DENGAN hasrat menyemarakkan minat membaca dikalangan masyarakat dan menjadikan buku satu kepentingan dalam hidup, Hentian Buku Selangor dilancarkan pada 21 Disember lalu.
Pelancaran Hentian Buku Selangor itu telah membuka lembaran baru dalam dunia sastera dan keilmuan di Selangor.
Majlis perasmian yang diadakan di Hentian Kajang ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, sekaligus menandakan era baharu bagi peminat dan pencinta buku di negeri ini.
Hentian Buku Selangor bukanlah sekadar satu tempat jual beli buku, tetapi sebuah platform yang menghimpunkan kedai buku terpakai dan baru, serta mencipta ruang untuk peminat buku berkumpul, bertukar pandangan dan berkongsi kecintaan terhadap dunia literasi.
Konsep ini dimulakan oleh Pertubuhan Kota Buku Bangi yang telah lama menganjurkan pasar buku secara santai di beberapa lokasi di sekitar Bangi dan Kajang. Bermula di tempat letak kereta Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Hulu Langat pada tahun 2016, Hentian Buku Selangor berkembang ke Bazar Karat Streetmall Bangi Gateway pada 2019, sebelum akhirnya menempatkan diri secara rasmi di Hentian Kajang.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kota Buku Bangi, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau SM Zakir, pada asalnya, mereka menjual buku secara berkumpulan di tempat letak kereta PPAS Hulu Langat dan Bazar Karat Streetmall,
“Namun kini, dengan adanya Hentian Buku Selangor, kami mempunyai ruang yang lebih besar dan lebih strategik di Hentian Kajang, lokasi yang ideal untuk menjadi pusat tumpuan bagi semua pencinta buku di Selangor,” katanya.
SM Zakir juga berkata pelancaran Hentian Buku Selangor adalah selari dengan matlamat untuk menjadikannya sebagai hab ilmu yang memakmurkan komuniti.
Hentian Buku Selangor bukan sahaja menampilkan tujuh kedai buku terpakai dan buku baharu secara tetap, tetapi juga membuka peluang bagi lebih 30 gerai penjual buku, termasuk penerbit, kedai buku, kolektor, dan pencipta buku.
Sempena dengan pelancaran Hentian Buku Selangor, satu forum bertajuk “Masa Depan Industri Buku di Malaysia” telah diadakan, dikendalikan oleh Pengarang Berita Rencana Berita Harian (BH), Mohd Nazmi Yaakub, dengan ahli panel yang terdiri daripada Pengerusi FIXI, Amir Muhammad, Pengasas Jejak Tarbiyyah, Saadiah Ali, dan Pengasas Buku Terpakai Puchong, Abdul Halim Ismail. Forum ini membincangkan cabaran dan peluang yang dihadapi oleh industri buku di Malaysia, serta peranan penting yang dimainkan oleh komuniti pencinta buku dalam memastikan kelangsungan industri ini.
Selain forum, acara lain seperti bacaan puisi oleh pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Shamsuddin Othman, Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, Shukri Abdullah, serta penyair muda Nadrah Ghani, turut menghangatkan suasana. Acara-acara ini bukan sahaja menggalakkan minat membaca, tetapi turut memperkasa budaya sastera di kalangan masyarakat.
Sementara itu, Bagi Syahredzan Johan, pelancaran Hentian Buku Selangor adalah sebahagian daripada usaha untuk menyemarakkan semangat Malaysia MADANI, sebuah gagasan yang dipelopori oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dengan adanya Hentian Buku Selangor, kita dapat menghidupkan semula budaya membaca di kalangan rakyat.
“Hentian ini bukan sahaja akan menjadi pusat perdagangan buku, tetapi juga sebagai tempat pertemuan bagi pencinta buku dari seluruh negara,” ujar Syahredzan dalam ucapan perasmian.
Hentian Buku Selangor dijangka akan terus berkembang dan menjadi tumpuan masyarakat, bukan sahaja dari Bangi dan Kajang, tetapi juga dari seluruh Selangor dan negeri-negeri lain.
Dengan pelbagai aktiviti dan kerjasama yang dijalankan, Hentian Buku Selangor berpotensi untuk menjadi pusat rujukan utama dalam dunia literasi negara. Selain daripada pertemuan antara pengarang, penjual, dan kolektor, acara yang diadakan secara berkala juga akan memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi dengan penulis dan pencinta buku.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai aktiviti dan jadual acara di Hentian Buku Selangor, orang ramai boleh menghubungi Siti Fatimah Ismail, Biro Komunikasi Pertubuhan Kota Buku Bangi di talian +6011-72356764.

