SELESAI menghadiri kuliah Sejarah Visual di Malaya yang disampaikan oleh Dr. Ahmad Suhaimi Mohd Noor di Fakulti Seni dan Persembahan, Universiti Sultan Idris sekitar tahun 2003, saya merasakan satu pembukaan minda yang mendalam.
“Sesungguhnya, kesedaran terhadap seni visual dalam kalangan orang Melayu telah wujud sejak lama. Kamu boleh merujuk banyak penerbitan akhbar dan manuskrip yang memaparkan ilustrasi, sama ada iluminasi atau ilustrasi biasa. Ini menunjukkan bahawa kemahiran, aktiviti, dan proses melukis telah lama dikuasai,” jelas Dr. Suhaimi Mohd Noor, kata-katanya masih jelas dalam ingatan saya.
“Namun, mengapa isu ini tidak pernah diteliti dalam konteks yang lebih ilmiah, khususnya dari perspektif seni visual semasa?” saya bertanya, sambil menarik sebuah kerusi di kantin fakulti seni.
“Jawapan kepada persoalan itu perlu kamu cari dalam tugasan yang diberikan. Kamu harus mencari dan menemukan sesuatu yang belum pernah dibaca dalam mana-mana bahan rujukan, dan kongsikan penemuan tersebut dengan rakan-rakan dalam kuliah,” balasnya dengan tenang sambil mengunyah kuih ketayap ketayap bagaikan melekat di muka saya sendiri. Adat dan adap belajar, maka berlapanglah dada menerima sebarang saranan guru.
Keraguan ini berlarutan tanpa henti, seperti bayang-bayang yang tidak pernah pudar dalam benak fikiran, terus-menerus menimbulkan persoalan yang tiada noktah. Ia sentiasa mengusik dan menimbulkan rasa tidak pasti setiap kali saya melangkah ke mana-mana pameran lukisan di galeri. “Adakah benar tiada seorang pun penduduk Tanah Melayu yang mampu melukis sebelum tahun 1930-an?” Persoalan ini bukan sekadar mengenai sejarah seni—siapa tokoh terawal, bentuk karya, atau tahun penciptaan. Ia lebih kepada penjelajahan kesedaran budaya berkesenian, termasuklah kemahiran melukis dan bagaimana kemahiran tersebut didefinisikan.

Rasa skeptikal ini semakin menebal dalam diri, memberi impak yang besar terhadap persepsi saya terhadap aspek-aspek asas lingkungan seni, seperti definisi seni, sejarah seni, falsafah seni dan estetika, sistem tanda pengucapan, kaedah interpretasi, tujuan amalan seni, penyataan pengkarya, serta manfaat seni kepada manusia. Kesan ini meresap ke dalam setiap lapisan pemikiran saya, mencetuskan persoalan yang tidak terjawab dan mempengaruhi cara saya memahami dan menilai seni.
Saya percaya bahawa semua dimensi skeptikal ini perlu didasari oleh ilmu pengetahuan yang mendalam dan terperinci. Kefahaman yang mandiri tentang seni memerlukan asas ilmu yang kukuh untuk menghapuskan keraguan-keraguan ini. Dalam hal ini, falsafah seni dan falsafah estetika tidak dapat dibangunkan tanpa terlebih dahulu memahami bagaimana tanda visual wujud dan berfungsi. Seni dan elemen keindahannya tidak mungkin tercapai tanpa penghuraian yang komprehensif dan jelas.
Pengertian seni haruslah lebih daripada sekadar membuat andaian itu dan ini atau memperindah teks dengan kata-kata. Ia memerlukan pengalaman langsung dan pemahaman mendalam mengenai peristiwa atau karya seni tersebut, sehingga memberi kesan yang mendalam dan nyata pada diri sendiri. Hanya dengan cara ini, kita dapat mencapai kefahaman yang sebenar dan autentik tentang seni, serta memberikan makna yang lebih mendalam dan tepat kepada setiap elemen yang terlibat.
