JIKA kamu membaca tulisan kami dan kemudian entah apa untungnya, kamu diberkahi pula dengan peluang untuk duduk dengan kami, kamu akan dapati yang kami ini sangat kelakar orangnya. Ditambah pula apabila setiap patah perkataan yang keluar dari mulut kami akan disulam dengan ketawa malu-malu, kamu tentu saja akan menganggap kami ini seorang yang sangat fun untuk dibuat kawan.
Namun begitu ketahuilah yang semua itu adalah lakonan semata. Itu adalah watak yang kami mahu kamu kenal sedangkan kami sebenarnya seorang yang mudah panas hati.
Dirumah, jika penghuninya tersilap masak nasi misalnya, akan kami tempeleng dengan sekuat hati dan bila budak-budak yang selalu asyik dengan telefon bimbit itu bernafas sedikit kuat, kami tempeleng juga. Kami sebenarnya mudah meradang dan menganjurkan program KATASENI adalah sangat memanaskan hati.
Sebelum itu izinkan kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada portal-portal yang menyiarkan berita mengenai program tersebut. Terima kasih diucapkan kepada Malaysiakini, Sinar Harian, Astro Awani, Utusan Malaysia dan juga portal Relevan.com.
Terima kasih yang terutama juga kami ucapkan kepada portal Seni Malaya yang sudi untuk menyiarkan semua artikel yang akan terhasil dari program tersebut. Seni Malaya bukan saja bertindak sebagai media resmi bahkan turut sama turun padang sebagai penganjur bersama. Mereka juga ikut serta dalam semua acara yang dijadualkan.

Terima kasih sekali lagi dan sebagai pembelajaran, nanti jika kamu mahu apa pun acara yang kamu adakan dan mendapat liputan meluas, cari kami.
Bayaran kami mungkin lebih mahal dari orang lain tetapi kamu akan diyakini untuk dapat menghebahkan kegiatan kamu kepada khalayak yang lebih luas.
Kegiatan kamu itu juga akan dicatat dalam sebuah dokumentasi yang akan kekal lama.
Dokumentasi kekal lama juga merupakan sebab mengapa program KATASENI itu diadakan.
Setelah melihat hampir semua penerima Tabung Bantuan Seni (TBS) dari Balai Seni Negara menumpukan perhatian kepada kegiatan melukis dan juga berpameran. Kami merasakan perlu ada sedikit kepelbagaian pada aktiviti yang dibiayai oleh tabung berkenaan.
Kerana itu bengkel menulis hal-hal yang berkaitan dengan seni catan menjadi pilihan kerana semua kegiatan melukis dan pameran itu tentu saja memerlukan sedikit penilaian. Jika tidak semua acara berkenaan akan kekal begitu selama-lamanya. Yakni berkumpul, melukis, berpameran, memuji diri sendiri dan rakan-rakan dan kemudian pulang ke rumah untuk bertemu lagi di acara yang lain.
Pada masa akan datang, kami ingin mencadangkan supaya apa saja kegiatan oleh persatuan atau individu yang dibiayai oleh TBS wajib membawa bersama mereka sekurang-kurang seorang penulis bagi memastikan program tersebut dicatat.
Catatan boleh saja merupakan laporan atau jika kita semua mahu lebih maju ianya mestinya sesuatu yang telus.
Setelah berkumpul untuk diberikan penerangan dan sedikit tukar menukar fikiran, Kumpulan penulis yang terlibat dalam program KATASENI telah dibawa melawat ke pameran Pesan & Kenangan di Galeri HAR+A.
Galeri berkenaan adalah diantara ruang pameran yang baru dibuka dan pameran hasil koleksi Pakharuddin Sulaiman atau dikenali sebagai Pakha yang diadakan di galeri tersebut menjadi lawatan pertama ke mana-mana galeri lukisan oleh sebahagian dari penulis yang mengikuti program KATASENI.
Kami kesian kepada penulis-penulis berkenaan. Mungkin selama ini ada antara mereka dikepung oleh dunia lakonan yang tidak menjanjikan kehidupan abadi yang lebih baik atau mungkin juga mereka terlalu sibuk mengulit musik alternatif yang pura-pura itu sehingga mereka tidak kenal apa itu seni yang sebenarnya.
Pameran yang diselenggarakan oleh kurator terkenal Yap Saubin menampilkan koleksi peribadi kolektor tegar Pakha dan ia adalah satu pameran yang mengasyikkan. Yang menarik perhatian tentu saja karya-karya awal almarhum Ise dan juga kerja-kerja pop oleh almarhum Jeri Azahari yang berjudul ‘Tun & Tunku’ dan juga ‘Tun M at Harare’. Malah terdapat sebuah karya awal Ise yang penuh dengan sejarah.
Pengunjung yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut disarankan untuk membuat temujanji samada dengan Saubin atau Pakha sendiri.
Secara peribadi, karya-karya Ise akan selalu menjadikan kami cemburu dek kerana ketulusan dalam dia menyempurnakan kerja.
Apabila didapati yang pameran Pesan & Kenangan ini bukanlah sebuah pameran dan jualan, ada diantara penulis merasa hairan dan bertanya mana untungnya. Di sini penulis-penulis tersebut belajar yang untuk mendidik ada masanya tidak memerlukan wang ringgit. Dalam masa yang sama kami juga berbisik kepada mereka bahawa pameran sebegini ada masanya adalah untuk melayan ego.
Pada hari berikutnya, setelah selesai acara tukar fikiran dan makan, mereka dibawa pula melawat studio pelukis terkenal Hamir Soib di Kuang.
Studio yang diberi nama sebagai GUDANG ini menjadi sarang tempat Hamir menghasilkan karya-karya mega. Baik dari saiznya mahu pun dari segi ukurannya. Hamir yang terkenal sebagai pelukis yang ralit membuat komentar kepada segala macam kepincangan di dunia ini satu masa dulu kini telah menukar haluan.

