TAHUN ini kami berjaya menonton empat buah pertunjukkan teater kanak-kanak. Semuanya demi Kesuma Hati yang telah meniti tahun ketiga usianya pada Julai lalu. Sebagai ibu bapa yang bergiat dalam arena seni budaya (terutama saya sendiri yang bergelumang dalam kancah seni persembahan; khususnya teater) tentulah bahagia melihat anakanda intan payung kami nan seorang ini mula menunjukkan minat. Terutamanya pada usia sekarang di mana perkembangan emosi dan pemikirannya semakin tajam. Sehingga mampu untuk memberitahu perasaan dan keinginannya secara tegas. Beberapa kali sejurus persembahan berakhir atau sewaktu curtain call, dia akan berkata:
“Ibu abah, lepas ni kita nak tengok teater apa pulak?”
Saya dan abah Hati hanya pandang satu sama lain dan senyum senget. Apa yang selalu kami khabarkan untuk tidak menghampakan dia ialah:
“Nanti kalau ada show teater lagi, kita pergi ye.”
Tak cukup setakat itu, dia akan bertanya secara rambang bila-bila teringat. Waktu tengah makan, tengah mandi, tengah baca buku malah sedang termenung sekali pun. Spontan namun serius. Terkebil-kebil kami cuba menjawabnya. Sudah jadi satu hal pula mahu mencari persembahan teater yang sesuai ditonton untuk anak bertuah itu.

Sentiasa ada kemajuan yang positif setiap kali menonton teater. Sentiasa ada pembelajaran baru yang dia pelajari. Kesuma Hati berusaha menjadi penonton yang tekun. Dia tahu harus senyap ketika dalam panggung. Dia bertanya jika ada persoalan yang timbul di benaknya. Emosinya naik turun mengikuti perjalanan plot. Dia tutup matanya sebelah bila melihat watak yang ngeri dan menakutkan. Dia senyum dan riang apabila muncul watak idamannya; sang puteri contohnya. Apabila persembahan berakhir, dia pulang dengan mengingati dongeng yang ditontonnya dan menceritakan kembali kepada atok, wan, mak tok, makcik dan sepupunya. Momen menonton itu akan terus kekal dalam jiwa dan ingatannya.
Saya sangat percaya inilah segala kualiti yang dapat kita berikan kepada anak-anak jika mendedahkan mereka pada dunia teater. Hampir semua pementasan yang kami tonton, tiada gangguan dari suara anak-anak yang menganggu perjalanan persembahan. Tiada jeritan atau tangisan. Tiada anak yang berkeliaran tak tentu hala. Adab dan disiplin ini pada saya sangat menakjubkan.
Kita sebagai orang dewasa, selalu bimbang dan takut dengan perlakuan anak, tapi kita terlupa yang anak-anak belajar dari apa yang mereka lihat dan dengar. Mereka lebih mudah faham dan sensitif dengan persekitaran, juga perasaan. Cuma kita adakalanya (mungkin juga selalunya) memandang rendah pada kemampuan mereka.
Bak kata Michael Morpurgo, penyair dan penulis buku kanak-kanak tersohor England:
Teater boleh mengubah kehidupan kanak-kanak, hanya dengan pengalaman awal sama ada menonton opera, balet, muzik atau sebarang kerja seni adalah sesuatu yang indah kerana ia membuka pintu kepada pengalaman dan keseronokan sepanjang hayat.
Ibu bapa yang belum pernah bawa anak ke panggung teater, masih belum terlambat. Hanya dengan satu persembahan teater (yang baik) ia mungkin mengubah segalanya.
Ini merupakan 4 buah teater kanak-kanak yang telah kami tonton sepanjang 2024.
- Into The Book arahan Nawfal Zamri. 15 Jun 2024. Panggung Eksperimen Universiti Malaya.
- Aladdin dan Puteri Jasmin, olahan dan arahan Hanura Akbar. 12-13 Julai 2024. Penilaian pelajar Diploma Aswara di Panggung Eksperimen Aswara.