Sekurang-kurangnya, usaha ini dapat membebaskan kita dari tanggapan bahawa “karya itu mempunyai nilai estetika tersendiri” atau “karya itu mempunyai makna yang mendalam”. Selain itu, penting untuk menguraikan elemen ‘kedalaman’ dalam komponen tersebut agar prinsip ilmu pengetahuan dapat dipahami dengan tuntas dan diyakini melalui indikasi yang jelas.
Secara logik dan sesuai dengan fitrah manusia, jiwa dan naluri kita direka dengan kapasiti untuk mencari bukti dan alasan yang rasional bagi setiap fenomena atau perkara yang berlaku. Dalam konteks ini, pemikiran ilmu pengetahuan dari kaca mata Al-Ghazali mengajarkan bahawa setiap kejadian atau konsep mengandungi lapisan keraguan dan was-was. Oleh itu, hanya dengan pemahaman dan kesedaran ilmiah yang mendalam kita dapat menggali dan mendedahkan hakikat sebenar di sebalik setiap tanda objek pengetahuan. Proses ini bukan sahaja membantu kita mengatasi keraguan tetapi juga menghapuskan sebarang kesilapan dalam penilaian dan persoalan yang mungkin timbul.
Oleh itu, keraguan pada tanda berseni itu distrukturkan secara berkaedah, sebaliknya tanpa struktur yang sistematik, tanggapan ilmu pengetahuan terhadap sesuatu peristiwa akan menerawang dan bertebaran tanpa paksi untuk dihalakan kedudukannya.
Keraguan saya semakin memuncak, ketika membaca rekod sejarah oleh T.J. Newbold yang diterbitkan pada tahun 1839 dalam Political and Statistical Account of the British Settlement in The Strait of Malacca, setebal 544 halaman. Rekod tersebut dengan jelas menyatakan bahawa catan, arca, seni bina, mekanikal, dan geografi sama sekali tidak diketahui oleh orang Melayu. Skeptisisme saya terhadap pernyataan ini timbul dari beberapa perkara penting:
- Apakah struktur mekanisme pengukuran seni dan estetika yang telah digunakan untuk menilai kosmologi keindahan dalam masyarakat Melayu? Saya tertanya-tanya bagaimana penilaian terhadap aspek seni dan estetika dilakukan, dan apakah kriteria yang digunakan untuk menilai keindahan menurut perspektif mereka?
2. Bagaimana kaedah penulis memperoleh data tersebut? Adakah data tersebut diperoleh hanya
melalui pemerhatian langsung terhadap budaya berkesenian dari sudut pandang Barat semata-
mata, tanpa mengambil kira konteks lokal dan tradisi yang mendalam?
3. Adakah pernyataan tersebut mencerminkan suatu doktrin yang telah lama menganggap
kesenian alam Melayu sebagai ketinggalan zaman? Saya bimbang bahawa pandangan tersebut
mungkin telah membentuk persepsi yang tidak adil dan mengabaikan kekayaan serta
kompleksiti kesenian Melayu.
Dalam konteks kesenian alam Melayu, segala bentuk zahir seperti lukisan, tulisan, gambar, corak, warna, seni bina rumah, istana, kapal, ilmu falak, kod pasang surut air, jadual pelangkah, dan ramalan cuaca untuk pertanian, semuanya berfungsi memenuhi keperluan deria dan praktikal orang Melayu. Seni dan estetika dalam konteks ini tidak hanya untuk memenuhi kehendak patron seperti galeri seni, pengumpul, dan muzium, tetapi juga dinaungi dan disokong oleh pihak istana. Penerbitan pelbagai genre manuskrip dari abad ke-16 hingga ke-18 menunjukkan bahawa kesenian Melayu berfungsi sebagai medium diplomasi dan komunikasi antara negara, mencerminkan nilai dan kehormatan budaya setempat dalam masyarakat Melayu.
Pandangan ini selari dengan pernyataan Hossein Nasr, yang menegaskan bahawa dalam sistem tradisi, seni berfungsi sebagai medium untuk menyampaikan pengetahuan suci dan sakral melalui kepercayaan dan keyakinan terhadap falsafah yang telah lama diterima oleh masyarakat tersebut. Dalam konteks ini, seni tidak terikat kepada sebarang dimensi atau bentuk tertentu; sebaliknya, ia merangkumi pelbagai bentuk dan variasi seni yang ada.
