“Aik? Kat sini pun ada?” tanya Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad kepada kami. Mungkin dia hairan mengapa kami hadir dalam program Kem Seni Foto Lenggong anjuran pejabatnya dan juga Kelab Foto LUAR BIASA di Lenggong, Perak baru-baru ini.
Sebelum kami meneruskan cerita mengenai Kem Seni Foto Lenggong, izinkan kami meluahkan rasa kecewa kami kepada portal yang ini.
Akibat sibuk yang tidak terduga, kami tidak menghantar sebarang tulisan kepada portal ini minggu lalu. Jarang sebenarnya bila diberi tanggungjawab kami berlaku curang. Namun minggu lalu kami jadi berdosa kerana tidak menepati janji.
Lalu kami pun berdebar menanti teguran dari editornya. Mana tahu ditanya dia mengapa kami tidak menghantar tulisan. Mungkin dia akan merasa yang kami ini sedang uzur misalnya. Entah-entah dia sedang risau memikirkan keselamatan kami, penulis portalnya yang terpaling popular itu. Penulis yang menurut sesetengah khabar angin adalah penyebab mengapa portal ini semakin diminati ramai.
Haram. Sepatah kata pun tidak datang dari dia. Langsung tiada sebarang pertanyaan bimbang dari dia. Dia membiarkan kami gelisah seorang diri. Mengharap kasih yang rupanya hanya pada dirinya sendiri.
Baser.
Kami merasa tidak dihargai walhal jika dia bertanya sepatah, “Abang sihat ke?” misalnya, tentu saja kami berbesar hati.
Lalu kerana kecewa kami pun bercadang untuk berhenti terus dari menulis di sini. “Apa nak jadi pun jadilah!” kata kami kepada diri sendiri. “Biar padan muka dia sebab tak ada penulis hebat macam aku di portalnya,” kata kami lagi pada diri sendiri.
Kami ke cermin dan terlihat merah padam muka kami dek kerana marah.
Nyaris lah kemiskinan itu membawa kepada kekufuran, kata orang-orang alim. Maka kerana takut menjadi miskin dan kufur kami memujuk diri untuk terus menjadi fakir kepada portal ini.
Walaupun dibayar murah, sekurang-kurangnya kami tidak lagi perlu mengendeng rokok dari kawan-kawan bila mendapat bayaran dari mereka.
Lalu teballah muka kami bila mula lagi menulis di sini.
Yang menyebabkan kami memadamkan hasrat untuk tidak lagi menulis di portal ini bila disedarkan bahawa kami ini sukar dihubungi.
“Macam mana nak tanya khabar kalau telefon pun tak ada,” kata editor itu ketika kami bertemu baru-baru ini.
Ketawa besar Im dan Lan Naga, dua orang lagi yang turut sama dalam petemuan itu bila mendengar kata-kata tersebut.
Kami juga turut ketawa kerana menyedari kesilapan diri sendiri yang enggan memiliki handphone hingga menjadi bahan kutukan kawan-kawan.
Tunggulah bila iPhone 16 yang dikatakan banyak kecanggihan keluar di pasaran, kami akan beli dan berlagak dengan semua orang.
Kita kembali ke acara Kem Seni Foto Lenggong.
Semasa ditegur, mata kami liar melihat keliling dan berdoa supaya ada orang yang akan terkejut betapa KP Balai itu kenal dengan kami. Boleh juga berbangga.
Malang sedikit yang perasan kami ditegur hanya si Yeob, tuan punya motel D’Beranda tempat semua peserta kem tersebut berkumpul. Yeob ini tidaklah hairan kerana sangka dia kami ini memang sangat dikenali kerana seperti mana yang diketahui umum, dalam majlis apa pun kami akan mewatakkan diri kami sebagai orang penting.

Kami juga menganggap kami memberi sedikit prestij kepada apa pun acara yang kami hadiri. Kerana itu juga kamu akan dapati kami sedapat mungkin akan menempatkan diri di meja dif-dif kehormat. Jarang kamu akan melihat kami beratur bersama seniman marhaen yang lain memilih makanan misalnya. Semuanya mesti dihidangkan untuk kami bersama para pelayan yang sentiasa bersedia untuk memberi khidmat yang terbaik demi untuk kepuasan nafsu kami.
