KELMARIN kami menyuruh orang sebelah bertanya kepada Seni Malaya samada artikel-artikel yang kami tulis di sini dibaca orang atau tidak. Soalan yang sampai kepada Seni Malaya ialah ‘ramai ke orang baca Seni Malaya?’
Berlaku sedikit kekeliruan di situ. Maka sepertinya kami ini sibuk menanyakan hal-hal dalam kain portal ini. Segan juga sedangkan yang kami mahu tahu hanya mengenai tulisan kami. Walau pun ‘aku menulis bukan kerna nama’ kadang ada juga rasa ingin tahu samada apa yang kami rapukan itu dilihat orang atau tidak.
Bukan sebagai semangat untuk lebih tekun menulis sementelah pula kami ini memang rajin menulis tetapi sekadar sebagai maklumat. Buat kembang hidung sendiri. Nanti balik Kuantan boleh juga kami cerirakan kepada Mok. Biar Mok tak menyesal lahirkan kami. Jika kamu rasa kami peduli atau tidak kamu membaca atau tidak tulisan kami, kamu silap. Kami sudah lebih besar dari itu. Kalau sekadar mengharapkan like and share, dah lama kami berjoget di TikTok macam isteri kamu.
Kami cabar kamu menafikan yang video Abdullahjones berjoget tidak akan mencapai lebih sejuta like and share.
Yang tidak sedap lagi jika pertanyaan mengenai ramai tidak pembaca portal ini jika diterjemah sebagai tanda minta upah.
Kemudian sampai kepada kami bahawa si Amir Muhammad aka David Teoh versi seram itu mencadangkan supaya portal ini membayar kami. Ini tuan-tuan yang mulia ialah kerja batu api. Elok-elok kita menulis dengan bahagia, dia melaga-lagakan dan bawa cerita habuan dunia yang sementara ini.
Mungkin dia masih berdendam. Dulu kami pernah berjanji untuk menulis dan diterbitkan oleh syarikat dia tetapi kami mungkir. Mungkin dia telah mengira keuntungan besar yang akan diperolehi hasil dari buku tersebut tetapi dinafikan oleh sifat munafik kami, maka dia pun mengadu domba kepada portal yang katanya akan dibeli oleh Bloomberg News dengan harga mahal ini.
Apa agaknya kata Syaidina Ali jika dia tahu si Amir ini mempunyai sekian sikap yang mungkar sedemikian rupa.
Sebagai makluman izinkan kami ceritakan betapa tidak pentingnya wang dalam hal kami melukis dan menulis sambil merokok itu.
Ayoh ada lima buah bot pukat laut dalam. Awok-awok bot Ayoh bercampur-campur. Ada budak Siam dan ada juga budak kita. Budak Siam gaji tak mahal sangat tetapi rajin sementara budak-budak kita tak rajin sangat jadi Ayoh bayar pakai syabu.
Hampir 55% hasil tangkapan bot Ayoh dihantar ke luar negara dan selebihnya dihantar ke Pasar Besar Selayang,Kuala Lumpur dan kamu tentu lebih tahu tentang harga ikan yang mahal tidak tentu arah itu.
Kadang kami minta budak-budak Ayoh meletakan syabu pada ikan yang dihantar ke Pasar Selayang sebagai balas dendam kepada pemandu motosikal di Kuala Lumpur yang membunyikan hon dengan kuat semasa kesesakan lalu lintas. Biar seluruh Kuala Lumpur pening.
Biar orang Kuala Lumpur tahu makna peribahasa ‘seekor lembu yang membawa lumpur…’
Untuk yang dihantar ke Singapura, kami tabur ubat mayat supaya tahan lama dan kelihatan lebih segar sebagai balas dendam kepada pemandu kereta dari Temasik yang asyik membeli minyak murah dan selalu bikin huru-hara di jalan raya kita. Kamu boleh berterima kasih kepada kami kemudian.
Nanti bila kamu ke Kuantan, pergi ke Tanjong Api dan cari Ayahanda Harimau Naga Ayoh Jones. Cuma bila kamu bertanya orang dan menyebut nama Ayoh, berhati-hatilah. Ayoh kami ahli Kongsi gelap walaupun dia kuat politik. Jadi bila orang luar datang bertanya tentang Ayoh, konco-konconya akan memukul kamu dan kemudian akan bertanya mengapa mencari Ayoh. Bercermatlah.
Mok pula ada ladang sawit. Datuk kepada Mok ikut Perang Klang dan sebagai imbuhan, dia memperolehi tanah seluas seratus ekar. Tanah itu kemudiannya ditanam getah waktu itu. Setelah bapa Mok meninggal dunia, dengan bahagian faraid miliknya, Mok kemudian bertukar kepada tanaman kelapa sawit. Setakat semalam Mok ada lebih kurang 2000 ekar ladang sawit. Ini tidak termasuk lagi 3000 ekar yang sedang di runding oleh Mok dengan Kerajaan negeri Pahang.