Pada masa yang sama, ilmuan Timur, Hamka dalam karya Kenang-Kenangan Hidup juga mengupas konsep falsafah seni dan keindahan. Beliau menyatakan bahawa “lukisan adalah catatan spiritual” dan menekankan bahawa “seni tidak ada tanpa cinta.” Hamka juga menegaskan bahawa falsafah keindahan seni merupakan puncak dari keinginan untuk mengungkap rahsia alam semesta, serta menyuburkan daya khayalan. Beliau menggambarkan keindahan seni sebagai “telaga seni,” yang harus dibangunkan dari asas falsafah dan agama, kerana segala keindahan yang wujud lahir dari akal, perasaan, fikiran, dan kemahuan manusia.
Pengertian ini menunjukkan bahawa nilai keindahan dalam apa jua bentuk seni melangkaui konsep moral dan ekonomi, serta berbagai-bagai fungsi instrumental. Ia melibatkan sebuah pemahaman yang lebih jauh, terutamanya mengenai bagaimana seni berfungsi sebagai medium untuk menyampaikan makna dan keindahan yang sejati.
Segala bentukan imejan seni mengundang perbincangan tertentu, boleh disandarkan dalam pelbagai aspek, seperti sains kosmologi sehingga bertautan dalam wilayah batin pelakunya, secara intim dengan dimensi batin pengkarya, baik pengarang mahupun pelukis.
Secara refleksinya kesenian alam Melayu merupakan manifestasi tindakan berkeyakinan pada sistem kepercayaan sebagai paksi utama, manakala sistem amalan dan interpertasinya pula bakal merapatkan nilai kebergunaan daripada aturan adat dan budaya.
Namun, kekeliruan dalam memahami penerapan ciri-ciri aksiologi ini sering kali mengakibatkan konflik dalam pentakrifan antara domain pragmatik, objektif, dan subjektif. Akibatnya, objek kesenian Melayu seringkali terperangkap dan sering bertembung dalam darjah dwistandard, kategori kraf dan terhad kepada kumpulan fizikal semata-mata. Ketika itu, ketika itu saya hanya tersenyum, perbincangan sisi perbezaan seni dan kraf perlu dijelaskan dalam siri yang lain.
Pemerhatian saya diteruskan, terhadap ilustrasi dalam manuskrip Hikayat Abdullah, seperti yang dikupas oleh Dr. Ahmad Suhaimi suatu ketika dahulu, menunjukkan bahawa visual tersebut menggambarkan usungan Raja dan merupakan representasi sebenar pengebumian Sultan Husain Mohammed Shah pada 12 Disember 1835. Ilustrasi ini dilukis empat tahun sebelum T.J. Newbold menulis tentang aktiviti seni yang kononnya tidak wujud dalam kalangan orang Melayu. Manuskrip Hikayat Abdullah diselesaikan pada tahun 1845 dan diterbitkan kali pertama sekitar tahun 1849. Lebih awal daripada itu, Shellabear W.G dalam The Autobiography of Munshi Abdullah (1918) mengakui bahawa Munshi Abdullah memiliki pengalaman dalam belajar dan kemahiran melukis.

Dalam konteks ini, istilah “catan” hanya merujuk kepada medium pengkaryaan, sedangkan pada tataran yang lebih mendalam, ia adalah manifestasi kemahiran kognitif dalam menterjemahkan idea awal melalui lukisan dengan kaedah ilustrasi semula subjek yang diperhatikan oleh pengkarya. Proses penerbitan awal idea adalah aspek penting yang perlu dikaji dengan teliti.
Oleh itu, perlu diteliti semula peranan karya seni dalam manuskrip ini. Karya tersebut tidak boleh dinilai semata-mata dari sudut ekspresi emosi atau keghairahan pengkarya, tetapi lebih kepada konsep rakaman dan dokumentasi reka bentuk produk atau peralatan yang berakar umbi dalam budaya dan nilai agama, khususnya dalam konteks penghormatan terhadap jenazah. Lukisan usungan ini harus dibaca dalam kerangka informasi terhadap adat pengurusan jenazah, khusus untuk golongan raja-raja Melayu, secara visual.