- Oyen skrip dan arahan Roydy Rokidy. 16-18 Ogos 2024. Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
- Dunia Kotak-Kotak skrip dan arahan Faziah Sulaiman. 23-25 Ogos 2024. Auditorium DBP.
Saya tidaklah mahu mengulas setiap teater yang ditonton dengan mendalam. Namun saya fikir penting untuk mencoretkan beberapa hal yang mungkin boleh dijadikan pedoman untuk pengkarya (malah paling tepat untuk mengingatkan diri sendiri).
Into The Book merupakan projek penilaian untuk kursus teater di sebuah kolej swasta di bawah penyeliaan Nawfal Zamri. Saya pernah bekerja dengan Nawfal untuk projek teater Mona Ke Daerah M (sebuah pementasan melibatkan anak-anak marginal, inisiatif NGO yang dikepalai oleh Zul Fikri Zamir). Nawfal sememangnya dikenali sering terlibat dalam pementasan teater melibatkan kanak-kanak. Kekuatan dan kepakaran Nawfal selalunya pada rekabentuk dan pembinaan set juga props. Jarang unsur spectacular pada rekaan latar teater tidak menjadi di tangan Nawfal. Into The Book juga tidak ketinggalan memberikan sentuhan Nawfal yang mengagumkan.
Teater ini bercerita tentang kandungan buku yang hilang, set yang melatari persembahan ini adalah buku-buku yang bersaiz gergasi dengan kemunculan watak-watak dalam dongeng yang sering diceritakan. Ada interaksi para pelakonnya bersama khalayak di sela persembahan. Para pelakon sangat berbilang bangsa dan menarik dipandang mata. Namun perkara asas dalam pertunjukan seni teater, seolah terlupakan. Saya tak ingat pernah mendengar daripada siapa, cuma yang pasti dia seorang maestro teater. Katanya:
“Buatlah teater dengan apa cara sekalipun, gunalah segala metod dan teknik tunggang terbalik sekali pun, namun jangan pinggirkan yang asas. Asasnya harus jelas dan kukuh.”
Rata-rata pelakon Into The Book hanya menuturkan dialog tanpa percubaan untuk membuat lontaran suara yang sepatutnya. Tidak berusaha untuk membuat penjelasan pada setiap pertuturan. Seolah tiada latihan artikulasi, resonansi dan pernafasan yang sepatutnya jadi pegangan. Makanya suara yang sepatutnya dapat menyampaikan makna, tenggelam dengan kostum dan tatarias. Vokal adalah eleman paling penting untuk sebuah persembahan teater yang bukan berbentuk silent. Ditambah dengan gerakan tubuh yang kaku dan statik, menunjukkan bahawa para pelajar ini tidak mengaplikasikan pembelajaran teater dengan baik. Perkara ini membingungkan saya, kerana persembahan ini adalah projek penilaian untuk kursus yang telah mereka ikuti. Mengapa jadi begitu? Bagaimana penilaian dibuat? Apa yang mereka belajar selama ini? Tidakkah Nawfal nampak kekurangan dan masalah ini? Perkara ini merunsingkan saya.
Kekecewaaan ini diselamatkan oleh teater Aladdin dan Putri Jasmin yang pada saya telah membuktikan bahawa asas lakon teater seperti suara, gerak tubuh, mimik muka, emosi, pemahaman skrip dan membedah perwatakan itu adalah sumbu kepada sebuah persembahan teater yang menyala. Benang atau tali yang diikat menjadi sumbu harus padu dan berkualiti demi memastikan nyalaan kekal bertahan. Walau menggunakan clip mic, mereka masih berupaya menyanyi secara live diiringi kugiran. Para pelakonnya bertenaga, watak-wataknya sangat berwarna dan keikhlasan dalam menyampaikan cerita terlihat jelas. Sama seperti Into The Book, persembahan ini juga dinilai sebagai sebahagian dari kehendak kursus pengajian.

