lagu-lagu ikonik dari era berbeza; Screening Room menghimpunkan klip filem dan siri televisyen klasik; Singlish menonjolkan keunikan bahasa pasar tempatan; manakala SingaMakan menghidupkan semula nostalgia budaya makan jalanan melalui replika gerai hawker.
Saya dan teman berhenti lama di kawasan SingaSong, memilih lagu klasik melalui jukebox interaktif. Serentak, nostalgia menyerbu: irama jalanan, suara penyanyi tempatan, dan detik masa kecil yang seolah-olah hidup kembali di hadapan kami. Setiap paparan, setiap mural mini, dan klip video memaparkan kehidupan rakyat Singapura–kegembiraan, kesusahan, dan cara mereka mengekspresikan diri melalui muzik, bahasa dan gaya hidup.

Melihat semuanya, saya semakin memahami bagaimana budaya kita begitu dekat; Malaysia dan Singapura mempunyai sejarah yang saling bertindih, dan pantulannya tetap hidup dalam budaya, nada, dan cara hidup yang kita kongsi hari ini. Di ruang itu, saya bukan sekadar pengunjung–terasa benar-benar sebahagian daripada kisah yang kita warisi bersama.
Screening Room merupakan salah satu sub-zon interaktif di pameran SingaPop! 60 Years of Singapore Pop Culture yang memberi penghormatan kepada sejarah hiburan tempatan. Di sini, pengunjung boleh menyaksikan klip-klip filem klasik, siri televisyen lama, dan rancangan popular yang mencerminkan kehidupan, trend fesyen, muzik, dan bahasa rakyat Singapura dari dekad ke dekad.

Antara paparan menarik termasuk siri televisyen ikonik seperti Phua Chu Kang, yang terkenal dengan humor tempatan bukan saja di Singapura tetapi juga Malaysia, serta filem-filem Singapura yang pernah menembusi festival filem antarabangsa. Dengan set yang direka imersif, saya berehat santai di bean bag sambil menonton visual seperti di panggung wayang. Bunyi dan pencahayaan yang disusun rapi membuat pengalaman itu terasa lebih hidup, membolehkan saya menghargai sejarah hiburan tempatan sambil menikmati nostalgia dengan cara mengasyikkan.
Pengalaman diteruskan ke SingaStories, ruang multimedia 360° yang membawa pelawat merentas dekad sejarah budaya pop melalui visual dan bunyi. Pameran ini diakhiri dengan SingaVoices, sebuah penghormatan menyentuh kepada lagu ‘Home’ karya Dick Lee melalui paparan video paduan suara secara berkumpulan, yang menegaskan bagaimana seni pop terus menyatukan masyarakat, walaupun dalam detik sukar ketika era pandemik.
Menariknya pameran ini menjadikan pengunjung turut merasai pengalaman komuniti. Dari pelbagai kaum–Cina, Melayu, India, Eurasia dan lain-lain–hingga pelbagai generasi, semuanya hadir dalam gabungan sejarah dan budaya yang kaya. Setiap elemen pameran mengingatkan bahawa budaya pop bukan sekadar hiburan; ia adalah cerminan identiti kolektif, memori bersama, dan evolusi sosial.

Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke ArtScience Museum, sekaligus galeri seni pertama yang saya lawati secara rasmi di Singapura, dan pengalaman yang sungguh mengesankan. SingaPop! dan keseluruhan muzium bukan sekadar destinasi pelancongan atau hiburan, tetapi sebuah perjalanan visual, muzik, dan emosi yang menyentuh hati.
Setiap sudut menghubungkan masa lalu dan kini, merayakan kepelbagaian serta kreativiti yang menjadikan Singapura unik dengan caranya tersendiri. Saya meninggalkan tasik teratai dan bunga-bunganya dengan rasa terinspirasi, sambil membawa semangat untuk kembali, menjelajahi pameran di galeri-galeri yang lain, jika berkunjung ke Singapura lagi.
Pameran SingaPop! bukan sahaja menghidupkan nostalgia dan sejarah budaya pop Singapura, tetapi turut menawarkan pengalaman interaktif yang menyeronokkan untuk semua peringkat umur. Dari anak muda yang ingin mengenali evolusi muzik dan fesyen tempatan, hinggalah generasi yang membesar dengan lagu-lagu klasik dan rancangan televisyen lama, setiap pengunjung pasti menemui sesuatu yang dekat dengan ingatan dan hati mereka.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