Jika kita merujuk kepada penilaian T.J. Newbold, kelihatan bahawa penilaiannya hanya terbatas kepada lapisan permukaan, yakni aspek fizikal, dan tidak mencakupi pemahaman yang komprehensif. Penilaian beliau cenderung bias dan tidak menyeluruh dalam memahami fenomena kesenian visual Melayu, yang melibatkan elemen-elemen seperti kanvas, cat minyak, berus, dan lokasi pameran karya sahaja pada masa tersebut. Pendekatan Newbold menjadikan seni seolah-olah terperangkap dalam balang vakum, bersifat statik dan pasif.
Refleksi ringkas berkaitan hal ini dapat dimanfaatkan, apabila Ibrahem Hasan, yang memetik Michael Baxandall dalam karya “Patterns of Intention: On the Historical Study of Pictures” (1985). Baxandall menggariskan lapan fungsi penting seni yang menjadi payung utama bagi niat artistik dan sosial seorang pengkarya. Fungsi-fungsi tersebut adalah:
- Seni sebagai Alat Komunikasi – Seni digunakan untuk menyampaikan mesej dan idea.
- Seni untuk Ekspresi – Seni sebagai medium untuk mengekspresikan emosi dan perasaan.
- Seni untuk Penyataan Kepekaan Pengamatan – Seni yang menggambarkan kepekaan dan penilaian terhadap dunia sekitar.
- Seni untuk Meningkatkan Kesedaran Estetika – Seni yang mengembangkan pemahaman dan penghargaan terhadap keindahan.
- Seni untuk Pengembangan Ilmu Pengetahuan dan Kefahaman – Seni sebagai cara untuk memperluas pengetahuan dan pemahaman dalam pelbagai bidang.
- Seni untuk Kreativiti – Seni yang merangsang dan menggalakkan daya cipta.
- Seni untuk Perkembangan Kemahiran Teknikal dan Pengolahan – Seni yang memperbaiki dan mengasah kemahiran teknikal dan teknik.
- Seni untuk Keseimbangan dalam Kehidupan dan Pendidikan – Seni yang menyumbang kepada keseimbangan dan perkembangan dalam kehidupan seharian dan pendidikan.
Selain itu, W.J.T. Mitchell dalam karya beliau What Do Pictures Want? menyatakan bahawa unsur visual merujuk kepada segala imejan yang terhasil dalam medium persekitaran sosial yang kita lalui setiap hari, atau “everyday seeing and showing.” Kefahaman ini melibatkan dimensi sosio-budaya, kepercayaan, sejarah perkembangan manusia, tamadun, dan kesenian.
Makna yang ditandai oleh imejan visual, termasuk ilustrasi dalam manuskrip, berubah mengikut konteks pemahaman individu, kerana setiap pembaca atau penterjemah melihat melalui lensa pengalaman, geografi, dan budaya yang berbeza. Dengan kata lain, cara kita memahami imejan dipengaruhi oleh latar belakang budaya dan pengalaman peribadi kita.
Dalam konteks persembahan visual, imej berfungsi sebagai penyampai nilai dan gambaran tentang sesuatu perkara. Sementara itu, dalam konteks makna, imej berperanan sebagai tanda simbol dan metafora, memikul tugas untuk menyampaikan makna yang berlapis-lapis dan kompleks. Imej bukan hanya sekadar representasi visual, tetapi juga alat yang memperkaya pemahaman kita terhadap berbagai dimensi makna dan interpretasi.
Makin dicari makin jumpa, kecintaan saya terhadap dunia visual dalam manuskrip alam Melayu semakin membulat, hingga pertengahan tahun 2016 saya mengambil keputusan “berkubang” di Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur selama 6 bulan, walaupun bukan secara harian tapi menjadualkan diri antara 3 hingga 4 hari secara suntuk menelaah setiap manuskrip, bagi mencari sebarang rupa visual yang ada. Tentang penginapan tolak tepi, mana saja tempat yang boleh rehatkan diri, saya terima. Secara ringkasnya disini, boleh saya katakan kebanyakan kesan visual yang ditemui terkandung manuskrip genre budaya, antaranya manuskrip Petua Membina Rumah (MSS 3427), Hikayat Nabi Sulaiman (MSS3074), Rotating Naga (MS2843), Kitab Bintang 12 (MSS 3116), Pamor Keris (MS 2836), Petua Gajah (MSS 2381) Rajah Kedudukan Matahari (MSS2912) dan sebahagian kecil dapat ditemui dalam genre keagamaan, falak serta perubatan Melayu ataupun Kitab Tib.