Secara keseluruhan teater ini bagus untuk tontonan kanak-kanak, seimbang dari segi artistik dan penjiwaan. Cuma mungkin satu perkara yang boleh dilakukan oleh produksi yang berpotensi seperti ini adalah dengan mempertaruhkan naskah sendiri. Hanura Akbar sebagai pensyarah dan penyelia, saya percaya mampu lakukan brainstorming dengan pelajarnya untuk menghasilkan naskah teater kanak-kanak yang baru dan lebih segar. Mengapa kita terus-terusan membuat adaptasi dari dongeng yang sedia ada? Apakah kita malas atau memilih jalan selamat? Perkara yang harus kita semua fikir-fikirkan untuk membentuk industri teater yang lebih sihat dan subur.
Teater tidak boleh dibikin dengan seadanya saja. Orang teater tidak sepatutnya malas. Apabila kita memilih lapangan ini untuk pengabadian akal dan nurani, kita tidak boleh sekadar melepaskan batuk di tangga.
Teater Oyen adalah tulisan dan arahan Roydy Rokidy, seorang seniman muda prolifik yang turut menulis skrip untuk drama televisyen. Dia tidak pernah berhenti berkarya. Saya amat kagum dengan tenaga dan semangatnya.

Produksi ini ditunjangi oleh para pelakon yang bagus. Sebahagian dari mereka telah banyak berpentas. Tidak kekok dan sangat lively. Perkara ini penting untuk menyuntik kepercayaan pada watak dan perwatakan, apatah lagi mereka meniru watak haiwan. Saya juga kagum dengan persembahan nyanyian secara langsung dari pelakonnya dengan diiringi para pemuzik handalan. Suasana menjadi ceria dan menghiburkan. Ditambah dengan kostum dan tatarias yang sangat menyakinkan. Kesuma Hati sehingga hari ini masih mengingati nama watak-wataknya, kerana lakonan yang berkesan dan rekaan kostum yang sangat menarik. Saya harus berikan kredit yang tinggi atas usaha ini. Syabas!
Saya tak pasti bila sebenarnya figura Oyen menjadi fenomena di mata masyarakat. Kucing berbulu jingga ini selalunya bermasalah (pemalas, nakal, kuat makan dan suka buat hal) tetapi punya keistimewaan yang tiada pada kucing lain. Ada pelbagai sebab lagi yang mungkin juga hadir dengan mitos yang kita sendiri tidak tahu dari mana datangnya. Walau pun sebenarnya perihal si oyen ini lebih dikenali di kalangan orang dewasa, tetapi tidak menjadi masalah jika watak ini mahu diteroka dan dijadikan cerita yang bergerak di atas pentas untuk santapan kanak-kanak.
Plotnya tak dipegang dengan erat, membuatkan ceritanya bersepah sana sini. Terlalu banyak percubaan untuk berinteraksi dengan khalayak, membuatkan berlakunya distraction untuk fokus pada jalan cerita. Begitu juga dengan nasihat-nasihat yang tidak subtle menjadikan ia terlalu bersifat didaktik dan dipaksa-paksa.
Anak-anak membesar dengan mendengar cerita. Dari cerita lisan dan tulisan. Mereka membaca dan menonton. Mereka berimaginasi dan membuat penerokaan sendiri. Mereka belajar salah atau benar melalui cerita itu sendiri. Maka jangan sesekali memandang enteng kebolehan anak-anak.
“Do not underestimate what children are capable of…just give them a chance to show you.”- Sarah Kroenert.
Bahagian yang paling menganggu saya ialah babak kucing sedang mengawan atas pentas. Terlentik-lentik kucing jantan dan betina melakukan aksi mengorat dan menggedik. Babaknya begitu panjang dan merimaskan. Sehingga saya perhatikan ada ibu yang menutup mata anak mereka dari menyaksikan. Entah kenapa babak itu perlu diadakan? Apakah itu hidangan yang sesuai untuk anak-anak? Apakah pengarahnya melihat babak itu sebagai sumber hiburan semata-mata? Itulah kadang saya berfikir bahawa teater kanak-kanak harus dan wajar dilakonkan oleh kanak-kanak juga. Supaya hal-hal begini dapat dielakkan. Minda orang dewasa tidak sejernih pemikiran anak-anak. Saya menyokong penuh jika pendidikan seks di ajar secara meluas, dipentaskan dan disebarkan. Tetapi bukan dengan pertunjukkan semberono seperti itu. Lebih kecewa kerana persembahan itu diadakan di bawah bumbung sebuah badan bahasa yang sepatutnya menjaga hal-hal sensitiviti dan adab kesusilaan.