Yalah, apa guna jadi seniman jika masih tetap meminta-minta. Dan kami mahu ini dijadikan teladan oleh semua seniman. Pasang diri dan berdiri tegak. Jangan sibuk merintih dan marah. Kamu adalah apa yang kamu potretkan.
Menurut Ali Shamsul Bahar, pengarah program tersebut, Kem Seni Foto Lenggong dibiayai oleh Tabung Bantuan Seni, Balai Seni Negara dan kem ini adalah lanjutan dari beberapa siri kem foto yang telah dijalankan sebelum ini.
Jika tidak salah kem ini pernah diadakan di Ulu Dong, Raub, Pahang, Taman Negara Endau-Rompin, Selai, Johor dan beberapa tempat lain yang kami tidak ingat.
Selain melukis dan menulis, kami juga gemar akan fotografi kerana itu kami mengikuti hampir semua kem tersebut lalu kehairanan KP Balai itu tidak ada asas. Mungkin jika dia mengambil tahu akan perihal kami dengan lebih serius dia tidak mungkin akan terperanjat bila bertemu kami di acara tersebut.
Lenggong dipilih sebagai lokasi kem foto kali ini adalah bersempena dengan pemilihan daerah tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO Lembah Lenggong.
Kawasan yang berkeluasan 398.64 hektar ini membekalkan siri urutan budaya mengikut kronologi bermula dari zaman Paleolitik hingga ke zaman Neolitik dan zaman logam. Dan antara penemuan yang terpenting di daerah ialah ialah penemuan ‘Perak Man‘ atau ‘Manusia Perak’ iaitu jasad manusia yang meninggal dunia sekitar 10,000 tahun dulu dan masih dalam keadaan yang agak sempurna. Tubuh ‘Manusia Perak’ ini boleh dilawati di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.
Di Lenggong juga terdapat sebuah tempat yang dinamakan sebagai Kota Tampan yang mana penemuan kota ini pada tahun 1987 juga telah membuka jalan kepada pemahaman tentang pembuatan alatan batu di Asia Tenggara yang tidak diketahui sebelum itu.
Kota Tampan juga menjadi bukti bahawa di Perak yang tampan hanya kotanya.
Kem Foto Lenggong dihadiri oleh lebih 50 orang jurugambar amatur dan juga professional dari seluruh negara. Mereka telah keluar ke seluruh daerah tersebut untuk merakam foto-foto yang menarik. Foto-foto ini kemudiannya dipertandingkan semasa kem tersebut diadakan.
Jurugambar yang terlibat juga tidak melepaskan peluang untuk mempamerkan foto yang dirakam di media sosial masing-masing dan ini juga telah menambah populariti daerah tersebut. Foto-foto tersebut juga diharap dapat membawa lebih ramai pelancong ke daerah itu.
Pihak Balai Seni Negara sendiri pula telah mengadakan satu lagu pertandingan fotografi bersempena dengan program Kem Seni Foto Lenggong.
Pertandingan fotografi Lembah Lenggong tajaan Balai Seni Negara itu telah berjaya menarik lebih dari seratus penyertaan dari seluruh negara.
Semua peserta dan juga pemenang pertandingan fotografi itu kemudiannya diraikan dalam satu majlis yang gilang gemilang di penghujung acara program Kem Seni Foto Lenggong.
Selain Ketua Pengarah Balai Seni Negara, majlis itu juga diserikan dengan kehadiran Pengerusi Tourism Perak, Mohd Kamil Shafie dan juga beberapa orang kenamaan tempatan.
Seperti yang kami katakan tadi, dengan bergayanya kami telah menempatkan diri bersama dif-dif kehormat. Lalu kami pun duduk di meja mereka dan dapatlah kami merasa makan daging rusa sementara peserta-peserta lain hanya makan gulai labu bercampur ikan bilis masak lemak.
Disebalik semua itu, pihak D’Beranda juga menyediakan hamparan buah-buahan tempatan dengan durian menjadi hidangan utamanya.
Semua peserta dan jemputan sangat berpuas hati dengan hamparan buah-buahan tersebut.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang sangat meminati lakonan Aloy Paradoks.


Terima kasih kerana berkongsi