Kerajaan negeri telah merampas banyak ladang sawit haram dan ianya dilelong dengan harga minima kepada sesiapa yang berminat.
Satu tan sawit berharga sekitar RM700-RM800,bergantung pasaran. Satu ekar menghasilkan lebih kurang 1.5 tan setiap bulan. Keluarkan mesin kira dan sila kira berapa pendapatan Mok setiap bulan.
Sekarang, cuba kamu congak pendapatan bulanan Mok dan Ayoh kami kemudian kamu tanya kepada diri sendiri samada kami, satu-satunya anak lelaki serta yang paling sulong ada masa mahu terkesot bila kamu tidak membeli lukisan atau membayar bila kami tulis?
Kamu ingat kami beli brek Brembo untuk kereta Kancil turbo kami itu pakai duit melukis atau menulis? Baser.
Mok dan Ayoh memang sudah lama menjadi patron kepada kerja-kerja kami. Bila kami mengatakan bahawa kami ingin melukis dan menulis sepenuh masa demi pembangunan negara, Mok berkata ‘ ikut mung la awang. Kita kaya…’
Dan kami membalas pula kemurahan hati Mok dan Ayoh dengan membantu apa yang patut mana-mana pihak yang juga mahu membina peradaban yang lebih baik untuk negara ini.
Partonage adalah sesuatu yang sudah amat kurang dilakukan terutama untuk bab seni dinegara kita. Tidak lama dulu kami pernah mendengar yang sebuah galeri mengeluarkan belanja bulanan kepada artis sementara menunggu si artis menghasilkan karya. Artis berkenaan diberikan saran lebih RM5000 setiap bulan bagi sebagai sokongan dia menghasilkan karya yang lebih baik. Ini cerita mungkin 10 atau 15 tahun dulu.
Secara peribadi pula, semasa mengadakan pameran solo yang pertama dulu, Galeri Artcube telah mendahulukan pembayaran bingkai untuk semua lukisan yang akan kami pamerkan. Ianya sedikit sebanyak membantu mengeluarkan tekanan untuk kami mempersembahkan karya-karya kami dalam keadaan yang lebih kemas.
Kamu yang jenis mulut lembik itu akan berkata, ‘eleehhhh, bayar frame pun nak kecoh’. Untuk makluman kamu, keseluruhan harga bingkai untuk pameran Blues Malaya kami itu adalah sekitar RM9000. Beritahu kami galeri mana yang sanggup mengeluarkan belanja begitu.
Apa pun yang kamu katakan mengenai si Upin dan Ipin ini, kamu mesti bersetuju bahawa si Fuad dan Azhar ini ada sedikit wawasan.
Kamu yang ada kemampuan juga perlu memikirkan hal yang sama jika kamu serius dalam hal pembangunan seni tempat kita.
Kita kritik bila artis menghasilkan karya yang letih tetapi kita tidak pernah mahu mengambil tahu mengenai keletihan artis dalam menghasilkan karya.
Amir Muhammad yang kami ikuti penulisannya dari dia bersekolah itu sekurang-kurangnya menjadi patron kepada penulis dan juga filem-filem Sundel Bolong versi Malaya.
Buku ‘Hikayat Seniman Jalanan Merenung Matahari Vol.2’ ini ditulis oleh Rozinor Razali iaitu seorang pengarah filem yang relatif muda.
Dia banyak menghasilkan filem-filem pendek dan ada memenangi beberapa anugerah.
Rozinor menceritakan betapa dia, walaupun sudah mempunyai pekerjaan yang ‘gaji bulan ini belum habis, sudah dapat gali bulan depan’ jika kreatifnya memberontak mahukan lebih kebebasan dalam berkarya. Lalu dia berhenti kerja untuk menjadi seniman sepenuh masa di samping mempunyai Impian untuk mengembalikan kegemilangan filem-filem tempatan.
‘Tipikel Melay’ kata kami dalam hati.
Dia kemudiannya membentuk sebuah kolektif perfileman dan agak berjaya dengannya.
Kemudian dari itu dia dilamar oleh seseorang untuk membuka sebuah kolej perfileman dan cerita patronage oleh orang tersebut menjadi intipati penting buku ini.
Kami tidak bercadang untuk menceritakan apa yang terjadi kepada kamu disini. Cari buku ini dan baca.
Kami tidak percaya kamu akan dapati buku ini dikedai-kedai buku kerana ianya diterbitkan sendiri oleh penulisnya. Mungkin ianya boleh didapati melalui dalam talian kami tidak pasti.

Masyaallah taala, sungguh nikmat tuhan itu tiada terduga datangnya dari mana. Berbanyak terima kasih kepada AJ, menulis lagak zaman blognya dulu. Semoga tuhan terus melimpahkan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah pada AJ. aamiin.