Pada kesempatan tersebut, saya berpeluang untuk bertemu beberapa tokoh terkemuka dalam dunia penyelidikan manuskrip, baik dari dalam mahupun luar negara. Saya berkesempatan membentangkan idea dan cadangan penyelidikan secara formal kepada Allahyarham Dr. Harun Mat Piah, seorang figura penting dalam bidang ini. Selain itu, saya turut mengikuti perkembangan penyelidikan oleh Dr. Farouk Yahya, Penyelidik di Jabatan Sejarah Seni dan Arkeologi, Pusat Pengajian Seni, SOAS University of London. Diskusi maya bersama Dr. Annabel Teh Gallop, Ketua Bahagian Asia Tenggara di Perpustakaan British, memberikan pencerahan tentang aspek visual dalam manuskrip Hikayat Abdullah serta manuskrip dari negeri Perlis.
Saya juga berpeluang berdiskusi dengan Dr. Mujizah, seorang ahli dan pakar filologi dari Universitas Indonesia, yang menekankan kepentingan penglibatan multidisiplin dalam penyelidikan manuskrip di Nusantara. Beliau menggariskan bahawa kolaborasi antara pelbagai bidang keilmuan adalah penting untuk memahami kekuatan dan kekurangan sesebuah manuskrip. Diskusi kami turut merangkumi kajian beliau tentang komponen visual dalam manuskrip Martabat Tujuh dari alam Melayu. Selain itu, saya mengikuti kuliah oleh Prof. Dr. Oman Fathurahman, Guru Besar Filologi di Fakultas Adab dan Humaniora UIN Jakarta, untuk mendalami kaedah dan proses transliterasi manuskrip.
Bertepatan dengan kajian, saya melihat Prof. Madya Ab. Razak Ab. Karim dari Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya antara pakar dalam bidang penyelidikan bahasa, perawatan dan pemuliharan manuskrip alam Melayu. Karya penerbitan beliau sering kali menyentuh aspek penyelidikan manuskrip warkah, kitab perubatan Melayu, serta penggunaan bahasa dalam manuskrip. Beliau juga melakukan interpretasi kandungan visual melalui kajian cop mohor, wafak, diagram, dan aspek lain yang berkaitan. Saya menganggap beliau sebagai ahli akademik multidisiplin yang berperanan penting dalam kajian alam Melayu, serta sebagai pakar rujuk senior dalam bidang manuskrip yang terus memberikan sumbangan berharga kepada penyelidik seni visual di negara ini.
Dalam konteks kesenian visual tradisi alam Melayu, beliau menyatakan bahawa “pandai tulis” (pengarang-pelukis), Istilah tersebut merujuk pada aktiviti membina gambaran yang mengandungi nilai falsafah tersendiri yang masih perlu dikupas oleh penyelidik muda. Hal ini adalah merujuk kepada peranan kearifan seni visual harus berfungsi dalam memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya intergrasi konsep ilmu pengetahuan dan peranan visual dalam manuskrip agar berdiri sebagai artifak warisan dan khazanah negara yang amat berharga. Idea-idea daripada penelitian komponen visual dalam manuskrip perlu ditransformasikan ke dalam dimensi yang sesuai dengan perkembangan keperluan dan teknologi semasa.
Akhirnya, jika diberi peluang masih banyak perihal visual dalam manuskrip ingin saya kongsikan.
– DR SHAHRUL A. SHAARI adalah pensyarah kanan Bahagian Seni Halus, Pengajian Pengajian Seni,Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD di Akademik Pengajian Melayu, Univerisiti Malaya, pengkajian dalam bidang budaya kesenian visual dalam manuskrip alam Melayu dan telah menulis penerbitan jurnal, cerpen, artikel majalah Dewan Budaya, disamping mempunyai pengalaman berpameran dalam dan luar negara.