Sesuai dengan usia karya-karya terbaru Hamir lebih menitikberatkan hubungan dirinya dengan Tuhan dan dia mengambil jalan penulisan khat kontemporari sebagai alat untuk melalui jalan tersebut.
“Sambil melukis boleh juga berzikir,” kata dia. Entah berdakwah kepada kami semua atau kepada dirinya sendiri. Atau mungkin juga kepada panas yang datang bersama studionya yang tidak mempunyai bekalan elektrik itu.
Untuk pengetahuan, studio tersebut memang sengaja tidak dibekalkan dengan kemudahan asas seperti eletrik dan air sebagai tanda penyatuan seniman tersebut dengan alam sekelilingnya.
Jika kamu tidak faham pernyataan di atas, jangan bimbang kerana kami juga tidak faham bila diterangkan sendiri oleh Hamir.
Sesuatu yang memeranjatkan kumpulan penulis yang ikut serta adalah apabila mereka dapati Hamir kelihatan tidak terburu-buru untuk menyiapkan karyanya. Adalah di antara catan yang dihasilkan mengambil masa lebih satu tahun untuk disiapkan dan ini mengundang tanda tanya hal bagaimana dia menyara hidup.
Setelah dijelaskan apa beza ‘seniman menangis’ dan juga ‘seniman ketawa’ penulis-penulis tersebut juga seperti semua pelajar seni halus, memutuskan untuk menjadi seorang seniman.
Hal pelajar seni halus merasakan sangat perlu menjadi seniman adalah satu penyakit yang harus dicari ubatnya oleh pendiri institusi.
Namun begitu, kami akui yang wang dan populariti akan sentiasa menang bila dipertandingkan dengan kekayaan perbendaharaan kata.
Hamir kami tinggalkan dengan dunianya dan sebelum pulang sempat juga kami menjeling motosikal barunya. ‘BMW’ kata kami di dalam hati,. “Takde la sufi sangat,” tambah kami, juga di dalam hati.
Oh! Kami hampir terlupa sebab sebenar kami menulis artikel ini yakni mengapa kami panas hati dengan KATASENI.

Sebelum itu izinkan kami mengucapkan terima kasih juga kepada Balai Seni Negara yang memungkinkan program ini melalui TBS. Dan sebagai ingatan ingin kami nyatakan bahawa kami berharap untuk mengadakan program sebegini setiap tahun dengan penambahan yang lebih baik. Kerana itu, sila masukkan program KATASENI dalam kalender Balai Seni Negara.
Yang membuatkan kami bara adalah kerana setelah hampir dua minggu program ini berakhir, tidak ada seorang pun penulis yang turut serta dalam program tersebut menghasilkan apa-apa tulisan.
Jenis semua benda nak kena follow-up. Jenis terkemut-kemut menahan kentut.
Makan dah makan, bayar dah mahal, hotel dah lima Bintang. Kamu tunggu apa lagi? Tak ada ilham? Ke hulu ke hilir bawak grab? Sibuk layan gig?
Baser sungguh laaa.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang hanya boleh dihubungi dengan menggunakan perantara.
