Penganjuran Hari Seni Untuk Semua bukan untuk melahirkan lebih ramai artis, sebaliknya untuk menerapkan seni dalam diri semua orang kerana Kakiseni percaya, tanggungjawab menghidupkan seni tidak akan dapat dilunas satu orang, sebaliknya ia menjadi tanggungjawab semua pencintanya.
Itu idea besar di sebalik penganjuran Hari Seni Untuk Semua yang dilancarkan pada 29 November lalu di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.
Menurut Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen, program itu berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 November lalu dan diaktifkan di kesemua 45 buah sekolah yang terlibat dengan Kelab YSD Kakiseni Junior.
Kata Ngai Yuen, dia percaya bahawa seni dimiliki semua manusia, semua bangsa serta semua negara dan disebabkan itu, menjadi tanggungjawab semua orang untuk menghidupkan seni.
“Kita boleh berusaha sebanyak yang mampu tetapi pertama, kita perlu ada kemahuan dan kedua, kita perlu bergabung dan melihat cara untuk membawa kesenian, kebudayaan dan warisan kita ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita mahu kongsi warisan kita dengan seluruh dunia sebab Malaysia sangat unik. Bagaimana kita mahu memperkenalkannya kepada seluruh dunia? Korea Selatan mengambil masa 20 tahun untuk melaksanakannya,” katanya ketika majlis pelancaran tersebut.

Hari Seni Untuk Semua merupakan inisiatif yang dianjurkan Kakiseni dengan kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) dan Kementerian Pendidikan bagi membudayakan seni dalam kalangan pelajar dan seterusnya, seluruh masyarakat.
Ia dianjurkan pertama kali tahun ini dan Kakiseni berharap ia dapat menjadi lebih daripada satu program, malah sebuah gerakan untuk menjadikan seni sebagai satu komponen wajib dalam pembentukan insan di Malaysia.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr. Yatela Zainal Abidin, seni mempunyai kuasa yang besar untuk membentuk keperibadian manusia, lebih-lebih lagi golongan pelajar.
Kata beliau, seni bukan sekadar pendidikan formal yang diajar di sekolah dan poetnsi besar seni itu dapat dilihat sendiri melalui penubuhan Kelab YSD Kakiseni Junior di sekolah-sekolah.
“Sesetengah golongan tak tahu pun tentang Kakiseni atau seni itu sendiri. Yang mereka tahu seni ini lukisan, ambil ubi kentang, potong dan buat lukisan.
“Tapi seni itu pelbagai dan boleh membangunkan murid secara holistik,” katanya.