Teater Dunia Kotak-Kotak seolah memahami rintihan saya tentang kewajaran menggunakan pelakon dalam kalangan anak-anak sendiri bagi tujuan mendekatkan khalayak kecil ini dengan pemahaman yang lebih dalam. Teater ini punya potensi yang besar, dari segi skrip, lakonan, rekaan artistik dan dinamika persembahan. Ceritanya tentang sekumpulan anak-anak di kawasan setinggan yang juga punya impian seperti kanak-kanak seusia mereka. Realiti hidup mereka sehari-hari di penempatan setinggan, diselang-selikan dengan babak mimpi yang menunjukkan keinginan dan cita-cita mereka di hari mendatang.

Cuma bentuk skripnya terlalu 80-an. Begitu juga dengan gaya lakonan. Kata Amar (suami saya), seperti menonton filem era AR Badul dan Faizal Hussein. Ketawanya dan gerak tubuh para pelakonnya terlalu mekanikal. Kejujuran sebagai kanak-kanak itu terselindung dengan dialog yang keras dan berbunyi orang dewasa. Menyukarkan anak-anak yang menonton untuk menghubungkan dengan diri mereka. Saya tak mengenali pengarahnya secara rapat, cuma tahu yang dia pengamal teater kanak-kanak yang telah lama bergiat dalam arena ini. Malam itu barulah saya diperkenalkan yang Faziah Sulaiman merupakan isteri kepada Zakaria Ariffin. Seniman teater yang begitu signifikan di Malaysia.
Mungkin sedikit saranan saya kepada Faziah, di masa akan datang agar dapat bekerjasama dengan penggiat muda (pengarah bersama contohnya) untuk memahami pertuturan, penyampaian dan gaya anak-anak hari ini. Mungkin mutu persembahan teater Dunia Kotak-Kotak ini akan naik satu takah lagi. Sayang sekali kerana anak-anak di dalam pementasan ini sebenarnya sangat berbakat. Kita dapat lihat anak-anak ini sedang berusaha untuk berkongsi bakat dan minatnya. Jika diasah, dibentuk dan dibantu dengan segala komponen teater tanpa perlu menghadkan potensi mereka, tentu kita melihat sebuah persembahan yang mantap dan hebat.
Kesuma Hati sampai ke hari ini masih mengingati lagu tema teater Dunia Kotak-Kotak. Tidak dinafikan ia sebuah persembahan yang berkesan dan menghiburkan. Begitu juga dengan tenaga produksinya yang kelihatan amat berdedikasi dan bersatu.
Anakanda Kesuma Hati akan terus kami bawa menonton teater, walau adakalanya kami pulang dengan sedikit kecewa. Namun itu tidak mematahkan semangat dan harapan kami untuk terus melihat produksi teater kanak-kanak di Malaysia semakin baik dari hari ke hari.
Persembahan teater kanak-kanak mempunyai potensi yang besar sekiranya kita bekerja keras dan sepakat untuk memperbaiki kualitinya. Jika anda (pengkarya) diberi ruang dan peluang, hiasilah panggung teater kita dengan naskah yang bermutu. Tunjukkan pada anak-anak bahawa teater bukan sekadar hiburan pada permukaan, tetapi punya nilai-nilai murni yang tertanam di dalamnya.
Besar tanggungjawab kita pada generasi akan datang. Berkaryalah dengan seikhlas hati dan penuh amanah.
Jaga dan sayangilah anak-anak kita.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
